MAT DAN MEL - 4
Petang itu aku dan Tamrin ke pusat membeli-belah The Summit yang terletak di Subang Jaya. Kami telah ke sana dengan tujuan untuk bermain futsal dengan beberapa orang rakan-rakannya yang lain yang kebanyakannya dah bekerja. Tamrin mengenali mereka kerana mereka adalah kawan-kawan abang Rastam. Mereka saling mengenali sebelum abang Rastam ke Dubai. Hanya aku, Tamrin dan Raslan sahaja bergelar pelajar di antara mereka. Mungkin sebab itu jugalah agaknya aku lebih rapat dengan Raslan dan Tamrin berbanding yang lain.

Si Raslan suka panggil aku dengan panggilan Mat Rempit. Ketika sedang bermain futsal dia akan terjerit-jerit panggil aku dengan panggilan itu. Aku tak kisah dia nak panggil aku apa Mat Rempit ke Mat Kampung ke Mat Punk ke, ikut suka hati dia lah. Aku rasa dia marahkan aku sebab tinggalkan Hasnah. Dia, Tamrin dan Hasnah berkawan baik.

Sebenarnya, Tamrin mengenali Hasnah melalui Raslan. Menurut cerita, Raslan telah mula mengenali Hasnah sejak sessi orientasi lagi. Ketika itu mereka sedang menghadiri jamuan makan malam yang diadakan untuk menandakan tamatnya orientasi. Raslan mendapati di antara ramai-ramai pelajar, Hasnahlah yang paling ranggi. Perkataan pertama yang terpacul dari mulut Raslan ketika dia mula-mula menegur Hasnah: Kasut yang awak pakai tu cantik... Macam kasut Manolo Blahnik.

Memang kasut Manolo Blahnik pun, jawab

Hasnah masa tu. Dan terus mereka berkawan baik walau pun Raslan ambil jurusan fesyen dan Hasnah pula ambil jurusan perundangan. Hasnah suka berkawan dengan Raslan kerana suka sangat memberi konsultasi fesyen percuma kepada Hasnah. Tamrin mengenali Hasnah melalui Raslan dan Hasnah pula mengenali aku melalui Tamrin. Kalau tak salah aku, dia mula nak berkenalan dengan aku bila Tamrin jemput dia datang ke kondominiumnya. Hasnah ternampak gambar aku yang diambil bersama Abang Rastam dan Tamrin ketika kami bertiga bercuti ke Port Dickson, sekeping gambar yang telah diletakkan di ruang tamu. Kata Hasnah, dia mula jatuh hati dengan aku sejak kali pertama dia melihat gambarku itu...

Ketika sedang bermain, Raslan sengaja buat aku jatuh. Kemudian dia bercekak pinggang di hadapanku. Aku tak mahu cari gaduh dengannya. Aku tahu dia kawan baik Tamrin. Jadi untuk hormati Tamrin, aku langsung tidak buat apa-apa. Lagi pun dia budak lembut. Dia bukan lawan aku.

Dah lah tu! Getus Tamrin sambil menolak Raslan ke tepi. Tamrin menjeling ke arahku. Aku tahu maksudnya. Aku terus keluar dari padang futsal. Aku duduk di atas bangku. Aku lap peluhku yang membasahi wajahku. Aku lihat ketika sedang bermain, sesekali Tamrin aku membisikkan sesuatu kepada Raslan. Kemudian Raslan aku menoleh ke arahku.

Tamrin mengambil keputusan untuk berhenti bermain. Dia keluar dari padang futsal lalu dia duduk di sebelahku.

Jom lah main, kata Tamrin sambil meneguk air botol air berwarna biru yang telah dibawanya dari rumah.

Tak nak lah.

Apa, kau merajuk

Tak lah sampai merajuk.

Dia minta maaf.

Siapa

Raslan.

Kenapa dia tak minta maaf kepada aku sahaja.

Kenapa kau pula jadi barua dia

Bagi dia cool down dulu... Dia masih marah lagi dengan kau. Ye lah, dengan apa yang kau dah buat dengan Hasnah. Dia tak suka. Kau kan tahu dia dengan Hasnah tu sisters!

Yarabbi! Bukan benda ni cerita lama ke

Tamrin tidak menjawab soalanku tadi. Dia diam sahaja. Tadi aku lihat keceriaan terlukis di wajahnya ketika dia sedang bermain futsal. Dalam sekejap masa sahaja wajahnya berubah serius. Sejahat-jahat aku, aku memang tak suka susahkan kawan aku sendiri. Tamrin adalah di antara orang yang paling rapat denganku. Dia kawan baik aku. Dia banyak membantu aku selama ini.

Amat... Berapa banyak kau pinjam daripada Hasnah Tanya Tamrin tanpa menoleh ke arahku.

Eh, apahal pula ni

Dia ada beritahu aku, kau ada pinjam duit dia semester lepas.

Apa kau dah jadi along ke

Tamrin mendengus. Dia mahu mengorak langkah untuk masuk kembali ke dalam padang futsal.

Seribu enam ratus ringgit, kataku akhirnya. Dia berhenti di hadapanku.

Apa

Kau dengar apa yang aku cakap tadi... Seribu enam ratus ringgit. Mungkin lebih. Entahlah. Aku tak tahu pula si

Hasnah tu berkira sangat!

Kau buat apa dengan duit tu

Bayar duit sewa bilik yang kau minta lah. Beli buku.

Belanja makan...

Kenapa kau tak minta aku tolong kau sahaja Memang aku nak minta tolong kau... Tapi si Hasnah awal-awal lagi dapat tahu aku tak ada duit. Dia kata dia ikhlas nak tolong aku.

Memang betul tanpa segan silu aku terima duit pemberian Hasnah. Masa tu Hasnah beritahu aku dia memang nak bantu aku. Hasnah banyak duit. Dia tidak pernah perlu bimbang tentang hal yang bersangkut-paut dengan duit. Apa sahaja yang dimahukannya pasti akan diberikan kepadanya. Dia duduk di sebuah banglo besar di Kelana Jaya. Dia pernah bawa aku berjumpa dengan orang tuanya di sana. Aku rasa orang tuanya suka denganku. Macam-macam yang mereka tanya tentang diriku dan tentang latar belakang keluargaku. Macammacam yang aku kelentong. Macam-macam yang aku bohong. Kadangkala aku rasa aku banyak berbohong sehinggakan aku sendiri percaya kepada pembohongan aku. Apa, dia ungkit balik ke fasal duit ni kat kau Tanyaku.

Tak lah sampai begitu sekali. Tapi dia ada cakap fasal benda ni kat Raslan.

Dah tu apa Raslan kata Tanyaku. Tamrin berpaling ke arah lain. Serba salah. APA YANG DIA KATA

Dia kata kau kaki kikis.

BUTOHLAH! Aku ambil beg aku. Aku ambil helmet aku. Aku nak balik.

Wei, sabarlah! Tamrin memegang bahuku.

Kalau kau nak ikut aku balik, kau ikut aku balik.

Kalau tak kau balik sendiri!

Amat... Sampai bila kau nak lari

Kata-kata Tamrin terngiang-ngiang di dalam kepalaku. Aku terus berjalan keluar dari pusat futsal itu lalu bergegas turun ke tingkat bawah. Aku cari kedai jual majalah. Aku beli sekotak rokok kretek. Aku dah lama tak hisap rokok. Aku dah janji kepada mak aku tak akan hisap rokok lagi. Tapi aku dah tension sangat masa tu. Aku pergi berjalan keluar lalu duduk di Starbucks tanpa memesan apa-apa. Aku hidupkan puntung rokok aku lalu aku hisap rokok aku untuk hilangkan tension. Aku keluarkan telefon bimbit aku. Aku call mak aku. Aku buat miss call. Tak sampai beberapa saat kemudian mak menelefonku.

- Assalamualaikum mak.

- Waalaikum salam. Amat di mana ni

- Summit... Subang Jaya.

- Buat apa di situ Tengok wayang

- Tak, tadi orang main futsal dengan kawan-kawan.

- Dengan Tamrin sekali

- Ya. Dengan Tamrin... Mak di mana

- Di rumah.

- Hani dan Nani sihat

- Adik-adik kau sihat... Mereka selalu tanyakan mak tentang kau. Mereka selalu tanya bila lagi kau akan datang untuk lawat mereka di sini.

- Alah, mak dengan adik-adik datang lawat orang ke KL kan lagi bagus

- Kalau ada rezeki mak akan ke KL.

Ketika dia cakap macam tu hati aku dah mula sebak. Aku rasa macam nak nangis. Aku rindukan mak. Aku rindukan Hani dan Nani. Tapi aku tahu mak tak suka ke KL. Kalau boleh dia tak mahu ke sini.

- Lama Amat tak telefon mak - Orang tahu.

- Amat dah terima duit yang mak bank-in minggu lepas

- Dah. Tapi kan orang dah cakap mak tak perlu hantar duit.

- Mak ada duit lebih... Amat tak perlu risau tentang itu semua.

Kalau mak kata dia ada duit lebih ini bermakna mak dapatkumpulkan sedikit wang hasil dari kerja sampingan yang dilakukannya. Selain dari menolong datuk di gerai nasi ayamnya, mak ambil tempahan menjahit.

- Sepupu kau si Saiful akan bertunang bulan depan.

- Orang tahu... Dia ada emel orang hari tu.

- Dia ada beritahu kepada mak... Kalau boleh dia mahu kau ke sini ke majlis pertunangannya.

- Kalau orang free, orang pergi. Tapi rasa-rasanya tak free kot.

- Pentingkan pelajaran kau tu dulu. - Tahu, mak...

Aku menghentikan perbualan aku dengan mak selang seminit kemudian. Kemudian aku duduk termenung lama-lama. Aku fikirkan tentang mak dan kedua adik-adikku. Dua tiga kali aku mengeluh.

Emmet, aku minta maaf, ujar Raslan kepadaku sambil menjeling ke arah Tamrin. Aku tahu dia lakukan ini semua sebab dia kena paksa dengan Tamrin. Aku hanya mengangguk sambil menyambut salamnya. Aku tak ada mood nak marah-marah. Setelah mendengar suara mak, aku tak jadi nak marahkan sesiapa, lebih-lebih lagi Raslan.

Tamrin duduk di hadapanku. Raslan bertanya kepadanya dan kepadaku apa yang ingin kami minum. Aku menggelengkan kepalaku. Tamrin mengeluarkan dompetnya lalu mengeluarkan wang sebanyak RM50 lantas menyuruh Raslan memesan minuman Capuccino untuk dirinya dan Ice Blended Mocha untuk aku. Dia tahu itu minuman kegemaranku.

Aku dah agak mesti kau melepak di sini, katanya.

Kau ni kan psikik, sambutku memerli.

Tamrin bukan psikik, tapi dia memang kenal siapa aku. Dia tahu isi hati aku. Aku rasa, hanya dia dan abang Rastam sahaja yang kenal siapa aku sebenarnya. Aku tak pernah rahsiakan apa-apa tentang diri aku daripada mereka. Tamrin juga tidak pernah rahsiakan apa-apa tentang dirinya daripada aku. Aku kenal tentang dirinya dari A ke Z. Keluarganya juga aku kenal. Cuti semester yang baru lepas aku banyak habiskan masa aku dengan keluarganya di Pangkor. Keluarganya susah. Tapi aku tak kisahkan sangat tentang itu semua. Mereka buat aku macam anak mereka sendiri.

Kau hisap rokok Tanya Tamrin apabila matanya singgah ke kotak rokok yang aku letak di atas meja.

Jadi kenapa

Tak ada apa-apa. Itu pilihan kau.

Kan lebih baik kalau kau marahkan aku ke. Buat muka masam ke...

Kau tak suka dengar orang membebel... Ingat

Kau lelaki, lainlah!

Tamrin tersenyum. Kemudian dia termenung memandang ke tempat lain. Ada sesuatu yang terlintas di dalam kepalanya yang mengganggu fikirannya pada masa itu.

Kau tengah fikir fasal apa Tanyaku pendek.

Semalam Hasnah beritahu kepada aku dia masih sayangkan kau. Dia masih tak beritahu kepada keluarganya kau dah berpisah dengannya. Dia kata banyak kali dia cuba telefon kau, tapi kau tak pernah jawab.

Aku tahu.

Apa yang kau tahu

Aku tahu dia masih sayangkan aku.

Kau pula macam mana

Aku menaikkan kedua belah bahuku. Dia tak perlu tahu bahawa aku rindukan Hasnah. Dia tidak perlu tahu bahawa memang aku sayangkan Hasnah. Biar dia ingat hati aku ini diperbuat daripada batu. Biar dia ingat aku tak ada perasaan.

Dia tahu tentang aku dan Mel Tanyaku ingin tahu.

Tak. Tapi lambat -laun dia mesti tahu.

Okay...

Kau nak aku beritahu kepadanya tentang kau dan Mel ke

Tak payah! Buat susah-susah jer!

Jadi bagaimana dengan hubungan kau dengan Mel

Aku suka dengannya. Dia lain dari yang lain.

Ye lah, dia bisu...

Bukan fasal itu! Dia lain daripada awek-awek yang lain. Bila aku keluar dengan dia, aku boleh beritahu kepadanya siapa aku ini sebenarnya. Aku tak payah berbohong. Aku tak perlu reka cerita.

Tapi dia tak tahu apa yang kau katakan...

Ya, mungkin sebab itu. Semalam aku ceritakan dia fasal Nani adik aku tu dan bagaimana dia suka main sorangsorang dengan anak patungnya dari pagi sampai ke petang. Aku beritahu kepadanya aku suka tengok Nani bermain dengan anak patungnya. Aku ceritakan semua ini kepadanya. Bila aku bercerita, dia hanya pandang ke muka aku, macam dia faham.

Dah tu, kau pula dah pandai guna bahasa isyarat

Sikit-sikit jer.

Jadi macam mana kau berhubungan dengannya. Dengan menulis apa yang ingin aku cakapkan dalam buku nota yang aku belikan untuknya. Dia suka SMS aku. Bila di rumah, aku selalu chat dengan dia.

Kau sayangkan Mel

Aku tidak dapat menjawab soalannya itu. Raslan datang dengan minuman yang dipesan Tamrin tadi. Perbualan kami tentang Melati terus terhenti di situ sahaja, lalu terus dikuasai oleh Raslan yang tidak sudah-sudah memberitahu kami bahawa dia ternampak Ziana Zain penyanyi idolanya berjalan melintasinya ketika dia memesan minuman tadi...