SUATU HARI NANTI MANUSIA AKAN MELUPAKAN TUHAN - 3
Entah kecelakaan apa yang menembusi papan litar minda manusia, Malaysia bergolak lagi. Pergolakan ini sesungguhnya bukan lagi benda baharu lagikan asing; sememangnya rakyat Malaysia suka akan pergolakan dan perbalahan. Mereka juga suka berhimpun dengan pilihan baju warna masing-masing. Ada yang ganas, ada yang aman. Ada yang bersih, ada yang menjengkelkan.

Masing-masing tampil sebagai pesuruh, membawa ideologi tersendiri.

Tujuan asal pergolakan ini adalah untuk meraikan perbezaan dan debat membantu itu. Debat membantu melihat kerencaman perspektif yang dibawa oleh masyarakat yang majmuk. Namun begitu, keraian perbezaan ini memuncak pada tahun 2050 Masihi, sepuluh tahun selepas Malaysia mula diiktiraf sebagai negara maju.

Seawal lima pagi, manusia-manusia pelbagai watak dan agama mula memenuhi Dataran Merdeka. Mereka berkumpul mengikut tokoh junjungan masingmasing; menuntut kerajaan campuran tanah Malaysia untuk memberi segala apa kemahuan mereka sebagaimana yang terkandung dalam paradigma hak asasi manusia.

Hari itu langit mulai mendung. Namun arakan mega mendung pada hari Jumaat disusuli dengan tanda-tanda awal ribut yang bakal menjelma tidak sedikit pun menghalang para aktivis dan pengikut masing-masing untuk melihat citacita mereka menubuhkan Malaysia Baharu tercapai. Sudah begitu lama Malaysia dipimpin dengan sekatan politik, agama dan budaya. Hari ini pembebasan perlu juga ditempik lolongkan, demi menjamin kesamarataan semua golongan tanpa mengira jantina, agama, bangsa, orientasi seksual dan ideologi. Kesamarataan hak untuk semua manusia terjamin.

Itulah Malaysia Baharu.

Hari ini, kita masih hidup dalam hari semalam. Jajahan sisa zaman gelap masih lagi berkuasa. Dr Sharifa, Presiden Pergerakan Malaysia Baharu (PMB) memulakan ucapannya, disambut dengan ratus ribuan tepukan yang memenuhi Dataran Merdeka dan kawasan sekitar Kuala Lumpur. Skrin-skrin mega dipacak merata-rata, jelas kelihatan wajah Dr Sharifa yang penuh bersemangat untuk menjadikan Malaysia Baharu sebagai sebuah negara yang paling moderat. Beliau menyambung lagi.

Kita melalui fasa-fasa di mana hak asasi kita sebagai manusia dikawal oleh politikus dan pihak agamawan yang berkepentingan. Penindasan dan diskriminasi masih terus berlaku, manakala kronisme dan nepotisme tidak menunujukkan tanda-tanda untuk berhenti. Malaysia baharu tidak akan wujud jika kita masih berlatarkan acuan lama yang mundur dan menindas. Kemajmukan kita semua adalah sebab utama isolasi terhadap agama dalam pentadbiran adalah satu kemestian.

Manusia-manusia di Dataran Merdeka bersorak mengiyakan.

Hari ini, 31 Ogos 2050, kita semua bangkit bertindak untuk membanteras kronisme agamawan dan pemerintah. Mereka tidak ubah seperti Tamadun Maya yang hidup sekitar 250 900 Masihi dahulu dan menggunakan pendeta agama mereka untuk mengenyangkan kaum pemerintah. Golongan korporat dan aparat akan cuba menggunakan agama untuk memfatwa-halalkan tindak tanduk mereka. Zaman kita bergelap dijajah sudah tamat! Ini Malaysia Baharu. Malaysia Liberal untuk semua!

Ucapan itu digegarkan oleh ratus-ribuan manusia yang menyokong; berbagai bangsa kesemuanya. Masingmasing membawa bendera Malaysia Baharu dan sepanduk yang menyokong sentimen sebegitu. Malaysia Baharu adalah Persekutuan Malaysia untuk semua tanpa mengira jantina, bangsa, agama dan seksualiti mereka. Ketamadunan yang berjaya hanya akan dicapai jika Malaysia Baharu menjadi negara yang moderat dan menerima kemajmukan penduduknya. Dr Sharifa menyambung lagi;

Dengan ini, kita menolak campur tangan Tuhan dalam perlembaga---

KRAKKK! KRAKKK! KRAKKK! KRAKKK! DUMMM! DUMMM! DUMMM!

Ah, gempa!!!

Podium yang terapung di angkasa kehilangan daya tujahan elektromagnetik. Jalan-jalan yang dihinggapi manusia terhuyung-huyang seperti rakit yang hanyut di arus deras yang menggila. Suatu gegaran yang maha dahsyat bertemankan bunyi yang maha kuat tiba-tiba menjadi tetamu tak diundang pada majlis yang penuh bersejarah itu. Bunyian yang maha kuat itu terjana saat bongkah daratan bertembung sesama mereka. Habis bercantum dan terpisah bongkah-bongkah daratan itu mengikut gegaran tertentu. Gegaran itu tidak datang hanya sekali walau sudah ditempik pergi oleh rakyat yang menyaksi.

Lambungan kenderaan daripada kawasan parkir di atas bangunan pencakar langit Pusat Liberalisasi Malaysia Baharu (PLMB) seolah menjelma menjadi hujan besi. Runtuhan kawasan parkir itu memuntahkan ribuan kenderaan kepada para penempik di jalanan hingga habis musnah batang tubuh mereka dihempap kenderaan besi yang sungguh celaka itu.

Ada runtuhan yang membawa bersama konkrit menghempap sekawan anak muda; terpenyek kepala mereka, hanya tinggal alir darah dan sisa otak yang berbau hamis. Hujanan kenderaan besi menembusi batang tubuh manusia-manusia di jalanan, sampai ada yang terbelah dua dan tertanggal biji mata, dicungkil sang besi yang ganas dibawa gempa penuh gempita. Dataran yang sesak dengan umat manusia itu bersungguh merayu kepada sang Gempa Mega supaya berhenti, namun suara mereka tidak lagi didengari.

Kocakan kerak bumi itu semakin kerap dan memuncak, sehingga meruntuhkan beberapa pencakar langit yang berada di seseliling. Ratus-ribuan manusia tadi, ramai yang mati terpijak oleh manusia-manusia lain, bertindihan seolah suasana di Padang Mahsyar sahaja lagaknya.

Aduh, apakah Mahsyar itu di Dataran Merdeka sebenarnya!

Lari... lari... Gempa bumi! Gempa! Lari!

Mak... Mak! Mana mak! Mak!

Ya Tuhan. Ya Allah!

Ya Jesus. Ya Yahweh!

Arghh! Celaka. Celaka! Hari ini kiamatkah celaka! Ah celaka!

Apakah agama Muhammad itu wujud! Ah!

Lambungan bongkah konkrit kini menggantikan tabrakan kenderaan yang berlanggar, menghempas sesiapa sahaja yang berlumba mencari tempat berteduh. Percikan api mulai marak, kebakaran mula menerjah dan bau hangus daging manusia yang rentung terbakar bergentayangan memenuhi ruang hari yang penuh bersejarah itu.

Sesekali kedengaran manusia mulai menyebut-

nyebut nama Tuhan yang hanya bermakna pada jeliran lidah mereka; hanya sebagai penyedap rasa bahawa mereka akan diselamatkan dari malapetaka ini. Malangnya Gempa Raya tidak pernah akur pada kehendak manusia. Gempa Raya tidak berminat dengan debat dan ideologi. Gempa Raya menjadi tetamu yang akan membasuh segala kelaknatan manusia yang tidak berkesudahan.

Segitiga Emas Kuala Lumpur diangkat-julang setingginya, sebelum terhempas hina. Binaan Menara Berkembar Petronas berlaga sesama sendiri; jendela kaca itu pecah remuk, memuntahkan ribuan manusia yang terpelanting sebelum menghempap manusia-manusia di jalanan. Runtuhan Menara Berkembar Petronas merebak ke bangunan hotel dan pencakar langit di sekeliling, menghasilkan jujukan letupan dan kemusnahan. Langit Kuala Lumpur terbakar, jalanannya merah berdarah! Kelumpuhan ini turut ditambah dengan gegaran yang tidak langsung menunjukkan tanda-tanda untuk berhenti, malah semakin rancak pula. Sistem telekomunikasi dengan PAC (Putrajaya Administration Centre) telah terputus. Tuan Perdana Menteri cuba untuk menghubungi Presiden Amerika Syarikat di Bio-Earth (Bumi kedua di International Space Station) namun tidak berjaya. Kubah masjid yang tercampak jauh, menghempap helikopter Perdana Menteri dan jemaah kabinet, habis musnah mereka disapa mesra Gempa Mega. Ketua Negara itu tertusuk dengan Kubah tajam masjid, Rumah Allah!

Malaysia sudah musnah! Tuan Perdana Menteri sudah rebah dihempap kubah!

Gempa Mega mula mengangkat kesuluruhan

Lembah Klang setingginya, sebelum dataran yang terangkat itu dihempas kembali. Kali ini Gempa Mega mengundang teman rapatnya, Tsunami Raya untuk turut serta. Gulungan maha celaka itu berkumpul sedari tadi, hanya menunggu masa untuk mencincang lumat segala apa yang berada di laluannya. Saat banjaran yang terangkat tadi dihempas turun, Tsunami Raya mulai menggila; menyapu sisa-sisa manusia yang sudah berdarah tekak mereka bertempik, meminta keajaiban di dalam neraka.

Arus Tsunami Raya memecut laju dan menyapu kelaknatan manusia bertempik lolong, habis terurai badan mereka dihempas seolah tidak berharga lagi semua ideologi dan intelektualiti bila alam mula mengamuk. Alam itu adalah anarki yang sebenarnya.

Perempuan yang hamil habis keguguran, malah perutnya yang bunting itu terkoyak saat konkrit membelah tubuh tuanya. Kepalanya tertanggal dan matanya remuk dipijak manusia lain. Usus-usus yang berselirat keluar tersembul, manakala janinnya habis lumat ditabrak di sini sana. Warga tua juga kehilangan angota badan, sampai ada yang terpijak muka mereka, terlekat kulit wajah pada kaki pemijak namun tetap meneruskan larian.

Manusia di dalam kompleks membeli-belah sudah mula mati sedari tadi; ada yang terkena renjatan elektrik dan ada yang mati terpenyek dihempap konkrit. Manusia di dalam masjid, tokong, kuil dan gereja mati dengan menyebut nama Tuhan. Manusia di jalanan mati ketika masih di jalanan. Manusia di pusat rawatan mati terbiar tanpa rawatan. Para askar dan polis mati ditikam pemangsa kejam tak terperi.

Semua golongan manusia, telah mati hari ini!