Lukisan Asmara 2 - 4
BAB 3

Kini, setiap hari merupakan hari yang ceria dan indah buat Alyssa. Tiada lagi keresahan dan kemurungan seperti dahulu. Kehadiran seseorang yang bergelar suami di sisinya, benar-benar membuatkan dirinya begitu dihargai dan dilindungi sentiasa. Ke mana sahaja Alyssa pergi, dirasakannya bebayang Tuan Fahreen sentiasa mengekorinya. Namun, Alyssa tetap gembira kerana Tuan Fahreen sentiasa ada di sisinya, walaupun sekadar bayang-bayang atau dalam lamunannya.

Hari ini, Alyssa telah berjanji temu untuk makan tengah hari bersama Roziana, kakak angkat yang sudah lama tidak ditemuinya. Semenjak bergelar isteri rasmi Tuan Fahreen, jadual hariannya agak padat. Siang, dia sibuk dengan tugasnya di pejabat Abang Bob. Malam pula, dia perlu menghadiri beberapa majlis rasmi, menemani Tuan Fahreen. Jika tiada sebarang upacara majlis, Alyssa lebih senang melekat di rumah sahaja, menemani suaminya itu. Paling tidak pun, Alyssa akan melukis sambil diteman setia oleh Tuan Fahreen.

Kak Rozi, kalau tidak ada apa-apa aral melintang, mungkin hujung minggu ni Lyssa akan berangkat ke Belanda bersama Tuan Fahreen, beritahu Alyssa semasa mereka sedang enak menikmati nasi campur di Restoran D Bambu, berhampiran dengan pejabat Roziana.

Really Honeymoonlah tu, usik Roziana.

Alyssa hanya mampu tersengih, mengiyakan kata-kata Roziana itu.

Wow, fantastic! Lyssa tahu tak, Belanda adalah antara negara Eropah yang terindah di dunia. Wah, bolehlah Lyssa dapatkan lukisan pelukis-pelukis terkenal yang berasal dari sana. Akak yakin, Lyssa mesti gembira di sana nanti.

Benar bagai dikata. Tiada sesaat pun yang dilaluinya sekarang, menyentap perasaannya. Semuanya bahagia dan gembira belaka. Tiada lagi duka malam seperti sebelumnya. Dan Roziana, adalah antara saksi yang pernah menyaksikan penderitaan, kesengsaraan dan kesedihannya sebelum ini. Mujurlah wanita itu tidak pernah jemu dari mendengar cerita duka laranya. Malahan, dialah pendengar paling setia selama ini.

So, hows life now Akak nampak adik akak yang sorang ni dah banyak berubah. Penampilan pun dah banyak menunjukkan kematangan. Lyssa nampak hebat sekarang, Kak Rozi suka sangat, puji Roziana pula.

Mana ada berubah, kak. Biasa-biasa saja ni. Cuma sekarang ni, Lyssa sibuk sangatlah kak. Macam-macam function kena attend.

Biasalah tu, isteri orang ternama, memang selalu kena temankan suami ke majlis-majlis formal.

Merungut tak perlu, asalkan hati bahagia selalu. Bila hati sudah melekat antara satu sama lain, sukarlah anasir luar mahu masuk untuk cucuk jarum. Roziana tahu, Tuan Fahreen terlalu gah dan begitu digilai oleh wanita-wanita di luar sana. Apa yang Roziana harap, supaya Alyssa bersabar dengan setiap godaan dan cubaan baru yang bakal datang dalam hidupnya nanti.

Hari tu, Kak Rozi nampak gambar Lyssa dan Tuan Fahreen dalam majalah Young Entrepreneur Event. Lyssa tampak hebat sekali. Siapa sangka, Lyssa yang dulu naif dan biasa-biasa saja, boleh menjadi segah ini. Well, tuah dan rezeki manusia, kita sendiri pun tak tahu, kan Itu semua urusan Allah, ujar Roziana.

Roziana tumpang bahagia dengan kehidupan yang dilalui Alyssa sekarang. Malahan sejak dari mula pun, Roziana sudah dapat mengagak bahawa kehidupan Alyssa pasti akan berubah ke arah yang lebih positif, apabila dia berpindah ke rumah Tuan Fahreen. Nampaknya, kasih sayang dan perhatian Tuan Fahreen telah berjaya melembutkan hati batu Alyssa.

Lyssa beruntung tau, punya suami seperti Tuan Fahreen. Dahlah kaya, handsome, baik hati pula. Kalau Lyssa nak tahu, spesis macam Tuan Fahreen tu, dah hampir pupus dari muka bumi ni tau, sakat Roziana. Namun dalam diam mahu menyedarkan Alyssa akan keberuntungannya bersuamikan Tuan Fahreen.

Tetapi, tidak dinafikan bahawa ramai lagi lelaki yang baik di luar sana, Kak Rozi. Contohnya, Abang Sabtu. Eh Kak Rozi, Abang Sabtu apa khabar

Kali ini, giliran Alyssa pula menyakat kakak angkatnya itu. Tersipu-sipu Roziana apabila nama Sabtu menjengah gegendang telinganya. Lelaki yang suatu masa dahulu tidak disukainya, kini telah menjadi teman tapi mesra Roziana. Keakraban mereka di pejabat kini seperti belangkas. Ke mana sahaja bersama, baik makan, keluar, bekerja ataupun berlibur. Hubungan mereka menjadi rapat semenjak Alyssa berpindah keluar dari rumah Roziana. Roziana merasakan hidupnya kesepian sekali dan perlukan teman. Kehadiran Sabtu, menghangatkan hari-harinya semula.

Kenapa bila setiap kali Lyssa sebut saja nama Abang Sabtu, muka Kak Rozi jadi merah padam. Malukah

Mana ada malu. Lyssa ni, pandai-pandai saja buat spekulasi untuk usik Kak Rozi. Hubungan akak dengan Sabtu, okay. Kami kawan biasa saja, jawab Roziana, seperti tidak berminat nak mengulas lanjut tentang rasa hatinya itu.

Takkan tak ada rasa apa-apa. Kak Rozi jangan nak sorok dari Lyssa. Dari air muka akak, Lyssa dapat baca, apa sebenarnya perasaan akak pada dia.

Kak Rozi juga suka pada Abang Sabtu, kan tanya Alyssa yang masih lagi cuba menduga hati Roziana.

Kali ini, renungan mata Alyssa begitu tajam seolah menikam dada Roziana untuk mengakuinya. Mahu atau tidak, desakan itu perlu dijawab dengan bijak supaya Alyssa tidak terus-terusan meneka dalam kesamaran.

Tunggu sajalah, Lyssa. Kalau ada apa-apa berita gembira nanti, Lyssalah yang akan jadi orang pertama akak beritahu. Kak Rozi malas nak mengulas tentang hubungan yang masih samar-samar ini. Dulu, dia suka, Kak Rozi tak suka. Sekarang pula, bila akak dah suka, akak kurang pasti pula bagaimana perasaan dia. Jadi, biarlah hubungan kami kekal seperti sekarang.

Ternyata, Kak Rozi tidak mahu terus terjun ke lembah percintaan dengan hanya berbekalkan perasaan hatinya saja. Dia tidak mahu dituduh sebagai anak dara syok sendiri. Sebagai perempuan Melayu, dia tidak boleh melangkah adat dengan menyatakan perasaannya kepada Sabtu terlebih dahulu. Walau apa pun yang terjadi, biarlah Sabtu yang memulakannya dahulu. Barulah dia berani untuk berbicara soal hatinya pula.

Oh ya Lyssa, bagaimana keadaan Elly di Jerman sana Dia ada hubungi Lyssa tak soal Roziana yang secara tiba-tiba teringatkan Elly.

Ada. Semenjak berangkat ke sana, hanya beberapa kali saja dia telefon Lyssa. Itu pun, tak lama sangat. Kos panggilan tinggi, katanya. Tapi, keadaannya baik-baik saja. Mak dia pun dah boleh terima teknik rawatan di sana. Kak Rozi, kita sama-sama berdoa semoga Mak Cik Markonah segera sembuh, ya

Insya-Allah, Lyssa. Semenjak dia tak ada, sunyi berganda-ganda pula rasanya. Kalau tidak tu, ada saja muka dia menyibuk kat rumah akak. Paling tak pun, dia mesti call untuk mengusik-ngusik akak. Hai, rindu sangat pada dia, rintih Roziana.

Sememangnya ketiadaan Elly benar-benar dirasai oleh Roziana dan Alyssa. Keletah Elly sering membuahkan keceriaan di hati mereka. Sifat Elly yang bersahaja membuatkan mereka senang setiap kali bersamanya. Mereka berdoa semoga Elly dan ibunya segera pulang ke tanah air. Kehadiran Elly bakal menceriakan kehidupan sesiapapun yang merinduinya.

Ketika sedang enak menjamu selera, mereka berdua di sapa oleh seseorang. Seseorang yang begitu dikenali oleh Alyssa. Seseorang yang separuh gila menyintai dan menyukai suami Alyssa, Tuan Fahreen. Seseorang, yang sudah tentunya mempunyai perasaan cemburu yang tidak terhingga sekali terhadap Alyssa. Siapa lagi, kalau bukan Che Ros. Kebetulan, Che Ros bersama seorang rakannya sedang mencari tempat untuk menjamu selera. Apabila terpandangkan Alyssa, Che Ros mulai menjadi seperti bom jangka yang sedang menunggu untuk meledak.

Oh, patutlah mata kanan ni berkedip deras.

Rupa-rupanya, hendak terserempak dengan Puan Alyssa kita dekat sini.

Alyssa yang tersentak melihat kemunculan Che Ros di situ, mulai berbicara dengan ramahnya, Eh Che Ros, kebetulan pula. Che Ros sedang buat apa di sini Oh ya, perkenalkan. Kak Rozi, ini Che Ros, pembantu peribadi kepada Abang Fahreen. Che Ros, this is Kak Rozi, my lovely sister.

Di hatinya, Alyssa tidak berniat langsung untuk berlaku sombong terutamanya kepada rakan-rakan yang pernah menjadi teman sepejabatnya. Walaupun mereka sudah tidak bekerja di tempat yang sama, namun memori bersama tenaga kerja Tajul Holdings, masih kuat terpahat di ingatan Alyssa. Dia tidak mahu statusnya sebagai isteri kepada bos besar Tajul Holdings, menjadi sempadan pergaulannya dengan mereka. Kerana itulah, Alyssa cuba berbaik-baik dan bersifat ramah, walaupun dia tahu ada juga yang cemburu buta terhadap pernikahannya dengan Tuan Fahreen.

Hai, status dah tinggi. Sudah bergelar isteri kepada pengerusi dan pemegang saham terbesar Tajul Holdings. Tetapi, kenapa masih makan dekat tempat awam sebegini Tak ada class. Tak malukah makan dengan orang-orang kebanyakan di sini Tak cairkah bedak muka yang berharga ribuan ringgit tu, bila makan di tempat panas begini sindir Che Ros.

Apa yang nak dimalukan, Che Ros Saya bukannya berasal dari golongan high class. Saya cuma insan biasa. Orang kebanyakan yang dipertemukan jodoh dengan seseorang yang amat istimewa. Mengapa perlu saya ubah cara kehidupan saya, semata-mata kerana bersuamikan Tuan Fahreen jawab Alyssa, tenang.

Roziana menganggukkan kepalanya, bersetuju dengan jawapan yang diberikan oleh Alyssa. Dia juga berpendapat yang manusia tidak seharusnya berubah semata-mata kerana berjaya mendapatkan darjat yang lebih baik dari dahulu. Seharusnya mereka menggunakan kesempatan atas kesempurnaan yang diberikan Allah, sebagai satu usaha untuk terus-menerus melakukan kebaikan.

Namun, Che Ros menjadi semakin sakit hati dengan jawapan selamba tetapi ikhlas dari Alyssa itu. Terasa tercabar seketika egoannya, bila tersindir secara halus oleh wanita yang pernah dianggapnya terlalu naif sebelum ini. Dia beranggapan Alyssa seperti mahu menghempaskan satu batu besar di kepalanya sebagai balasan.

Hei Alyssa! Engkau jangan nak berpura-pura baiklah. Bukannya aku tak tahu, tujuan engkau kahwin dengan Tuan Fahreen. Bijak engkau mempergunakan kesempatan yang ada untuk meraih simpati dari Tuan Fahreen, ya Mula-mula, aku pun hairan juga. Bagaimana seorang kerani cabuk macam engkau, boleh naik ke peringkat eksekutif, walaupun hanya berbekalkan sijil SPM sahaja Bukan senang nak dapat peluang sebegitu di syarikat yang segah Tajul Holdings.

Che Ros terdiam seketika, memikir kesesuaian untuk menyambung ayatnya. Seketika kemudian, dia senyum sinis memandang rendah pada Alyssa.

Barulah sekarang aku faham, tentang apa yang terjadi sebelum-sebelum ini. Rupa-rupanya, ada udang di sebalik batu.

Itulah yang dinamakan rezeki, Che Ros. Kita tak tahu bila Allah nak limpahkan rezeki kepada kita. Apa yang saya tahu, saya cuba lakukan kerja saya dengan sebaik mungkin. Yang penting, rezeki saya itu halal di sisi Allah, jawab Alyssa, tanpa sedikitpun rasa sangsi.

Rezeki halal konon! Jangan nak berdalihlah, Alyssa. Bukannya aku tak tahu, engkau mesti dah guna-gunakan Tuan Fahreen tu, sampai tersangkut pada engkau dan akhirnya menikah dengan engkau. Kalau tidak, jangan haraplah Tuan Fahreen nak pandang engkau. Sebelah matapun, dia tak ingin, tengking Che Ros pula.

Orang ramai yang berada berdekatan dengan mereka mulai menoleh ke arah mereka, apabila mendengar suara marah Che Ros yang menengking-nengking itu. Alyssa dan Roziana pula, merenung Che Ros dengan perasaan yang bercampur-baur. Alyssa berasa agak terhina dengan kutukan Che Ros, disamping malu dengan orang yang berada di sekelilingnya.

Rupa-rupanya, perasaan malu sedemikian bukan sahaja dirasakan oleh Alyssa dan Roziana. Malahan Wani, teman Che Ros yang bersama menemaninya hari itu, turut merasakan tempiasnya sambil mengerling orang di sekeliling mereka. Wani sendiri tidak menyangka yang Che Ros boleh berkelakuan dan berkata sedemikian rupa dalam keadaan mengaibkan Alyssa, di tempat yang terbuka itu.

Che Ros, kenapa bising-bising kat sini Tak malukah Orang ramai tengah perhatikan kita tu tegur Wani.

Aku peduli apa dengan perempuan yang tak tahu malu macam ni. Jenis tak ada maruah. Hanya tahu ambil kesempatan terhadap orang yang kaya macam Tuan Fahreen. Ini tak lain tak bukan, sebab nak hidup senanglah tu, bentak Che Ros lagi, semakin kuat.

Kali ini, Roziana pula nampaknya semakin hangat hati. Hilang kesabarannya bila melihat adik kesayangannya dicaci maki di situ. Roziana tidak sanggup melihat maruah Alyssa dipijak oleh perempuan bermulut celupar seperti Che Ros itu. Sebelum Che Ros melalut lebih jauh lagi, rasanya lebih baik dia segera bersuara.

Bercakap tu biar beralas sikit, wahai Che Ros. Jangan nak main tuduh sembarangan saja, kalau tak tahu cerita yang sebenarnya. Adik saya ni bukan dari jenis perempuan yang Che Ros maksudkan itu.

Alyssa mengelus halus tangan Roziana, minta supaya dia bertenang. Namun, Roziana seperti tidak memperdulikannya. Puas sudah dia bersabar. Mulutnya sudah tidak mampu untuk dikunci dari menghamburkan kata-kata.

Sekejap lagi, orang makan nasi dengan berlauk. Tetapi, Che Ros pula kena makan bubur, sebab gigi dah bersepai atas jalan kena penampar jepun. Saya tak boleh terima, adik saya dihina di khalayak ramai, sambung Roziana dengan muka yang mulai merah.

Hoi perempuan tua, jangan nak menyibuklah. Aku bukan cakap fasal engkau. Siapa engkau yang berani sangat nak tampar aku Mak bapak aku pun tak pernah tampar aku, tahu tak tengking Che Ros lagi, kali ini lebih kuat.

Memandangkan Che Ros seperti sudah hampir naik hantu, Roziana segera berdiri untuk menguatkan pendiriannya dan meneguhkan perbuatannya.

Sebab mak bapak engkau tak pernah tampar engkaulah, engkau jadi kurang ajar macam ni. Sini tempat public, bukannya rumah mak bapak engkau!

Alyssa berasa tidak selesa lagi, apabila semua mata sudah merenung ke arah mereka. Pertengkaran itu, jika tidak dihentikan boleh tersebar luas. Alyssa bimbang, akan ada publisiti murahan yang bakal diraih oleh suaminya kelak akibat dari pertengkaran itu.

Sudahlah tu Kak Rozi, Che Ros. Jangan nak bertekak di sini, malu orang tengok. Jagalah sikit adab sopan kita sebagai wanita.

Betul cakap Puan Alyssa tu. Che Ros, sudahlah tu. Mari kita pergi dari sini. Kita yang salah sebab kita yang mengganggu mereka di sini.

Tolonglah, aku sebagai kawan nak merayu engkau. Marilah kita beredar dari sini, sampuk Wani yang juga sudah mulai rimas dengan pandangan orang ramai.

Okey, okey. Tapi ingat Alyssa. Engkau jangan ingat engkau sudah menang. Suatu hari nanti, engkau akan menyesal kerana jadi isteri Tuan Fahreen, ugut Che Ros sebelum menuruti jejak Wani yang sudah menarik tangannya untuk pergi dari situ.

Kegamatan yang berlaku sebentar tadi, kembali reda dengan berlalunya Che Ros dan temannya, Wani, dari situ. Alyssa tidak menyangka, begitu marah sekali Che Ros kepadanya sehingga sanggup memarahinya di khalayak ramai, gara-gara kerana dia berkahwin dengan Tuan Fahreen.

Perkara ni tak boleh didiamkan Lyssa. Lyssa kena beritahu pada suami Lyssa. Berani sungguh perempuan tu hina Lyssa di khalayak ramai. Tebal sepuluh inci rasanya muka ni. Eh, dia tu berasal dari planet mana ha Lain macam saja perangainya

Roziana mulai bersuara semula kepada Alyssa apabila melihat mata-mata yang memandang mereka tadi, sudah mula mengalihkan pandangan dari mereka.

Biarlah, kak. Lyssa malaslah nak panjang-panjangkan perkara ni. Pedulikanlah dengan pandangan orang ramai. Mereka yang ada kat sini semua, bukannya kenal kita sangat.

Tetapi, orang macam Che Ros tu tak akan berhenti sampai di sini sahaja. Mungkin hari ini, dia serang Lyssa dengan kata-kata pedas. Manalah tahu, dia akan melakukan yang lebih lagi pada masa hadapan.

Kesangsian Roziana itu bersebab. Dia percaya, perkara yang terjadi hari ini, pasti akan berulang semula. Roziana tidak sanggup melihat Alyssa dihina lagi oleh perempuan yang dianggapnya murahan, seperti Che Ros.

Adalah sebabnya dia jadi macam tu. Kita tak tahu keadaannya. Kalau tak kerana perasaan hatinya yang mendalam terhadap Tuan Fahreen, tentunya perangai dia tak macam tu. Kalau Kak Rozi nak tahu, dia kecewa sangat bila dapat tahu yang Lyssa dah berkahwin dengan Tuan Fahreen, ujar Alyssa, masih cuba mempertahankan tindakan Che Ros.

Kali ini, jelas sekali kematangan Alyssa terserlah seiring dengan kedewasaan dan statusnya. Dia cuba meletakkan dirinya dalam posisi Che Ros untuk memahami kekecewaan yang dirasakan oleh wanita itu. Apakan daya, kumbang idaman Che Ros sudah terjerat dengan kemanisan Alyssa.

Kecewa macam mana sekalipun, dia tak berhak untuk hina Lyssa, terutamanya di khalayak ramai macam ni. Kalau ikutkan, Lyssa boleh failkan saman malu pada dia, tahu tak

Tak perlulah nak panjang-panjangkan perkara ni sampai peringkat saman-menyaman, Kak Rozi. Perkara kecil saja tu. Tak payahlah kita nak tambahkan kes-kes yang dibicarakan di mahkamah yang telah sedia banyak tu. Lagi pun, Lyssa sudah sedia untuk mengharungi apa sahaja dugaan yang datang, semenjak tinggal dengan Tuan Fahreen.

Roziana diam. Alyssa terus mengurut tangan dan bahunya, bagi mententeram dan meredakan kemarahannya. Entah mengapa, untuk ketika itu, watak mereka seolah-olah bertukar tempat. Alyssa yang selama ini sering bertindak mengikut kepanasan hatinya, mulai menjadi sejuk bila kematangan mulai membentuk keperibadiannya. Sementara Roziana, yang luhur dan lembut, boleh mendadak datang bahang kepanasannya. Semuanya semata-mata kerana kasih sayang terhadap Ayssa.

Kak Rozi, kita lupakan sahaja segala yang berlaku hari ini. Orang macam Che Ros tu, tak perlu dilayan. Kalau dilayan, kita boleh jadi gila dibuatnya. Lyssa dah faham sangat dengan perangainya sebab kami pernah kerja bersama dalam satu pejabat, pujuk Alyssa lagi.

Sedikit demi sedikit, air muka Roziana yang kelihatan berang dan agak kelat tadi, berumah menjadi manis semula. Namun, setengah hari itu, mereka habiskan dengan bebelan Roziana yang masih tidak berpuas hati dengan tindakan Che Ros tadi. Tindakan kebudak-budakan oleh Che Ros itu melambangkan etika songsang yang menjajahi sikap seorang pembantu kepada seorang pemilik salah sebuah syarikat gergasi di Malaysia. Sikap yang ditunjukkan oleh Che Ros itu langsung tidak professional dan menjatuhkan maruahnya sendiri sebagai seorang wanita.

Hari itu pula, Che Ros telah mengambil cuti separuh hari. Dia tidak berminat untuk menyambung kerjanya. Perasaan marahnya terhadap Alyssa masih meluap-luap dan membakar jiwanya. Berita ledakan perkahwinan rahsia Tuan Fahreen- Alyssa, masih menggegar jiwanya, walaupun sudah beberapa hari berlalu. Bagi Che Ros, Alyssa tidak layak untuk berada di sisi Tuan Fahreen. Dan tempat itu seharusnya menjadi miliknya yang abadi. Bukan milik Nurul Alyssa.

Sudahlah tu. Jangan diturutkan api cemburu tu, Che Ros. Menyesakkan jiwa sahaja. Boleh jadi gila dibuatnya, nasihat Wani.

Wani gusar apabila melihat Che Ros masih gelisah dan marah walaupun sudah berada di rumah mereka. Malah dia sehingga terpaksa mengambil cuti separuh hari, demi menemani Che Ros. Dia tidak mahu Che Ros bertindak songsang, akibat dari kekecewaan yang dirasakannya.

Aku memang cemburukan dia. Dia dah rampas lelaki yang paling aku cintai dalam hidup aku. Aku tak boleh terima kenyataan yang Alyssa tu kahwin dengan Tuan Fahreen. Dia langsung tak layak untuk jadi isteri Tuan Fahreen. Apalah malangnya nasib Tuan Fahreen tu, sebab dapat isteri macam dia. Alyssa sebenarnya, bukan jodoh dia, rengus Che Ros.

Engkau bercakap macam orang tak ada agama pula. Jangan lupa Che Ros, jodoh dan pertemuan tu di tangan Tuhan. Setinggi mana sekali pun cinta kau pada dia, kalau dah tak ada jodoh, tetap tak akan bersama. Tak ada maknanya, engkau marah-marah macam ni. Mereka tu dah sah suami isteri. Satu kenyataan yang tiada siapa pun mampu untuk nafikannya, nasihat Wani.

Sebagai teman yang sudah lama serumah dengan Che Ros, Wani sendiri tidak faham dengan sikap temannya itu. Dari mula bekerja sampailah sekarang, Che Ros terlalu gilakan Tuan Fahreen. Dia sanggup menolak beberapa lelaki yang datang menagih cintanya, semata-mata kerana Tuan Fahreen. Pada pandangan Che Ros, Tuan Fahreen terlalu istimewa kerana dia kacak, baik, jujur dan lembut tutur bahasanya. Namun, Wani tidak nampak itu semua kerana dia tidak bekerja di Tajul Holdings. Apa yang dia nampak, hanyalah satu. Kekayaan Tuan Fahreenlah yang sebenarnya memikat hati Che Ros untuk mengangankannya setiap masa.

Lagi pun, sudah tertulis sejak azali lagi, yang suratan jodoh Tuan Fahreen adalah dengan Alyssa. Bukannya dengan engkau, Che Ros.

Berang dengan kenyataan Wani, Che Ros membentak, Eh Wani! Engkau ni kawan siapa sebenarnya, hah Kawan akukah atau kawan dia Engkau bercakap seperti menyebelahi Si Alyssa tu saja.

Aku kawan engkaulah. Sebab itulah, aku nak nasihatkan engkau, jangan buat perangai gila macam ni lagi. Engkau hanya akan menjatuhkan maruah engkau sendiri. Apa-apapun, orang tetap akan pandang buruk pada engkau, bukannya pada Alyssa. Orang akan menuduh engkau cuba merampas suami Alyssa. Engkau tak malukah, kalau nanti orang gelar engkau sebagai perempuan perampas, atau perempuan murahan, ataupun perempuan tak tahu malu

Che Ros terdiam, seolah-olah memberikan laluan kepada Wani untuk menghamburkan pendapatnya. Padahal, ingatannya banyak menyimpang kepada yang lain-lain.

Engkau fikirlah sendiri, Che Ros. Sudah lebih lapan tahun, engkau bekerja dengan Tuan Fahreen. Kalau Tuan Fahreen tu memang syokkan engkau, dah lama dia ambil engkau jadi suri hidup dia. Bukankah dia kenal engkau terlebih dahulu dari Alyssa Cinta bukan datang dari jarak masa, tetapi datang dari mata turun ke hati. Hati Tuan Fahreen hanya berdetik apabila melihat Alyssa, bukannya engkau. Jadi, mulai sekarang, engkau kena belajar untuk lupakan dia. Jangan seksa perasaan engkau sampai macam ni sekali. Engkau bukan sahaja akan sakitkan hati engkau sendiri, malahan engkau akan seksa hidup orang lain juga. Apa yang engkau dapat, sekalipun engkau berjaya memisahkan mereka Sebab tak semestinya, Tuan Fahreen akan gilakan engkau, walaupun Alyssa sudah tiada lagi dalam hidupnya, tambah Wani lagi, panjang lebar.

Bukannya Che Ros tidak faham, tetapi dia sengaja tidak mahu faham. Tidak kira apa pun yang terjadi, tiada apa pun yang dapat mengubah perasaan hatinya yang sudah lama tertanam untuk Tuan Fahreen. Sakit hatinya, apabila melihat Alyssa begitu mesra dan gembira sekali di samping Tuan Fahreen. Dia tidak boleh berhadapan dengan situasi sebegitu lagi. Selepas ini, pastinya kelibat Alyssa akan sentiasa menghimpit Tuan Fahreen ke mana sahaja dia pergi. Apa yang pasti, keadaan yang terjadi tadi, tidak akan terhenti di situ sahaja. Tentu akan ada babak drama yang lain pula, bakal menyusul selepas ini.

Malam itu, Alyssa tidak dapat melelapkan mata kerana fikirannya masih teringatkan peristiwa dia diserang Che Ros dengan kata-kata yang menyakitkan, siang tadi. Sebagai manusia, Alyssa agak terguris dengan keceluparan bahasa Che Ros itu, walaupun dia tahu itu hanyalah kata-kata nista seorang wanita yang cemburu buta. Alyssa terluka apabila Che Ros menuduh dia mendapat Tuan Fahreen dengan menggunakan jalan syirik iaitu guna-guna. Tergamak Che Ros membuat tuduhan tersebut terhadap saudara sesama Islam sepertinya. Padahal, Alyssa adalah salah seorang manusia yang tidak percayakan benda-benda tahyul ini sejak dari dulu lagi.

Tiada siapapun yang tahu tentang kejadian itu selain dari Roziana. Alyssa keberatan untuk mengadu kepada suaminya, seperti mana yang disarankan oleh kakaknya itu. Dia tidak mahu hubungan antara Tuan Fahreen dan pembantu peribadinya itu menjadi keruh. Kalau Tuan Fahreen tahu, pastinya dia akan mengambil tindakan terhadap Che Ros. Kalau boleh, Alyssa mahu mengelakkan semua itu dari terjadi.

Angin masih sepoi-sepoi bahasa di luar sana. Namun, hembusannya yang masuk melalui jendela kamar yang masih terbuka luas itu, tidak mampu menyejukkan perasaan Alyssa. Alyssa masih resah, sendirian di kamar. Dia tidak menjamah makanan yang disediakan oleh Mak Chom, kerana tidak berselera. Tetapi biasalah, alasan yang diberikan kepada Mak Chom ialah, dia sudah kenyang. Alyssa tidak mahu Mak Chom mengesyaki sesuatu. Tuan Fahreen pula, telah menghubungi Alyssa awal-awal tadi untuk memaklumkan bahawa dia bakal pulang lewat malam kerana ada temujanji dengan pelanggannya dari Singapura.

Berseorangan di kamar luas milik Tuan Fahreen itu, telah memberikan Alyssa lebih ruang untuk merenungi dirinya sendiri. Alyssa sedar, bukan mudah bergelar isteri kepada Tuan Fahreen. Secara rasminya, dia bakal berdepan dengan pelbagai cabaran dan masalah. Salah satu darinya, sudah pun dilaluinya siang tadi.

Selepas ini, entah siapalah pula yang bakal datang menemuinya untuk menyampaikan perasaan kecewanya di atas perkahwinan Alyssa dan Tuan Fahreen. Namun, Alyssa sudah bersedia untuk menggalas segala tanggungjawab yang ada kelak. Cacian dan hinaan dari Che Ros tadi, hanyalah permulaan kepada satu cabaran kecil sahaja. Mungkin akan ada lagi cabaran yang lebih besar menunggunya di masa hadapan kelak. Hanya Allah sahaja yang tahu.

Lama Alyssa bersendirian. Tiada satu pun gangguan yang mendatangi kalbunya. Namun, tanpa disangka, ada bayu yang kuat sekali datang menerjah menerusi ruangan jendelanya sehingga melayangkan langsir kamar yang sepi itu. Entah dari mana datangnya, sehingga kedinginannya itu menusuk sampai ke tulang Alyssa. Lalu, Alyssa segera bangkit dari katil dan terus menuju ke muka jendela untuk menutupnya. Tetapi, sebaik sahaja dia berdiri berhampiran jendela tersebut, bayu deras tadi seolah-olah hilang tanpa bicara. Keadaan sekeliling dirasakan begitu sunyi sekali, tanpa kedengaran lagi bunyi sepoi angin yang bertiup.

Alyssa merenung ke arah langit yang gelap. Dia tersenyum apabila menyaksikan bintang-bintang berkerdipan memagari bulan yang menerangi malam. Alangkah indahnya menjadi langit, di kala siangnya memberi sinar untuk penghuni alam mencari penghidupan, manakala di waktu malamnya, menjadi latarbelakang yang pekat. Namun, masih mampu memancarkan cahaya dengan membenarkan bulan dan bintang menggunakan pepagarnya. Di bawah lelangit itu jugalah, tersenarai banyak cerita makhluk-Nya yang melukiskan warna-warna indah di dalam kehidupan alam.

Tiba-tiba, Alyssa merasakan sepasang tangan gagah memeluknya dari belakang. Pelukan hangat itu, sudah amat dikenalinya semenjak dia menerima cinta sang pemiliknya. Sememangnya, pelukan itu amat didambakan oleh seorang isteri seperti Alyssa, yang terpisah dari suaminya itu sejak dari pagi lagi.

Pelukan kasih dan rindu seorang suami. Alyssa sentiasa ingin kekal di dalam dakapan sasa suaminya itu.

Maafkan abang sayang, kerana terlalu lama membiarkan sayang sepi dengan hanya ditemani bulan dan bintang. Tetapi, sayang harus ingat yang bulan dan bintang itu ibarat kasih abang yang sentiasa menyinar untuk sayang, bisik Tuan Fahreen ke telinga Alyssa.

Abang, bulan dan bintang pun ada kalanya nakal juga. Mereka gemar menyembunyikan diri, membiarkan langit gelap tanpa berteman. Mungkinkah kasih abang begitu juga Kadang-kadang ada, kadang-kadang pula tiada. Kadang-kadang, mungkin sembunyi dalam bicara.

Tuan Fahreen memalingkan isterinya untuk bertatapan mata dengannya, lalu berkata, Bulan dan bintang hanya menyembunyikan diri, bukannya hilang terus dari langit. Ia tetap ada, tetapi awan gelap yang menyelokakan ia dari pandangan manusia kerana tahu manusia akan rindu pada sinarnya. Begitu juga dengan kasih abang, akan sentiasa ada buat sayang. Walaupun terkadangnya, sayang tidak dapat melihatnya, tetapi akan tetap merasai kehadirannya.

Alangkah indahnya hidup, bila bergelar isteri. Benarlah kata orang, ketika kasih sedang bertakhta, hidup pula meniti bahagia, bulan dan bintanglah yang menjadi cagaran sebagai anugerah kesempurnaan. Tiada yang lebih bahagia buat Alyssa sekarang selain mengharapkan kehadiran Tuan Fahreen yang sentiasa di sisinya. Begitu juga dengan Tuan Fahreen, tiada lagi yang lebih menyenangkan selain dari menatap wajah isterinya yang sederhana tetapi menawan itu. Wajah itulah yang sering muncul dalam mimpinya dan mengocak igaunya, suatu ketika dahulu.

Lyssa sentiasa rasa kasih abang. Lyssa tahu, sejak dulu lagi, abang tak pernah jemu menyintai Lyssa. Bukan sebarangan lelaki yang boleh jadi seperti abang. Lyssa bangga sangat, sebab dapat menumpang teduh kasih abang, walaupun untuk seketika.

Bukan seketika sayang, tapi untuk selama-lamanya. Biarlah sayang rasa kejujuran kasih abang sampai ke syurga nanti, ucap Tuan Fahreen sambil jari-jemarinya menyeka helaian-helaian rambut Alyssa yang membelai pipi lembutnya.

Alyssa turut mengelus halus wajah suaminya, sambil melonggarkan tali leher yang masih terbelit di leher. Namun, dalam apa jua keadaan dirinya, tetap indah dalam pandangan Alyssa.

Lyssa percayakan abang untuk selama-lamanya. Walaupun abang berdusta pada Lyssa, namun Lyssa akan tetap percayakan abang juga.

Sayang, abang tak akan berdusta bila abang kata abang kasih, cinta dan sayang pada sayang. Abang tak akan berdusta bila abang kata abang akan setia pada cinta kita untuk selama-lamanya. Dan, abang akan kotakan segala janji abang selamanya kita bersama, dengan izin Allah, janji Tuan Fahreen lagi.

Indahnya janji yang disemat, semanis mulut mengukir kata-kata. Tuan Fahreen dan Alyssa, bukan lagi seperti langit dengan bumi, tetapi umpama isi dan kuku yang tak mungkin dipisahkan lagi. Biarpun seribu ujian datang membadai dan berjuta rintangan mengocak ketenangan, tak akan mungkin meleraikan hubungan mereka. Harapan mereka cuma satu, untuk hidup bersama dunia dan akhirat.

Sayang, segala urusan sudah selesai. Lusa kita akan berangkat ke Belanda. Tak sabar rasanya nak bawa sayang ke sana, luah Tuan Fahreen.

Alyssa turut teruja mendengar perkhabaran tersebut. Impiannya akan menjadi kenyataan dalam masa beberapa hari sahaja lagi. Tuan Fahreen akan membawanya terbang menggapai gunung dan kemudiannya mendarat ke tanah yang menjadi idaman Alyssa.

Tapi, Lyssa ada satu permintaan pada abang. Boleh tak abang tunaikan

Tuan Fahreen mengerut dahinya. Apa lagi impian Alyssa yang terlepas dari perhatiannya. Rasanya, dia sudah mencatitkan segala-galanya dalam diari hatinya agar tidak terlepas satu pun. Timbul keresahan di hati seorang suami apabila si isteri memberi gambaran dalam kegagalannya memenuhi permintaan yang tercinta.

Ada apa lagi, sayang Tolong sebutkan agar abang tidak terkilan di kemudian hari, pintanya.

Dengan senyuman manis, Alyssa menjawab, Abang, janganlah bimbang sangat. Tiada satu pun impian dalam hidup Lyssa yang gagal abang laksanakan. Malahan, apa yang abang berikan sekarang, sudah lebih dari mencukupi.

Ada garis-garis kelegaan di wajah Tuan Fahreen. Kebimbangannya sudah surut. Cuma ingin tahu yang melandai di hatinya.

Boleh tak abang tinggalkan sekejap semua bodyguard abang tu Just the two of us, please. Lyssa janji, Lyssa sendiri akan jadi bodyguard abang di sana.

Serentak dengan itu, Tuan Fahren tertawa terbahak-bahak sambil memeluk isteri tercintanya itu.