PERISTIWA DI PADANG KARBALA - 3
Baginda Husin menyatakan syarat-syaratnya, Syarat yang pertama, aku tidak akan memerangi kamu atas sebab sesama Islam.

Tentera Yazid terus bertanya lagi bagaimana syarat yang kedua pula. Ya, syarat yang kedua aku tidak akan menuntut apa-apa daripada kamu semua di akhirat nanti sekiranya kamu sanggup melepaskan anakku yang kecil ke Madinah untuk mencuci makam Rasulullah.

Tentera Baginda Yazid mengejek mendengar syarat itu. Mereka melaungkan kata-kata yang kesat atas Baginda Husin dan keluarga Rasulullah.

Bagaimana kami nak menerima tawaran itu, kerana tuan hamba orang yang akan kalah. Tuan hamba yang memerlukannya, bukan kami. Seharusnyalah tuan hamba harus dibunuh dengan pedang kami yang tajam ini.

Mereka mengangkat pedang mereka yang berkilat-kilat itu, sambil tertawa kegembiraan.

Baginda Husin mendongakkan mukanya ke langit. Air matanya bercucuran membasahi pipinya. Baginda berdoa meminta rahmat dari Allah. Panglima Umar Said yang mendengar doa Baginda Husin itu berasa amat sedih. Timbul kasihan dalam hatinya.

Oh! Amirul Mukminin ambil sedikit air yang ada dalam tabung belulang hamba ini. Maafkanlah hamba.

Baginda Husin mengambil tabung belulang itu dari tangan Panglima Umar Said. Segera air itu dibahagi-bahagikan seorang sedikit untuk menghilangkan dahaga.

Pada saat itu datanglah perutusan dari Baginda Yazid agar Panglima Umar Said segera mengirimkan kepala Baginda Husin kepadanya. Jika berjaya Panglima Umar Said akan dihadiahkan sebuah negeri dan dia akan dijadikan raja di negeri tersebut.

Dengan kedatangan surat Baginda Yazid itu Panglima Umar Said menjadi tamak. Segera Panglima Umar Said menyuruh orangnya memukul gen dang perang. Hari itu ialah hari Jumaat 10 Muharam. Baginda Husin segera bermesyuarat dengan sahabat-sahabat setianya. Setelah berteguh-teguh janji, pada waktu matahari sedang panas terik yang tidak terhingga, keluarlah tujuh puluh orang sahabat baginda Husin ke tengah medan peperangan.

Hamba semua memohon doa restu dari Amirul Mukminin, kata mereka. Biarlah kami sahaja yang masuk medan pada hari ini.

Baginda Husin mendoakan mereka. Para Pahlawan itu pun segera menuju ke medan perang. Dengan segera mereka dikepung oleh ketumbukan tentera Baginda Yazid yang ramai bilangannya. Panglima Utbah, Panglima Umar Said dan Panglima Ubaidullah segera mengepung pada tiga sudut. Kemudian pertempuran pun berlaku.

Tentera Baginda Husin memang tabah dan handal. Banyak tentera Baginda Yazid yang telah dapat dibunuh. Setelah melihat banyak tentera Baginda Yazid yang tertewas, dengan segera diperintahkan orang memukul gendang perang untuk berhenti berperang. Alangkah dahaganya hamba, sahabatku. Sekiranya kita tidak berkeadaan begini pasti akan hamba habiskan semuanya, kata tentera Baginda Husin.

Dengan segera mereka menghadap Baginda Husin dan menceritakan tentang kehausan mereka. Segera dijawab oleh baginda, Hai sahabatku sekalian, usahlah risaukan akan dahaga yang kamu alami. Akan hamba pinta air minum dari nenda hamba di akhirat kelak. Air dari telaga Al-Khausar.

Apabila mendengar jaminan Baginda Husin, semuanya bergembira dan tersenyum megah. Mereka terus berlengkap peralatan untuk terus masuk ke medan perang semula. Panglima Umar Said nampak tentera Baginda Husin masuk ke medan perang. Dia berasa bimbang kerana setakat ini hampir sembilan ratus orang tenteranya telah dibunuh.

Tentera Baginda Yazid mengepung tentera Baginda Husin. Pertempuran berlaku lagi dan banyak yang telah tewas. Seorang sahabat Baginda Husin yang bernama Wahab segera memohon untuk keluar berperang di tengah medan.

Izinkan hamba keluar berperang, Amirul Mukminin. Biarlah hamba pula yang menjadi galang gantinya. Musuh telah menggunakan tipu daya untuk mengalahkan kita.

Baiklah sahabatku Wahab, keluarlah dan tolonglah sahabat-sahabat kita yang terkepung itu.

Dengan segera Wahab berlengkap dan kemudian terus keluar ke tengah medan peperangan. Tentera Baginda Yazid segera mengepung pahlawan-pahlawan Baginda Husin.

Hai pahlawan-pahlawan Amirul Mukminin menyerahlah kamu. Baginda Yazid akan mengampunkan kamu, teriak tentera Baginda Yazid. Akan tetapi teriakan it tidak dihiraukan oleh tentera Baginda Husin. Askar Baginda Yazid terus mengepung sambil menyerang. Banyak pahlawan Baginda Husin mati terbunuh. Akhirnya Wahab juga turut terkorban. Kini askar Baginda Yazid mengepung khemah Baginda Husin pula.

Wahai Husin, keluarlah dan tunjukkanlah kegagahanmu itu kepada kami! teriak askar Baginda Yazid.

Suara teriakan itu terdengar oleh anak baginda yang bernama Kasim.

Ayahanda, benarkan anakanda keluar menentang tentera Yazid itu. Biarlah anakanda pula yang mengajar kelancangan mulut mereka. Setelah berfikir sejenak Baginda Husin pun segeralah memberi keputusannya.

Baiklah anakanda, ayahanda benarkan. Tetapi anakanda hendaklah menjaga diri baik-baik kerana dalam peperangan banyak tipu dayanya.

Setelah mendapat kebenaran ayahandanya, Putera Kasim pun berlengkaplah dengan kudanya dan terus memacunya ke tengah medan.

Kasim mara dengan cekal. Dia memacu kudanya ke sana dan ke mari sambil menetak kiri dan kanan. Banyaklah askar Baginda Yazid yang dapat dibunuhnya. Setelah begitu lama menyerang terasalah tekaknya begitu haus sekali. Ini menyebabkan dia begitu lemah sekali. Serangan pihak musuh begitu kuat bertubi-tubi. Dia tidak begitu kuat menangkisnya. Akhirnya dia tidak berdaya lagi melawan. Maka syahidlah dia.

Apabila melihat anakandanya yang sulung tewas, Baginda Husin menangis kesedihan. Dipandangnya kiri dan kanan lalu terpandang kepada Ali Akhbar, anaknya yang rupanya seiras dengan Baginda Rasulullah. Ali Akhbar faham pandangan ayahandanya.

Ayahanda, berilah peluang pada hamba untuk masuk ke tengah medan. Anakanda teringin benar untuk melawan tentera Yazid itu, kata Ali Akhbar.

Baginda belum menjawab kerana masih lagi bersedih mengingatkan kematian Kasim. Teringat pula akan Baginda Rasulullah apabila dia melihat wajah puteranya Ali Akhbar itu. Baginda Husin mendongakkan mukanya ke langit sambil berkata, Anakanda Ali Akhbar, ayahanda tidak dapat berkata apa-apa tentang hal ini. Tanyalah bonda anakanda. Kiranya bonda anakanda membenarkannya ayahanda mengikut saja.

Tergesa-gesa sekali Ali Akhbar pergi menghadap bondanya Tuan Puteri Syahrul Banun untuk meminta kebenaran masuk berperang. Sujudlah Ali Akhbar di kaki bondanya.

Bonda, sebelum anakanda meneruskan percakapan anakanda, pertama sekali anakanda minta halalkan air susu bonda yang telah bonda berikan.

Tuan Puteri Syahrul Banun terpinga-pinga apabila mendengar perkataan anaknya itu. Kemudian Ali Akhbar pergi pula kepada adiknya yang dua orang lagi. Dipeluk dan diciumnya kedua-dua adiknya yang masih kecil itu dengan perasaan kasih sayang. Bondanya yang melihatkan perbuatan itu terus menangis kerana kesedihan. Ditanya oleh bonda akan tujuannya.

Anakanda, apakah sebenar tujuan anakanda, sehingga bersalahan sekali perangai anakanda ini. Bonda merasakan begitu sedih sekali melihatkannya.

Ketahuilah bondaku bahawa sebentar lagi anakanda akan keluar ke medan perang. Tinggallah bonda dan adinda berdua.

Bila mendengar akan perkataan Ali Akhbar menangislah bondanya dan seluruh kaum keluarga Rasulullah. Dengan tidak membuang masa lagi Ali Akhbar pun menaiki kudanya dan terus masuk ke medan perang.

Dilihat oleh tentera Baginda Yazid di tengah medan ada seorang muda yang sedang menunggang kuda.

Lihat Panglima Umar, di tengah medan sana hamba lihat ada seorang muda yang menunggang kuda. Pada fikiran hamba anak muda itu sedang mencari mayat ayahnya.

Apabila Panglima Umar melihat sekali lagi anak muda itu sudah pun menerkam ke arah tenteranya. Panglima Umar dengan segera menuju ke arah orang muda itu.

Hai orang muda kenapakah kamu menyerang orang-orangku. Apakah kamu sedang mencari seseorang yang kamu sayangi tanya Panglima Umar.

Tidak! Aku tidak pernah mencarinya. Biarlah orang-orang yang aku sayangi itu terus hilang kerana menegakkan hak.

Ali Akhbar terus memarang dengan pedang ke kiri dan ke kanan tanpa menghiraukan keselamatannya. Banyak musuh yang dibunuhnya. Disebabkan terlalu kuat tetakan dan tikaman Ali Akhbar, pasukan Panglima Umar terpaksa undur buat seketika.

Setelah keadaan reda sedikit Ali Akhbar pulang untuk berehat. Dia masuk menghadap ayah dan bondanya. Dahaganya tidak dapat ditahan lagi. Ali Akhbar memohon air kepada ayahandanya. Baginda Husin memberikan cincin Rasulullah kepada Ali Akhbar dan menyuruhnya memasukkan ke dalam mulutnya. Dengan kuasa Allah keluarlah air dari cincin itu. Terlalu amat sejuk rasanya. Ali Akhbar merasai tubuhnya segar semula.

Dalam kesusahan kerana kekurangan air itu teringatlah Baginda Husin kepada saudaranya Muhammad Hanafiah. Baginda sedang memerintah sebuah negeri bernama Buniara.

Sahabatku, segera tuliskan sepucuk surat kepada saudaraku Muhammad Hanafiah. Katakan tentang kematian saudaranya Baginda Hasan yang telah diracun oleh Baginda Yazid. Terangkan juga keadaan kita yang kini sedang terkepung di Padang Karbala. Baiklah Amirul Mukminin, akan hamba tuliskan segera, jawab sahabatnya.

Apabila surat yang diperintahkan itu siap dicapkan dengan cincin Rasulullah. Lalu diberikan kepada penjaga kuda baginda untuk disampaikan kepada saudaranya Muhammad Hanafiah. Berangkatlah utusan itu. Dengan susah payah dia melepaskan diri daripada kepungan tentera Baginda Yazid.

Setelah utusan itu bertolak ke Negeri Buniara Ali Akhbar pun keluarlah semula ke tengah medan. Tentera Baginda Yazid banyak yang dibunuhnya. Darah merah terus mengalir di Padang Karbala. Ini menyebabkan Ali Akhbar mabuk darah. Pada ketika itulah tentera Baginda Yazid memanahnya dari belakang. Matilah Ali Akhbar di atas kudanya. Sebelum menghembuskan nafasnya sempat juga dia menyeru nama ayahandanya.

Berita ketewasan Ali Akhbar di medan peperangan itu disampaikan kepada Baginda Husin. Adik Ali Akhbar yang bongsu segera bersiap untuk masuk berperang tetapi ditahan oleh Umi Salamah dan Umi Kalsum. Baginda Husin bersedih di atas kematian anakandanya. Baginda masuk ke dalam khemah bersalin pakaian dan bersiap sedia untuk berperang. Kemudian baginda terus menghadap Umi Salamah dan Umi Kalsum.

Bonda, izinkan anakanda keluar ke tengah medan, biarlah anakanda sendiri yang menentang musuh.

Tidak anakanda! Janganlah anakanda keluar. Bonda sekeluarga masih memerlukan perlindungan anakanda. Kasihanlah kami semua.

Bonda! Apa lagi yang anakanda harus tunggu, lebih lama lagi anakanda di sini, lebih banyak lagi yang akan menjadi korban. Baiklah anakanda, walaupun terlalu berat sekali bagi bonda untuk melepaskan anakanda pergi, tetapi untuk menegakkan kebenaran dan menjalankan hukum yang hak, bonda benarkan, kata Umi Salamah dengan putus-putus suaranya.

Setelah siap segala kelengkapan perang, baginda pun keluar di tengah medan. Apabila dilihat oleh tentera Baginda Yazid, datanglah rasa ketakutan dalam hati masing-masing. Mereka undur seketika.