Barangkali ada matlamat yang jauh lebih utama dan penting. Bagi orang-orang Ma, sudah menjadi suatu kebiasaan, masuk hutan tidak perlu membawa makanan kerana makanan sentiasa ada di hutan. Orang-orang Ma tidak suka membunuh haiwan hanya sekadar sukasuka. Membunuh kerana suka-suka akan menjadi sukan, demikian fikir Pengkhayal. Pengkhayal mampu melihat transformasi istilah suka dan sukan. Tetapi, suka itu muncul dalam bahasa ibunda pada kemudian zaman tatkala bahasa ibundanya mengalami proses penghinduan, sementara animisme menjadi anutan.
Kini Pengkhayal terus dan tidak henti-henti menelaah penciptaan kata-kata bahasa ibunda pada zaman prapenghinduan dalam usaha menyelusuri genealogi sesuatu istilah purba. Pengkhayal melihat peminjaman istilah merupakan suatu amalan yang pragmatik. Bukanlah merendahkan martabat bahasa itu. Peminjaman tidak akan mengurangkan kewibawaan sesuatu bahasa. Semua bahasa meminjam kata-kata orang lain dan dijadikan bahasa mereka. Kalau kata-kata pinjaman itu digunakan bertahun-tahun dan berkurunkurun, lama-lama ia menjadi milik bahasa itu.Tidak siapa perlu mempertikaikannya. Sekali gus kata-kata pinjaman memperkaya perbendaharaan bahasa ibunda.
Dia pernah membahaskan isu itu dalam seminar tempatan. Salah seorang penyampai kertas kerja mencadangkan agar peniruan katakata tidak dirujuk sebagai istilah pinjaman, sebaliknya lebih wajar dipanggil istilah asing kerana kalau meminjam perlu memulangkan satu hari nanti. Pengkhayal pernah membalas anekdot itu dalam bentuk suatu analogi. Apabila saudagar meminjam wang untuk pemiagaannya, keuntungan yang diperoleh bukan semuanya milik pemberi pinjaman. Modal itu dikembangkan, terus hidup berbunga dan berbuah. Dalam apa-apa budaya sekalipun, proses peminjaman itu tidak dipandang rendah kerana yang dipinjam tidak tinggal dalam bentuk pinjaman asal, tetapi tumbuh subur membentuk arah dan hala tujunya sendiri. Peminjaman kata-kata adalah lumrah dan tabii semula jadi. Sebab itu Pengkhayal terus mengintip sebutansebutan purba bahasa ibundanya. Dalam dunia wahamnya dia meneliti semua naratif, dialog dan sembang orang-orang Ma itu.
Sesungguhnya orang-orang Ma itu, saban ketika dan kesempatan gemar mencipta kata-kata baru, terutamanya yang mempunyai rima. Ada penciptaan yang bertahan sepanjang zaman, dan ada yang digunakan untuk sementara waktu sebelum akhimya digantikan dengan kata yang lebih baru. Pagi itu mereka tidak berhasrat untuk mencipta perkataan-perkataan baru. Mereka tidak mahu leka bermain kata-kata. Apakah kata-kata baru, bunyinya sedap didengar, menjadi mainan yang menyeronokkan. Mungkin mempunyai makna tersendiri di dimensi lain, dalam ruang dan masa yang berbeza.
Memasuki hutan itu harus dilakukan dengan perancangan. Biar apa pun yang terjadi, mereka tidak akan merentasi hutan itu untuk tiba di penempatan lama mereka. Tempat itu pernah menjadi medan kekalahan mereka di tangan orang-orang Han Gao. Mungkin wanita-wanita Ma yang menjadi tawanan sudah lupa tentang suamisuami mereka yang telah dibunuh orang-orang Han Gao. Mereka mungkin tidak memanggil diri mereka orang-orang Ma Lai Wu lagi. Barangkali sudah bertutur seperti orang-orang Han Gao. Pasti pula mereka mempunyai anak pinak dengan lelaki-lelaki penakluk itu.
Di mata Pengkhayal, orang-orang Ma sentiasa menjadi buruan orang-orang Han. Baik di llha Formosa mahupun di Daratan Besar. Ramai anak Ma membesar tanpa pernah melihat Daratan Besar. Kebanyakannya hidup dalam pelaran. Orang-orang Ma lebih suka beralah. Tetapi, daripada cerita-cerita purba yang disampaikan secara lisan, Dataran Besar sentiasa jadi sebutan. Kononnya dari pedalaman Dataran Besar, nenek moyang mereka berasal. Kerana selalu diancam suku-suku ganas yang berkuda, mereka lari ke selatan. Terus ke selatan, tempat wilayah musim dingin tidak sesejuk daerah utara.
Di suatu hujung tanjung di bahagian terselatan Dataran Besar, orangorang Ma menyeberang ke llha Formosa ketika zaman laut surut dan musim sejuk menggila dalam banyak gelombang penghijrahan. Segala pemilikan dan prasarana untuk menghindari mati kesejukan telah dirampas suku-suku ganas berkuda. Hanya berhijrah ke selatan ialah satu-satunya pilihan. Diaspora iklim kesejukan yang memaksa. Mereka mengikuti hijrah burung-burung dan makhlukmakhluk darat lainnya yang ikut berpindah mencari perlindungan daripada bahana kesejukan.
Demikianlah pedoman yang dipakai sejak mereka berada di pedalaman Daratan Besar. Itulah juga mitos yang didendangkan oleh tukang-tukang cerita yang menghiburkan orang-orang Ma tentang semangat-semangat nenek moyang mereka. Sebab itu dalam budaya orang-orang Ma, mereka sangat menghormati burung-burung itu. Motif burung-burung itu menjadi lakaran kebanggaan pada kulit tubuh mereka. Bulu-bulu burung yang agung itu dijadikan mahkota meliliti kepala mereka.
Sampan perahu mereka mempunyai ukiran kepala burung di haluannya yang diwarnakan indah. Anyaman raga-raga mereka pun bermotif burung dan bahagian-bahagian tubuh burung. Nyanyian mereka memuja kehebatan burung-burung. Tarian-tarian mereka mempunyai lenggok burung yang terbang di langit biru. Di mata Pengkhayal, dia melihat betapa tarian-tarian itu berkekalan dalam budaya orang-orang pelarian yang telah menemui tanah impian mereka ratusan kurun kemudian.
Hutan di belakang Gua Arku cukup tebal. Pengkhayal ikut tercungapcungap mendaki bersama-sama rombongan Lu Zon. Banyak pokok besar yang boleh digunakan untuk membina sampan besar, demikian ujar Lu Zon kepada pengikut-pengikutnya. Setiap kali Lu Zon berbicara, seperti orang Ma lainnya disertai bahasa gerakan tangan yang turut membantu keberkesanan pertuturan seperti pada zaman-zaman awal mereka. Pengkhayal melihat bagaimana manusia-manusia Ma di tengah-tengah purba, nenek Dataran Laurasia moyang memperoleh orang-orang kemampuan bertutur. Atas tekanan keinginan un tuk berkomunikasi lebih banyak dan berkesan yang dulunya terhad kepada bahasa isyarat, ekomorfisme memungkinkan mutasi dalam gen FOXP2 di kromosom 22 sehingga terjadi pemisahan yang nyata dengan makhluk-makhluk pramanusia.
Pengkhayal merenungi bagaimana organ bahasa di otak kiri manusia purba sehingga memungkinkan manusia memperhalusi dan memperkaya bahasa mereka melalui pembentukan kata kata, sintak, nahu dan segala aparatus bahasa dalam leksikon bahasa mereka. Setiap diaspora menemukan mereka dengan keadaan dan tantangan baru, lalu interaksi itu memperkaya bahasa mereka, menambah ilmu mereka tentang dunia. Peningkatan ilmu diikuti dan diiringi kemajuan bahasa itu.Tidak pula mereka meninggalkan bahasa ibunda hanya memenuhi hasrat untuk terus maju.
Perasaan rawan Pengkhayal tidak dapat disembunyikan lagi ketika mengenangkan nasib bahasa Pengkhayal yang ditinggalkan dalam keghairahan diaspora baru untuk mengejar ilmu-ilmu tinggi. Pengkhayal meratapi kemangkatan bahasa ilmiahnya saking kegelojohan terhadap kemajuan duniawi sehingga membelakangi bahasa warisan yang kepingin juga maju seperti bangsanya. Kerawanan Pengkhayal menjadi nyata apabila mengingati bagaimana ilmuwan bangsanya sanggup mencicirkan bahasa ibunda dan menganggap bahasanya tidak layak berada di sisinya ketika bangsanya mencapai status negara maju di persada antarabangsa. Ratusan ribu tahun yang lalu, bahasa ibunda sentiasa setia dalam mengiringi penghijrahan manusia purba dan tidak pernah meninggalkan bangsanya. la terus maju bersama-sama pergerakan bangsanya. Sebab itu, Pengkhayal lebih selesa dengan dunia lampaunya. Kembali semula ke alam yang pernah mencetuskan kelahiran bahasa ibundanya. Mencari dan membongkar khazanah linguistik yang memperlihatkan kegigihan bahasa itu menempuh arus dan rintangan. Maka, dunia lampau ialah dunia sanubari yang meletakkan bahasa ibunda berada kekal di mercu penghormatan.
Benak Pengkhayal terus mengekori Lu Zon yang mengepalai gerombolan dua puluh empat orang memasuki hutan. Lu Zon diiringi rapat bersama-sama Ta Galog. Pa Lu dan beberapa lelaki Ma diberikan tugas mengawal Gua Arku. Banyak lelaki Ma dalam rombongan itu tidak tahu apa yang dicari Lu Zon. Apabila dia suruh tebang pokok, mereka pun tebang dengan kapak. Kapak batu itu diteliti Pengkhayal dengan rasa kagum. la semacam beliung batu pada Zaman Neolit. Tajam dan kukuh. Pengikut-pengikut Lu Zon agak musykil bagaimana batang pokok yang sederhana besar itu mahu dibuat sampan. Hanya cukup dibuat sebuah kolek untuk mainan kanak-kanak Ma. Biasanya orang-orang Ma akan memilih pokok yang terbesar dan menumbangkan dengan kapak batu mereka. la mengambil masa berhari-hari. Bahagian tengah batang pokok sahaja yang digunakan. Biasanya mereka memilih pokok yang berdekatan dengan sungai atau pantai.
Tetapi, Lu Zon masuk jauh ke dalam. Dia meninggalkan dua orang untuk menumbangkan sebatang pokok yang sederhana besar sahaja. Jelas tidak mungkin boleh dibuat sampan. Sesetengah pokok yang ditebang tidak cukup pun untuk membuat sebuah kolek. Betapa bingung orang-orang Ma terhadap Lu Zon yang baru kembali daripada perantauan itu. Biasanya sebatang pokok besar sahaja yang ditumbangkan. Dan, semua orang mengerjakan pada pokok yang sama. Setelah kulit kayu dilapah, isi batang kayu ditebuk, ditakak hingga menjadi sebuah sampan.Sampan itu ditolak ke laut atau ke sungai dengan beralaskan batang-batang kayu bulat yang diatur sepanjang perjalanan. Semua orang terlibat dari sejak mula penebangan hinggalah ramai-ramai menolak sampan sambil berlarian menyusun kayu-kayu galangan. Mereka akan menyanyikan lagu-lagu yang pernah didendangkan oleh nenek moyang mereka. Apabila sampai ke cerun, beramai-ramai menghalang kelajuan sampan itu meluncur. Itulah yang membuat orang-orang Ma itu hairan dengan arahan Lu Zon. Tetapi, oleh sebab Lu Zon anak Pa Lu, maka mereka patuh dan menurut sahaja arahan yang diberikan.
Apabila Lu Zon balik daripada perantauan, istiadat pelakaran suci disempurnakan oleh Pa Wang. Pa Wang ialah pakar yang memasukkan perwarna semula jadi ke kulit orang-orang Ma sebagai pelindung, penyeri dan penggerun. Keagungan semangat burung menghiasi ritual pelakaran kulit badan Lu Zon dengan lidi naung yang tajam. Penghormatan tertinggi bagi seseorang untuk lakaran sebesar itu. Memenuhi seluruh belakang dan dadanya. Hanya seorang wira yang cekal mampu menahan ribuan tusukan yang membenamkan pigmen hijau yang sebati dengan tisu kulitnya.
Tidaklah sukar untuk orang-orang Ma menebang pokok-pokok yang sederhana besar. Mereka sudah biasa dengan penebangan pokok, terutama untuk membuat tiang seri pada kuba mereka. Di kuba itulah mereka berbincang, mengadakan upacara ritual dan menghakimi pesalah-pesalah. Tiang seri pada kuba masih kukuh dan kuat. la tidak perlu diganti baru. Ukiran jembalang dan simpualang tetap utuh dan majestik. Tetapi, kemusykilan masih terus menghantui mereka ketika menebang pokok-pokok itu.
Pengkhayal sangat gembira apabila mendengar orang-orang Ma menyebut kayu. Makin lama makin banyak terdengar bahasa purba yang masih dipakai dalam bahasa moden Pengkhayal. Meskipun kurun-kurun berlalu, perkataan kayu diucapkan secara aktif maka ia tetap bertahan tanpa digantikan dengan kata-kata lain. Lantaran itu, perkataan kayu itu hidup dan terus hidup, kukuh tidak reput ditelan zaman. Begitulah juga hasrat dan harapan terhadap bahasa ibundanya. Dia menjadi gusar apabila cabang ilmiah bahasa ibundanya diisytiharkan mati. Lebih risau lagi kematian salah satu cabang akan menyebabkan cabang-cabang lain, dahandahan bahasa dan akhir batang teras dan perdu bahasa itu ikut mati bersama. Lebih dahsyat lagi apabila akar bahasa itu mati dalam jiwa penggunanya. Banyak bahasa besar dunia silam gugur di tangan pembunuh-pembunuh bahasa. Begitu juga kekhuatiran Pengkhayal terhadap pembunuh-pembunuh bahasa ibundanya kononnya atas nama kemajuan, pembangunan dan keramat globalisasi.
Ta Galog juga ikut menebang. Dua belas batang pokok ditebang dalam dua hari. Hari-hari berikutnya mereka menebang dua belas pokok lagi. Bertambah bingunglah pengikut-pengikut orang-orang Ma itu. Lu Zon mengajar mereka tentang bentuk apa yang dia ingini. Maka mereka pun memahat dan menakak batang-batang kayu itu sesuai dengan reka bentuk yang diingini Lu Zon. Setiap orang mempunyai tugasan yang berlainan. Orang-orang Ma terkenal dengan kemahiran memahat. Tetapi, biasanya mereka mengukir topeng-topeng kayu yang menggambarkan semangat nenek moyang mereka yang digantung di dalam kuba. Di setiap kuba mereka, akan didirikan patung kayu. Perkataan kuba telah wujud sebelum bahasa ibunda Pengkhayal mengalami proses pengaraban.
Memangnya kuba itu berbentuk kubah. Tidak sukar untuk memikirkan bila masanya kuba bertemankan kubu dalam perbendaharaan kata. Perubahan perkataan kuba menjadi kubu hanyalah berasal dengan suatu permainan lidah yang akhimya memperkaya leksikon bahasa ibunda. Pengkhayal terus gembira dengan penemuan-penemuan arkeologi bahasa dalam teroka mindanya. Dia tidak menyesal mendalami ilmu filologi meskipun terpaksa merantau jauh.
Ada dua puluh empat keping dan batang kayu dalam pelbagai bentuk dan panjang dibawa turun ke pantai di hadapan Gua Arku. Di mata Pengkhayal dah dapat membaca apa yang bakal dilakukan oleh Lu Zon. Bagaimana perantauan Lu Zon mencerdikkannya. Sebegitu jugalah perantauan Pengkhayal di Manoa yang telah memperluas horizon minda dan memperdalam kemampuan analitikalnya.
Di Manoa, dia melihat penempatan suku-sakat etnik bangsanya mengharungi Lautan Teduh dan tiba di kepulauan-kepulauan itu beratus kurun kemudian. Etnik bangsa itu juga pandai menyanyi dan mengukir patung kayu seperti orang-orang Ma di Ilha Formosa. Hidup mereka tidak dapat dipisahkan dengan laut. Pantas mereka dijuluki panggilan nomad laut. Ada yang memanggil mereka gipsi laut. Berpindah-randah dari pulau ke pulau, mencari pulau dan tanah impian. Malah, keturunan Malayonesia telah lama tiba ke Pulau Selandia, jauh sebelum kedatangan pelayar Barat. Sayangnya pelaut-pelaut Barat itu berbohong pada dunia dan tanpa rasa malu mengisytiharkan sebagai manusia pertama menemuinya. Setelah menduduki Kepulauan Selandia, orang-orang Malayonesia dipinggirkan, malahan tanah pantai mereka dirampas pula. Merampas tanah pantai orang-orang Malayonesia ibarat mencabut nyawa mereka. Mana mungkin mereka berpisah dengan laut bersama-sama segala khazanah flora dan faunanya.
Bagi Pengkhayal, Lu Zon membuat kejutan bagi orang-orang Ma. Anjakan penciptaan melalui konsep pemasangan komponenkomponen sampan besar yang boleh ditakrifkan sebagai kapal dalam ukuran dan keadaan semasa. Pengkhayal menyedari betapa pentingnya kemajuan sesuatu bangsa apabila anak watan merantau jauh lalu kembali membawa ilmu baru. Dengan menggunakan paku kayu dan serat-serat kayu celah-celah cantuman kepingan kayukayu, Lu Zon berjaya mencipta keadaan kedap air. Keadaan kalis air itu disempumakan dengan penggunaan getah pokok yang diambil dari hutan berdekatan. Seperti mendirikan kuba memerlukan tiang seri, Lu Zon juga mahu mendirikan tiang seri di sampan besar itu untuk mengibarkan layar. Apabila ditanya apa nama sampan besar itu, Lu Zon menunjukkan kapaknya, Mengambil sempena kapaknya, sampan besar itu Lu Zon namakan sebagai kapal. Dengan kapak orang-orang Ma, mereka membina sesuatu yang baru. Kapal ialah perkataan baru yang dicipta dengan kapak orang-orang Ma yang dikepalai Lu Zon.
Betapa Pengkhayal cukup kagum bagaimana kaum itu mencipta istilah setelah mereka menjadi pereka dan pencipta sesuatu yang serba baru. Baru daripada bentuknya dan juga besarnya. Baru pula melalui pemikiran yang mencetuskan ilham penciptaan, tetapi kekal dengan motif burung yang menghiasi haluan kapal. Pengkhayal berharap bangsanya masa kini terus mencipta sesuatu yang baru lalu mencari nama untuk ciptaan itu. Jangan pula hanya tahu mencipta istilahnya sahaja tanpa tahu membuatnya sendiri. Bangsa dan bahasa pencipta menjadi ikutan dan sanjungan bangsa dan tamadun lain. Bahasa asing boleh disanjung tanpa harus membunuh bahasa sendiri. Itu yang sangat mengganggu Pengkhayal. Pembelakangan dan penciciran terancang cabang ilmiah bahasa ibunda menyebabkan dia merantau dalam kembara minda untuk mencari susur galur asal usul bahasa ibunda yang dia banggakan. Dia sejak kecil membesar dan bernyawa dengan bahasa ibundanya. Tidak hairanlah dia terlalu hiba atas mangkatan itu. Maka, kembara bahasa ialah suatu pelarian yang amat bermakna. Makin hari makin banyak istilah yang Pengkhayal temui mempunyai akar umbi berkurun-kurun lamanya. Ah, betapa pengkaji bahasa mengecil-ngecilkan ketulenan bahasa ibundanya itu. Mereka mengatakan jumlah perkataan yang berasal daripada bahasa ibunda tidak melebih jumlah jari sebelah tangan. la suatu milos yang ditanam dalam minda anak-anak bangsa sehingga apabila anak-anak bangsa itu menjadi pembuat keputusan, mereka berpihak kepada bahasa import dan akhimya membunuh cabang ilmiah bahasa ibunda sendiri. Tetapi, mata Pengkhayal tidak lagi tertumpu pada masalah dunia kininya kerana jawapan itu sudah ada di dunia halusinasinya.
Orang-orang Ma di pantai selatan Ilha Formosa agak hairan bagaimana Lu Zon dan Ta Galog memulakan langkah-langkah awal pembinaan. Semuanya di luar kebiasaan. Ramai yang menggaru kepala termasuk mereka yang ikut menyertai rombongan masuk ke hutan. Sampai ke sudah, mereka tidak dapat menerka apa yang sedang dirancang oleh Lu Zon dan Ta Galog. Yang mereka tahu jelas bahawa batang-batang kayu itu begitu senang untuk dibawa keluar dari hutan jika dibandingkan dengan cara tradisional orang-orang Ma membuat sampan. Membawa keluar batang-batang kayu yang terpahat dalam pelbagai ukuran selain lebih mudah dibawa juga lebih ringan. Yang dibawa keluar dari hutan hanya hasil separa siap. Tinggal memasangkan sahaja. Lubang-lubang dan liangliang sambungan telah dibuat semasa dalam hutan Iagi. Seluruh penduduk di santuari itu keluar mengelilingi tapak pemasangan kapal. Minat yang ditunjukkan lebih hebat jika dibandingkan dengan daya tarikan tukang-tukang cerita. Biasanya orang-orang tua tidak berminat mendengar. Entah berapa ratus kali cerita-cerita dongeng itu sudah didengar mereka. Hanya yang muda-muda dan remaja sahaja akan menunggu hingga larut malam. Tetapi, keramaian di tapak pemasangan kapal itu seolah-olah suatu pesta yang tidak dirancang.
Lu Zon meletakkan batang kayu utama di tengah-tengah. Batang kayu utama itu mempunyai lubang-lubang yang ditebuk di keduadua sisi. Ta Galog memasukkan batang-batang kayu yang telah dipotong melengkung seperti tulang-tulang rusuk ikan paus. Ramai lelaki Ma ikut membantu Lu Zon dan Ta Galog. Dalam sejenak waktu, mereka dapat menduga apa yang berlegar di kepala Lu Zon. Apabila selesai dipasang, tampak seakan-akan tulang rusuk ikan paus, dan rusuk-rusuk itu pula untuk sementara waktu disokong oleh kayu-kayu penyangga. Kerangka kapal itu mulai kelihatan seolah-olah bangkai ikan paus yang pernah terdampar di pantaipantai llha Formosa.
Sedikit demi sedikit, batang-batang kayu yang lain pun dicantumkan pada sesiku-sesiku yang telah siap dibuat. Pantas dan cepat. Daripada kerangka kapal yang sedia ada, sudah dapat diduga ia kira-kira lima kali ganda lebih besar dan lebih panjang daripada sampan tradisional. Semua celah yang renggang ditutup teliti dan mantap dengan seratserat kayu bertali, serabut kelapa yang pintal-rawat dan diperkukuh lekatannya dengan getah susu yang bertindak sebagai gam. Suasana sungguh gamat apabila lelaki-lelaki Ma mengetuk serat-serat kayu itu. Mula-mulanya bunyinya bertaburan, songsang dan terdengar bising, tetapi apabila mereka menemui irama, ketukan mereka pun bagaikan melagu, yang segera menjemput mereka bemyanyi. Bagaikan temasya nyanyian yang memuja semangat moyangmoyang. Nyanyian kapal, begitulah yang ditafsirkan Pengkhayal. Telinga itu amat menghayati irama dan melodi lagu-lagu etnik. Semuanya terdengar merdu di telinganya seperti juga orangorang Ma. Pengkhayal cuba mengaitkan kebolehan itu dengan kepandaian bangsanya menyanyi di alam kontemporari. Fikirannya selalu celaru bagaimana suatu etnik kecil di Laut China Selatan itu boleh menjadi suatu bangsa besar, namun kemudiannya memilih menjadi etnik semula. Bangsa itu tentunya berjiwa besar, sanggup mempertaruhkan kebangsaannya demi keharmonian antara kaum. Namun, bangsa yang menjadi etnik semula itu, membiarkan dirinya ditelan naga globalisasi. Bagi Pengkhayal, globalisasi merupakan agenda neokolonialisasi. Agenda yang dilabel lapuk oleh sesetengah orang, sebenamya ialah jelmaan versi baru keinginan semula jadi bangsa-bangsa penakluk. Bagi orang-orang Ma, mereka lebih suka menghindari bentrokan dan konflik dengan mana-mana kuasa. Baik manusia mahupun alam tabii semula jadi.
Wanita-wanita Ma mengumpulkan kulit-kulit binatang setelah diarahkan Ma Lu. Mereka berhimpun di kawasan berhampiran tapak pemasangan kapal. Duduk beramai-ramai secara santai dan riuhrendah dengan usik-mengusik. Pengkhayal terkejut apabila seorang wanita Ma usia pertengahan tiba-tiba bangun spontan menarinari sendiri dengan diketawakan semua orang. Dia mengulangi sumpahan yang pernah disebut Pa Lu setelah mendengar Ta Galog menyumpah carutan yang sama apabila jarinya terpukul palu kayu ketika mengetuk serat-serat ke celah-celah sambungan kayu-kayu itu. Dua perkara yang diperhatikan Pengkhayal. Pertamanya, orang-orang Ma di perantauan menyebut carutan yang sama apabila sakit atau kecewa, walaupun Ta Galog berasal daripada orang-orang Malayonesia daripada gelombang yang lebih awal meninggalkan Ilha Formosa. Kedua, wanita itu memperlihatkan sindrom Iatah yang sama dan tidak ubah seperti yang terdapat di kampung Pengkhayal. Perkataan keramat itu juga yang keluar daripada mulut penggoda mangsa latah. Gamat dan ribut dibuatnya. Semua habis ketawa lihat gelagat wanita setengah tua itu. Seperti pada kemudian zaman, fenomena itu merupakan Iedakan emosi yang terpendam pada keinginan yang berkaitan dengan naluri seksual. Umumnya, melibatkan wanita tinggal bersendirian yang memendam hasrat untuk bersanggama dengan seseorang lelaki. Itulah yang diketahui Pengkhayal daripada pembacaan buku-buku psikologi.
Bagaikan sebuah temasya. Menyeronokkan dan menggamatkan suasana keramaian yang sentiasa ceria dengan kehadiran fenomena latah itu. Lebih-lebih lagi di pantai Gua Arku, temasya pemasangan kapal itu membuat mata Ma We tertarik pada Ta Galog. Ma We masih ingat dia memeluk Ta Galog ketika menyangka dia memeluk Lu Ji, abangnya yang hilang semasa perantauan di tanah impian. Rasa yang sama kembali menerpa apabila dia memegang jari Ta Galog yang cedera. Pengkhayal menemui semula perkataan jari seperti diucap oleh Ma We. Purba namun kekal dalam bentuk yang tidak berubah dalam bahasa ibunda Pengkhayal. Keintiman Ta Galog dan Ma We menjadi sorotan kawan-kawan Ma We, Ma Cun dan Ma Run.
Wanita-wanita Ma yang lain pun berbisik-bisik sambil mengusik Ma Lu. Anak gadisnya pandai memikat hati anak perantau. Di mata Pengkhayal tidak lebih suatu manifestasi seleksi seksual yang diperlihatkan oleh Ma We. Namun, memang benar, wanita-wanita bangsa Pengkhayal mudah terpikat dengan lelaki perantau. Seleksi seksual itulah yang memperkaya pletora genetik bangsa Pengkhayal. Sambil berhibur, wanita-wanita Ma menjahit kulit-kulit binatang itu. Mereka menjahit kulit-kulit binatang antara satu dengan lain dengan benang serat-serat kayu. Jahitannya rapi dan rapat dengan menggunakan jarum tulang. Tulang haiwan diraut dan ditebuk menjadi sebatang jarum tulang. Sesuai dengan spesifikasi dan seperti yang diminta Lu Zon melalui emaknya, Ma Lu, wanita-wanita Ma mengumpulkan kulit-kulit binatang itu. Kulit-kulit itu sudah lama dikeringkan. Setiap keluarga Ma menyumbang sekurang-kurangnya satu keping kulit binatang yang telah dikeringkan. Agak berat hati untuk memberikan kulit binatang milik mereka. Betapa ia amat berguna ketika musim sejuk menggila. Apabila bulu bintang itu dibuang, bulu-bulunya melayang ditiup angin pantai. Bermainmain kanak-kanak mengibas-ngibas bulu-bulu itu terbang. Kulitkulit binatang itu telah menemani mereka sejak beberapa musim sejuk. la rakan karib yang akrab dan sukar dipisahkan ketika sejuk menghimpit tulang yang membisa. Apabila pengorbanan dipinta Pa Lu, tidak siapa yang mampu memperlihatkan keberatan. Itulah bukti di mata Pengkhayal, ciri-ciri feudalisme dan patriarkal sudah sebati dengan orang-orang Ma dan etnik bangsa terbitan mereka pada kemudian zaman. Tetapi, apabila semua sumbangan kulit-kulit binatang itu disambung, lalu dipasang di tiang layar, dan kapal itu dituncurkan ke laut, angin segera bertiup garang, berkibar megah layar itu buncit bagaikan perut Pa Lu. Semua orang ketawa gembira melompat-lompat. Hilang segala keberatan hati yang melepaskan kulit-kulit sumbangan mereka. Kibaran layar itu membuatkan setiap hati orang-orang Ma berbangga. Lu Zon dan Ta Galog mengemudi kapal itu sambil memperagakan kemahiran mereka mengawal layar dan menukar arah pelayaran.
Pemuda-pemuda Ma juga turun ke laut bersama-sama kolek mereka mengiringi kapal layar ciptaan Lu Zon. Ketika dituncurkan ke laut, Pa Wang membaca mantera puja semangat nenek moyang orangorang Ma. Lu Zon, Ta Galog dan beberapa pemuda Ma melayari kapal itu ke tengah laut. Lu Zon mengajar mereka bagaimana mengibarkan dan menggulung layar. Layar itu cukup berat untuk digulung. Pemuda-pemuda Ma cepat belajar bagaimana mengalih layar, mengemudi dan menggunakan pendayung apabila angin tiba-tiba mati. Kapal layar itu akhimya berlabuh dekat pantai laut berhadapan dengan Gua Arku. Orang-orang Ma menggunakan gua sebagai tempat keramat mengebumikan mayat. Semangat-semangat nenek moyang akan keluar dari pintu gua itu dan memberi kesejahteraan untuk semangat kapal dan menjamin perlindungan daripada kuasa-kuasa jahat.
Langit tadi malam bebas sebarang alamat. Ramalannya tidak mentafsirkan petanda buruk. Baik pada rona bulan malam, yang menyinar tanpa gegelang hujan; mahupun pada corak awan yang menghiasi terangnya pumama bulan. Tiada alamat tentang kedatangan cuaca yang boleh menggugat alam. Itulah yang terfikir Pengkhayal: alam dan alamat. Alamat itu peramal alam. Maka, nyatalah pagi itu secerah ramalan Pa Lu. Tentunya cerah dan benderang pagi membawa petanda baik untuk para pelaut mengharungi lautan.
Telah siap pada pagi itu keluarga Pa Lu, Ta Galog, dan dua puluh orang Ma dewasa, lelaki, perempuan dan kanak-kanak menaiki kapal layar yang dinakhodai Lu Zon. Ma We gembira apabila kawan-kawan sepermainan, Ma Cun dan Ma Run, mengikuti keluarga masing-masing untuk belayar bersama. Orang-orang Ma yang masih tinggal di pantai Gua Arku akan diketuai oleh Pa Tin yang akan mengambil tugas ketua suku orang-orang Ma.
Apabila pantai selatan llha Formosa itu makin menjadi kecil daripada pandangan, terasa sekali perasaan sayu menggundahkan hati Pa Lu dan Ma Lu. Masih teringat suara Pa Tin tersesak-sesak ketika memanterakan keselamatan buat pelayaran itu. Darah sembelihan ayam hutan direnjis ke ukiran kepala burung di haluan kapal layar. Penyembelihan itu suatu sembahan dan korbanan untuk menolak bala. Meskipun kesayuan terasa bersama, Pa Lu tampaknya lebih tabah daripada Ma Lu yang terpaksa meninggalkan kaum ibu Ma yang dia kenal sejak kecil. Sedu-sedannya belum berakhir meskipun pantai Gua Arku semakin menghilang.
Apa pun alamat yang dibacanya, Pa Lu menyedari bahaya laut selat yang selalu cepat berubah. Dia tetap menurut amanat nenek moyangnya yang mewasiatkan penghijrahan ke selatan untuk mencapai tanah impian. Dia yakin pada Lu Zon. Bukan sematamata kerana dia anaknya. Tetapi, Lu Zon telah pernah sampai di pulau impian, dan dia telah pun menjelajahi pulau itu dan menjumpai sebuah gua. Katanya gua itu banyak sekali musang. Kulit musang baik untuk dibuat pakaian.Bagi orang-orang Ma, gua ialah unsur terpenting dalam kehidupan. Gua lebih merupakan tempat semayaman mayat dari tempat kediaman. Orang-orang Ma sudah lama meninggalkan gua-gua untuk hidup di pesisir pantai dan tanah pertanian. Gua hanya menjadi tempat upacara pemujaan semangat dan persemadian mayat. Melainkan apabila terdesak demi keselamatan, gua menjadi tempat perlindungan daripada musuhmusuh manusia dan bencana alam.
Angin meniup kencang. Layar kapal itu kembung ke selatan sesuai dengan arah tiupan. Kapal belayar Iaju sekencang angin yang menerjah. Sepanjang siang pelayaran lancar seperti ramalan tadi malam. Siang menjadi semakin tua, dan senjakala baru mahu mempamerkan rona gemilangnya. Tetapi, kilauan senja semakin pudar. Pa Lu tiba-tiba menjadi gelisah melihat cahaya mega yang melindungi mentari yang bakal beradu. Firasatnya membisikkan pelayaran itu bakal menempah ribut di hadapan. Di ufuk selatan, tampak mendung yang samar-samar. Dia hanya berharap mendung itu berlalu pergi. Kalau mendung melingkupi langit meskipun tiada ribut yang melanda, bintang-bintang selatan yang selalu diamatinya dari tepi pantai, tidak akan kelihatan. Sukarlah Lu Zon nanti mengemudikan dan mengendalikan layarnya. Memanglah tugas Ta Galog mengendalikan layar sesuai dengan arahan Lu Zon. Apabila tugas mengemudinya selesai, Ta Galog akan mendekati Ma We. Sejak awal lagi, dia diusik Ma Cun dan Ma Run. Kawan-kawannya telah menyendiri dan tidak mengusik lagi. Pasangan itu tampak mesra. Apabila Ma We keletihan dilambung ombak, Ma We akan merebahkan kepalanya ke dada Ta Galog. Romantis sekali di mata Pengkhayal. Dia juga ikut terbuai dalam rona-rona romantisisme.
Pa Lu memberitahu Lu Zon tentang kemungkinan datangnya ribut. Lu Zon meyakini ayahnya bahawa dia pasti tentang arah haluan ke pulau impian. Terdapat beberapa pulau kecil sebelum sampai ke destinasi. Pulau-pulau itu sudah hampir. Dia tidak mahu menurunkan layar. Apalagi berlabuh di tengah-tengah lautan. Angin yang menjadi lebih kencang akan membawanya Iebih cepat ke pulau lindungan. Mereka boleh berteduh di situ. Dan memulakan pelayaran apabila ribut itu mereda. Mungkin keesokan harinya mereka melanjutkan pelayaran.
Angin semakin kuat lagi kencang. Haluan kapal membelah ombak, percikannya liar membasahi pelaut yang semakin resah. Ombak kian mengalun garang. Makin lama makin tinggi sehingga menelan ufuk. Langit diselubungi kelam. Buih-buih ombak memutih berlatarkan langit bermendung hitam itu. Ombak-ombak itu bagaikan bukitbukau yang datang berguling dan menghilang laksana gaung yang dalam. Tiang layar mulai mengeluarkan bunyi gesekan ganas seolaholah keteguhannya dicabar. Layarnya sejak siang tadi berkembang indah kini tampak kewalahan. Beberapa jahitan nampak tertetas. Ta Galog, Pa Lu dan beberapa pemuda bergelut menurunkan layar. Lu Zon tidak mahu meninggalkan pengemudiannya. Dia tahu kalau dia melepaskan kemudi dan kekalkan arah yang telah dirakamkan dalam benaknya,maka dia mungkin mampu mengendalikan kapal itu keluar dari kawasan ribut dan masih tetap menghala ke selatan walaupun dalam keadaan gelap-gelita. Namun, amukan ombak mengganda. Jeritan kanak-kanak dan kaum perempuan tidak melunakkan kegalakan ombak. Tinggi Iambungannya, lalu menghentam segenap penjuru kapal itu. Airnya mencurah masuk. Tiang layar tumbang, patah dan jatuh ke laut. Tidak siapa yang cedera. Pengkhayal mahukan kapal pelayaran bahasa itu selamat termasuk nakhoda, awak-awak dan para penumpangnya. Dalam naratif Pengkhayal, kematian mereka ialah kematian bahasa. Melalui naratifnya, dialah mesiah. Dialah penyelamat orang-orang Ma dan bahasa yang dikendong mereka. Matinya mereka tiadalah bahasa ibundanya. Biarlah kapal layar itu dihanyutkan ribut sehingga akhirnya terdampar di sebuah pulau. Lanyu namanya. Tiada siapa yang maut dalam bencana yang menimpa. Semuanya atas kuasa naratif Pengkhayal. Di situ juga ada orang-orang Ma yang sudah lama meninggalkan Ilha Formasa. Dipanggil mereka Ma Lanyu oleh Pengkhayal.