FILSUF UNTUK NOOB - 3
Thales, Anaximenes, Heraclitus, dan Parmenides merupakan antara ahli falsafah yang terawal di Tamadun Yunani. Thales terutamanya amat penting dalam tradisi falsafah Yunani; kerana bilamana semua orang disekelilingnya berpuas hati merumuskan kejadian-kejadian yang ada kepada tuhan atau dewa-dewi, Thales yang mempunyai sebuah persoalan (apakah aarkhe) namun tidak seperti masyarakat disekelilingnya pada masa itu, beliau tidak mahu merujuk kepada mitos. Beliau menggunakan akalnya sendiri untuk mencari jawapan yang memuaskan , dan disini boleh juga kita panggil Thales sebagai seorang saintis pertama di dunia ini. Thales telah menimbulkan keyakinan dalam pemikir-pemikir seterusnya bahawa perkara-perkara di dunia ini boleh dan mampu dirasionalkan tanpa perlu disandarkan kepada mitos-mitos. Kau mungkin rasa ini tidak penting, tapi kalau ikutkan konteks pada zaman tersebut yang mana masyarakat memang terkondisi dengan kepercayaan terhadap mitos-mitos yang tidak logik, ini merupakan sebuah revolusi pemikiran, iaitu pemisahan mitos-mitos daripada ilmu pengetahuan manusia. Ada kelompok manusia yang tidak lagi hanya puas dengan kepercayaan dogmatik. Maka bermulalah ilmu falsafah dalam tamadun Yunani.

Selepas Thales, terdapat beberapa lagi pemikir yang cuba menjawab persoalan Aarkhe ini. Empedocles menganggap bahawa bukan air, ataupun udara, ialah Aarkhe. Empedocles memberi usul bahawa Aarkhe terdiri daripada empat unsur semulajadi; iaitu Air, Udara, Api, dan Tanah. Keempat-empat unsur ini ,dengan ratio nya sendiri, menghasilkan segala yang ada di alam ini. Unsur-unsur ini tidak berubah , tetapi apa yang dihasilkan mereka akan berubah. Fahaman seperti ini menyatukan pandangan ekstrem Heraclitus (semuanya berubah) dan Parmenides (tiada yang berubah).

Kemudian, datang pula Democritus, di mana dia mengusulkan bahawa zarah-zarah (atom) lah merupakan Aarkhe. Zarah ini datang dalam pelbagai bentuk yang kemudian membina semua yang kita nampak dalam alam ini. Zarah-zarah ini merupakan perkara yang paling asas sekali, dan tidak dapat dipecah belah lagi. Pandangan seperti ini lebih dekat kepada fizik moden yang mengusulkan atom.

Kumpulan terakhir yang akan kita lihat dalam golongan ahli-ahli falsafah pra-Sokratik ini ialah sebuah kumpulan yang berasal dari Selatan Yunani dan diilhamkan oleh Mesir, dipanggil kumpulan Pythagorean. Mereka merupakan pengikut kepada ahli matematik ulung, Pythagoras yang (yang kau mungkin kenal dari kelas matematik ketika belajar pasal Teorem Pythagoras), dan percaya bahawa semua yang ada di alam ini, asasnya adalah struktur-struktur ataupun konsep matematik.

Mereka mengagungkan struktur matematik, dan melihat semua perkara boleh dijelaskan dengan matematik. Semua perkara akan musnah, tetapi konsep matematik masih lagi ada. Konsep matematik terdapat dalam muzik, dalam pergerakan matahari dan bulan, dan konsep ratio yang terdapat di sekeliling mereka meyakinkan lagi bahawa struktur matematiklah Aarkhe yang dicari-cari selama ini.

Sebelum kita pergi lebih jauh, ada baiknya kita jelas dahulu dengan perkataan falsafah itu sendiri.

Asal-usul perkataan falsafah

Perkataan falsafah asalnya dari perkataan Yunani, iaitu filo bermaksud cinta, dan sophia bermaksud kebijaksanaan (wisdom). Gabungan kedua perkataan ini membawa makna pencinta kepada kebijaksanaan.

Bezanya Tamadun Yunani pada zaman Pra-Sokrates dari tempat-tempat lain adalah dengan adanya negara-kota, ataupun polis dalam Bahasa Yunani. Tamadun Yunani pada masa itu terdapat beberapa polis-polis dimana dalamnya bukannya ada sistem monarki mutlak seperti tempat-tempat lain, tetapi sistem demokrasi diamalkan. Walaupun sistem demokrasi pada zaman itu tidaklah saksama, kerana mereka masih mengenepikan golongan hamba dan wanita dari mengambil bahagian dalam demokrasi (tiada hak mengundi dan tidak mempunyai hak yang sama), tapi kalau dibandingkan dengan tamadun lain, ini masih lagi merupakan suatu perkara yang agak progresif. Wujudnya golongan hamba yang boleh dikerah bagi membuat kebanyakan kerja membuatkan mereka punya banyak masa senggang. Semua ini membenarkan percambahan idea-idea falsafah kerana membolehkan penduduk-penduduk Yunani berbincang dan bertukar buah fikiran secara bebas (kebebasan yang masih terhad) mengenai isu-isu sekitar kehidupan harian mereka seperti politik, moraliti, etika, dan lain-lain.

Golongan Sophist

Namun, bukan sahaja ahli falsafah yang bertambah dengan adanya struktur demokrasi ini. Polis-polis (negara kota) Yunani pada waktu itu sangat ramai golongan yang dipanggil Sophist. Golongan Sophist ini merupakan antitesis kepada golongan ahli falsafah, kerana tidak seperti ahli falsafah yang ingin menggunakan rasional untuk mencari kebenaran, golongan Sophist lebih mementingkan penguasaan bahasa serta penggunaan retorik untuk mencari apa-apa yang menguntungkan. Dengan kuasa bahasa, sesuatu yang betul boleh dibuktikan salah dan sebaliknya. Maka, kuasa ini bagi mereka adalah lebih penting dari apa yang ilmu falsafah cuba selesaikan. Jika ada penduduk kota ketika itu dikenakan denda oleh mahkamah dan mereka ingin melepaskan diri dari tuduhan, maka mereka akan pergi kepada ahli Sophist, dan ahli Sophist akan mengajar ataupun mewakili mereka ini di mahkamah-mahkamah, dan menggunakan kepakaran retorik mereka untuk menutup atau menegak kebenaran.

Dan pada waktu itu juga Tamadun Yunani sudah meluaskan kuasanya menakluk kawasan-kawasan lain, lalu orang-orang Yunani bertemu dengan orang-orang dari kawasan-kawasan lain yang mempunyai fahaman-fahaman yang berbeza. Pertembungan budaya ini menimbulkan isu yang lain pula. Jika pada ahli-ahli falsafah yang terawal, mereka berminat untuk mencari apakah prinsip kepada semua perkara (aarkhe), pemikir-pemikir terkemudian berminat dengan isu praktikal yang memberi kesan terus kepada manusia dan budaya. Pertembungan budaya menghasilkan persoalan mengenai budaya manakah yang lebih superior atau lebih betul Sebagai contoh, makna keadilan bagi budaya Yunani tidak sama dengan keadilan bagi budaya Parsi. Jadi yang manakah yang lagi tepat

Golongan Sophist ini ramainya mereka yang mahir dalam pelbagai bidang, iaitu polymath, dan menjadi guru-guru kepada muda-mudi di kota-kota. Namun mereka tidak berminat untuk mencari kebenaran mengenai alam ini, mereka lebih berminat untuk menunjukkan kebolehan retorik untuk memenangi debat-debat. Isu kebenaran, kepalsuan tidaklah penting, yang penting adalah kebolehan retorik ataupun kata-kata untuk meyakinkan para pendengar akan kebenaran sesuatu perkara. Jadi, berbalik kepada persoalan budaya manakah yang lebih betul, budaya mana-mana pun boleh menang jika mereka pandai mengolah debat dengan mahir. Maka, seperti isu keadilan, tidak penting untuk mengetahui apa itu keadilan, cukuplah untuk kita memegang kepada definisi mana yang menguntungkan kita bergantung kepada sesuatu keadaan. Akan tetapi, ada juga dalam kalangan Sophists ini yang memberi sumbangan kepada isu-isu falsafah, seperti Gorgias, Thrasymachus, dan Protagoras, di mana mereka secara serius ingin menjawab persoalan-persoalan mengenai kehidupan dan mengenai ilmu.

Dalam kalangan Sophist, ada juga yang lebih popular dan mengumpul lebih ramai pengikut yang ingin menuntut dari mereka. Jadi wujud juga mereka yang tamak yang hanya ingin menambah bilangan pengikut. Jadi kau bolehlah bayangkan di pasar Athens, ramai sosok yang berdiri dan berceloteh mengenai sesuatu dan setiap sosok dikelilingi kumpulan pemuda-pemudi yang terpikat dengan argument-argumen si orator yang sangat petah, namun perkara yang dibincangkan tidak menyumbang kepada pencerahan mengenai asas ilmu (Kalau kau perasan, lebih kurang keadaanya seperti Malaysia tahun 2016 dengan perihal ahli agama yang dinilai kepada kepetahan mereka bercakap dan menimbulkan emosi dalam pendengar, dan nilai itu sendiri tidak dapat dipastikan lagi sahih atau tidak). Namun, di kota Athens itu, bukan semuanya merupakan Sophist yang oportunis dan merendahkan nilai ilmu.

Ok, kau perasan bukan, sebelum ini aku ada sebut mengenai Pra-Sokratik. Terma Pra-Sokratik ini digunakan semua ahli akademik dalam bidang falsafah dan sejarah bertujuan untuk mengklasifikasikan ilmu falsafah, kepada mereka-mereka yang hidup sebelum Sokrates, oleh sebab itulah mereka dipanggil, Pra-Sokratik. Maka idea-idea pada zaman sebelum Sokrates dipanggil, idea-idea pra-Sokratik.

Jadi, siapakan Sokrates ini Kau mungkin dah rasa aura yang Sokrates ini merupakan seorang yang luar biasa sehinggakan para akademik menggunakan namanya sebagai benchmark untuk mengkelaskan ilmu falsafah. Yalah, kau bayangkan, konon nama kau Maslan dan semua yang hidup sebelum kau, para sejarawan merujuk kepada mereka sebagai, orang yang hidup pada zaman pra-Maslan. Hebat.

Sumber Sekunder:

1. A History of Philosophy: Vol 1 tulisan Frederick Copleston (2003)

2. A History of Western Thought : from Ancient Greece to the twentienth Century tulisan Gunnar Skirbekk ( 2001)