Juwita kalbu
Gadis yang ku rindu
Kau remaja menawan hatiku
Merayu jiwaku
Kau teruna
Rangkai nyawa
Lampu hati beta
Mestikah pergi jauh kembara
Ku terbayang jua
Siapa nyanyi lagu ni Sedapnya, ujar Nurul.
Menjiwanglah tu, teringat ke siapa Nuar Jaja membalas.
Gila, mana ada. Nurul mencebik.
Itukan lagu 2 by 2 dengan Siti Nurhaliza. Kau selalulah lambat Nurul oi, orang dah siap hafal dah pun. Siap tulis liriknya dalam diari. Haha! La membalas dengan ketawa.
Lagu yang pernah dibawakan oleh pasangan adik beradik Eddie Ahmad dan Hamidah Ahmad ini kemudiannya diberi nafas baru dan dinyanyikan semula oleh kumpulan 2 by 2 dan Siti Nurhaliza. Boleh dikatakan semua stesen radio akan mendendangkannya. Malah menjadi tular kepada nyanyian anak muda serta terus seantero negara.
Anuar meraup muka. Kali ini dia mesti mencuba nasib untuk hadir audition untuk menyertai band sekolah untuk perbarisan Hari Kemerdekaan nanti. Saban tahun pihak sekolah akan mengadakan audition kemudian dibuat pertandingan kecil untuk mereka yang mahir menyanyi dan juga pandai menggunakan alat muzik. Mereka ini akan diambil menjadi orang hebat mengalun irama semasa perarakan sekolah kemudiannya masuk bertanding bagi mewakili daerah masing-masing.
Di sekolah, pemuda yang pendiam ya amat ini punya kelebihan suaranya. Semua tahu mamat seorang itu sentiasa bersama buku dan walkmannya. Pernah dulu ketika Walkman tidak boleh dibawa ke sekolah, beliau ditangkap dan kemudian walkmannya diambil pihak guru.
Beliau memohon dan merayu itu tidak lagi berlaku. Diwartakan di sekolah alat seperti radio yang punya wayar yang boleh disambungkan ke telinga itu diharamkan untuk bawa ke sekolah. Di Asrama tidak mengapa.
Anuar masih berdiri menghadap poster audition. Dia tahu, selama ini beliau hanya mendendangkan lagu-lagu nasyid semasa program cuti sekolah sahaja. Kali ini perlu lebih serius untuk memenangi tempat agung untuk menjadi penyanyi utama perbarisan nanti.
Beliau yakin masih berpijak di bumi yang nyata. Malah debaran jantungnya itu seakan ikut sama untuk menyertainya dengan lebih yakin. Sekali lagi beliau menekup mulutnya sendiri. Kemudian berdengus. Lalu beliau mencapai selipar jepun putih yang sudah pun bergunting di bahagian hadapannya itu. Dipakai dan terus berlalu ke Aspura.
Nurul yang melihat dari tadi terus berjalan laju menuju ke papan tanda asrama. Papan tanda lusuh yang sudah bertahun-tahun tidak bertukar itu hanya cantik pada hiasannya sahaja. Ada reben merah muda dan biru yang langsung tidak pernah sepadan. Kemudian ada ropol entah apa-apa dibuat pelajar junior yang dipaksa oleh senior semasa orientasi dulu. Di bahagian dalamnya, dibuat tulang-tulang pembahagi sebanyak empat bahagian menggunakan reben yang sudah pun bertali-tali. Sekali hentak mesti tercabut sekali gus.
Aspura, Aspuri, Umum, Pekeliling. Semuanya cukup lengkap untuk mendapatkan maklumat-maklumat tentang sekolah. Atau lebih khusus tentang asrama. Bukan main banyak sekali pengumuman, ada tentang filem hujung minggu. Ada tentang kuliah maghrib. Ada tentang pengambilan pemain bola sepak. Ada juga tentang jualan kerepek dan sambal tempe dari bilik sana sini. Dan yang paling menarik perhatian ialah audition untuk mewakili sekolah dalam perbarisan nanti.
Pasti ini yang Nuar tenungkan tadi, bisik perlahan Nurul. Kemudian beliau menoleh ke kanan, ke bangunan Aspura. Tup! Anuar sedang memandang tepat ke wajahnya. Lalu bertentanglah empat mata buat kali pertama. Nurul terus berpaling dan berlari kecil pulang ke bilik. Berdebar. Berpeluh sakan. Sedang Anuar senyum sendiri melihat keletah Nurul yang sudah diikuti jejaknya dua tiga minggu ini.
Sudah beberapa malam kedengaran beberapa kumpulan berlatih menyanyi. Paling menyengat ialah yang menyanyikan lagu 2 by 2 dan Siti Nurhaliza tempoh hari. Kau Mawarku. Nurul, Jaja dan La meneka-neka suara siapalah yang sayup-sayup menyanyikan lagu tersebut. Suara jantannya ketara, manakala suara wanitanya pula agak garau. Mereka ketawa kecil manalah tahu itu suara Kak Iman yang mereka takuti sangat itu.
Nyanyian mereka mendayu-dayu. Hingga kadang kala Ustazah Nora dan Cikgu Zul akan menegur supaya dihentikan kerana sudah lewat. Bimbang mengganggu waktu persekolahan esoknya. Yalah, jika tidur lambat, bangun pun boleh lambat. Bahaya.
Selepas beberapa hari, audition bermula. Semua yang mahu lihat dan tonton boleh sahaja hadir ke dewan utama. Nurul, Jaja dan La memang sudah lama mahu mengikuti audition ini. Pentas sudah tersedia. Dengan siap pelbagai perkakas dan peralatan muzik. Mereka yang ingin menyertai sudah pun bersedia di tepi dewan. Ada yang memegang kertas ada juga yang tenang sahaja melihat-lihat pentas dan rakan-rakan lain. Nurul dan dua sahabatnya mengambil tempat. Duduk paling hadapan dewan, paling istimewa untuk melihat dengan lebih dekat siapalah yang akan menyanyikan lagu-lagu kegemaran mereka.
Kerusi disusun ala-ala konsert. Adalah dalam 10-20 kerusi yang diletakkan. Manakala di bahagian tengah menghadap ke pentas ada meja yang disusun panjang kemudian ada lima kerusi di situ. Ada guru-guru pelbagai kemahiran duduk di situ dengan pen dan kertas. Sudah semestinya untuk menjuri audition ini dan memilih lapan peserta dari puluhan yang hadir ini untuk bertanding nanti. Satu kumpulan demi satu kumpulan beradu kekuatan untuk memasuki pertandingan memilih siapa yang akan mewakili sekolah.
Ini baru pusingan pertama. Audition ini akan melayakkan semua peserta mengikuti kelas vokal dan persembahan, kemudian barulah diadakan pertandingan pula. Daripada situlah pemenang akan diambil untuk mewakili sekolah dalam pertandingan daerah. Dan sekiranya menang. Bolehlah mengikuti perbarisan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri di Kuantan nanti.
Bayangkanlah, kelas vokal itu akan diajar oleh guru yang pernah membawa wakil-wakil sekolah menyertai pertandingan demi pertandingan koir sekolah. Sama ada nasyid ataupun band. Walau biasanya kalah dan kemenangan yang didapati itu jarang berlaku, namun memasuki ruang belajar bersama guru vokal merupakan impian besar buat mereka yang gemar menyanyi.
Dari belajar menjaga nafas, bagaimana mendidik stamina untuk menyanyi, bubbling serta mengetahui suara itu dari mana untuk tarik dan lepas di mulut, semuanya di ajar dengan baik dan hingga ke tahap menyanyi menggunakan mikrofon sesiapa pun masih boleh menyanyi dengan baik. Mereka ini bakal menjadi selebriti sekolah, yang biasanya diidam-idamkan oleh pelajar berlainan kaum. Lebih lagi jika kacak dan segak. Pastilah seperti semut yang mengerumuni gula!
Dipersilakan The Nuar and Friends! Gulp! Nurul kajet. Berpeluh kembali. Jaja dan La bukan main bertepuk tangan melihat jejaka serius yang payah benar mahu senyum itu berdiri tegak dengan gitar kayunya itu di atas pentas. Nuar segak berkemeja hitam dan berseluar jean. Juga hitam. Beliau padankan dengan kasut hitam dengan tapaknya berwarna putih. Tali kasutnya juga putih! Wah seperti trade mark pula. Dengan gitar yang sudah berselimpang di bahunya, Nuar memberi isyarat kepada semua ahli kumpulannya untuk bermula.
One two three!
Bila Engkau Hilang Di Mata....
Tidur Nyenyak Ku Tak Bisa....
Semua terkejut, Nuar dan penyanyi duetnya itu memulakan lagu dengan mengambil bahagian korus dan mendapat tepukan paling gemuruh. Nampaknya gimik beliau menjadi dan semua para juri mengangguk seronok.
Heh! Kak Iman! Hahahaha. Jaja ketawa kuat. La menyikunya bimbang Kak Iman melihat mereka ketawa. Ya sungguh, suara yang mereka dengar baru-baru ini sahih suara mereka.
Dan Nuar pun menyanyi. Kak Iman menjadi Siti Nurhaliza dengan versi suara garang. Nyanyian mereka cukup serasi. Walau Kak Iman nampak sangat kaku hanya berdiri tegak dan memegang mikrofon. Langsung tidak memandang ke hadapan, hanya fokus kepada lagu dan liriknya sahaja, namun nyanyiannya cukup harmoni. Sedap didengar dan kita sendiri terasa terbuai dengan lagunya.
Lebih kurang 20 minit, semua peserta audition perlu berdiri di dalam dewan. Manakala ketua juri menaiki tangga pentas dan menuju ke mikrofon yang disediakan. Ketua juri menerangkan bagaimana pemenang-pemenang yang akan bertanding nanti ini diberi markah dengan cara apa. Bagaimana mereka mendapat markah dan apa yang menjadikan mereka tersenarai antara yang akan bertanding nanti.
Antaranya ialah kekuatan vokal perlu ada pada setiap pemenang. Mereka ini akan mendendangkan lagu tanpa mikrofon semasa pertandingan di atas padang nanti. Jadi itu mesti menjadi kekuatan yang cukup luar biasa. Kemudian, gimik dan persembahan yang menjadi ukuran. Setiap satu kelainan dalam cara yang kreatif akan diberi markah bonus.
Debaran semakin memuncak. Satu demi satu kumpulan diumumkan dan sorakan bersahut-sahutan. Hinggalah ke Nuar and Friends tersenarai menjadi salah satu daripada lapan yang tersenarai untuk bertanding nanti. Nurul, Jaja dan La juga turut bersorak gembira.
Lalu hebohlah di sekolah, di Aspura, di Aspuri, di kolam ikan, di padang sekolah dan di kantin sekolah. Malah jika cicak kobing pandai mendengar lagu-lagu dan berbicara, pasti mereka juga menghebohkan tentang ini. Anuar dan Kak Iman cukup secocok untuk memenangi pertandingan mencari band perbarisan! Ya Nuar and Friends!
Seramai lapan peserta dalam bentuk kumpulan memenangi audition kali ini. Lebih menarik lagi hanya tiga kumpulan sahaja mempunyai pasangan duet seperti Anuar dan Kak Imah, yang lain punya solo biasa. Ada yang bersuara garau, ada yang nyaring, ada yang tinggi soprano, ada juga yang tenang dan kemas sahaja. Semuanya hebat-hebat.
Mereka dikehendaki berdiri tegak di atas pentas dengan beratur menghadap meja para guru. Kemudiannya ditaklimat oleh ketua juri. Kelas mereka akan diadakan setiap hari jam 5.00 petang. Siap ada kelas olah raga, perlu berlari dan bersukan untuk memantapkan stamina. Ada juga kelas suara, kelas persembahan dan kelas kawad untuk mahir menggunakan alat muzik semasa perbarisan nanti.
Jaja senyum kecil dan memandang La. Habislah Kak Iman. Haha. Jaja mengusik La. La diam sahaja tidak memberi respons apa-apa. Bimbang diketahui Kak Iman yang diejek Jaja dari tadi lagi. Nurul hanya berani memandang barisan pemenang itu sekali-sekali sahaja. Takut untuk mengangkat muka dan terpandang wajah Anuar yang dari tadi memandang beliau. Perkara itu disedari Jaja dan La. Lalu mereka mengawal dulu perasaan mahu mengusik itu. Disambungnya nanti di bilik untuk dikorek sebanyak-banyaknya dengan Nurul.
Pasti. Ada sesuatu di antara mereka.