Wahai kekawan, maaf akan daku, yang udah dak daya lagi untuk selamatkan mengkema, demikian kata-kata terakhir Karkuma kepada beberapa dahan pokok bunga yang masih ada sedikit kehijauan daun-daunnya, tetapi menunggu masa sahaja untuk mati.
Kami juga mohon maaf. Tiba-tiba pokok bunga melur bersuara mengejutkan Karkuma.
Bahagia hati ku dapat mendengar suara dikau! Luah Karkuma gembira bercampur hiba. Hari ini sebatang pokok bunga melur yang nyawa-nyawa ikan bersuara.
Izin akan daku memberi pesan dari pokok lestari, bisik pokok bunga anggerik kepada Karkuma.
Sila akanlah, wahai kawan, desak Karkuma dengan penuh teruja.
Taman kami udah dikhianati. Kabeh tanah di keliling bangkir inen telah diracuni salah sorang tukang kebun, keluh pokok bunga anggerik. Karkuma terduduk di bumi. Kedua tangannya menekap muka, perlahan-lahan air matanya mengalir.
Sapakah gamak gerangan yang khianati daku Karkuma bertanya di dalam esakannya.
Bisikan pokok bunga melur tidak kedengaran lagi. Di depan matanya satu demi satu dedaun pokok melur gugur ke bumi. Gugurlah juga hati dan perasaan Karkuma ketika itu. Itulah satu-satunya daripada sebilangan kecil beberapa pokok bunga yang masih memberi harapan padanya. Kini pokok bunga melur juga seakan-akan tiada harapan lagi. Layu dan kemudian gugur menyembah bumi, membuatkan Karkuma seperti hilang harapan. Karkuma terlalu sedih dan kecewa dan tertanya-tanya kenapa pokok-pokok bunga itu diracun.
Dia juga kesal, mengapa pekara itu tidak pernah terfikir olehnya. Walhal Balungga, bekas pembantunya dahulu pernah mengkhianatinya, meracuni sebatang pokok bunga mawar. Seharusnya dia jadikan peristiwa itu sebagai teladan. Tiba-tiba tergerak difirasat Karkuma siapa yang meracuni pokok-pokok bunga kesayangannya di taman bangkir itu.
Hakap! Tergamak mika ludahi kehidupan kami Jerit Karkuma di dalam hatinya, dan tidak semena-mena dia rebah ke bumi di tepi sebatang pokok mawar. Teggal yang sedang mengangkat peralatan perkebunan terlihat Karkuma jatuh.
Aba Kuma!!! Jerit Teggal, terus bergegas memangku kepala Karkuma.
Bangun Aba Kuma! Bangun! Teggal menggoncang badan Karkuma tetapi Karkuma terus kaku. Teggal mulai panik. Dia memandang sekeliling Taman Bangkir Ghadabi, yang dipenuhi dengan pokok-pokok bunga yang kering dan sudah layu semuanya.
Mata Teggal menjadi kabur memandang keliling kawasan Bangkir Ghadabi yang tidak lagi berseri dan berwarna-warni, tidak lagi seindah dahulu. Karkuma yang dianggap seperti abang kandungnya itu, kini terlantar kaku di depan matanya. Haru-biru perasaan Teggal.
Ramai orang di sekitar bangkir datang mengerumuni Karkuma. Semuanya melemparkan soalan sama: Apa kena dengan Aba Kuma Sedang Teggal sendiri kebingungan dengan apa yang berlaku. Nasib baik, tidak lama kemudian Ketua Warak Labot pun tiba.
Kuma rebah, mentak keletihan, terang dan tegas nada kata-kata Ketua Warak Labot kepada orang ramai yang mengerumuni. Dia mengarahkan Karkuma dibawa masuk ke dalam bangkir.
Bawa akan beliau masuk ke medan mulia. Ketua Warak Labot memberi arahan. Medan mulia ialah tempat sembahyang paling utama di dalam bangkir, disediakan khusus untuk golongan bangsawan dan warak-warak sahaja. Di situ mereka boleh bersembahyang seberapa lama yang mereka inginkan untuk bertafakur pada berhala.
Di situlah Karkuma dibaringkan, betul-betul di depan berhala Dewata Garuda Chandi. Ketua Warak Labot dan beberapa warak-warak sibuk menjalankan upacara menjampi serapah, memohon belas dari dewa-dewa untuk memulihkan Karkuma.
Mereka yang mengusung Karkuma tadinya semua masih tercegat di situ kecuali Teggal.
Sesiapa sahaja penganut ajaran Huku, mereka tidak akan lepas peluang untuk lebih dekat dengan berhala Dewata Garuda Chandi tetapi berlainan pula Teggal, kelakuannya agak aneh. Teggal lekas-lekas tinggalkan medan mulia dan menunggu di luar bangkir. Segala upacara jampi serapah itu langsung, Teggal tidak ambil peduli.
Beberapa ketika kemudian, Karkuma mulai bergerak-gerak. Semua orang berasa lega dan berterima kasih pada Dewata Garuda Chandi. Orang di medan mulia sedikit demi sedikit beredar dengan penuh kelegaan. Tinggallah Ketua Warak Labot, Warak Petawali dan Warak Saldi.
Warak Jameng, Warak Gebang, Warak Halibut, Warak Banuk, Warak Dongga dan Warak Langkus sedang menjalankan kewajipan tawajuh berjalan mengelilingi bangunan bangkir. Memandangkan keadaan Karkuma yang sangat lemah, Ketua Warak Labot membenarkan Karkuma dihantar pulang ke rumah dengan kereta lembu kepunyaan bangkir.
Teggal! Lekas pergi ambil gerabak lembu, arah Ketua Labot. Tidak lama kemudian, Teggal datang dengan kereta lembu sudah sedia menanti di depan tangga bangunan bangkir. Karkuma dipapah oleh Warak Petawali dan Warak Saldi naik ke kereta lembu.
Di perjalanan, walaupun mata Karkuma sesekali dibuka, tetapi sepatah perkataan pun tidak keluar dari mulutnya. Karkuma tersandar lesu di atas kereta lembu yang dikendali Teggal. Sesekali Teggal berhenti membetulkan duduk Karkuma yang seakan-akan hendak terjatuh. Kebimbangan yang tidak ada batasnya bermain difikiran Teggal.
Dalam pada itu, kecelakaan juga berlaku di rumah Karkuma. Sirehpani jatuh pengsan dengan tiba-tiba selepas meminum air nenas putih, pemberian Nanang, jirannya. Nanang sudah lama mengenali Karkuma, tetapi hanya mengenali Sirehpani sejak Sirehpani menjadi isteri Karkuma dan menetap di rumah pusaka orang tua Karkuma. Nanang sering bertandang ke rumah itu sehingga dia dan Sirehpani menjadi sahabat karib.