SAINS-LAH! - 3
Saya tersenyum sendirian apabila mengenangkan bahawa subjek kimia koloid bukanlah subjek kegemaran saya sewaktu berada di peringkat prasiswazah UKM. Namun, bidang inilah yang saya terokai kini dan umpama menjadi makanan seharian saya. Seperti pepatah Melayu: kalau tak kenal maka tak cinta. Sejujurnya, saya hanya mula mendalami subjek ini apabila saya melanjutkan pelajaran saya di peringkat doktor falsafah di University of Bristol, UK. Bermula dengan tidak tahu laluan untuk memahami bidang koloid amat mencabar. Namun, sebagai anak Melayu muslim yang dititip dengan ungkapan pantang menyerah sebelum kalah, saya terus berusaha dalam memahami dan mendalami bidang baharu ini.

Koloid ditakrifkan daripada perkataan Greek, Kolla yang bermaksud glu atau pelekat. Kajian terhadap bidang koloid telah bermula sejak abad ke-18 lagi, di mana pada mulanya ia dijadikan asas untuk pembezaan antara gula dan garam. Ledakan kajian terhadap bidang ini semakin bertambah apabila kajian serakan cahaya terhadap sistem koloid telah dipelopori oleh Micheal Faraday. Lanjutan daripada hasil penemuan itu, satu teori berkaitan dengan kesan cahaya telah dibangunkan dan dikenali sebagai Kesan Tyndal oleh pengkajinya, John Tyndal.

Hari ini bidang koloid ini diperluas dengan pelbagai definisi, sistem dan nama, terutamanya penyebaran partikel dalam fasa yang sama atau berbeza. Sistem koloid seperti aerosol, emulsi, busa, penyebaran, hidrosol merupakan contoh jenisjenis yang boleh diklasifikasikan di bawah payung koloid. Apa yang menariknya, sistem koloid digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang. Sebagai contoh, penghasilan aiskrim, yogurt dan sos dalam bidang makanan, cat dan varnis dalam bidang salutan termasuk bendalir darah dalam badan manusia! Oleh kerana sistem koloid merupakan satu templat yang sangat bagus, ia telah digunakan secara meluas sebagai pembawa ubat-ubatan, nanopartikel, enzim dan bidang bioperubatan.

KAJIAn YAng DITeKUnI

Sky is the limit atau langit adalah sempadannya, merupakan kata-kata inspirasi dalam membuat penyelidikan. Dengan menjadikan tokoh penyelidik Islam pada zaman silam yang hebat, di mana mereka adalah pakar dalam semua bidang, maka saya telah mencabar diri untuk melakukan pelbagai kajian. Jika ditanya apakah penyelidikan atau kajian yang saya tekuni, jawapan saya everything under the sun! atau apaapa sahaja di bawah sinaran matahari. Adalah sesuatu yang menyeronokkan jika kita dapat mengetahui tentang banyak benda berbanding hanya satu bidang. Oleh yang demikian, saya telah membahagikan kajian saya kepada beberapa bidang utama iaitu alam sekitar, makanan dan bioperubatan.

i) Alam sekitar

Dalam menangani isu alam sekitar seperti pembuangan sisa tidak terawat, tumpahan minyak, sisa logam berat dan penggunaan bahanbahan bertoksik, saya membangunkan sistem penjerap berasaskan biojisim yang terbuang seperti selulosa dan juga kanji daripada ubi liar dan beracun. Bagi menghasilkan penjerap yang cekap, pengubahsuaian kimia telah dilakukan terhadap sumber boleh kitar semula ini dengan menggunakan kaedah pencangkukan terhadap bahan polimer sintetik. Hasil daripada pengubahsuaian ini, bahan penjerap seperti hidrogel, aerogel dan xerogel dapat dihasilkan. Dalam penghasilan gel dan terbitannya, kaedah radiasi turut saya gunakan. Bagi kajian penghasilan hidrogel berasaskan nata de coco, kumpulan kajian saya telah menggunakan radiasi gamma dan ultra lembayung sebagai alternatif kepada kaedah lazim. Hasil yang diperoleh adalah setara dengan kaedah lazim, malah ia turut menjimatkan masa.

Bagi menggunakan sepenuhnya hasil komoditi negara, kumpulan penyelidik saya telah membangunkan busa/span yang bertindak sebagai bahan penjerap hidrokarbon poli aromik (polyaromatic hydrocarbon) berasaskan cecair getah asli (liquid natural rubber). Penjerap ini bersifat amat poros, mampu menjerap bahan seperti tumpahan minyak dengan cepat malah boleh digunakan berulangkali. Kajian ini telah berjaya dipatenkan dan turut memenangi 20 anugerah peringkat dalam dan luar negara.

Kumpulan penyelidikan saya turut membangunkan polimer pintar dalam mengesan sisa toksik seperti logam berat. Untuk itu, pewarna pintar yang sensitif terhadap perubahan sekitar berjaya dibangunkan. Sebagai contoh, di bawah cahaya ultra lembayung, pewarna ini boleh menukar warna daripada tidak bewarna kepada warna kuning. Begitu juga jika dikenakan pH yang berbeza, ia akan bertukar warna sama ada biru atau merah. Kepekaan pewarna ini boleh dilihat apabila logam berat berbeza diuji, warna yang berbeza akan dihasilkan.

ii) Bioperubatan

Bidang bioperubatan adalah satu bidang yang sangat menarik untuk diterokai. Ia penuh misteri dan sangat mencabar. Sebagai seorang saintis, menjadi suatu kepuasan apabila satu permasalahan dapat dirungkai dengan jayanya. Untuk itu, kumpulan kajian saya telah menggunakan mikrogel dan hidrogel sebagai salah satu material pembawa ubat di dalam badan pesakit. Kami telah membangunkan bahan bioserasi berasaskan kanji dan selulosa supaya ia tidak toksik kepada pengguna. Selain itu, nanopartikel yang digabungkan dengan ubat atau enzim disebarkan dalam sistem gel ini.

Selain itu, oleh kerana terbitan gel merupakan templat yang baik, saya turut meneroka penghasilan nanozarah seperti nanopartikel perak dan ferum dengan menggunakan nanoreaktor. Dalam kajian ini, kumpulan kajian saya telah menggunakan hidrogel berasaskan nata de coco dan juga akrilamida sebagai nanoreaktor. Dengan menggunakan kaedah penurunan mudah, kami telah berjaya menghasilkan nanopartikel ferum bersaiz di antara 20-50 nm. Ini berbeza dengan kaedah penurunan yang dijalankan dengan kaedah akueus di mana saiz partikel yang dihasilkan sekitar 100 nm.

Kumpulan kajian saya turut membangunkan penanda bio (biomarker) berasakan kanji yang diperoleh daripada ubi liar Malaysia. Dengan menggunakan kaedah mudah hidrolisis asid/ bes, kami peroleh kristal kanji nano yang besaiz kurang daripada 20 nm. Selanjutnya kami juga turut berjaya menghasilkan titik nano (nanodot) dengan saiz kurang daripada 10nm yang mempunyai ciri flurosen di bawah sinar UV.

iii) Makanan

Orang yang suka makan adalah orang yang terbaik Julia Child

Oleh kerana saya suka makan, maka bidang sains makanan adalah sesuatu yang paling menyeronokkan buat saya! Ini kerana saya dapat mengetahui tentang apa yang saya makan. Disebabkan saya mempunyai masalah berat badan yang berlebihan, salah satu kajian yang saya tekuni adalah modifikasi karbohidrat. Dalam penghasilkan makanan, kumpulan penyelidikan saya telah mengubahsuai komposisi makanan supaya ia berserat tinggi, rendah lemak dan kalori tetapi menyihatkan! Oleh yang demikian makanan dapat dinikmati tanpa rasa bersalah!

Kumpulan penyelidikan saya juga sedang giat membangunkan tonik kesihatan untuk kegunaan pesakit diabetik dan masalah buah pinggang. Untuk itu kami telah menggunakan ekstrak daripada herba tempatan yang dicampurkan dengan makanan sunah, iaitu tamar atau kurma.

Kumpulan penyelidik saya giat membangun dan mengkaji makanan sunah dan berasaskan Al-Quran, di mana salah satunya adalah cuka. Bagi mereka yang benar-benar menjaga nutrisi pemakanan, cuka merupakan salah satu sumber yang dapat mengawal berat badan. Dalam kajian kami, cuka dihasilkan daripada buah-buahan tempatan yang telah diketahui mempunyai kandungan antioksidan yang tinggi. Dengan menggunakan cendawan sebagai media penukar cuka, hasil kajian telah mendapati masa yang diambil bagi penghasilan cuka dapat disingkatkan, malah kandungan vitamin serta antioksidannya adalah amat tinggi.

Selain itu sebagai seorang muslim, saya turut rasa bertanggungjawab dalam memastikan produk makanan yang dihasilkan adalah halal. Oleh itu, kumpulan penyelidik saya telah membangunkan surfaktan/pengemulsi berasaskan kanji. Dengan diinspirasikan permainan LEGO, kumpulan kami telah mengubahsuai struktur kanji dengan menggunkan kaedah pickering. Setakat ini, pengemulsi ini akan digunakan dalam pembuatan aiskrim dan sos. Insya Allah, pengemulsi yang dihasilkan adalah bersih dan halal.

PenCeTUS/InSPIRASI

Membaca adalah salah satu hobi saya sejak kecil. Sebagai anak bongsu yang mempunyai tiga orang kakak dan dua orang abang yang telah bersekolah, atas didikan mereka saya boleh membaca sekitar usia tiga atau empat tahun. Banyak bukubuku yang telah saya baca, antaranya adalah tokoh-tokoh bidang sains dan inovasi. Saya mula kenal dengan saintis barat dan Asia serta sumbangan mereka dalam pembangunan sains. Namun begitu, apa yang menjadi sumber inspirasi saya adalah tokoh-tokoh saintis Islam. Mereka bukan sahaja berjaya meneroka bidang sains dan teknologi, malah bidang kesusasteraan dan juga muzik! Betapa hebat pengkajipengkaji muslim dahulu. Mereka telah berjaya menemukan jawapan yang boleh digunapakai sepanjang zaman tanpa membelakangkan agama. Kebanyakan tokoh-tokoh penyelidik ini turut merupakan ahli agama yang arif ilmunya dalam Islam. Mereka ini tidak memisahkan ilmu sains dan Islam, yang sudah pastinya bersandarkan Al-Quran dan hadis. Sebagai contoh antara tokoh yang menjadi sumber inspirasi saya adalah Ibnu Sina yang mana pemikiran, penemuan dan falsafah beliau tetap digunapakai sehingga hari ini. Salah satu mahakarya beliau adalah Al-Qanun Fi Al-Tibb yang menjadi rujukan oleh pakar-pakar perubatan keseluruh dunia. Oleh yang demikian, kejayaan penyelidik muslim menjadi salah satu penggerak utama saya supaya berdaya saing dan dapat berdiri sama tinggi dengan penyelidik lain di dunia. Seperti ungkapan kata-kata Presiden Sukarno gantunglah citacitamu setinggi langit, jika engkau jatuh, engkau akan jatuh di atas gunung-gunung yang tinggi. Insya Allah moga-moga usaha kecil saya mampu menaikkan martabat penyelidik Islam di mata dunia.

KePenTIngAn ILMU SAInS

Dalam meniti arus modenisasi dan era milenium, sains dan teknologi banyak membantu dalam urusan harian setiap individu. Jadi, memahami sains dan teknologi adalah penting supaya setiap individu itu menjadi seorang yang berdaya saing dan holistik. Sains turut menjawab banyak persoalan dengan lebih terperinci dengan disertakan dengan pembuktian. Sebagai seorang muslim, sebenarnya Allah, melalui kitab Al-Quran telah mencabar pemikiran manusia dalam membuktikan sesuatu. Ayat-ayat cabaran sebagai contoh jika kamu orang-orang yang berfikir, jika kamu mampu tidakkah kamu lihat dan tidakkah kamu bandingkan. Bukan itu sahaja, Al-Quran turut membantu pengkaji tentang sesuatu perkara seperti kejadian manusia, sistem solar, perbezaan ketumpatan, bahan api dan banyak lagi. Justeru, dengan memahami ilmu sains dengan mendalam kita akan lebih faham tentang kejadian manusia dan juga alam. Selain mengingatkan kita tentang fitrah manusia, ilmu ini juga dapat mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa. Sehebat mana pun ilmu yang ada pada manusia, namun ia tetap ada batasan, di mana sains sendiri tidak dapat merungkai misteri yang tidak dapat diselesaikan!

Biodata

Penulis sekarang bertugas di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), memegang jawatan Prof. Madya. Kelulusan akademik tertinggi ialah Ph.D. di dalam bidang Kimia di University of Bristol, United Kingdom pada tahun 2010. Terdahulu, pernah menamatkan pengajian di UKM di dalam bidang sarjana penyelidikan kimia dan ijazah sarjana muda oleokimia. Tumpuan bidang penyelidikan pada masa kini terbahagi kepada tiga, iaitu kimia berkaitan alam sekitar, bioperubatan dan sains pemakanan.