DI.AR.TI - 3
BUNYI tapak-tapak kaki memecahkan kesunyian. Iramanya teratur. Riak gelombangnya membentur dinding-dinding menghasilkan gema yang mengekori dengan patuh. Gegendang telinga terus merakam bunyi gema yang menyulami rentak tapak-tapak kaki yang bersepatukan kasut Bally. Pada permulaan lorong itu, gema terdengar datang dari depan. Tiang-tiang putih sepemeluk manusia lampai menjulang tinggi, membarisi kedua-dua sisi lorong sepi itu. Pada dasar dan puncak tiang-tiang itu, terukir motif dedaunan yang berbunga, melingkari bulatan tiang-tiang itu. Senibina yang mengabaikan nilai-nilai akustik, menguasai suasana yang menenggelamkan suasana keagungan estatiknya. Gema itu kian bertambah. Dari hadapan dan belakang. Kaki itu laju melangkah, mematikan gema dari hadapan dan gema yang datang dari belakang pula menghilang apabila tubuh itu membelok ke kiri di penghujung lorong itu.

Kematian gema itu disambut oleh gema-gema yang baru pada lorong baru yang sayup mata memandang. Tiangtiang itu hanya membarisi satu sisi dari lorong itu. Dinding putih memanjang lurus, diselangi oleh bekas-bekas jendela Venetian yang tampaknya ditutupi padat tanpa mencatat keindahannya. Keteguhan binaannya tidak diragukan. Tidak ada tanda kerapuhan. Kukuh berdiri seakan-akan mencabar bangunan-bangunan baru di sekitar kompleks itu.

Di penghujung laluan itu, tubuh yang sedang bergerak pantas meninggalkan gema-gema itu setelah belokan ke kanan dibuat. Pintu masuk ke bangunan itu tertera : MUZ-

IUM ANATOMI FAKULTI PERUBATAN.

Bangunan itu lebih tua daripada usia universiti. Sejarah awalnya bermula dengan penempatan Bahagian Pentadbiran Kolej Perubatan kira-kira dua tahun selepas Jepun menyerah kalah. Kemudian ia berfungsi sebagai Dewan Diseksi setelah bahagian pentadbiran itu memperolehi bangunannya sendiri. Jabatan Anatomi pun pada waktu itu beroperasi di bangunan tua yang usianya menjangkau empat dekad. Hanya pada awal tahun tujuh puluhan, bangunan itu memakai nama Muzium Anatomi. Bangunan pentadbiran Jabatan Anatomi dan Dewan Diseksi berpindah ke bangunan baru yang dibina untuk memenuhi keperluan semasa. Bangunan lama itu juga menempatkan Muzium Antropologi, stor Osteologi dan makmal yang digunakan oleh Dr Jalani.

Kaki Dr Jalani melangkah masuk ke Muzium Anatomi. Kesunyian dewan itu tersentak seketika bila tutupan pintu menggegarkan kesepian mutlak. Kesepian mutlak itu kembali selepas gema ledakannya menghilang.

Mata Dr Jalani tidak sedikit pun memandang kepada balang-balang yang menjejeri kepanjangan meja pameran. Entah berapa puluh ribu kali, dia lalu-lalang tanpa mempedulikan mayat-mayat yang dipotong rapi, mengisi balang-balang tersebut. Dia hanya akan memberi perhatian kepada balang-balang itu pada tiap kali peperiksaan akhir semester jika dia diminta menyediakan beberapa soalan amali. Beratus-ratus bahagian tubuh manusia dipamerkan dalam balang berisi cecair pengawet yang sejernih air terjun di hulu sungai. Mayat-mayat itu dibelah dan disayat secara sistematik dan teratur. Mendedahkan struktur-struktur tubuh dengan perwarnaan baku untuk dipamerkan kepada manusia ekslusif. Kuning adalah warna baku untuk urat saraf, biru untuk pembuluh darah vena dan merah cerah untuk salurnadi. Seolah-olah macam kawat-kawat berwarna pada pendawaian alat-alat elektrik.

Dari sekian ratusan balang yang berbagai-bagai ukuran itu, balang terakhir dan yang terbesar diletakkan seakanakan mentakhtai muzium itu. Pusara mayat itu bagaikan merajai ratusan mayat tanpa nama. Dr Jalani tidak pernah sekalipun mengacuhkan balang istimewa itu. Walaupun dia jarang berhenti tetapi acap kali dia akan melirik kep tubuh yang berdiri atas dadanya, setiap kali dia melewati balang istimewa itu.

Mata awam akan terasa ngeri bila berhadapan dengan balang itu. Sebaliknya, mata tamu-tamu eksklusif muzium itu akan terpegun dalam kekaguman yang tidak terukur. Sebelah kiri mayat yang berkulit putih berketurunan Eropah, kelihatan utuh memperlihatkan kelicinan kepalanya yang botak dengan jaluran rambut perak yang disisir rapi. Hidungnya yang mancung dengan mata kebiruan samudera, pipi pucat yang kendur dengan lipatan kerut yang menandakan ketuaan yang matang. Sebelah kiri mulutnya seolah-olah mengukir senyum dengan mata yang ingin terus menyaksikan rombongan tamu yang jarang-jarang muncul.

Di sebelah kanan mayat itu terpamer suatu keindahan lain. Tanpa kulit yang membajui kepala, leher dan dadanya. Matanya telanjang tanpa kelopak. Suatu garisan lurus membujur dari kepala, meniti jambatan hidungnya hingga ke dagu, leher dan berakhir di dada. Garisan itu menyempadani bahagian berkulit dari yang tidak. Serat-serat otot di mukanya bagaikan kesiuran jejambat lebuh raya yang saling menyulam dengan peragaan saraf trigeminal dan saraf fasial yang dicat kuning. Pin-pin berwarna dicucuk kepada struktur-struktur tubuh. Pada pin-pin itu terdapat nombornombor untuk rujukan nama-nama struktur itu.

Berbeza dengan balang-balang lain, di lapik kayu balang itu tercetak nama dengan warna keemasan yang sudah pudar: Profesor Edward J. Guislain (1893 1958). Di hadapan balang itu terletak sekeping kertas putih dengan tebing yang keperangan. Kelabu muda mungkin lebih tepat untuk untuk menggambarkan warna sebenar kertas putih itu kerana dimakan zaman. Huruf-huruf bercantuman dengan berbagai-bagai kepanjangan, membaris kalimat yang tersusun rapi.

Born on September 25th, 1893 in Liege, Belgium, Prof E.J Guislain was the first Head of Anatomy Department and was amongst the pioneers to establish Medical College for the natives of British Colonies in South East Asia. He donated his entire body for his love and dedication to the discipline of Anatomy. His divine wish was to be a teacher for future students of Anatomy eternally. R.I.P. on August31 st., 1958, one year after the independence of Federated States of Malaya. He surrended his Britishs citizenship and applied to be citizen of the federation. Only in 1963, he received his citizenship certificate from Home Ministry pothumuosly1

Dr Jalani sentiasa menghormati Prof Guislain. Dia adalah salah seorang murid Prof Guislain dan mengagumi kewibawaannya. Prof Guislain tidak diketahui agamanya. Orang menganggap dia beragama Kristian. Tetapi dia tidak sekali pun menjejak kakinya ke gereja. Dr Jalani masih ingat, di dewan inilah pada tahun 1957, dia belajar anatomi daripada Prof Guislain. Prof Guislain pula memberi perhatian yang lebih pada tiga mahasiswa pribumi daripada empat puluh orang mahasiswa kesemuanya. Salah seorang daripadanya adalah Dr Jalani.

Prof Guislain juga mengambil kesempatan untuk bertanya mengenai agama Islam kepada Jalani. Dia memang berminat dengan teologi. Islam adalah agama terakhir dia belajar. Sebelum itu dia pernah belajar agama Hindhu, Buddha, falsafah Confucius dan Taoisme. Jalani selalu menyuruhnya bertanya pada atendan mayat yang baru saja kembali dari Makkah setahun lalu. Haji Daud atau lebih sering dipanggil Pak Aji sahaja, berasa suatu penghormatan besar bila bossnya mengtanyakan sesuatu mengenai Islam. Dia pernah mengajar Guislain mengucap dua kalimah syahadat. Tetapi Haji Daud sedar ucapan itu sekadar untuk menambah khazanah ilmunya mengenai agama. Dia mempunyai pendiriannya sendiri. Prof Guislain sering meragui apakah kewujudan manusia itu sendiri yang menciptakan agama atau Tuhan secara rela hati menurunkan agama kepada manusia sejagat. Biarpun dia berfikir berulang kali, mempelajari pelbagai agama, kebuntuan juga yang menghantuinya. Baginya, persoalan itu ibarat kisah antara telur dan ayam. Tetapi Prof Guislain pernah menyatakan pendiriannya terhadap kewujudan Tuhan kepada beberapa mahasiswa ketika itu, termasuk Dr Jalani. Tuhan itu, katanya memang tunggal tetapi Tuhan sendiri mencipta tuhan-tuhan lain dari yang tidak bernyawa. Tuhan juga menciptakan Tuhan yang ada anaknya yang mana mereka berkongsi kebesaran. Tuhan mencipta tuhan yang tidak mahu berkongsi keagungan dengan pesuruhnya. Lebih aneh lagi katanya, tuhan mencipta manusia yang tidak percaya padanya dan yang menyangsikan kewujudannya. Demikianlah kebesaran Tuhan menurut Prof Guislain.

Tangan kiri Dr Jalani memukul tebing kerangka pintu Muzium Antropologi dengan akhbar The Straits Times tanpa sebarang sebab. Muzium ini jauh lebih kecil dari Muzium Anatomi. Tengkorak daripada pelbagai species tersusun rapi pada para-para keluli yang penuh mengisi ruang muzium itu. Sebahagian tengkorak tulen dan sebahagian tengkorak replika. Sekeping peta raksasa tergantung di dindingnya. Peta dunia itu dihiasi dengan gambar-gambar manusia purba di setiap benua. Melalui muzium itu, Dr Jalani masih dapat berasakan peragaan bahan-bahannya mengikuti falsafah Darwinisme yang sudah lapuk, malah kini Neo-Darwinisme pun telah kehilangan banyak pengikutnya kepada Creator Theory. Tidak ada sesiapa di jabatan Anatomi yang berminat mengemaskini muzium itu.

Pintu keluar Muzium Antropologi menuju ke suatu ruang kosong yang agak kecil dibandingkan ruang-ruang sebelumnya. Terdapat dua buah pintu. Satu pintu itu tertulis: STOR OSTEOLOGI dan satu pintu lagi tertulis: MAK-MAL PENYELIDIKAN.

Stor Osteologi pada suatu ketika dahulu ditempati oleh Prof Guislain sebagai pejabatnya. Stor ini menyimpan tulang-tulang manusia yang pernah dibelah di Jabatan Anatomi sejak penubuhannya. Kawasan stor ini cuma dua kali setahun menjadi sibuk dengan mahasiswa iaitu pada awal dan akhir tahun pengajian. Kehadiran mereka di situ adalah untuk mengambil atau memulangkan tulang-tulang yang dipinjamkan kepada setiap mahasiswa. Kalau tidak, kawasan ini sunyi sepi seolah-olah kawasan larangan.

Dr Jalani terus ke pintu makmalnya. Tangan kanannya serta merta menyeluk saku seluarnya dan mengeluarkan serangkaian kunci. Dia memilih salah satu daripadanya dan memasukkannya ke dalam lubang kunci itu. Sebaik saja pintu itu terbuka, dia mengembalikan segera rangkaian kunci itu ke dalam saku yang sama. Kegelapan bilik makmal cepat berakhir bila jari-jari tangan kanan memetik sebarisan suis bagaikan jari-jari pemain piano yang trampil.

Sesiapa sahaja yang baru melewati Muzium Anatomi dan kemudian Muzium Antropologi pasti terkejut dengan perubahan mendadak dari persekitarannya. Seolah-olah kejutan budaya. Kejutan tamadun yang memerlukan ribuan tahun, terjadi dalam beberapa minit sahaja. Makmal itu tampaknya mengekori satu atau dua tahun di belakang kilang yang mencipta alat-alat itu. Tidak nampak alat-alat usang kecuali alat penyaman udara yang mengeluarkan bising mendatar setelah jari telunjuk Dr Jalani menekan butang hijau pada suis pendingin itu. Tangan kirinya melempar suratkhabar itu ke atas meja tulisnya.

Punggungnya dibenamkan ke kerusi eksekutif yang boleh membuat putaran 360 darjah. Matanya segera tertumpu pada sepasang foto berwarna di atas meja tulisnya. Sejenak fikirannya melayang ke masa silam. Belaian dan ketawa bergema di benaknya. Arca-arca kedua-dua anaknya berlarian ke arahnya memeluki tubuhnya. Kehangatan tubuh mereka masih panas di derianya. Tiba-tiba layar arca itu terputus dari lamunan benaknya oleh deringan telefon. Dia sedar kembali ke dunia nyata. Kedua-dua anaknya sudah dewasa. Fauziah sudah lapan bulan mengandung. Dan Kamarshah kini menduduki tahun akhir di Fakulti Kejuruteraan Awam di Universiti Teknologi Malaysia.

Tangan kirinya mencapai gagang telefon dan merapatkannya ke pipi. Begitu rapat sehingga telefon itu menyentuh bibirnya.

Hello 2306931, Telekom di sini, suara itu terdengar dari mulut telefon itu.

Ya 2306931 di sini, balasnya sambil menyedari telefonis itu masih menggunakan Jabatan Telekom, tidak

STM.

Encik ada minta Pusat Bantuan Antarabangsa buat panggilan ke Zurich pada pukul lima setengah petang

Ya,

Maaf encik, hubungan dengan Zurich tak dapat dibuat.

Kenapa tanya Dr Jalani dengan nada kecewa.

Tak ada orang yang mengangkat telefon di sana.

Patutlah saya cuba panggilan ATD pukul tiga setengah petang tadi juga tak masuk. Dia mengessahkan kesamaan hasilnya. Baru dia teringat perbezaan masa antara Zurich dan Kuala Lumpur lantas bertnya pula.

Di Zurich sekarang pukul berapa, siang atau malam

Tak tahu encik, jawab telefonis itu seolah-olah dia ingin menjawab, kurang periksa, itu bukan pekerjaan saya.

Terima kasih sajalah.

Apa encik mahu saya cuba pada lain masa, jawabnya seolah-olah berpura-pura ingin menolong.

Tak payahlah, sambil meletakkan gagang telefon pada tempat asalnya.

Dia agak kesal dengan ketidaktelitiannya. Tidak ada orang yang akan mengangkat telefon kalau di sana bukan waktu pejabat. Dia cuba mengagak waktu di Switzerland.

Apakah perbezaannya 8 atau 10 jam. Tekaannya merabaraba. Kalau di sini pukul 5:30 petang, di sana pukul 1:30 pagi atau 3:30 pagi. Setidak-tidaknya dia kena menunggu beberapa jam lagi di makmalnya.

Dr Jalani sudah terbiasa dengan pulang dari makmal hingga larut malam. Tidak jarang, dia tidur di makmal. Dia boleh berehat dan mandi di situ. Pakaian bersih sentiasa ada dalam lemari. Din, pembantu makmal akan mengambil dan menghantar pakaiannya dari kedai dobi. Malah pakaian kotor di rumah juga dibawa sekali ke makmal.

Rumahnya hampir tak berfungsi sebagai tempat kediaman. Lebih merupakan tempat persinggahan. Rumah kembar bertingkat itu terletak di kawasan Subang Jaya. Walaupun kawasan perumahan itu menjadi sasaran buruh binaan dari Indonesia mencari rezeki haram pada malam hari tetapi rumah itu agak selamat ditinggalkan. Barangkali pada fikiran buruh-buruh itu, rumah Dr Jalani tidak memenuhi kriteria selera mereka. Lalang di rumahnya setinggi kepala lutut. Jendela-jendela rumahnya tidak berlangsir. Tidak ubah macam rumah sewa yang terbiar. Dia pulang ke rumahnya hanya untuk mengambil surat-surat yang menggunakan alamat pos rumah itu.

Rumah itu rumah keduanya. Rumah pertamanya di Kampung Melayu, Ampang, di mana bekas isterinnya menetap. Sejak perpisahan itu, segenap tenaganya ditumpukan kepada penyelidikan. Satu sumbangan akhir untuk jabatan dan universiti sebelum perkhidmatannya menemui titik persaraannya dalam masa dua tahun lagi.

Dia kembali ke kerusinya. Menunggu adalah sesuatu hal yang amat dibencinya. Membunuh masa begitu sahaja tanpa pengisian adalah suatu pembaziran. Dapat dirasakan kematian begitu dekat dalam ukuran masa yang mutlak. Pengisian waktu perlu memenuhi masa di antara titik hidup akhir dengan titik kematian agar sisa hidup itu akan lebih bermakna. Entah kenapa, setiap kali dia terpaksa menanti tanpa sebarang kerja, isu kematian kerap menghantuinya. Baru dia teringat bahawa ada suatu perkara yang belum dilaksanakannya hari itu. Suatu kebiasaan seperti upacara kerohanian.

Dr Jalani menarik laci atas dari tiga laci yang ada di meja tulisnya. Diambilnya dari laci itu sekeping lempengan kertas aluminium nipis yang mempunyai benjolanbenjolan yang teratur rapi. Di atas kertas seakan-akan warna perak bersilau tercetak: Aspirin 300 mg (Enteric coated tablets). Dia terus mengoyak kertas itu pada bahagian tengah benjolan itu. Lantas diletakkan tablet merah jingga itu di atas lidahnya. Tidak disedari, tidak ada jar air dan gelas di atas meja tulisnya. Barangkali Din telah memasukkannya ke dalam peti sejuk.

Dia bangun dari kerusinya lagi menuju ke dalam peti sejuk. Biar pun tablet Aspirin itu terkulum di mulutnya tetapi deria lidahnya tidak merakam ketajaman rsa dan baunya. Ini dia sedari kerana ini bukan Aspirin biasa. Ia disalut oleh selapisan selaput yang hanya akan pecah terburai di dalam usus kecil sahaja. Dibukanya peti itu dan mengambil jar air. Kepalanya tunduk mencari-cari gelas kerana lampu di dalam peti sejuk itu tidak menyala lagi. Akhirnya baru dia jumpai gelas dalam keadaan terbalik di atas peti sejuk itu. Ditelitinya beberapa bahagian dalam gelas itu untuk mencari tanda-tanda kekotoran. Berasa puas dengan tahap kebersihan gelas itu, dia menuangkan air sejuk itu ke dalamnya. Kedinginan air itu merubah kebeningan gelas itu bagaikan kabus di cermin jendela keretanya di kala hari hujan.

Diteguknya air itu, menghilangkan tablet itu dari mulutnya tanpa merasa suatu keingkaran. Biasanya pada orang lain yang pernah datang meminta nasihat mengenai perubatan, dia sentiasa mengingat mereka meminum ubat dengan air yang suam. Penelanan ubat itu seperti disertai semacam niat puasa di malam bulan Ramadhan.

Dr Jalani mengambil Aspirin untuk jantungnya. Jantungnya tidak sakit. Stress ECG lebih baik dari setengahsetengah orang yang lebih muda darinya. Tidak juga kardiologisnya yang menyarankan. Tetapi dia yakin benar bahawa Aspirin itu dapat melindungi jantung daripada terkena serangan. Dia lebih mendahului seluruh doktor-doktor di Amerika Syarikat yang mengambil bahagian dalam suatu kajian prospektif di peringkat nasional, awal Januari tahun 1988. Kajian itu ingin membuktikan pengambilan Aspirin dalam kadar yang rendah setiap hari atau setiap selang sehari dapat mencegah dari terjadinya pembekuan darah pada pembuluh-pembuluh koronari di jantung. Sifat anti-platelets aggregation dari Aspirin ini diharapkan oleh Dr Jalani akan memungkinkan dia menyaksikan suatu peristiwa yang hanya terjadi setiap sepuluh abad. Dia ingin menanti sinar fajar perdana yang akan menjelma di subuh pagi di hari pertama, bulan pertama dan tahun pertama dari kurun kedua puluh satu.

Dia kembali ke kerusinya. Agak sedikit gelisah kerana kekosongan melimpah. Dicapainya akhbar yang pernah dilemparkan tadi. Dia terus ke halaman tambahan Times two kerana halaman depan telah pun dibacanya. Dia membuka halaman-halaman itu dengan agak pantas. Berhenti sejenak di ruangan kartun yang memenuhi muka empat akhbar tambahan itu. Belum sempat dia menghabiskan jenaka di halaman kartun itu, matanya tertumpu kepada gambar seorang wanita yang berdiri di sisi sebuah model cakerawala. Gambar wanita itu yang mengisi dua puluh lima peratus dari ruangan Women of Substance mengingatkan bekas isterinya Malia. Penuh substance, berwibawa, gigih dan seperti wanita-wanita yang bangun di majlismajlis diskusi, memperingatkan khalayak tentang ketidaksesuaian penggunaan kata Chairman dan patut diganti dengan Chairperson atau akan melarang orang menggunakan kata mankind dan menggantikannya dengan humankind.

Dia terus membaca artikel itu sehingga akhir. Barangkali wanita itu boleh digelar Hawkingnya Malaysia. Astronomer wanita itu pasti gembira kalau dapat duduk semeja dengan Prof Stephen W. Hawking dan berbicara melalui synthesizernya. Mereka akan bicara tentang cakerawala yang tiada tebing dan sempadan. Bayangkan Prof Guislain, Einstein dan Dr Mazlan berbicara tentang the big bang dan the black hole. Bima Sakti yang berdimensi enam, tanpa titik permulaan dan tiada titik pengakhiran. Hawking yang menyangsikan kewujudan tuhan, mempertikaikan teori kiamat oleh Einstein, akan dibangkang habis-habisan oleh Prof Guislain. Tentu Dr Mazlan akan mempertahankan keunggulan tuhan di depan Hawking walaupun di mata Hawking dia masih hingusan. Ah! Betapa rancaknya peristiwa itu. Permainan benak Dr Jalani mengadun manusia yang lampau dan kini. Hanya boleh terjadi di alam khayalan manusia. Seperti Dr Jalani.

Ketuhanan Hawking berbeza dengan Guislain. Pada Hawking, tuhan tidak dapat berbuat apa-apa seteleah dicipta-Nya alam ini. Dibiarkan begitu sahaja seperti tuhan membiarkan dia perlahan-lahan lumpuh, tidak dapat bergerak dan bercakap tanpa bantuan. Suatu dendam dan pembalasan terhadap keacuhan tuhan, Hawking mengecilkan peranan tuhan dengan formula-formula kuantum dalam buku A Brief History of Time yang pernah dibaca oleh Dr Jalani pada Julai lalu.

Lamunan itu putus bila mata Dr Jalani kembali ke gambar yang menghias ruang tadi. Keyakinan diri wanita ini pasti akan membawa kejayaan. Dia didesas-desuskan sebagai salah seorang daripada tiga calon angkasawan yang akan mengibari bendera Malaysia di dalam kapal angkasa Rusia. Calon kedua, orang yang pernah dia kenal. Orang yang paling sesuai menurutnya. Seorang perwira lengkap berpangkat Brigedier Jeneral di Kor Perubatan. Pengalaman dan pengetahuan perubatan penerbangan yang dimilikinya membuat dia mendahului calon-calon lain. Dia tidak tahu calon ketiga. Kemungkinan akan dipilih dari mereka yang mengisi borang-borang yang diedarkan. Di segala bidang, rakyat Malaysia mengejar ketinggalan dari arus kemajuan teknologi. Teknologi agama kurun ke dua puluh satu. Tiga orang angkasawan untuk empat belas orang ofthalmologis Rusia bagi projek hospital mata di Langkawi. Suatu barter trade yang tidak merugikan. Cuma MMA saja yang bising. MMA mengambil masa 11 tahun untuk merangka skim insurans yang masih tidak wujud. Sebelas tahun dihabiskan hanya untuk mengkaji sistem di Amerika Syarikat dan NHS5 di negeri Inggeris. Tetapi bila orang lain ada idea yang bernas mengenai perubatan, mereka berasa kepentingan mereka terjejas. Bila diminta membuat cadangan, sebelas tahun dihabiskan untuk mundar-mandir ke San Francisco dan London untuk mengumpul data mengenai sistem di sana saja. Akhirnya mereka sendiri mengatakan cadangan mereka tidak dapat dilaksanakan di Malaysia atau kita belum bersedia lagi. Kritik Dr Jalani dalam fikirannya.

Tanpa Dr Jalani sedari, masa berlalu begitu pantas. Matahari siang sudah hilang dari jendela kaca. Jendela itu begitu tinggi hampir mendekati lelangit makmal itu. Kehitaman mengisi kaca itu dalam kegelapan di luar. Akhbar yang masih di tangannya dikembalikan kepada induknya. Kedua-dua belah tangannya bercantum erat dengan jarijari dimasukkan di celah masing-masing. Diletakkan kedua-dua belah tangan itu di belakang kepalanya. Tubuhnya dibiarkan santai. Beban tubuhnya sedikit melebihi sepuluh peratus daripada berat yang dibenarkan terpaksa patuh kepada teori Newton. Kerusi itu tumbang perlahan-lahan ke belakang dalam gerakan yang lembut. Berbantalkan tangan dia menutup kepalanya. Ayunan kecil oleh kerusinya adalah hasil perimbangan antara dua kekuatan. Tenaga spring dengan daya graviti. Walaupun malam masih muda, dia ingin merehatkan badannya agar bila terbangun kelak, seluruh sistem tubuhnya akan berada dalam keadaan siap siaga. Buaian lembut kerusi itu mempercepat kedatangan ratu tidur yang diharap-harapkannya.

***

Tidurnya Dr Jalani tidak terganggu beberapa jam lamanya. Bunyi tikus-tikus bebas berlarian di bilik kurungan haiwan tidak kuat untuk membangunkannya. Hanya pada kelopak mata yang tertutup rapat itu, gerakan kedua-dua bola matanya tampak berulang alik ke kiri dan ke kanan. Pesta yang dibuat oleh tikus-tikus yang merdeka juga disambut oleh tikus-tikus putih, marmut, kelinci, siamang, lotong, monyet Rhesus dan cimpanzi yang terpenjara dalam kandang masing-masing. Hingar dan keriuhan dari bilik kurungan haiwan membebaskan Dr Jalani dari lintasan mimpinya. Kelopak mata yang tadinya tertutup mulai terbuka. Terasa kebas pada kedua-dua tangan yang membantali kepala itu sejak beberapa jam yang lalu. Dileraikan kedua-dua ikatan daripada ikatannya. Tangan kanannya menggosok kedua-dua matanya sambil menggeleng-gelengkan kepala untuk memulihkan fungsi otaknya kembali ke paras kesiagaan.

Dr Jalani setelah bangun segera menuju ke bilik kurungan haiwan. Dia sudah terbiasa dengan bunyi pikuk dari tempat itu. Jam tangannya dilirik. Tidak terduga olehnya betapa nyenyak dia tidur. Sudah pun 2:30 pagi. Dalam hati kecil, dia berterima kasih kepada tikus-tikus yang menjadi jam gerak baginya tanpa diminta berbuat demikian. Dia sampai di depan pintu bilik kurungan haiwan. Pintu itu separuh terbuka dan patutlah fikirnya, bunyi yang menggerakkannya terlalu bising. Kalau tidak, mungkin dia tidak terbangun. Agaknya Din lupa menutupnya.

Dia memperluas bukaan pintu itu. Kegelapan dihilangkan sekelip mata sepantas ilusi pakar sihir. Lampu neon yang tunggal itu menerangi sebahagian besar bilik itu dengan disambut oleh lompatan dan larian tikus-tikus yang bukan penghuni di situ. Suara monyet dan beruk cimpanzi seolah-olah menyapanya dengan goncangan-goncangan jerejak besi yang merampas kebebasan mereka. Siamang yang hitam itu pun tidak dapat tidur diganggu kebisingan itu. Dr Jalani turun ke beberapa anak tangga sahaja. Sebahagian besar bilik itu terbenam ke bawah paras bumi.

Hanya tingkap-tingkap separuh bulatan yang menerangi bilik itu di waktu siang berada di atas paras bumi. Dia cuma memeriksa kalau ada tamu yang tidak diundang selain tikus-tikus luar itu. Mengabaikan jeritan dan laungan haiwan-haiwan, Dr Jalani berbalik memanjati anak-anak tangga itu yang menuju ke pintu. Dia menutup rapat pintu itu dan suara riuh dari temasya mergastua hanya terdengar dari kesayupan yang jauh.

Dia berasa amat lega. Penantian yang sepatutnya menyeksakan tidak terjadi. Diselamatkan oleh dewi peraduan yang melenyapkan kekosongan waktu yang begitu panjang.

Dia terus ke mejanya. Dia tidak terus duduk seperti lazimnya. Dicapainya telefon itu dan menekan butang-butang itu. Kod laluan ATD kod negara, kod kawasan baru akhirnya nombor telefon. Mendengar nada dering dari mulut telefon itu, dia segera menarik seluruh unit telefon itu bersama-sama kawat-kawatnya mendekati komputernya dan lantas tangan kirinya menekan suis kuasa pada komputer itu setelah tangan kirinya meletakkan badan pendail di samping modem. Tangan kiri yang kini bebas, segera mencapai cakera floopi yang belum dimasukkan ke dalam disc drive A. Kekelam-kabutan itu bagaikan lipas kudung segera berakhir dan kemudian berganti dengan wajah yang tergubah.

Tiba-tiba mulut telefon itu mengeluarkan suara yang sekian lama dinanti-nantikan.

Hello kata suara itu.

Hello! balas Dr Jalani.

Hello! good morning, sir. Kata suara itu dalam bahasa Inggeris dalam loghat Jerman yang pekat. Belum sempat Dr Jalani berkata sesuatu, suara itu menyambung.

This is Computer Centre, Zurich, Medical Research

Institue.

Good morning, balas Dr Jalani. Thank goodness finally I got you.

Can you please sir, identify your M.I.N., suara itu meminta Dr Jalani memberikan nombor pengenalan ahli.

0045-4231-912, begitu pantas Dr Jalani menyebut seperti dia telah menyebutnya berpuluh-puluh kali.

Please say it again, sir. Suara itu meminta mengulangi Membership Identity Numbers. Suara telefonis itu didengar dengan terang dan jelas malah lebih jelas dari panggilan dari Ipoh atau di kawasan tertentu di Kuala Lumpur.

0045-4231-912, ulangi Dr Jalani dengan agak perlahan supaya sempat telefonis di Zurichs Medical Institute menekan butang-butang pada komputernya. Setelah menunggu beberapa ketika, suara itu membalas.

Youre now in the system, sir. Kindly put your phone to your operating modem.

Thank you. Jawab Dr Jalani pendek sambil menyedari telefonis keturunan Jerman itu sentiasa menyebut perkataan sir setiap kalimat ayatnya.

Dr Jalani meletakkan gagang telefonnya ke penerima modem yang menghubungkannya dengan komputer IBM dengan kemampuan 186 megabyte. Dia menarik kerusi yang tersorok di bawah meja komputer. Dan terus duduk di atasnya, berhadapan dengan layar monitor monokromik yang kuning kehijau-hijauan.

Jari-jemarinya menari-nari di atas key-board dengan lingo kod-kod pengenalan. Dr Jalani membuat arahan dan permintaan pada komputer IBM pusat di Zurich. Segala keterangan yang dimiliki oleh Pusat Komputer itu boleh diperolehi dengan begitu mudah. Hanya kini arahan berada di hujung-hujung jari yang laju mencecah butang-butang di komputer IBM terminal. Kadang-kadang dia terpaksa merakam keterangan dari komputer induk untuk memendekkan masa penggunaan telefon.

Bil telefon Jabatan Anatomi mencapai beribu ringgit. Tetapi dia bernasib baik kerana tidak pernah mendapat teguran dari bendahari universiti. Pertama nombor telefon yang Dr Jalani gunakan masih berstatus telefon ketua jabatan dan kedua, jatah tersedia sebagai dana pengembangan penyelidikan.

Superkomputer di Zurich itu juga mempunyai hubungan terus dengan superkomputer yang lain di kota-kota metropolitan di Eropah, United Kingdom dan Amerika Syarikat yang aktif terlibat dengan penyelidikan perubatan. Perhubungan ini menjadi lebih rancak sejak wabak AIDS dan AIDS-related complex menyerang makhluk dunia. Kebanyakan superkomputer ini dikatakan kebal kepada virus komuter yang sama ganasnya dengan virus AIDS. Apabila virus ini menyerang sebarang komputer, kesemua data yang dimiliki oleh komputer itu akan lenyap begitu saja. Dr Jalani amat takut kepada serangan virus ini terutama Virus Morris. Segenap usahanya selama tiga tahun kebelakangan ini tersimpan di dalam cakera simpanannya.

Dr Jalani asyik menaip. Memasukkan data yang diminta oleh komputer. Dia menantikan jawapan dari komputer itu. Tiba-tiba tangannya melepaslan diri dari sentuhan di skrin komputer itu sambil menepuk kedua-dua belah tangan itu dengan jejari yang saling menggenggam. Tepukan gembiranya mendekatkan bibirnya dengan kedua-dua ibu jari yang bergandingan.

Pada layar monitor itu tertera: dextro-trans methoxymethosone HBr 4% (DTMM Hbr) is the most suitable mitonchondrial stabilizer.8

Dia kemudian menaip lagi, meminta keterangan lanjut mengenai bahan kimia yang baru saja diterimanya. Keseronokan terukir di wajahnya sambil memerhatikan mesin pencetaknya bekerja secara automatik mencetak data mengenai bahan kimia itu. Dr Jalani begitu puas dengan perolehannya. Ditunggunya sampai mesin itu berhenti. Diambil kertas-kertas yang berlubang-lubang di sisinya. Dibaca berulang kali seolah-olah ingin menghafal isi kandungannya.

Dr Jalani meninggalkan kerusi komputer itu dengan membawa jelaan kertas komputer itu seperti ekor layanglayang ditip bayu. Dikeluarkan sebuah buku catatan yang berkulit PVC hitam dari laci meja tulisnya. Dia terus duduk sambil tergesa-gesa menulis sesuatu di beberapa lembaran buku itu. Seakan-akan mengisi tempat-tempat yang lama dikosongkan. Dia terus membaca, meneliti kertas itu bagaikan kanak-kanak mendapat mainan baru.