KEMBARA PENIAGA JALANAN - 3
APALAH sangat yang seorang budak remaja berusia 13 tahun harapkan ketika itu. Cukuplah sekadar dapat duit belanja untuk buat modal beli jam Alien Workshop dan koleksi buku Dragon Ball, Doremon dan Juara Wira. Pada zaman itu, sekitar pertengahan tahun 90-an adalah zaman kegemilangan produk Alien Workshop. Siapa yang pakai apa juga jenis produk keluaran jenama ini sudah dikira champion.

Aku tahu kalau minta duit dengan mama, mesti tak dapat punya. Jadi, aku perlu cari alasan untuk mendapatkan wang. Aku mesti cuba sedaya upaya untuk mendapatkan wang belanja sendiri. Memandangkan aku membesar di dalam kawasan sekolah dan memang agak kerap juga segala macam acara besar dianjurkan di situ, aku nampak peluang.

Pada era 90-an ini jugalah zaman kegemilangan rancangan perbincangan agama yang terkenal mengambil tempat di hati masyarakat, itulah acara Forum Perdana Ehwal Islam. Sebuah rancangan islamik yang dipancarkan secara live terus ke kaca tv dari lokasi bersiaran. Ramai juga nama-nama besar yang ada pada hari ini lahir dari rancangan ini.

Antara yang aku masih ingat ialah Dr Ismail Kamus, Dato Seri Jamil Khir, Dato Dr Mashitah Ibrahim, Dr Ridhuan Tee Abdullah serta ramai lagi. Kau kenal, kan mereka semua ini

Kau tahu Setiap kali program ini diadakan di mana-mana tempat, masyarakat setempat yang hadir punyalah ramai. Apabila ramai pengunjung pasti ada ramai penjual. Apabila ada ramai penjual, aku dapat idea untuk belajar sambil bekerja. Aku ingin sangat hendak tahu selok belok bisnes jenis buka-tutup khemah begini. Sejak awal petang, aku perhatikan van-van pasar malam peniaga mula masuk mengambil tempat masing-masing. Mereka mula membuka khemah dan membuka meja lipat perlahan-lahan. Aku pilih-pilih juga dengan siapa aku mahu berkuli. Dan aku pilih seorang lelaki bernama Pak Cik Man.

Sejak awal lagi, aku nampak beliau cuma hadir seorang diri dan membuat kerja memunggah barang seorang diri. Tanpa segan silu aku mendekati Pak Cik Man dan terus menyapa beliau.

Assalamualaikum pak cik.

Wa'alaikumusalam. Ha, cari sapa Kedai tak buka lagi dik oi, balas beliau.

Dak aih, saya tak cari sapa-sapa dan bukan nak beli apa. Sapa nak tanya kot-kot saya boleh tolong pakcik berniaga. Saya nak belajaq-belajaq menjuai. Aku bagi penjelasan.

Oh nak kerja, boleh aih. Mai la tolong pak cik, kita punggah barang dulu. Susun dulu elok-elok. Sat lagi lepaih Maghrib baru kita mula jual, masa tu orang ramai dah!

Aku akur dan angguk-angguk tanda setuju. Jarak rumah aku dengan tapak berniaga bukan jauh pun, dari tapak itu pun aku boleh nampak bumbung rumah sendiri. Rumah cikgu dalam sekolah, katakan.

Selesai menyusun barang. Pak Cik Man mula mengajar aku, satu persatu dia tunjukkan barang dan beritahu serba sedikit tentang harga dan segala macam informasi barang yang dijual.

Yang ini kaset lagu-lagu nasyid. Ada Nada Murni, ada The Zikr, ada macam-macam. Raihan pun ada, Rabbani pun ada. Dia terus bercerita perkara yang aku memang sudah tahu.

Aku buat-buat tak tahu saja, biar dia rasa aku tak pandai. Aku dapat ilmu baru. Kalau kau tunjuk pandai apabila orang mengajar, kau sedang melakukan kesilapan besar. Biar kita nampak bodoh, kita akan lebih tenang.

Biasanya orang mai beli kaset, dia tau dah dia nak beli yang mana. Hang boleh rekemen depa beli sekali minyak wangi atau kopiah. Kalau peminat Raihan mai beli kaset, depa mesti nak pakai Kopiah Raihan! tegas beliau bersungguh-sungguh.

Ini seni dalam menjual, apabila kita sudah tahu siapa pelanggan kita, lebih mudah urusan jualan kita, malah kita akan lebih bersemangat dan seronok dalam menjual.

Kau tengok Pak Cik Man, dia memang tahu apakah kemahuan dan minat pelanggan-pelanggannya.

Minyak wangi ada macam-macam jenis. Orang yang tua biasanya dia suka bau-bau jenis kayu, bau atar. Contohnya jenis Malaikat Subuh, Jumaat, Sultan, Kasturi dan Jasmin, katanya sambil menunjukkan aku susunan kotak-kotak minyak wangi.

Orang muda suka jenis bau-bau moden. Kalau orang muda mai nak cari minyak wangi hang kena terus tunjuk yang ini, katanya sambil beliau tunjukkan barisan bau-bauan seperti Polo, Boss, Dunhill dan pelbagai lagi jenis aroma inspirasi jenama terkenal.

Aku mula faham dan belajar sesuatu pada waktu itu. Sebelum ini, akupun bukannya pandai sangat bab-bab jualan produk begini. Aku mula seronok dan excited untuk mula menjual. Tepat jam 8 malam selepas Maghrib, pengunjung mula masuk ke lokasi acara Forum Perdana Ehwal Islam. Kalau tak salah aku, malam itu ada persembahan nasyid dan panelnya ialah Dr Ismail Kamus. Ramai betul penduduk sekitar yang datang dari seluruh Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.

Pak Cik Man mula memasang pelbagai jenis kaset nasyid pada radio yang beliau bawa. Zaman itu belum ada cakera padat (CD). MP3 dan pendrive pun belum ada. Kami cuma dengar muzik melalui kaset. Rupa-rupanya mainan kaset dengan album-album baru juga memukau pelanggan untuk singgah ke kedai untuk membeli. Itulah antara kerja-kerja marketing yang dilakukan di situ. Mereka dengar, cari punca bunyi dan beli kaset itu. Setiap pelanggan yang singgah membeli akan aku upsell dengan minyak wangi dan benda lain yang kami jual.

Malam itu aku belajar banyak perkara, aku sangat suka dan Pak Cik Man juga suka. Aku rasa orang tua ini dia memang berniaga sepenuh masa dan dia orang tabligh. Sebabnya selepas dia berikan aku gaji malam itu sebagai upah, dia pesan pada aku untuk belajar rajin-rajin dan jangan lupa buat kerja-kerja agama. Malam itu, aku dapat upah lumayan, mungkin sebab jualan beliau tinggi. Aku dapat tiga puluh ringgit woi. Alhamdulillah, dan itu jugalah pertama kali dan terakhir aku berjumpa Pak Cik Man.