TRAVELOG FAGHUZI - 3
Jakarta, Indonesia

I am often tired of myself and have a notion that by travel I can add to my personality and so change myself a little. I do not bring back from a journey quite the same self that I took.

- Somerset Maugham

Perlahan-lahan aku buka mata. Sinar mentari menyelinap masuk ke bilik melalui celahan tirai kayu yang menutup tingkap, mengenai wajahku. Aku gosok mata dan memandang ke arah Haeri, masih nyenyak gamaknya. Henfon di sisi aku capai dan jam nampaknya baru menunjukkan pukul 8 pagi. Sedikit awal dari alarm yang aku set. Tak sangka pula aku mampu bangun sebelum alarm berbunyi. Mungkin ini boleh dianggap sebagai satu pencapaian yang membanggakan. Sambil menggeliat, aku bangunkan diri dari katil. Kalau di rumah sendiri pastinya aku sambung tidur lagi kalau tak ada perancangan. Setelah menyarung seluar pantai corak batik serta t-shirt putih, aku menggerakkan Haeri yang masih nyenyak. Seakan mamai, Haeri membuka matanya.

Jom breakfast, ke ko nak tido lagi aku bertanya.

Hmm... OK, Haeri yang mamai membalas.

Namun aku tak pasti apa yang OK. OK untuk bersarapan atau masih mahu diulit mimpi. Kelihatan dia kembali menarik selimut yang meliputi dirinya. Agak sejuk aircond dalam bilik. Aku ambil pencuci muka dan berus gigi untuk

ke bilik air. Pintu bilik dibuka, sebuah ucapan selamat pagi berkumandang oleh Wilco dan Barbra yang juga baru saja membuka pintu bilik mereka. Aku menyapa kembali sambil membuat isyarat tangan mahu ke bilik air dahulu sebelum bersarapan.

Usai membasuh muka, mandi dan segala macam lagi, aku keluar dan kelihatan Haeri duduk bersama Wilco dan Barbra di suatu sudut dengan roti bakar dan air kopi berada di atas meja. Aku segera masuk ke bilik dan mencampakkan barang-barang mandian. Rokok di atas meja aku capai dan segera keluar bersarapan bersama mereka.

Pagi pertama di Indonesia, aku menjamu selera dengan roti bakar sapu jem dan kopi tradisional Indonesia. Ringkas. Memang pesen aku makan sikit je bila sarapan atau baru bangun tidur. Tak boleh nak makan banyakbanyak. Sedang kami bersarapan, Stefan pula turun untuk bersarapan. Aku menyapanya dan menjemput dia turut serta bersama kami bersarapan. Maka berkumpullah kami lima orang di meja yang tak berapa besar itu. Memandangkan Stefan sudah pun mengenali aku pada awal pagi sebelum ini, maka perbualan pagi itu lebih tertumpu antara mereka berempat yang baru saja berkenalan.

We would like to go to the Old City right after breakfast and then go to the nearest harbor. Would any one of you want to join us tanya Wilco kepada kami semua.

I would love to. The fact is we still have no plan for today, Haeri bersetuju dengan cadangan Wilco sambil mula membakar sebatang rokok.

Thats great. How about you Stefan Wilco bertanya.

Well, I think I will join all of you, balas Stefan.

Kira-kira jam 10 pagi, usai bersarapan, merokok dan berborak-borak kosong, kami berlima pun keluar seperti apa dirancangkan oleh Wilco. Langit mendung seakan memberi petunjuk hari akan hujan. Secara tiba-tiba Tom, pemilik Citi Residence memberitahu bulan Disember ini selalunya musim hujan. Tengok keadaan pun memang macam tu namun layankan sajalah. Apa yang bagusnya Citi Residence ini adalah lokasinya yang berhampiran dengan stesen bas dan juga keretapi. All access jugalah tempat ini di tengah kota Jakarta. Kami memilih untuk menaiki busway, sebuah perkhidmatan bas awam di kota Jakarta. Sebaik keluar menghampiri jalanraya, kelihatan jalan sungguh machet. Mungkin lima kali ganda sesak berbanding KL. Stesen busway berada di tengah-tengah jalan raya seakan sebuah stesen Putra LRT di bandar KL. Perlu menaiki jejantas untuk ke stesen bas tersebut.

Laluan kaki lima dilalui dan tempat pejalan kaki juga sesak. Kota Jakarta memang gila. Dengan suasana begini, aku merasakan kalau bawa motor juga menyeksakan. Ruangan pejalan kaki sesak dengan penunggang motosikal yang menggunakan laluan pejalan kaki sebagai jalan alternatif sehingga sukar untuk pejalan kaki melaluinya. Kesukaran juga ditambah dengan pemandu-pemandu kenderaan yang selamba meletakkan kereta mereka di setiap ruang kosong di kaki lima tersebut. Tom mengatakan, di Jakarta ini selagi ada ruang kosong di kaki lima, tiada gerai mahupun pokok maka bolehlah dijadikan tempat parkir. Tidak peliklah bila ternampak sebuah kenderaan MPV dengan selamba parking betul-betul berhadapan pintu masuk sebuah kedai runcit.

Jejantas kami naiki sambil kedengaran bunyi hon yang bertalu-talu keluar di tengah kesesakan jalanraya. Di Indonesia, perbuatan membunyikan hon memang menjadi tabiat mereka. Teringat ketika bersembang dengan supir sewaktu aku di Medan dahulu. Dia menceritakan penggunaan hon sangat penting bagi pemandu di seluruh Indonesia. Ia aspek penting kerana mereka membunyikan hon sebagai isyarat memberitahu kehadiran mereka kepada pemandu lain sekiranya hendak melalui simpang, memotong dan macam-macam lagi. Aku mempercayainya kerana aku melihat rata-rata rakyat Indonesia memandu dan membunyikan hon dengan muka yang bersahaja tanpa riak wajah bengis atau bengang. Begitu juga orang yang dihon, muka biasa saja. Malah ada juga yang membalas balik hon itu sebagai tanda penghargaan. Kalau di Malaysia, rata-ratanya orang yang menggunakan hon ini dalam keadaan marah-marah dan silap hon boleh membawa pergaduhan. Itulah sedikit sebanyak perbezaan di antara Malaysia dan Indonesia. Serumpun tapi tetap berbeza.

Di sebalik kesesakan jalanraya, sedang kami menyelusuri jejantas tersebut kelihatan ramai gelandangan yang tidur dan meminta sedekah. Ada yang masih tidur dengan berseluar pendek koyak rabak beralaskan suratkhabar, ada makcik yang meminta sedekah sambil mendodoikan anak, ada yang dah serabai habis, yang berkudis, yang tak lengkap anggota badan, yang sihat walafiat tapi merempat dan ramai lagi. Kelihatan yang lalu-lalang ada yang tidak mengendahkan kewujudan gelandangan ini dan ada yang baik hati menghulurkan sedikit wang atas rasa perikemanusiaan. Di Malaysia, tidak dibenarkan bergelandangan. Gelandangan adalah satu dosa!

Akhirnya kami tiba di kaunter tiket busway. Tiket ke stesen berhampiran Kota Tua (old city) dibeli. Harganya Rp2000 saja kira beberapa sen sajalah kalau dalam Ringgit Malaysia. Di stesen itu aku lihat sudah disediakan beberapa ruang menunggu khusus untuk setiap lokasi. Aku cuma perlu tahu pintu mana berpandukan gambar rajah route bas terbabit. Melihat Stesen Kota Lama berada di laluan pintu 2 maka kami pun beratur di pintu 2 yang sudah pun ramai orang.

Setelah 10 minit menunggu, akhirnya bas tiba. Kami bergegas naik kerana tidak mahu tertinggal memandangkan keadaan yang cukup sesak itu. Masuk saja di dalam bas kedengaran suara seorang perempuan, Hati-hati! Pintu akan ditutup. Pastikan langkah-langkah anda keluar dari corong speaker. Keadaan di dalam bas sudah sesak maka terpaksalah berdiri saja. Memandangkan destinasi kami hanya perlu melalui 3 stesen, dalam masa 15 minit kami sudah sampai. Di sebalik kesesakan jalanraya di kota Jakarta, aku kagum dengan perkhidmatan busway. Sungguh lancar serta tidak tersangkut di jalanraya. Mereka memang dah khususkan ruangan kanan jalan sebagai jalan untuk bas. Memang efisyen. Kalau di KL ni memang aku dah malas nak naik bas sebab memang konfem akan tersangkut dalam kesesakan.

Sebaik turun dari bas, kami melintasi jejantas lagi sekali untuk ke seberang. Jam menghampiri pukul 11 pagi dan langit masih lagi terang. Tak kelihatan seperti hujan hendak turun. Tak tahulah mungkin ada kejutan dari yang Maha Berkuasa sebentar lagi. Apa pun, Barbra sudah pun mempunyai payung kecil dalam beg galasnya sementara Haeri mempunyai poco untuk digunakan sebagai baju hujan. Hanya aku dan Stefan tiada apa-apa untuk digunakan sekiranya hujan.

Kota Tua Jakarta atau juga dikenali sebagai Batavia Lama (Oud Batavia) merupakan wilayah kecil yang terletak di dalam Jakarta. Ia meliputi kawasan Jakarta Utara dan Jakarta Barat. Mengikut sejarah yang diceritakan oleh Tom, Kota Tua ini mendapat julukan nama sebagai Permata Asia dan Ratu Dari Timur pada abad ke-16 oleh pelayar dari Eropah. Juga merupakan pusat perdagangan bagi benua Asia memandangkan lokasinya yang agak strategik seperti kedudukan kota Melaka di Selat Melaka. Di sekitar Kota Tua ini mahupun Jakarta, penduduk asalnya adalah dari suku Betawi. Namun seperti nasib kebanyakan ibu kota negara lain, ia menjadi pusat tumpuan bagi pelbagai suku untuk berhijrah dan mencari peluang pekerjaan. Kini, terdapat kepelbagaian suku Indonesia berada di Jakarta.

Banyak bangunan peninggalan sejarah dari zaman penjajahan Belanda yang masih tersergam di situ. Kelihatan juga sebuah dataran luas dipenuhi dengan orang ramai untuk berhibur, maklumlah hari ini hari Sabtu. Kesempatan itu digunakan oleh penduduk Indonesia untuk membawa keluarga bersiar-siar di dataran tersebut. Namun terdapat beberapa bangunan dan tempat telah ditutup untuk kerja-kerja pengubahsuaian dan penambahbaikan. Aktiviti kami banyak dihabiskan dengan melihat karya-karya seni yang dipamerkan oleh seniman jalanan di sekitar Dataran Fatahillah, Kota Tua. Suasana yang seakan sama dengan Dataran Merdeka, Pasar Seni mahupun Dataran Shah Alam di Malaysia. Ada jual-jual, makan-makan, orang menyamar jadi patung hijau, biru, orang melepak, basikal serta beca yang beraneka warna dan bermacam lagi.

Stefan, Wilco dan Barbra mengeluarkan kamera masing-masing. Begitu juga aku dan Haeri. Mengambil gambar tentang kehidupan di situ. Aku pula mengambil gambar untuk projek suka-suka antara aku dan Apip. Langit pula sekejap mendung sekejap cerah seperti cuba mengacahacah setiap pengunjung. Kelihatan juga beberapa budak sekolah menjalankan projek sekolah mereka. Berbekalkan dengan video recorder mereka menemuramah beberapa turis yang berada di dataran tersebut. Aku dan Haeri mungkin tidak akan ditemuramah kerana wajah orang Malaysia sangat persis dengan orang Indonesia. Kalau tak bersuara maka kami dianggap orang Indonesia. Kalau sudah fasih berbahasa Indonesia juga dianggap sebagai orang Indonesia.

Di hadapan Dataran Fatahillah itu tersergam sebuah cafe dipanggil Cafe Batavia. Bangunan yang menempatkan Cafe Batavia ini sudah berusia sekitar 200 tahun. Mereka yang lain masih bersepah merayau di sekitar dataran. Rakan-rakan dari Eropah yang baru aku kenali semalam sedang sibuk ditemuramah oleh para pelajar sekolah. Aku pun melabuhkan punggung di bangku yang terletak berhampiran Cafe Batavia. Terdapat seorang pakcik juga di sebelah aku. Aku membakar rokok dan meramahkan diri untuk berbicara dengan pakcik itu. Menurut pakcik itu, ada juga persembahan live band di Cafe Batavia ini pada waktu malam setiap hari. Cuma pukul berapa bermula dan habis yang berbeza. Jika berkesempatan bolehlah melepak di sini malam ini. Menurut penduduk tempatan bangunan ini kedua tertua selepas Muzium Fatahillah. Sekiranya ingin merasai suasana Jakarta di era kolonial, Cafe Batavia ini menyediakannya. Rekaan dalamannya disesuaikan dengan suasana abad ke-19. Dalam hatiku berbisik, Pasti harga di sini mahal-mahal belaka.

Kelihatan dari jauh, ketiga-tiga rakan Eropahku sudah selesai ditemuramah oleh para pelajar sekolah. Haeri menghampiri aku dan membakar rokok kreteknya. Dari jauh juga, Stefan, Wilco dan Barbra berjalan menuju kepada kami berdua.

Hey, lets go to the harbor, ujar Wilco.

Yea, lets go. Today you are such a star for being interviewed. Haha, Haeri berseloroh seraya disambut oleh hilai tawa semua orang.

You two dont want to be interview too You guys are foreigner as well, Barbra bertanya.

Nah, I dont think so. We are Malaysian, and we look like Indonesian as well. Haha. No wonder they never thought to interview any one of us unless we are Pan-Asia. Haha, aku pula berseloroh sambil kesemuanya sambung gelak dan hisap rokok. Jam sudah menunjukkan pukul 1 petang. Hujan sudah turun renyai-renyai. Kami bergegas berjalan menuju ke pelabuhan. Aku sampai sekarang tak tahu apa nama pelabuhan itu. Tapi Wilco dengan yakin menunjukkan arah pelabuhan itu seperti dia seorang yang dah biasa duduk di laut. Aku fikir dia ni orang Belanda dari sebuah perkampungan nelayan yang tahu di mana saja arah yang membawa ke laut. Mungkin dia boleh hidu bau air laut. Kami semua mengikut saja Wilco seperti anak-anak kecil yang mengikut bapanya dari belakang menuju ke suatu tempat.

Setelah hampir sejam berjalan... tak sampai sejam pun lagi tapi aku bundarkan saja. Kami tak tahu di mana kami berada. Cuma kami sudah berada di sebuah perkampungan yang sudah dinaiki air sehingga paras buku lali. Budak-budak sekolah yang baru pulang dari sekolah gembira bermain air. Mujur aku memakai selipar maka tiada masalah untuk meredah air yang naik. Kami semua pakai selipar kecuali Stefan yang memakai kasut hiking. Hujan yang tadi renyai kembali berhenti. Perkampungan yang dinaiki air itu telah membuatkan aku berimaginasi seakan berada di Venice, Italy. Cuma yang berbeza di sini tiada gondola.

A little Venice in Jakarta, kata Barbra berseloroh kepada kami semua.

Aku bersetuju dengan kata-katanya. Mungkin sesuai juga kalau perkampungan ini dipanggil Little Venice. Ia menjadi Little Venice apabila hujan dan air mulai naik. Setelah 15 minit berjalan meredah air, aku bertanya seorang mas yang hanya berseluar pendek, tentang cara ke pelabuhan. Mas yang sedang duduk rileks itu kemudian dengan tergesa-gesa pergi mendapatkan bajunya yang berada di dalam bakul yang diletakkan di tepi jalan. Dia menyarung bajunya yang compang-camping lagi lusuh dan menyuruh aku mengekorinya. Bagus juga ada yang sudi tunjukkan jalan. Aku memanggil mereka semua untuk mengikuti mas ini. Sepanjang perjalanan itu juga kami menempuh perkampungan seakan Venice dan seterusnya kawasan tapak pembinaan apartment. Dari jauh sudah nampak laut. Semakin laju langkah-langkah yang kami atur seakan sudah berapa tahun tak nampak laut. Redah punya redah, memasuki kawasan pembinaan pula dan akhirnya kami sampai ke pelabuhan tersebut. Wilco datang menghampiriku.

Here. Give that man a tip, bisik Wilco kepadaku sambil menyelitkan Rp2000 di tanganku. Aku mengangguk tanda setuju.

Nah mas, aku berkata sebaik menghampiri mas tersebut, terus dia menolak tanganku. Dia menggelenggelengkan kepalanya menolak duit tersebut.

Enggak apa. Saya bekerja di sini. Kebetulan satu laluan. Saya tunjukkan aja, ujar mas tersebut sambil menjelaskan mengapa duit tip itu ditolak.

Baiklah. Makasih ya mas, aku mematikan bicara dan bersalaman dengan mas tersebut.

Maka berdirilah kami berlima di tepi tebing pelabuhan tersebut. Udara laut bertiup kencang. Kami pun menyinggah ke sebuah gerai yang dibuka di tepi itu. Mungkin gerai untuk pekerja-pekerja tapak pembinaan apartment tadi kot. Lepak sajalah. Kehadiran kami disambut dengan senyuman oleh seorang makcik. Kami melabuhkan punggung sambil menikmati angin dan pemandangan laut di pelabuhan yang aku tak tau namanya. Air teh botol aku order. Sebenarnya suasana di pelabuhan itu tiada apa yang menarik. Yang menarik Little Venice tadi sahaja. Pelabuhan itu suasananya serupa saja seperti melepak di Port Klang. Memang rasa macam Port Klang. Tak tipu. Muktamad, sambil aku menghirup air teh botol yang aku order tadi untuk menghilangkan penat lelah berjalan dan perasaan seperti melepak di Port Klang.

Setelah puas berjalan hampir seharian kami pulang ke Citi Residence. Mahu berehat saja. Tersengih aku fikir balik punyalah jauh berjalan, last-last lepak pelabuhan tu macam Port Klang je. Port Klang ada tempat makan seafood, yang ni takde langsung. Tapi tak mengapa. Kalau bukan kerana pelabuhan tu aku tak merasa pergi Little Venice. Orang kata jauh perjalanan, luas pemandangan dan nikmati kepenatan.

Aku duduk di kerusi di hadapan bilik dan mengeluarkan sebatang rokok. Rokok lagi. Banyak betul aku hisap rokok. Sebenarnya lagi banyak aku keluar lagi keraplah aku merokok. Kalau tinggal kat rumah mak bapak aku tu boleh la terkawal sikit tabiat merokok. Di bumi asing ni aku bebas sebebasnya. Kemudian aku termenung seketika teringat perbualan aku dan Wilco dalam bas ketika perjalanan pulang ke sini. What is hati-hati tanya Wilco kepada aku dalam keadaan musykil. Pertanyaan itu terkeluar dari mulutnya setelah mendengar suara operator di dalam bas tadi. Aku menjawab, Be careful or caution. Sejak dari itu hingga pulang ke hostel, dia tidak habis-habis menyebut perkatan hati-hati. Tertarik betul dengan perkataan itu. Dia rasa pelik dengan perkataan itu kerana diulang-ulang. Mungkin itu yang uniknya Bahasa Melayu ataupun Bahasa Indonesia. Bahasa yang mempunyai perkataan yang disebut berulang-ulang seperti hati-hati, jaga-jaga, di mana-mana dan beberapa contoh lain tidak terdapat di dalam bahasa asing seperti Inggeris, Belanda, Jerman dan kebanyakan bahasa-bahasa lain di dunia.

Tanpa sedar, rokokku sudah pun sampai ke filternya. Dah tak boleh nak tarik lagi, kalau tarik dah kira aku hisap filter rokok tanpa tembakau. Aku lenyet puntung rokok di dalam portable ashray yang aku bawa. Portable ashray ini aku cilok dari kedai RM5 yang Jepun tu. Lupalah nama. Daiso ke Denso ke lantaklah. Aku kembali masuk ke bilik memandangkan kesemua rakan-rakan Eropahku sedang beristirehat di bilik masing-masing. Pintu bilik dibuka, Haeri sedang bermain dengan alat muzik yang dibawanya. Ianya keyboard yang perlu ditiup. Aku tak tahu apa nama instrumen itu. Ia berbentuk serta bersifat keyboard namun mempunyai satu tiub untuk ditiup bagi menghasilkan bunyi apabila setiap keynote itu ditekan. Mesti semput kalau aku main instrument tu. Aku ni jenis nafas tak panjang. Mungkin kena buat latihan mengawal pernafasan.