Untuk pertama kalinya, saya berjaya menjadi pelajar di kelas yang pertama. Ya. Kelas yang paling cerdik katanya. Guru kelas saya tahun itu adalah seorang lelaki Cikgu Fahmi. Pertama kali saya melihat beliau, wajahnya ada mirip-mirip seorang penyanyi. Pada waktu itu, penyanyi tersebut sedang tersohor dengan lagunya yang berjudul Mimpi Laila.
Cikgu Fahmi merupakan seorang guru yang sangat kelakar. Dalam kelucuannya itu, dia sebenarnya seorang pendidik yang sangat tegas. Beberapa kali saya dicubit olehnya hanya kerana tidak menghafal sifir. Pernah juga saya terlewat ke perhimpunan sekolah pada sebelah petang hanya kerana dipaksa menyiapkan dahulu kerja matematik yang hanya saya seorang sahaja yang tidak dapat menyelesaikannya. Paling memalukan, saya pernah ditengking, dicubit dan ditumbuk perlahan di perut kerana gagal menyelesaikan kira-kira dalam operasi bahagi. Dan kejadian itu pula disaksikan oleh semua pelajar di dalam kelas 3 Jaya. Nuriana Balqis melihat saya dari jauh, tanpa apa-apa perasaan. Hampir sahaja saya mengalirkan air mata. Dada sudah penuh dengan sebak. Tapi, saya tahankan sahaja.
Walaupun begitu, Cikgu Fahmi sebenarnya seorang guru yang sangat pandai, bagi saya. Dia seboleh-bolehnya mahu menunjukkan teladan yang baik serta menjadi contoh yang mulia kepada anak-anak muridnya. Pernah sekali sewaktu kami sedang tekun menjawab soalan yang sudah diberikan, dia meminta izin sebentar untuk ke surau bagi menunaikan solat Asar. Semua perhiasan di jarinya ditanggalkan. Barang-barang yang berada di dalam poketnya diletakkan di dalam laci di meja guru. Sebelum keluar, beliau ada memesan kepada semua pelajar di dalam kelas, jangan ada siapa yang berani untuk melihat apakah barang yang diletakkan di dalam laci itu. Sekiranya ada siapa-siapa yang berani, tahulah nasibnya. Itu pesanan beliau. Jadi, tiada siapa yang berani untuk pergi melihat apakah barang yang dikatakan terlalu rahsia itu. Saya cuba-cuba untuk meneka. Apakah yang disimpan oleh Cikgu Fahmi Barang-barang yang dilarang Atau apa
Pada waktu yang lain pula, saya ke bilik guru untuk menghantar buku-buku latihan yang dipesan oleh seorang guru pada waktu itu. Bilik guru di sekolah saya hanya menempatkan ruang yang sangat kecil. Jadi, hanya guru wanita sahaja yang ditempatkan di situ. Guru lelaki pula diberi ruang untuk melakukan kerja seperti menanda buku latihan di bilik stor Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT). Semasa menghantar buku-buku latihan yang saya maksudkan itu di bilik guru wanita, langkah saya terlajak hingga ke bilik guru lelaki.
Apabila saya menjenguk ke dalam bilik guru lelaki, saya melihat Cikgu Fahmi dan beberapa guru lelaki yang lain sedang berborak, bergelak ketawa. Di jari mereka ada rokok-rokok yang masih menyala. Asap rokok menyelubungi bilik yang agak suram itu. Apabila menyedari bahawa ada pelajar yang sedang melihat perbuatannya, Cikgu Fahmi segera menyembunyikan tangannya yang memegang puntung rokok di bawah meja, dan tiba-tiba memarahi saya yang tidak melakukan apa-apa kesalahan.
Bagi saya, beliau sangat pandai. Kerana beberapa bulan selepas peristiwa di bilik guru lelaki (stor SPBT) itu, dia dan beberapa guru yang lain bising-bising memarahi pelajar lelaki yang ditangkap menghisap rokok di dalam kawasan sekolah. Bagi saya, Cikgu Fahmi ialah guru yang pandai. Hah. Tak jemu mengulangi ayat ini. Cikgu Fahmi ialah seorang guru yang pandai.
Pada tahun tersebut, semangat kesukanan saya agak tinggi. Apabila mata pelajaran Pendidikan Jasmani sudah tiba, sayalah di antara pelajar yang bersemangat untuk turun ke padang. Kami akan bermain bola sepak dengan ligat tanpa memikirkan apa yang sedang kami tendang bola atau angin. Biasanya, saya akan dipujuk oleh rakan-rakan untuk mengisi tempat sebagai penjaga gol. Posisi itu sungguh membosankan. Tapi, apakan daya saya, itu sahaja tempat yang selayaknya untuk saya penuhi. Kata mereka, saya lebih cekap berbanding yang lain. Akan tetapi, kecekapan itu pula akan datang bermusim. Kadang-kadang, tiada siapa yang dapat membolosi penumpuan saya. Kadang-kadang, bola bergolek perlahan dan terus menerobos, menjanjikan kekalahan.
Kehidupan saya di rumah pula sangat berbeza. Saya hanya akan dibenarkan keluar untuk bermain pada pukul lima petang dan pulang ke rumah pada pukul tujuh. Sekiranya terlewat sedikit, walaupun seminit, ibu akan memarahi saya dan menangguh waktu permainan saya pada esok harinya. Biasanya kakak yang menghasut ibu untuk berbuat demikian. Mungkin kerana kakak kebosanan berada di rumah dan dengki akan kebebasan saya yang sementara itu.
Permainan bola sepak di taman permainan kami pula agak berbeza. Kami tidak bermain secara biasa di tanah lapang. Permainan bola sepak hanya akan berlaku di atas gelanggang bola keranjang. Gawang gol kami bukanlah dua biji batu atau selipar yang diletakkan sebagai tiang. Tetapi gol kami adalah tiang tempat bermain bola keranjang itu sendiri. Mata akan dikira sekiranya bola yang disepak menyentuh tiang tersebut. Mungkin agak menghairankan bagi sesetengah orang. Tapi kami lebih seronok bermain sebegitu.
Sepanjang penglibatan saya dalam permainan bola sepak sebegitu, hanya sekali dua sahaja sepakan saya yang mengenai tiang tersebut. Dan kerana sekali dua itu lah saya hanya suka untuk bermain di bahagian bawah, sebagai penjaga tiang gol.
Pada suatu hari, seperti petang-petang sebelumnya, saya akan ke padang permainan untuk bermain bola sepak. Entah apa malangnya saya pada hari itu, satu kemalangan telah berlaku. Ketika sedang asyik bermain, saya terpijak bola yang sedang saya gelecekkan itu. Secara logiknya, apabila saya sudah terpijak bola yang berbentuk bulat, daya keseimbangan badan akan menjadi tidak terkawal. Saya terjatuh dengan tangan kiri menongkat ke tanah. Bunyi tulang yang terhentak, kedengaran.
Di situ juga saya menangis. Di tempat jatuhnya saya kerana memijak bola itu, di situ jugalah saya menangis sambil memegang tangan kiri. Rakan-rakan yang lain tidak mengendahkan tangisan saya. Mereka terus bermain dan sesekali mengejek-ngejek saya yang sedang menahan sakit.
Oleh kerana tidak tahan akan kepedihan itu, saya gagahkan diri untuk pulang ke rumah. Hati saya berdebar, memikirkan jawapan yang paling sesuai untuk diterangkan kepada ibu dan ayah. Sewaktu sampai di rumah, ayah sedang tidur di ruang tamu. Ibu pula sedang memasak di dapur. Saya membuat keputusan untuk tidak menambahkan kesakitan. Lalu ke dapur menemui ibu.
Ibu tidak berdiam diri. Dia mengejutkan ayah yang sedang lena di ruang tamu. Ajaibnya, saya tidak dimarahi. Malah saya dibaringkan dan diurut-urut oleh ayah. Suasana ketika itu, seingat saya, sangat sunyi. Ibu tidak runsing-runsing melihat keadaan saya, ayah tidak bising-bising melayan kerenah saya, dan saya pula sudah berhenti menangis. Sekali-sekala sahaja bunyi esakan saya menjelma kerana urutan ayah yang sangat kuat.
Pada esoknya, kami ke hospital untuk menjalani ujian x-ray. Dan keputusan dari pemeriksaan itu menunjukkan bahawa tangan kiri saya di bahagian siku sudah retak. Tidak patah. Cuma retak. Akibat keretakan tulang itu, kos belanja untuk merawatnya hampir mencecah RM1,000 kata ibu. Mujurlah ibu mempunyai seorang sepupu yang bekerja sebagai pakar tulang di sebuah hospital kerajaan. Segala belanja perubatan diuruskan oleh sepupu ibu yang sehingga ke hari ini saya memanggil beliau sebagai Abang Boy. Tangan saya dibalut dengan simen selama tiga bulan.
Selama tiga bulan itulah saya menanggung bermacam-macam keperitan. Fizikal dan mental. Kesan dari balutan simen yang ada pada tangan kiri saya membuatkan ruam-ruam mula timbul. Gatal-gatal yang tidak dapat digambarkan mulai terasa di sebalik simen yang keras itu. Saya tidak dapat menyentuh kulit saya sendiri. Jadi, keinginan untuk menggaru kegatalan itu membuatkan saya menjadi tidak menentu. Apa yang boleh saya lakukan hanyalah mengetuk-ngetuk simen di tangan, dengan harapan kegatalan itu akan berkurang. Ternyata usaha itu tidak berkesan.
Sedang saya berehat di rumah pada suatu hari, seorang lelaki yang menjual keropok mentah dari rumah ke rumah singgah ke rumah saya. Lelaki itu berasal dari Kelantan. Dia tidak jadi meniaga hanya kerana melihat tangan saya yang berbalut itu. Kami sempat berbual kecil tentang perkara tersebut tangan saya. Dan satu jenaka yang tidak dapat saya lupakan apabila saya memberitahu lelaki tersebut bahawa tulang tangan kiri saya telah retak kerana bermain bola sepak adalah ;
Tahu maksud bola tu apa Maksudnya booo lahh.
Seperti yang selalu ibu katakan ketika saya asyik bermain dan tidak menghiraukan pelajaran.
Booo booo lah main tu. Gi bukok buku pulok.
Boo adalah dialek dari Kelantan yang bermaksud berhenti, cukup, atau sudah. Sesetengah ayat sesuai digunakan untuk boo. Jadi, maksud bola yang dikatakan lelaki penjual keropok itu adalah, cukup-cukuplah.
Oleh kerana sifat hormat menghormati kepada orang yang lebih tua sangat menebal dalam diri, saya tidak menghiraukan jenaka lelaki itu dan cuba menahan diri dari terlalu mengikut perasaan. Tambahan pula ibu berada di sisi saya pada waktu itu. Jadi saya sekadar mendiamkan diri dan tersenyum kosong.
Lagipun, saya tiada pertahanan yang sempurna sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini kerana tangan kiri masih lagi berbalut dengan simen.
Apabila peperiksaan pertengahan semester sudah berlalu, kelas saya - 3 Jaya makin dipenuhi dengan pelajar-pelajar baru. Pelajarpelajar baru itu bermaksud pelajar-pelajar dari kelas kedua iaitu 3 Maju. Mereka mendapat markah yang agak cemerlang pada peperiksaan pertengahan semester dan melayakkan mereka untuk naik kelas. Salah seorang dari mereka ialah Aiman. Aiman merupakan seorang individu yang sangat karib dengan saya.
Dia juga merupakan manusia yang berjaya mempengaruhi saya dengan budaya hip-hop dan juga berjaya mempengaruhi saya untuk bermain papan luncur.
Apabila ada waktu-waktu lapang saya akan pergi ke rumahnya di Flat PKNS bersebelahan LRT Jelatek untuk belajar bermain papan luncur bersama abangnya Asyraf. Pernah juga saya langkah kanan apabila sampai di rumahnya. Pada waktu itu mereka sekeluarga baru hendak memulakan makan tengahari. Dan kebetulan, saya pula tiba tanpa sengaja. Jadi, saya sungguhsungguh dirai oleh ibunya seperti tetamu yang kelaparan. Pelbagai makanan dihidangkan untuk saya.
Aiman dan keluarganya adalah anak jati Negeri Sembilan. Masakan ibunya sangat-sangat menyelerakan, dan pedas. Saya menikmati makanan tengah hari itu seperti sedang berlari keliling padang. Sedangkan mereka menyuap nasi ke mulut dengan senyap tanpa ada sedikit pun bunyi-bunyi kepedasan. Beberapa kali juga ibunya ke dapur, menambah air untuk saya yang kebahangan di bibir. Perasaan malu dalam diri saya pada waktu itu lebih ringan dari kepedasan yang mencucuk.
Suara ibu Aiman yang tinggi dan pekat dengan dialek Rembau banyak mengajar saya tentang pelbagai perkara. Aiman juga banyak mengajar saya dalam menjalani kehidupan. Kehidupan sebagai manusia homoseksual, misalnya.
Di dalam kelas 3 Jaya, terdapat seorang pelajar perempuan yang agak diminati oleh saya. Mulutnya bising dan tidak hentihenti bercakap. Oleh kerana telatahnya itu jugalah membuatkan saya jatuh cinta padanya. Akan tetapi, perkara itu tidak pernah diluahkan oleh saya kepadanya.
Kerana sifatnya yang tidak henti-henti bercakap itu jugalah yang membuatkan saya terus memendam perasaan cinta itu. Saya risau sekiranya perasaan itu diluahkan kepadanya, dia akan membuka mulut dan bercerita kepada satu dunia bahawa ada seorang lelaki gemuk yang tidak tahu malu sudah meluahkan isi hati kepadanya.
Saya tidak dapat membayangkan sekiranya hal itu berlaku. Pasti saya akan dicanang di seluruh sekolah sebagai lelaki berumur sembilan tahun yang kencing pun masih tidak lurus sudah pandaipandai ingin bercinta. Jadi, seperti perempuan-perempuan yang sebelumnya, perlahan-lahan ia hilang dari kotak ingatan saya dan menjadi sekadar sepotong mimpi. Oh. Namanya Halimaton.
Halimaton Saadiah, barangkali.