SIDANG SERANGGA - 3
DALAM sebuah belukar kecil yang terpencil, di suatu kawasan terbiar dalam Wilayah Persekutuan, beberapa jenis serangga telah berhimpun untuk menubuhkan sebuah JKK - Jawatankuasa Kecil untuk menyusun satu JKP - Jawatankuasa Penaja - bagi mengadakan satu persidangan serangga seluruh Malaysia. Mereka itu telah dipanggil oleh Profesor Doktor Mentadak Mentadu melalui CJJ - Cakap Jarak Jauh - tanpa dawai yang lebih baik dari telefon biasa.

Hanya beberapa bulan yang lalu dalam tahun 1982, satu seminar pecticides atau racun-racun untuk membunuh serangga-serangga yang merosakkan sayur-sayur telah diadakan di Universiti Desadani, kata Profesor Doktor Mentadak Mentadu. (Dalam bahasa Inggeris, mentadak-mentadu, atau ketenung, ataupun gegancung, ialah mantis, yang kadangkadang digelar juga mantila).

Hasil daripada usaha-usaha yang telah dijalankan oleh para saintis kaum serangga, iaitu dengan mencantumkan atau mengahwinkan baka-baka dari berbagai-bagai jenis serangga, kiambangkiambang, kumbang-kumbang kecil, binah-binah, yang bersayap dan merayap maka baka-baka baru kaum kita sudah boleh melawan racun-racun serangga buatan manusia hinggakan keturunan baru kaum kita itu tidak lagi boleh mampus dan binasa.

Sebaliknya, kubis-kubis dan Iain-Iain jenis sayuran yang ditanam begitu banyak di Tanah Tinggi Cameron, dalam Negeri Pahang Darul Makmur, kini mula agak merbahaya bagi makanan manusia sebab sayur-sayuran itu menjadi toxic atau mengandungi racun-racun yang boleh menyebabkan beberapa jenis penyakit kepada manusia, kata lagi Profesor Doktor Mentadak Mentadu.

Aku dan kaum keluarga aku tidak takut sangat kepada racun-racun moden yang disembursemburkan kepada kami oleh manusia moden yang kini menikmati hidup yang semakin maju dan mewah. Yang kami tidak boleh tahan ialah sumpahsumpah manusia kepada kami, istimewa kaum wanitanya. Mampus, jahanamlah kamu, kurang ajar punya binatang, babi, suwe, sial dan lain-lain kata yang menghina kami, kata Si Lipas Kudung yang telah dijemput datang menghadiri mesyuarat JKK itu bersama dengan Sang Cengkerik oleh Profesor Doktor Mentadak Mentadu.

Sabar, sabar, jangan mudah marah-marah. Manusia sendiri sedang menghadiri kemusnahannya sendiri dengan kemajuan sains dan teknologinya, dengan berbagai-bagai alat senjata nuklear, peluru-peluru berpandu, kapal-kapal selam nuklear, berbagaibagai jenis kimia, ujar Profesor Doktor Mentadak Mentadu, lalu menyebut satu perumpamaan Melayu: Si Luncai terjun dengan labu-labunya, (payung terjun) biarkan-biarkan.

Mengikut satu telahan dari seorang pakar ternakan, kata lagi Profesor Doktor Mentadak Mentadu, lembu kerbau yang jadi sumber daging makanan manusia tidak lama lagi akan pupus jikalau tidak segera dicantum atau dikahwinkan dengan benih baka banteng atau seladang. Tetapi di mana ada lagi seladang dalam Malaysia ini Kancil dan pelanduk pun sudah mula pupus. Begitu juga kambing dan biri-biri. Jikalau tidak segera dicantumkan dengan baka kambing-kambing gurun maka kambing dan biri-biri juga akan semakin kecil, kurus dan lemah, dan akhirnya akan pupus. Sebaliknya, para saintis kita kaum serangga telah berjaya mencipta benih merah yang kini mula menyusahkan petani-petani, yakni penanam-penanam padi di Kedah.

Walau bagaimanapun, kita kaum serangga juga mempunyai beberapa masalah yang rumit, sambung Profesor Doktor Mentadak Mentadu. Seperti halnya dalam masyarakat manusia di seluruh dunia, dalam masyarakat kita juga ada yang rasuah, yang menyeleweng dan yang menyalahgunakan kuasa, pangkat dan darjatnya.

Siapa tanya Sang Tebuan, sepatah.

Hai, perhatikanlah kupu-kupu (atau rama-rama) yang lawa, yang ranggi, yang berwarna-warni, tetapi sombong dan takbur. Mereka juga merosakkan sayur-sayuran yang ditanam oleh manusia. Mereka suka bertelur pada daun-daun terung, daun-daun bunga raya dan sebagainya. Telur-telurnya itu bila menetas menjadi ulat-ulat hijau yang menggulung daun-daun itu hingga kadang-kadang pokok-pokok itu mati. Tetapi manusia tidak membunuhnya sebab rupa parasnya cantik, malahan manusia menangkapnya hidup-hidup, kemudian dimatikan dan diabadikan dengan ubat-ubat untuk dijadikan perhiasan. Seekor kupu-kupu yang besar dan cantik pula warna-warninya boleh dijual dengan harga yang mahal. Nasib baiklah ada angkut-angkut.

Mengapa pula tuan menyebut angkut-angkut Baikkah mereka itu, soal Semut Api.

Angkut-angkut ialah serangga yang berjasa. Mereka juga boleh dikatakan lebai-lebai dalam kaum serangga. Mereka membuat sarang-sarangnya daripada tanah liat yang bersih. Lazimnya mereka menumpang membuat sarang-sarangnya pada tiang atau dinding rumah-rumah manusia. Apabila sudah bertelur maka dicarinyalah ulat-ulat yang menjadi daripada telur-telur kekupu, diangkutnya ke dalam sarang-sarangnya itu untuk makanan anak-anaknya bila menetas.

Sebab itulah maka manusia tidak membunuh angkut-angkut tanya Sang Kerawai (bukan tebuan tanah).

Sah dan nyata, sahut Profesor Doktor Mentadak Mentadu. Maksud saya menyatakan bahawa kupu-kupu itu ialah sejenis serangga yang cantik, tetapi sombong, ialah wakil-wakil daripada golongan mereka itu tidak boleh diajak hadir dalam Persidangan Bangsa-Bangsa Serangga yang akan diadakan kelak. Manusia Melayu mempunyai satu ungkapan iaitu pelacur-pelacur adalah ibarat kupu-kupu malam. Ada bahayanya jikalau kita ajak mereka itu berunding kelak, Profesor Doktor Mentadak Mentadu.

Apakah pendapat tuan mengenai Sang Lebah tanya Sang Tebuan. Tadi tuan mengatakan bahawa angkut-angkut yang rupanya hampir-hampir serupa dengan kami kaum Tebuan, tetapi lebai, yakni baik tingkah lakunya maka wakil-wakil daripada kaum kami bolehlah hadir dalam persidangan agung kaum serangga di Malaysia kelak

Profesor Doktor Mentadak Mentadu, ulama besar dari segala jenis serangga itu tersenyum-senyum. Beliau teringat kepada cerita bagaimana Sang Kancil telah menipu Sang Beruang dengan mengatakan sarang tebuan ialah gendang Nabi Sulaiman dan juga telah menipu Sang Harimau dengan mengatakan bahawa ular sawa ialah tali pinggang Nabi Allah Sulaiman. Sang Kancil juga telah menipu Sang Buaya dan kaum kerabatnya.

Lebah-lebah, walaupun agaknya bukan sejenis serangga, adalah sangat berguna kepada manusia. Cara hidupnya, atau masyarakatnya patut sangat dicontohi oleh serangga-serangga yang lain. Mereka senantiasa bersatu padu, bekerjasama, dan sebab itulah manusia dalam negara-negara maju menjinakkannya dan menternaknya banyakbanyak. Kaum Tebuan juga boleh berguna kepada manusia, tetapi perangai mereka, adakalanya, jahat sedikit. Itulah manusia memberi ingat anak cucunya supaya sarang tabuan jangan dijolok.

Memang betul, tuan profesor. Kadang-kadang makanan kami pun dirampasnya, menyampuk Sang Langau.

Betul, tuan, Sang Lalat menyokong. Kadangkadang tahi ayam pun dimakannya.

Merah padam muka Sang Tebuan, merah sampai punggungnya, terjulur sengatnya. Cakap siang, tengok-tengok cakap malam dengar-dengar katanya. Nanti aku sengat engkau baru tahu! ia mengugut.

Ah, ah, belum apa-apa lagi sudah hendak bergaduh. Kaum-kaum lalat dan langau, manusia amat murka kepada kamu. Begitu juga kepada anai-anai dan segala jenis semut. Macam-macam jenis racun sedang dibuat oleh manusia untuk membunuh kamu semua, sebab kamu dikatakan mendatangkan berbagai-bagai penyakit kepada manusia. Diamdiamlah dulu, kata Sang Cengkerik.

Terima kasih, terima kasih, Encik Cengkerik, kata Profesor Doktor Mentadak Mentadu. Engkau barubaru ini telah menyelamatkan Si Lipas Kudung. Kita bermesyuarat hari ini hendak mencari pakatan supaya kaum serangga sekaliannya tidak akan dibunuh manusia, kata ulama serangga itu.

Memang manusia terlalu dengki kepada kita kaum serangga, kata Sang Nyamuk Tiruk yang disokong pula oleh Sang Nyamuk Aedes. Marilah kita bunuh manusia, sekalian manusia, katanya.

Jangan berperasaan terlalu keras atau radikal. Kita kaum serangga bukan hendak berebut-rebut kuasa seperti manusia. Yang sebenarnya kita sekalian kaum serangga boleh selamat beribu-ribu tahun lagi, biar di mana pun kita berada, dalam negara-negara maju ataupun dalam negara-negara yang sedang membangun seperti Malaysia ini. Manusia akan berperang sekali lagi sesama manusia, berbunuhbunuhan hingga hancur lebur semuanya. Malahan, sekarang pun mereka sedang berperang. Iraq dan Iran, sesama Islam, berperang. Di Kampuchea ada peperangan. Yahudi dan Arab pun berperang. Tetapi yang lebih penting bagi kita sekalian kaum serangga ialah bagaimana kita boleh melawan racun-racun yang semakin banyak dibuat oleh manusia.

Inilah tujuan besarnya bagi mengadakan satu persidangan antara serangga. Tetapi sementara itu kita mesti kenal dulu musuh-musuh dalam selimut seperti kupu-kupu atau rama-rama yang saya sebutkan tadi. Adakah serangga-serangga lain yang kita tidak harus ajak berunding Profesor Doktor Mentadak Mentadu meminta fikiran.

Ada, tuan, iaitu Kaum Kelekatu, Sang Siput Babi memberi pendapatnya.

Sejurus kemudian hari pula mula nak senja, dan ada bakat nak hujan. Sekumpulan kelekatu keluar dari bawah tanah, terbang merayau-rayau di atas belukar kecil itu.