P-JUN - 4
KUALA LUMPUR, Malaysia 28 April 2010

Ikin, litar tambahan kau ada masalahkah Aku nak pasangkan pada robot kita semula, tanya Aflah sambil membetulkan sesuatu pada robot yang mereka bina.

Tak ada masalah. Aku sedang masukkan program yang Rafiq buat. Dia dah ubah suai sikit program tu. Sebentar lagi siaplah! laung Ikin yang berada jauh daripada Aflah.

Aflah tidak menjawab. Tangannya kotor disaluti minyak hasil kerjanya memasang gear dan injap pada robot itu. Robot itu akan siap setelah dipasang litar baru dan juga penutupnya. Sekarang, robot itu seperti satu tulang rangka yang boleh dilihat kabel yang berselirat dan bahagian mekanikalnya.

Aduh, penat betul! Lepas menang tempat pertama ekspo dulu, kena siapkan robot yang betul untuk wakili negara ke peringkat antarabangsa pula. Leceh betul. Rungut hatinya.

Dia menarik satu kerusi pendek dan menghenyakkan punggung di atasnya. Tangan kotornya dicalit-calitkan pada baju kerjanya. Serentak dengan itu, fikirannya menerawang seketika. Dua perkara yang selalu menyesakkan mindanya. Rafiq dan lelaki misteri yang datang ke gerai pasukannya tempoh hari.

Sejak akhir-akhir ini, Rafiq jarang-jarang datang ke bengkel itu. Dia tak tahu apa yang sedang dilakukan olehnya. Tetapi, kerjanya siap seperti yang dipinta. Dia akan menyerahkan hasil kerjanya kepada Ikin. Sehingga ke hari ini, sudah dua bulan dia tidak nampak batang hidung Rafiq di makmal. Hanya sekali-sekala terserempak di kawasan fakulti. Itu pun dia tidak sempat menegur, Rafiq sudah pun lesap.

Yang keduanya, kedatangan lelaki misteri itu ke makmal itu baru- baru ini. Nasib baik hanya tinggal dia seorang diri. Ikin sudah pun berangkat pulang. Rafiq apatah lagi. Lelaki itu bercakap panjang. Dia menitipkan satu cakera padat. Dia berpesan bahawa projek ini diteruskan dan perlu dibawa ke Tokyo, Jepun, lokasi pertandingan itu nanti. Katanya, ada sekumpulan orang jahat telah mempergunakan Rafiq untuk mencipta satu program. Program ini menukarkan robot projek mereka menjadi sebuah robot tentera yang memudaratkan manusia sejagat. Cakera padat itu mempunyai program antivirus yang boleh memusnahkan program robot tentera itu. Dia meminta Aflah pasangkan di Tokyo nanti.

Kenapa tidak dipasangkan sekarang tanya Aflah ragu-ragu.

Jangan! Nanti kamu akan merosakkan rancangan saya menjejak mereka. Mereka akan tampil di sana sebaik sahaja program itu sudah dihidupkan. Saya hendak menangkap mereka hidup-hidup. Buat masa ini, kamu simpan dulu cakera padat ni. Program itu tidak akan diaktifkan tanpa akses yang dimiliki oleh mereka. Saya kira Rafiq tidak mempunyai akses itu, ujar lelaki misteri. Aflah hanya mengeluh. Dia menurut sahaja.

Hai, Aflah! Mengeluh panjang nampak

Aflah terkejut apabila ditegur Ikin. Dia cepat-cepat membuang jauhjauh kegalauan yang melanda fikirannya. Dia cuba untuk memaniskan muka.

Tak adalah. Aku tengah berfikir, bagaimana nak mencantikkan robot ni! Aflah cuba berdalih. Mulutnya mungkin boleh menipu tapi tidak hatinya. Ikin dapat membaca kegelisahan hatinya. Gadis itu duduk bersebelahan.

Kau teringatkan Rafiq, bukan duga Ikin. Rona muka Aflah berubah. Sekali lagi, dia mengeluh.

Kamu berdua ada bergaduh tanya Ikin.

Entahlah, Ikin! Aku pun tak tahu. Sejak daripada ekspo hari itu, dia terus membisu. Bertegur sapa dengan aku pun dia tak nak. Aku dibiarkan dalam perasaan bersalah tanpa sebab, dengan berat Aflah meluahkan perasaannya. Ikin tidak membalas.

Dia selalu serahkan hasil kerja kepada kau. Dia tak cakap apa-apa tanya Aflah menoleh ke arah Ikin.

Tak! Kami jumpa ketika dalam kuliah. Dia beri hasil kerja, kemudian terus bergerak. Aku ada mesej tapi dia langsung tak balas. Aku takut dia ada masalah. Kalau tidak, hanya kita berdua yang akan ke Jepun. Tanpa dia! ujar Ikin menyerlahkan kegalauan hatinya. Aflah memerhatikan wajah redup Ikin. Gadis itu seperti mengharapkannya untuk berbuat sesuatu. Aflah menggeleng-gelengkan kepala sahaja.

Dia tidak mampu berbuat apa-apa. Dia tahu apa yang berlaku pada Rafiq. Dia juga tahu apa yang perlu dilakukannya berdasarkan maklumat yang telah disampaikan oleh lelaki berpakaian hitam itu. Dia ada misi yang perlu dilakukan.