Ada ketika saya ingin berhenti dan berpatah balik, hampir berputus asa kerana merasakan terlalu berat halangan yang dihadapi, tetapi diteruskan juga bila teringat segala jatuh bangun, tangis ketawa dan wajah-wajah mereka yang bersama saya sepanjang perjalanan ini.
*********************
Asasi dan Kolej Dayasari
Sebagai ada kejutan budaya apabila saya masuk ke kampus Universiti Malaya (UM) pada tahun 1996. Kalau dulu di MTD yang menitik beratkan peraturan dan disiplin, tetapi di UM tiada lagi peraturan tentera dan orang yang memantau pergerakan. Kalau dulu di MTD saya cuma bergaul dengan rakan-rakan lelaki, tetapi di Asasi UM saya boleh bergaul bersama lelaki dan perempuan. Kalau dulu di MTD saya perlu berambut pendek dan berpakaian tentera, di kampus UM saya boleh memakai jean dan t-shirts serta menyimpan rambut panjang.
Begitulah pemikiran saya, yang pada ketika itu berusia 17 tahun, merasakan telah mendapat kunci kebebasan dan berhadapan dengan dunia yang baru tanpa sebarang kawalan. Terasa seperti dunia pada ketika itu saya yang punya.
Selepas lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 1995 dengan keputusan yang tidak seberapa, langsung saya tidak terfikir tentang peperiksaan-peperiksaan yang akan datang, hala-tuju karier untuk masa depan dan tanggungjawab saya kepada keluarga serta agama.
Walaupun saya survived zaman Asasi selama 2 tahun, keputusan yang saya peroleh pun sebenarnya tidaklah memberangsangkan sangat. Saya memperoleh 1 C dan 3 D semasa peperiksaan pertama saya di Pusat Asasi Sains UM sebelum sedikit demi sedikit berjaya meningkatkan gred pencapaian untuk 3 lagi peperiksaan yang seterusnya. Ada kawan saya yang gagal teruk dan terpaksa keluar dari kursus Asasi dan ada juga yang terpaksa mengulang tahun. Bayangkan pada ketika itu, kursus Asasi adalah selama 2 tahun, jika ada yang mengulang setiap tahun, jumlah kursus Asasi sahaja menjadi 4 tahun!
Duduk di Kolej Kediaman Kelima Dayasari dan bercampur dengan pelajar-pelajar fakulti yang lebih tua sememangnya menyeronokkan. Selain daripada pelbagai jenis aktiviti yang boleh dijalankan di kolej tersebut, selalunya saya akan keluar minum, meronda bersama geng-geng motosikal, melepak di bilik senior hinggalah keluar lewat malam. Tidak ada satu pun yang berkaitan dengan akademik.
Pada tahun 1996 juga, saya baru mula bermain muzik secara serius bersama band pertama saya DUnknown. Jadi hampir setiap malam saya keluar untuk menyaksikan cikgu gitar saya bermain di sebuah kelab bernama Colours di Uptown Damansara. Pada waktu itu muzik ibarat segalanya bagi saya, sehingga lalai tanggungjawab sebagai seorang anak, seorang pelajar apatah lagi seorang hamba kepada pencipta-Nya.
Jika dilihat perjalanan saya dan muzik saya, semestinya tidaklah sehebat ahli-ahli muzik profesional ataupun setaraf dengan selebriti-selebriti. Bermula main gitar lewat pada usia 17 tahun, menjadi ahli band pada tahun 1996, menang pelbagai pertandingan band di peringkat kampus, menang anugerah pemain gitar terbaik UM tahun 1998, mendapat jemputan bermain di kelab malam dan majlis-majlis lain, bermain untuk artis, keluar program televisyen dan hingga kini saya masih lagi bermain muzik.
Bermula dengan muzik dan gitar saya diberi peluang untuk membuatkan orang gembira dan menerima saya, dengan muzik dan gitarlah menjadi punca saya mengharungi saat jatuh paling teruk dalam hidup saya, dengan muzik dan gitar jugalah saya bertemu dengan orang yang memberikan saya sepenuh kepercayaan untuk berjaya.
*********************
Sains Mikrobiologi dan Hadiah Nobel
Tahun 1998, semasa hampir tamat pengajian Asasi, setiap pelajar perlu membuat pemilihan kursus fakulti berdasarkan pencapaian akademik masing-masing. Tanpa berbincang dengan teliti bersama kedua-dua ibu bapa, saya telah membuat pilihan-pilihan tersebut.
Pilihan 1: Pergigian (minat untuk menjadi doktor pergigian sejak tingkatan 3)
Pilihan 2: Farmasi
Pilihan 3: Sains (Mikrobiologi)
Pilihan 4: Kejuruteraan Alam Sekitar (tak pasti kenapa saya letak kursus ini)
Apabila keputusan dikeluarkan, saya telah ditawarkan kursus sains. Walaupun ada perasaan kecewa kerana tidak mendapat pilihan pertama, saya terima dengan hati yang terbuka. Ketika itu, memang saya rasakan mungkin ada kekecewaan pada kedua-dua ibu bapa saya, namun mereka tidak banyak berkata mungkin sebab ianya berkaitan hidup saya. Jadi saya mulakan kursus sains bersama-sama rakan-rakan lain dengan pengkhususan dalam bidang mikrobiologi.
Selepas 2 bulan mengharungi kursus sains, tiba-tiba saya dikejutkan dengan berita yang tak disangka-sangka apabila ditawarkan untuk masuk lewat ke kursus pergigian di Fakulti Pergigian UM.
Atas sebab jawapan terima masuk yang perlu diberikan secepat mungkin, saya cuma sempat menelefon ibu saya menggunakan telefon awam dan memberitahunya berkenaan perkara itu. Masih saya ingat lagi, yang berita itu disampaikan oleh kawan saya pada hari Jumaat petang kerana terperasan nama saya terpampang besar di Dataran Sains. Notis dengan nama saya yang mahukan saya ke Seksyen Kemasukan dan Rekod dengan sesegera mungkin. Pada waktu itu penggunaan telefon bimbit pun tiada lagi. Semua makluman kebiasaannya adalah melalui notice board dan surat.
Bayangkanlah jika tidak ada sesiapa yang memberitahu saya pada ketika itu. Mungkin sekarang saya sudah menjadi seorang saintis mikrobiologi dan memenangi hadiah Nobel. Mungkin.
Apabila sampai ke Seksyen Kemasukan dan Rekod, saya dimaklumkan yang tawaran tersebut diberikan kepada saya kerana ada 2 nama lagi di atas saya yang tidak menjawab tawaran tersebut. Kemungkinan besar kerana maklumat yang tidak sampai. Jadi memang rezeki saya ditawarkan kemasukan ke fakulti pergigian. Pegawai pendaftaran pada ketika itu mahukan saya secepat mungkin pergi melaporkan diri pada keesokan harinya.
Hari Sabtu pada tahun 1998, dahulu hari Sabtu ialah hari bekerja separuh hari. Jadi saya pun dengan semangat yang baru pada pagi itu, terus ke fakulti pergigian untuk melapor diri dengan azam untuk menggapai cita-cita menjadi seorang doktor pergigian seperti yang saya idam-idamkan sejak tahun 1993. Selesai urusan di pejabat, saya diarahkan untuk turut sama dengan rakan-rakan sekelas di makmal biologi mulut.
Secara tidak sedar, bermulalah kisah saya dalam perjalanan untuk menjadi seorang pakar bedah maksilofasial seperti hari ini. Apabila saya melangkah masuk ke makmal yang penuh dengan mikroskop pada tahun 1998 itu, terngiang-ngiang raut wajah muka Dr. Marina dan rakan-rakan pergigian baru saya, dengan pelajar wanita berpakaian kemas dan pelajar lelaki pula memakai kemeja bertali leher melihat ke arah saya yang pada ketika itu memakai jean, berbaju t-shirt Public Enemy dengan rambut panjang hampir ke paras bahu.
*********************
Gelap
Apabila lewat masuk ke kursus pergigian hampir 3 bulan selepas penggal bermula, memang saya rasakan banyak perkara yang perlu dikejar. Subjek-subjek semuanya berat-berat belaka. Anatomi, Fisiologi, Biokimia dan Biologi Mulut. Di kala rakan-rakan pergigian saya semuanya duduk di Kolej Ibnu Sina berdekatan dengan fakulti saya pula terus kekal duduk di Kolej Dayasari yang agak berjauhan daripada fakulti. Walaupun dipaksa untuk berpindah ke Kolej Ibnu Sina, saya pada ketika itu masih berdegil kerana terlalu sayangkan Kolej Dayasari dan suasananya.
Sejurus saya memulakan pengajian di fakulti pergigian, saya terpaksa menduduki peperiksaan penggal pertama. Empat subjek dengan topik-topik yang terlalu banyak perkara yang perlu difahami dan dihafal. Disebabkan tidak membuat persediaan langsung untuk peperiksaan tersebut, saya telah mendapat 2 E dan 2 F. Saya mula merasakan tekanan berada di dalam kursus tersebut. Bermula dengan kelas-kelas yang langsung tidak saya fahami kandungannya, saya kemudian mula datang lambat ke kelas. Apabila mendapat teguran pensyarah saya terus mengambil keputusan untuk tidak hadir ke kebanyakan sesi kuliah.
Nama saya mula menjadi target pensyarah-pensyarah di fakulti atas masalah disiplin. Kerap saya dipanggil oleh timbalan dekan untuk diberikan nasihat. Di kalangan rakan-rakan sekelas, imej saya ibarat budak nakal dan saya tidak menyalahkan segelintir daripada mereka yang adakalanya menjadikan saya piawai untuk lulus sesuatu ujian dengan membuat perbandingan di antara jawapan saya dan jawapan mereka.
Waktu siang di fakulti ibarat bebanan bagi diri saya. Saya mula menjauhkan diri daripada rakan-rakan fakulti. Satu-satunya waktu yang menggembirakan diri saya ialah apabila berada di Kolej Dayasari bersama gitar dan rakan-rakan dari fakulti lain. Di luar fakulti, saya ibarat berada di dunia sebenar yang saya impikan. Bebas. Malam masih boleh keluar bersama rakan menyaksikan live band, menyaksikan kawan-kawan berlumba haram di lebuh raya, melepak hingga lewat malam dan beberapa lagi perkara yang sememangnya melalaikan.
Pada ketika itu saya semakin hilang arah. Tidak tahu mana yang realiti dan mana satu keseronokan sementara. Tanpa berfikir panjang saya telah mengambil keputusan untuk berhenti daripada meneruskan kursus pergigian dan berpatah balik ke fakulti sains. Pada masa itu, saya rasakan bukan bidang pergigian yang saya mahukan. Saya menyalahkan keadaan dan ibu bapa saya tanpa menyalahkan diri saya sendiri.
Walaupun saya telah membuat keputusan untuk keluar daripada kursus pergigian, kemasukan semula ke fakulti sains tidak dapat saya lakukan dengan begitu sahaja. Saya terpaksa menunggu sehingga habis penggal bagi urusan tersebut. Hendak tak hendak, saya perlu juga untuk menduduki peperiksaan akhir pergigian tahun satu.
Ada 2 orang kawan di fakulti pergigian yang sering memberikan semangat kepada saya pada ketika itu, seorang bernama Adzwin dan seorang lagi rakan sekolah saya di MTD, Azmeel. Mereka berdua telah cuba untuk membantu saya untuk menghadapi peperiksaan akhir tetapi saya masih berkeras dengan pendirian saya. Akhirnya, saya gagal keempat-empat subjek yang saya ambil. Gagal dengan gred F. Seteruk-teruk gagal. Dunia saya terasa gelap.
*********************
Harapan
Mana-mana pelajar yang gagal peperiksaan akhir penggal dikehendaki mengambil peperiksaan supplement semasa cuti penggal. Jika masih gagal dalam peperiksaan tersebut, pelajar perlu mengulang balik tahun pengajian.
Saya yang pada ketika itu sudah bertekad untuk kembali ke fakulti sains sememangnya tidak ambil kisah tentang perkara tersebut.
Buat apa nak ambil lagi, tak penting pun. Suara hati saya menjerit kuat. Tetapi hanya saya yang mendengarnya. Mungkin pada masa itu untuk sedapkan hati.
Saya memencilkan diri selepas tamat peperiksaan akhir tahun satu kerana merasa marah dan kecewa dengan keadaan. Ibu bapa saya cuba untuk menyelami perasaan saya tetapi saya sendiri tidak membenarkan masalah saya diselami oleh diri sendiri, apatah lagi orang lain.
Dua minggu sebelum peperiksaan supplement, tiba-tiba bapa saya masuk ke bilik saya.
Babah juga pernah gagal dulu. Masa di New Zealand mula-mula babah nak ambil jurusan kejuruteraan tapi kerana keputusan yang tidak bagus, babah ditawarkan jurusan Matematik.
Saya yang sedang bermain gitar seorang diri cuma mendengar. Tetapi sebenarnya dalam hati terkejut kerana tidak pernah langsung saya ketahui cerita ini.
Babah balik menjadi guru sementara, dan kemudian memohon semula untuk masuk semula ke universiti. Alhamdulillah diberikan peluang sekali lagi.
Bapa saya berasal daripada Kampung Tok Muda, Kapar. Merupakan orang yang pertama keluar daripada kampung tersebut untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara pada penghujung tahun 1960-an. Semasa dia kecil, dia hidup susah, makan ubi kayu, ke sekolah berjalan kaki, belajar membaca menggunakan pelita, ibunya membantu ayahnya memetik koko. Arwah datuk saya yang meninggal dunia semasa berumur 96 tahun pernah melalui zaman pemerintahan Jepun suatu ketika dahulu.
Bagaimana bapa saya boleh terdetik di hatinya untuk belajar membaca pada tahun 1950-an, keluar daripada kampung dan masuk ke High School Klang selepas zaman merdeka, belajar bahasa Inggeris, dan di kala sebilangan kecil pemuda-pemuda tahun 1960an belajar di kampus tempatan atau terus bekerja, dia boleh menguatkan semangat untuk ke luar negara meninggalkan keluarga dan kampung halaman
Bapa saya juga adalah seorang yang tidak banyak bercakap, dan dia masuk ke bilik saya bukan untuk bertanyakan masalah saya atau menjanjikan sebarang penyelesaian, tetapi bercerita tentang kisah kegagalannya.
Selepas saat itu, seakan ada suara yang memberikan saya harapan. Kamu impikan untuk menjadi doktor pergigian sejak tingkatan 3! Sekarang kamu jatuh tapi kamu perlu bangkit! Jika kamu tidak mahu lakukan benda ini untuk diri sendiri, lakukan untuk ibu bapa kamu!
Untuk tempoh 2 minggu seterusnya, saya merasakan yang saya mempunyai satu semangat baru. Saya ke kampus meminta bantuan nota-nota dari rakan-rakan saya dan meletakkan sepenuh usaha untuk menghadapi peperiksaan supplement dalam tempoh kurang daripada 2 minggu.
Emak nak bantu pun tak tahu macam mana, yang mak boleh bantu cuma bawa air dan kuih untuk anak emak. Itulah kata ibu saya apabila masuk ke bilik saya semasa saya sedang belajar.
Teringat semula suaranya sememangnya melembutkan hati saya pada ketika itu. Suaranya seolah-olah mencerminkan perasaan bersyukur dan bangga melihat perubahan saya yang mendadak.
Saat peperiksaan yang tiba saya hadapi dengan tenang. Kertas pertama Anatomi, hari seterusnya Fisiologi, kemudian Biokimia dan akhir sekali Biologi Mulut. Saya mendapat 3 C dan 1 F. Gagal Anatomi dan dikehendaki mengulang semula tahun pertama.
Adakah saya kecewa Ya. Sangat kecewa dan mengambil masa untuk bangun semula. Tetapi saya bersyukur kerana Allah telah memberikan saya peluang kedua untuk bangkit daripada kegagalan.
Jika saya hampir berjaya pada peperiksaan supplement tersebut, tidak mustahil saya boleh bangkit kembali dan berjaya selepas ini.
*********************
Bangkit
Semasa saya mengulang semula tahun pertama, saya ada mendapat sedikit pengecualian daripada menghadiri beberapa kelas yang telah saya ikuti semasa tahun 1998.
Jadi pada masa lapang, saya bekerja sebagai pencuci pinggan di Hotel Eastin. Bekerja separuh masa di bahagian dapur, saya sering mendapat peluang menikmati makanan-makanan hotel yang berlebihan. Saya juga banyak bercampur dengan pekerjapekerja lain yang kebanyakannya orang-orang muda yang merantau ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki.
Tahun saya mengulang seolah-olah menjadi lembaran baru dalam hidup saya. Saya berusaha keras untuk memperbaiki diri dalam aspek-aspek asas keagamaan dan kerohanian, solat 5 waktu, sedikit sebanyak mendekati orang-orang yang tinggi ilmu agama, mula berjinak-jinak berpuasa hari Isnin dan Khamis, dan boleh dikatakan kebanyakan malam melakukan solat hajat atau solat taubat.
Tiadalah niat saya di sini untuk mengatakan yang saya menjadi seorang yang alim. Tetapi percayalah, bagi orang-orang yang tahap-tahap biasa sahaja berkaitan ilmu agama seperti saya ini, pendekatan rohani seperti ini sebenarnya memberikan satu kekuatan dalaman untuk kita terus cekal dalam menghadapi sebarang dugaan dan cabaran dalam hidup.
Pada hari-hari pertama tahun saya mengulang, kebanyakan pelajar-pelajar baru tahun pertama tidak bercakap dengan saya. Mungkin kerana penampilan saya yang kurang kemas ataupun status pelajar mengulang yang membuatkan mereka berasa serba salah untuk menegur saya.
Hello there, Im Budi. Whats your name Budi Aslinie adalah pelajar pertama yang menegur saya semasa satu sesi dissection di dalam makmal cadaver Anatomi. Beliau kini seorang pensyarah pergigian dalam bidang Pergigian Masyarakat di salah sebuah universiti awam di Malaysia.
Lama-kelamaan saya dan rakan-rakan baru saya menjadi rapat. Kebanyakan daripada mereka memanggil saya abang kerana usia saya yang lebih tua. Saya layankan saja. Dan kemudiannya Alhamdulillah saya dipertemukan dengan seorang budak lakilaki bernama Faiz Khaleed yang pada tahun ketiga menjadi clinical partner saya selama 3 tahun sehingga kami tamat pengajian bersama-sama.
Walaupun mengulang tahun pengajian, saya masih lagi bermain gitar dan kerap juga menerima undangan. Saya masih ingat lagi kenangan mewakili Kolej Dayasari bersama band DUnknown pada Festival Seni pada tahun 1998, tahun di mana kegelapan melanda hidup saya dan pada tahun itu jugalah saya memenangi anugerah Pemain Gitar Terbaik UM. Lagu instrumental bertajuk Lights of Heaven yang saya mainkan adalah lagu pemain gitar handalan Joe Satriani dan ada kawan-kawan saya mengatakan yang saya seolah-olah seperti dirasuk semasa memainkan lagu tersebut. Mungkin juga tajuk Lights of Heaven secara coincident menggambarkan harapan saya agar diberikan petunjuk.
Segala pujian bagi Allah. Saya bersyukur di atas peluang kedua ini ya Allah. Sesungguhnya bagi setiap apa yang Allah berikan selepas saya berjaya mengatasi kegagalan, saya pasti ada tanggungjawab lain yang perlu saya pikul.
Ada satu ketika saya dijemput untuk bermain gitar mengiringi Dato Profesor Dr. Hashim Yaakob, Dekan Fakulti Pergigian pada ketika itu semasa beliau membaca puisinya. Sedang saya berehat di hadapan pentas selepas selesai sesi rehearsal, saya perasan ada seorang lelaki memegang gitar akustik Ibanez saya dan bermain seorang diri.
Bagi seorang pemain gitar, sukar untuk saya benarkan orang lain untuk menyentuh gitar saya. Jadi saya pun menegur lelaki itu.
Bang, main baik-baik ya bang. Lepas main letak balik di tempat asal ya.
Lelaki itu menoleh dan mengangguk dan terus bermain.
Sekarang, lelaki itu adalah Dekan Fakulti Pergigian, Prof. Dato Dr. Zainal Ariff, juga adalah bekas Ketua Jabatan Bedah Mulut dan Maksilofasial yang pada tahun 2006 membawa saya semula masuk ke Universiti Malaya untuk menyertai beliau di jabatannya. Beliau jugalah adalah salah satu daripada 3 orang di Universiti Malaya yang menyokong sepenuhnya keputusan saya untuk mengambil jurusan perubatan pada tahun 2010.
Pada tahun saya mengulang juga, saya masih ingat pada waktu ketika saya menuruni tangga dewan makan di Kolej Dayasari, secara tiba-tiba saya ditegur oleh seorang budak perempuan berkaca mata yang tidak pernah saya tegur sepanjang 3 tahun mengetahui kewujudannya di kolej itu.
Eh, sayangnya potong rambut.
Budak perempuan itu seterusnya menunggu saya selama 3 tahun sebelum saya tamat belajar, menjadi teman hidup saya, sahabat baik saya, ibu kepada anak-anak saya dan tidak pernah saya terfikir yang budak perempuan itu juga akan melakukan satu pengorbanan yang besar dalam hidupnya untuk diri saya.