Antara skema jawapan yang biasa dijawab oleh remaja sewaktu ditanya tentang hasrat mereka untuk menjadi doktor adalah seperti berikut;
Saya ingin membantu orang sakit.
Kursus perubatan lebih terjamin dari segi kerjayanya.
Bidang ini mencabar, saya sukakan cabaran!
Saya ingin menurut jejak langkah bapa dan keluarga.
Kerja doktor ni glamor!
Kerja doktor cepat kaya.
Sewaktu USM pertama kali mengadakan sistem temuduga untuk pengambilan pelajar baru dalam bidang perubatan setelah diiktiraf sebagai universiti APEX, majoriti pelajar lepasan matrikulasi dan STPM yang menghadiri temuduga mengatakan bahawa mereka ingin menjadi doktor kerana ingin membantu orang sakit atau susah.
Saya hanya mendiamkan diri sewaktu beberapa orang doktor mendedahkan jawapan adik-adik tersebut apabila kami berpeluang untuk bersembang.
Saya yakin, ungkapan ini sebenarnya merupakan ayat paling popular bagi mereka dalam memberikan justifikasi kepada citacita mereka untuk menjadi doktor.
Akan tetapi, berapa ramai dalam kalangan mereka yang benarbenar berpegang pada prinsip ini atau ungkapan ini hanyalah pemanis mulut untuk membodek panel temuduga agar diberi tempat belajar dalam bidang perubatan.
Padahal, para penemuduga sendiri sudah muak dengan jawapan ini kerana sangat tipikal dan pelajar itu sendiri tidak ada idea tentang apa itu kerjaya sebagai seorang doktor.
Pada masa kini berapa ramai doktor-doktor yang menggunakan gelaran doktor di pangkal nama mereka untuk meraih kekayaan dunia dengan mengenakan cas perubatan yang begitu mahal kepada pesakit
Ada dalam kalangan mereka yang menipu dengan menjual ubat murah dengan harga yang mahal ataupun membuat testimonitestimoni palsu untuk syarikat multilevel marketing, MLM. Paling teruk, ada yang sanggup menjual pil-pil khayal, ubat batuk dan surat cuti medikal (MC) demi kekayaan dunia.
Mengapa niat murni mereka boleh berubah Di mana silapnya Ataupun mungkinkah impian ingin membantu orang sakit atau susah itu adalah suatu yang hipokrit sejak dari awal lagi. Bagi saya sendiri, secara jujurnya niat awal saya memilih untuk menjadi doktor bukan kerana ingin membantu orang ramai. Ungkapan ini hanya timbul setelah saya bergelar pelajar perubatan. Dan ada masanya juga niat ini bagaikan sabut yang kadangkala timbul dan kadangkala tenggelam. Jika bukan kerana tazkirah dan usrah, mungkin saya sendiri semakin jauh dari niat ini.
Manakan tidak, sebagai manusia yang punya nafsu, saya juga ada perasaan untuk menjadi kaya, mempunyai hartanah berjuta ringgit, rumah mewah bertingkat-tingkat dan memandu kereta berjenama terkenal.
Semoga Allah akan terus memberi kekuatan pada saya untuk melawan nafsu jahat tersebut dan menghormati profesion perubatan ini.
Minat saya untuk menjadi doktor sebenarnya adalah dipupuk melalui watak komik Jepun Dr Black Jack.
Masih saya ingat sewaktu saya di darjah satu, kami sekeluarga tinggal di Gua Musang kerana ayah pada ketika itu bekerja sebagai kerani di KESEDAR dan ibu pula bekerja di Jabatan Perhutanan.
Sewaktu kecil, saya merupakan anak yang nakal dan tidak mendengar nasihat. Suka merayau dan bermain hingga patah riuk tulang tangan.
Hendak dijadikan cerita, pada suatu hari Jumaat saya dibawa bapa untuk bersolat Jumaat di Bandar Lama Gua Musang. Sewaktu jemaah sibuk mendengar khutbah, mata dan fikiran saya terarah pada sisa kedai di hadapan masjid yang rentung dimamah api.
Tanpa mempedulikan kewajiban yang harus saya tunaikan, saya sebaliknya ke tapak bangunan kedai yang jatuh menyembah bumi itu. Masih ada asap-asap yang berkepul dari arang yang masih panas itu.
Mata saya melilau mencari sisa-sisa ehsan yang ditinggalkan oleh api yang mana amukannya berjaya dipujuk pancuran air pasukan bomba.
Banyak yang saya temui seperti pelekat kartun, permainan dan sebagainya. Namun, yang paling menarik minat saya adalah beberapa buah buku manga yang berjudul Dr Black Jack yang ditulis oleh Osamu Tezuka yang juga merupakan seorang doktor.
Buku-buku itu segera saya kutip, disorokkan di dalam baju Melayu dan saya lantas berlari kembali ke masjid untuk berpura-pura solat setelah mendengar imam sudah pun berada di tahiyyat akhir.
Sampai di rumah, buku-buku tersebut segera saya khatamkan. Ia adalah berkisarkan watak Kuroo Hazama ataupun Black Jack, seorang pemuda yang mempunyai wajah bertampal cerah dan gelap serta rambut putih dan hitam.
Hazama merupakan seorang kanak-kanak Jepun yang sedang menunggu ibunya yang bisu di pasar raya apabila sebuah bom yang diletakkan pengganas meletup. Hazama dan ibunya cedera parah dan dibawa ke hospital. Di sini, unsur keajaiban digunakan di mana Dr Jotaro Honma berjaya menyambung semula bahagian badan Hazama yang berkecai dalam letupan tersebut.
Sebelah wajahnya gelap kerana mengalami kecederaan yang agak parah dan terpaksa menerima skin graft dari sahabat baiknya yang mempunyai darah kacukan Afrika. Sebagai menghargai pengorbanan sahabatnya, Hazama memilih untuk tidak menjalani pembedahan lain bagi merawat mukanya itu. Ibu Hazama pula koma dan terpaksa bergantung pada mesin untuk hidup.
Hazama terpengaruh dengan Dr Honma yang merawatnya dan menjadikan beliau sebagai sumber inspirasi. Tambahan pula, beliau bercita-cita tinggi untuk menyembuhkan ibunya yang koma. Lantas, beliau mengambil jurusan perubatan.
Beliau merupakan seorang yang genius dan mempunyai skill pembedahan yang amat hebat tetapi menjalankan pembedahan secara haram sewaktu masih bergelar pelajar perubatan. Setelah lulus dari universiti, beliau tidak mengambil lesen untuk praktik sebagai seorang doktor.
Sebaliknya beliau menjalankan perniagaan secara haram dan mengenakan yuran perubatan yang melampau tinggi kepada pelanggan. Pelanggannya pula terdiri dari ahli kongsi gelap, peniaga kaya dan ahli politik.Walau bagaimanapun, disebalik unsur negatif yang ditunjukkan, beliau sebenarnya berhati mulia dan acap kali menyelamatkan nyawa pesakit dengan percuma. Jauh di sudut hatinya, beliau sebenarnya berhati mulia. Wang yang diperolehi dari pelanggan yang kaya tersebut digunakan pula untuk didermakan kepada mereka yang memerlukan bantuan.
Watak fiksi ini mempengaruhi saya melalui kehebatan skil pembedahan beliau serta nilai positif dalam dirinya. Itulah yang menyemai cita-cita saya untuk menjadi seorang doktor.
Aku ingin menjadi doktor yang hebat seperti Black Jack dan melakukan pelbagai keajaiban.
Itu adalah cita-cita seorang anak kecil berumur lapan tahun yang berpendapat bahawa doktor mempunyai kuasa ajaib untuk menyembuhkan penyakit walau sepayah mana pun ia.
Mungkin kerana anak kecil itu masih terpengaruh dengan seribu satu khayalan magikal!
Dan buat sahabat-sahabat yang bertanya mengapa saya mempunyai nama gelaran jacknaim, maka disitulah asalusulnya. Kerana minat yang amat sangat pada manga ini, saya menggunakan gelaran drblackjack, kemudian menjadi silverjack dan akhirnya jacknaim.
Sewaktu saya berada di darjah empat, saya terpengaruh pula dengan drama bersiri ER yang memaparkan tentang kerjaya doktor dalam bidang perubatan kecemasan. Tambah menarik, drama ini juga ditulis oleh seorang doktor iaitu Michael Crichton.
Darah yang membuak keluar dari perut yang ditusuk pisau, chest compression untuk pesakit yang mengalami cardiac arrest, intubation, merawatmangsa tembakan dan open cardiac massage cukup mengujakan saya dan memberikan kepuasan pada diri.
Dan saya cukup terpengaruh sekali dengan watak John Carter lakonan Noah Wyle yang bagi saya adalah hero utama drama tersebut. John Carter bermula sebagai seorang pelajar perubatan yang menjalani attachment di Jabatan Kecemasan sewaktu berada di tahun akhir pengajiannya. Selepas itu, beliau menjalani rotasi dalam bidang pembedahan sebelum akhirnya menyedari bahawa minat utamanya adalah dalam bidang perubatan kecemasan.
Watak John Carter cukup istimewa buat saya yang sering kali membayangkan diri ini sepertinya. Ternyata, beliau adalah inspirasi fiksi yang cukup berharga buat saya.
Kesusahan sewaku menjadi pelajar perubatan ada kalanya melemahkan semangat beliau hingga hampir berputus asa. Namun, beliau bangkit kembali untuk terus menjadi seorang doktor yang hebat. Watak beliau turut dipotretkan sebagai insan yang cukup menghormati nilai kemanusiaan dan sering mengikuti misi kemanusiaan di Darfur dan Afrika. Harta kekayaan peninggalan keluarganya pula digunakan sepenuhnya untuk membina sebuah institusi perubatan untuk pesakit AIDS, orang miskin dan kurang upaya.
Subhanallah! Watak beliau penuh dengan ajaran Islam walaupun beliau seorang kafir.
Kerana itu, saya cukup fanatik sekali dengan bidang perubatan kecemasan. Sejak dari kecil saya bercita-cita untuk menjadi seorang pakar perubatan kecemasan dan cita-cita itu tidak pernah luntur hingga ke hari ini.
Malah, sering saya membayangkan diri saya sebagai Dr Carter yang begitu tangkas menangani pesakit di Jabatan Kecemasan, mempunyai skil yang mantap untuk membuat open cardiac massage, intubation atau chest tube dan mempunyai hati yang cukup luhur dalam menenangkan pesakit dan membantu insan yang memerlukan bantuan.
Kerana itu juga saya sanggup mengorbankan masa rehat dan cuti saya untuk menempel di Jabatan Kecemasan, mengikuti ambulance call dan membantu doktor di sana merawat pesakit. Semoga Allah terus menyuburkan minat saya dalam bidang ini dan membantu saya untuk mencapainya. Semoga suatu hari nanti saya akan menjadi seorang pakar perubatan kecemasan muslim yang hebat!
InsyaALLAH!
Selain itu, mungkin ramai sahabat yang tidak mengetahui bahawa saya pernah lumpuh dari bahagian pinggang hingga ke kaki selama dua minggu sewaktu musim cuti antara tingkatan satu dan dua.
Saya sendiri sebenarnya tidak pasti masalah sebenar saya. Yang saya ingat, pada waktu cuti itu, saya tinggal di rumah nenek di Kampung Padang Raja, Machang. Pada masa itu, rumah tersebut separuh musnah dek kerana banjir besar yang menimpa Kelantan.
Saya akui bahawa saya adalah anak kampung yang sukakan cabaran. Kerana itu saya sanggup tinggal di rumah yang tidak berdinding dan berpintu serta ada bahagian yang berbumbungkan langit.Sungguh indah kenangan bersahur dan berbuka puasa dengan bertemankan cahaya pelita dan lilin serta dibuai angin sepoi bahasa.
Di waktu siangnya pula saya pergi memukat ikan, memancing dan memanjat pokok. Air sungai yang masih dalam pada ketika itu tidak menakutkan saya sedikit pun. Mungkin kerana saya kurang berfikir tentang bahaya dan hanya memikirkan keseronokan tatkala melihat ikan menggelupur di pukat.
Pada suatu petang, saya terjatuh dari pokok tapi masih tetap boleh berjalan seperti biasa. Cumanya, setelah selesai berbuka tiba-tiba kaki saya terasa seperti kejang dan sakit yang amat sangat.
Saya tidak boleh bangun dan menangis teresak-esak.
Ibu saudara saya pada ketika itu menyangkakan bahawa saya tidak dapat bangun kerana terlampau kenyang setelah berbuka puasa dengan banyaknya.
Saya bersetuju dengan kata-katanya dan menahan kesakitan sepanjang malam. Hendak kencing terpaksa kejutkan nenek untuk membawa botol kepada saya. Sewaktu bersahur keesokan paginya, selera makan saya hilang kerana tidak mampu menahan sakit. Walaupun demikian, saya melarang nenek dari memberitahu kejadian tersebut kepada ibu bapa saya yang tinggal di bandar Machang kerana takut dimarahi.
Hinggalah apabila tengah hari menjelang, saya sudah tidak mampu lagi menanggung azab derita tersebut dan merengek meminta pertolongan.
Dengan penuh susah payah, saya dibawa ke Hospital Machang dengan menaiki sebuah van. Di sana, doktor sendiri tidak mempunyai idea apakah yang sebenarnya berlaku kepada saya lalu saya dimasukkan ke wad untuk menerima ubat penahan sakit.
Tiga hari berada di wad dengan penuh azab, saya akhirnya dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bahru dan dimasukkan ke wad ortopedik.
Di sana, saya tidak dapat mengingat dengan jelas apa penyakit saya dan rawatan khusus yang diberi kepada saya. Yang saya ingat, kaki saya digantung dengan besi dan ada doktor yang datang untuk menyuntik ubat.
Namun, suatu perkara yang saya ingat dengan jelas adalah layanan yang diberikan oleh doktor kepada saya.
Subhanallah! Mereka banyak membantu bukan sahaja dalam mengurangkan bebanan sakit yang saya hadapi tetapi juga motivasi untuk saya sembuh.
Akhirnya dalam masa seminggu lebih, saya kembali mampu duduk, kemudiannya bergerak menggunakan kerusi roda dan akhirnya pada satu malam, secara tiba-tiba saya mendapat satu semangat untuk berdiri dan berjalan dengan berpegang pada dinding.
Alhamdulillah, beberapa hari kemudian saya dibenarkan pulang dari hospital dan beransur pulih dalam masa sebulan.
Kejadian itu sedikit sebanyak memberikan satu perspektif baru kepada saya berkenaan tugas-tugas seorang doktor serta peranan doktor dalam memberikan motivasi selain dari memberikan ubat.
Semoga, saya juga dapat melakukan perkara yang sama kepada pesakit saya nanti, InsyaALLAH!
Tiga kisah yang saya sampaikan tadi adalah detik-detik awal dalam kehidupan saya untuk memilih kerjaya sebagai seorang doktor.
KISAh DI SeBUAh PerMUlAAN
Setelah menamatkan pengajian di Kolej Matrikulasi Pahang, saya memanfaatkan masa cuti dengan bekerja bersama bapa saudara di Kuantan, Pahang. Ketika itu, saya masih menantikan keputusan peperiksaan semester dua matrikulasi bersama dengan jawapan untuk permohonan kemasukan ke universiti.
Ini adalah kali kedua saya bekerja makan gaji. Kali pertama adalah sewaktu cuti selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, SPM. Juga bekerja di tempat yang sama dan dengan gaji yang sama.
Walaupun bekerja dengan bapa saudara sendiri, namun bebanan kerjanya amat berat juga memandangkan terpaksa bekerja selama 12 jam sehari pada syif malam dengan gaji hanya sejumlah RM450 sebulan.
Saya bekerja sebagai pelayan restoran tetapi pada masa yang sama terpaksa menjaga kaunter, sesuatu yang agak mencabar bagi saya. Maklumlah, kerenah pelanggan adalah pelbagai.
Herdikan dari pelanggan juga adalah suatu kebiasaan dan menjadi halwa telinga. Lambat sampai makanan kena marah, lambat mengira kena marah, tersilap kira kena marah, makanan sikit kena marah.
Semua kena marah!
Ada masanya, timbul juga perasaan geram dalam hati. Ingin sahaja saya membalas makian mereka kerana mencabar keegoan dan seolah-olah menjatuhkan maruah saya. Apakan daya, inilah adat pekerjaan yang menawarkan perkhidmatan;
Customers are always right.
Sekiranya pekerja yang bertanggungjawab mencuci pinggan mangkuk bercuti, maka saya juga terpaksa rajinkan tangan untuk mengambil alih tugas tersebut. Setiap hari juga, saya terpaksa menyapu lantai dan membuang sampah. Seawal jam 5 pagi saya akan ke pasar borong Kuantan bersama-sama bapa saudara untuk membeli bahan mentah dan bahan kasar untuk masakan.
Pernah juga saya menghadapi masalah dengan rakan sekerja dan hampir dibelasah kerana salah faham yang timbul. Seorang pekerja dari Thailand telah tersalah tuduh bahawa saya mencuri telefon bimbit buruknya. Keadaan bertambah buruk apabila sahabatnya membuat pengakuan palsu bahawa ternampak saya mencuri telefon tersebut.
Ia adalah sesuatu yang agak perit buat saya. Syukurlah saya tidak diapa-apakan dan salah faham tersebut selesai setelah mendapat campur tangan dari bapa saudara saya. Dalam hati, saya berasa sangat geram sekali apatah lagi dia menuduh saya mencuri telefon buruknya yang bernilai tidak sampai RM100 pun.
Ingin saya tonyohkan telefon bimbit saya yang berharga ribuan ringgit ke mukanya sambil berkata;
Buat apa aku nak curi telefon kau Telefon aku dah cukup mahal dah!
Alhamdulillah, saya masih waras dan Tuhan menjauhkan diri saya dari menunjukkan sikap angkuh, riak dan sombong.
Di siang harinya pula, saya membuat kerja tambahan untuk mendapatkan sedikit bonus. Ketika itu, bapa saudara saya turut mendapat sub tender untuk memasak makanan kepada orang kena tahan, OKT di lokap-lokap di sekitar Kuantan.
Tugas saya adalah untuk membantu seorang lagi pekerjanya menyediakan bahan mentah, memasak, membungkus makanan dan air serta menghantarnya ke lokap untuk diagihkan kepada OKT.
Saat paling menakutkan adalah apabila melalui tirai besi dengan diiringi prebet polis dan melihat susuk tubuh OKT. Ada yang bertubuh sasa, bertatu dan bermuka bengis.
Andai ada yang mereka tidak berpuas hati, maka mereka akan bising dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada kami. Paling teruk adalah apabila ada yang membaling bungkusan makanan sebagai tanda protes.
Rasa bimbang dan takut bertandang di fikiran tatkala mereka mendekati saya untuk mengambil makanan. Walaupun dalam lokap, mereka masih boleh berbuat sesuatu terhadap saya.
Yang pasti, saya mungkin dilanyak cukup-cukup sebelum menerima bantuan dari anggota polis yang menjaga lokap.
Ada masanya, saya juga hairan dengan sistem kawalan polis terhadap OKT. Mereka masih bebas merokok di dalam lokap dan pergaduhan juga tetap tidak dapat dielakkan.
Saya sendiri sempat menyaksikan OKT bertumbuk dan bertendang kerana tidak puas hati sesama mereka.
Ada juga si isteri yang meraung-raung kerana ditahan akibat tindakan suaminya menyimpan ganja di rumah. Dia menariknarik rambutnya sebagai protes untuk tidak mahu masuk ke lokap. Beberapa anggota polis wanita terpaksa memegangnya dengan kuat dan mengheretnya ke lokap. Saya tidak tahu sama ada dia benar-benar tidak bersalah ataupun turut bersubahat bersama suaminya menyimpan dan mengedar ganja.
Senario yang saya perhatikan ini sedikit sebanyak membuatkan saya sedikit gentar dan menjadi satu tazkirah berharga buat saya untuk menjauhkan diri dari melakukan jenayah.
Kau buat apa kat dalam lokap ni Kau rogol anak orang ke Dengan rantai beruk kat leher!
Saya pernah disergah oleh seorang anggota polis sewaktu melepaskan penat setelah mengangkat makanan. Mungkin beliau tersalah anggap bahawa saya adalah salah seorang OKT.
Maklumlah pada ketika itu saya berseluar jeans dengan kaki senteng, berkepala botak dan memakai rantai skinhead berlogo SHARP.
Saya tidak menafikan bahawa saya sedikit nakal di zaman remaja saya. Akan tetapi, nakal saya tidaklah sampai ke tahap serius. Mungkin kerana pertimbangan akal dan rasional saya masih kuat dalam membuat justifikasi mengenai yang mana betul ataupun salah.
Benar! Sewaktu di zaman muda, saya sempat bergaul bersama budak-budak skinhead, menyaksikan seorang sahabat menggunakan pil kuda secara langsung dan ditunjukkan demonstrasi menggunakannya, melihat kenalan menyuntik ganja ke dalam urat sarafnya dan bergaul bebas dengan wanita. Malah, melawan cakap ibu bapa juga sering saya lakukan sewaktu bergelar remaja yang masih terpinga-pinga dalam mencari haluan hidup.
Tapi Alhamdulillah, Allah menyelamatkan saya dari segala bala bencana yang boleh merosakkan masa hadapan saya. Mungkin ia juga adalah berkat dari doa ibu bapa yang tidak putus-putus berdoa agar saya menjadi anak yang soleh.
Saya langsung tidak ada niat untuk mencuba sendiri pil kuda tersebut, menyuntik ganja atau melakukan seks bebas. Andai saya terjebak, nescaya saya pada hari ini adalah orang lain yang mungkin berakhir di penjara atau tali gantung. Benarlah katakata hikmah;
Your present self is a result of your past time.
Kenangan di masa lampau itu saya terima dengan positif. Setidaknya, saya dapat menyelami psikologi anak-anak muda yang terjebak dengan gelaja sosial. Saya tahu sikap ingin mencuba dan pengaruh dari rakan sebaya menyumbang kepada faktor mereka terjebak dalam aktiviti-aktiviti haram. Sedikit pengalaman ini setidak-tidaknya mampu menghubungkan saya dengan remaja-remaja liar sewaktu saya menjadi fasilitator.
Malah, usia di antara 15 hingga 18 tahun merupakan saatsaat kritikal dalam kehidupan remaja di mana ibu bapa wajib mengawal selia anak-anak mereka dengan baik. Pada ketika ini, mereka lebih cenderung untuk melakukan jenayah dan mereka gemar bergaul bebas dan menerokai kehidupan sekitar mereka. Bimbingan dan bantuan dari ibu bapa diperlukan untuk mereka membuat penilaian yang mana baik dan yang mana buruk.
tAWArAN BelAJAr DAlAM JUrUSAN PerUBAtAN
Saya sedang berehat di bangku batu yang terletak di satu sudut bahagian belakang restoran bapa saudara saya sewaktu menerima panggilan dari kampung. Ummi menelefon saya dengan mengatakan bahawa surat tawaran untuk menyambung pelajaran dalam Ijazah Sarjana Muda Doktor Perubatan di Universiti Sains Malaysia telah sampai dan beliau meminta saya untuk segera pulang ke rumah.
Entah mengapa ketika itu saya bagaikan tiada mood untuk pulang walaupun mendapat peluang untuk mencapai cita-cita saya. Mungkin saya dikaburi dengan wang yang diperolehi hasil dari titik peluh saya.
Mungkin juga ketika itu saya masih belum puas untuk hidup bebas, sebebas burung dilangit yang terbang dengan riangnya.
Tambahan pula, tarikh untuk mendaftar diri masih lagi lambat. Maka saya berpandangan bahawa, tidak perlu tergesa-gesa memandangkan tempat untuk menduduki program ini telah pun disahkan.
Namun itu tidak bermakna yang saya tidak menghargai peluang yang diberikan dan jauh sekali untuk menyatakan saya tidak bersyukur.
Malah saya bersyukur sangat-sangat dengan rahmat yang telah diberikan oleh Allah kerana saya merasakan bahawa sebenarnya saya idak layak untuk belajar di dalam kursus ini. Maklumlah saya tidak mendapat markah PNGK 4.0 sewaktu di matrikulasi. Saya hanya memperoleh PNGS 3.9 untuk semester 1 dan PNGS 3.7 untuk semester 2 dengan markah PNGK 3.8. Impian saya untuk mendapat PNGK 4.0 terhakis dek kerana subjek matematik. Sememangnya subjek itu kurang menarik minat saya.
Namun, mungkin kerana berkat doa dari ibu bapa serta perancanganNya yang tersendiri untuk saya, maka saya diberi peluang untuk mencuba nasib dalam jurusan ini.
Dengan menggunakan telefon bimbit Nokia 6680, saya melayari laman web USM untuk melihat sendiri surat tawaran. Maklumlah, saya merupakan jenis yang sukar untuk mempercayai sesuatu tanpa melihat bukti yang jelas di hadapan mata. Pengalaman lampau menunjukkan bahawa saya kerap tertipu dengan buah mulut yang tidak tentu hujung pangkalnya.
Hati saya berasa puas apabila membaca surat tawaran tersebut walaupun menggunakan skrin telefon yang kecil. Alhamdulillah, ini adalah hadiah yang terbaik buat ibu-bapa saya di atas pengorbanan mereka membesarkan anak yang degil seperti saya ini. Tambahan pula, mereka tidak berpeluang untuk belajar di universiti walaupun mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, STPM dek kerana kemiskinan yang menghantui keluarga.
Tawaran ini juga sangat berharga kerana saya merupakan orang pertama dalam keluarga terdekat yang diberi peluang untuk belajar dalam jurusan perubatan. Semestinya ia dipandang serius dan tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.
Jauh saya mengelamun memikirkan masa hadapan. Lima tahun adalah masa yang bakal saya habiskan dengan bergelumang bersama buku-buku yang menimbun. Hanya itu gambaran yang dapat saya bayangkan kerana saya tidak pernah diberi pendedahan tentang kerjaya seorang doktor. Hanya minat yang menjadi tunjang perjuangan dengan berpaksikan watak fiksi Dr Black Jack dan John Carter.
Mampukah saya menggalas amanah ini kerana banyak cakapcakap orang yang mengatakan kursus ini terlampau susah dan jarang orang yang dapat melepasinya dengan baik. Peratusan gagal amat tinggi dan masa hadapan boleh musnah sebegitu sahaja andai gagal dalam peperiksaan. Di saat itu, keluarga akan menanggung malu dan menerima penghinaan dari masyarakat.
Ah! Kenapa harus saya peduli dengan kata-kata bimbang tidak bertempat itu Kenapa harus saya biarkan diri ditenggelami dengan pemikiran negatif orang-orang yang tidak berani untuk mengambil risiko Saya sudah membuktikan mereka silap sebanyak dua kali.
Pertama adalah sewaktu suara-suara ini cuba mempengaruhi keputusan saya memasuki aliran sains sewaktu di tingkatan empat. Suara sumbang ini mengatakan bahawa aliran sains sangat susah, bakal merosakkan masa depan dan membuatkan saya tersungkur.
Alhamdulillah, anak kampung kurang cerdik seperti saya mampu meraih 8A dan 2B dalam peperiksaan SPM dan membuktikan mereka silap.
Kali kedua adalah sewaktu saya mahu memasuki program matrikulasi. Banyak pula suara-suara sumbang yang mempengaruhi ibu bapa saya untuk tidak membenarkan saya belajar di sana kerana tahap kesukarannya yang tinggi.
Alhamdulillah, saya memperolehi keputusan yang agak baik juga walaupun tidak secemerlang rakan-rakan yang lain. Maklumlah, saya bukan jenis yang hanya belajar sepanjang masa!
Jangan pernah berfikir tidak boleh. Walau sesusah mana pun halangan yang mendatang, anda pasti akan dapat mengatasinya. Fikirkan ia sebagai cabaran dan setiap cabaran pasti mampu diatasi andai mempunyai keinginan yang tinggi dan usaha yang gigih. Andai anda gagal pun, sekurang-kurangnya anda mampu keluar dari kelompok orang-orang yang tertewas kerana anda sudah berusaha untuk mengubah nasib anda. Yang penting adalah untuk menetapkan matlamat anda dengan sejelasnya agar jalan menujunya dapat dirintis dengan lancar.
InsyaALLAH, untuk jurusan doktor perubatan ini, saya juga akan membuktikan mereka silap untuk kali ketiga.
Become a possibilitarian. No matter how dark things seem to be or actually are, raise your sights and see possibilities always see them, for theyre always there. [Norman Vincent Peale]
Lamunan saya terhenti dengan panggilan rakan sekerja yang mengajak saya pulang ke markas kami bagi menyediakan minuman petang untuk OKT.
InysaALLAH apabila sampai masanya pasti aku pulang jua untuk mengejar cita-citaku.
MeNGhItUNG WAKtU YANG BerDetIK
Empat hari setelah menerima panggilan telefon dari Ummi mengenai tawaran menyambung pelajaran, akhirnya saya membeli tiket bas untuk pulang ke kampung. Itu pun setelah tidak tahan dengan bebelan dari Ummi.
Banyak hal yang perlu diuruskan kata beliau.
Dalam hati saya berpendapat bahawa Ummi terlebih gembira. Maklumlah anak sulungnya bakal memasuki alam universiti, alam yang sering diidam-idamkannya tetapi tidak mampu untuk diraih.
Selesai sahaja peperiksaan STPM, ibu terus berkerja untuk menanggung keluarga. Cita-cita terpaksa dikorbankan demi keluarga.
Begitu jualah halnya dengan ayah. Mengembara sehelai sepinggan ke ibu kota Kuala Lumpur untuk bekerja bagi mencari sesuap nasi.
Kedua-dua mereka bukannya tidak pandai belajar. Mereka berdua merupakan antara pelajar terbaik di sekolah masingmasing. Ummi di Sekolah Menengah Hamzah, Machang dan Ayah di Sekolah Menengah Kebangsaan Kamil, Pasir Puteh.
Rakan-rakan sekelas mereka yang berkemampuan kini sudah menjawat jawatan penting dalam sektor kerajaan mahupun swasta dan ramai yang sudah kaya-raya. Ada yang menjadi tokoh terkenal. Pernah ibu dan ayah bercerita tentang rakan sekolah mereka tatkala figura-figura itu muncul di kaca televisyen mahupun akhbar.
Mereka mungkin tidak dapat merasai saat itu tetapi insyaALLAH berkat usaha mereka berpenat lelah mencari rezeki, anak-anak mereka tidak perlu mengalami nasib yang sama seperti mereka. Kehidupan anak-anak akan lebih senang nanti.
Tiada harta yang lebih berharga buat anak-anak mereka melainkan pendidikan untuk merubah masa hadapan.
Pulang ke rumah, ternyata tidak banyak yang perlu dilakukan. Saya sudah mula berasa bosan. Urusan medical check up dan proses pengesahan sijil-sijil telah pun diselesaikan. Setiap hari saya menghitung detik-detik untuk memulakan fasa baru dalam hidup.
Seminggu sebelum mendaftar diri, Ummi dan Ayah mengadakan sedikit kenduri kesyukuran serta solat hajat agar perjuangan yang bakal saya tempuhi nanti mendapat redha dari Allah.
Barang-barang keperluan seperti baju kemeja, seluar dan alat tulis telah pun dibeli dan dikemas siap-siap agar nanti tidak ada yang tertinggal. Bersemangat sungguh saya ketika itu. Padahal, jarak di antara rumah saya dan tempat pengajian hanyalah 45 minit sahaja. Andai ada apa-apa yang tertinggal maka boleh sahaja mencari masa terluang untuk pulang ke rumah. Jarum jam terus berputar tanpa henti. Selesai satu pusingan saat, diekori pula oleh minit. Cukup enam puluh minit, jarum jam pula berpusing. Jam demi jam meniti hingga hari bertandang.
Resah di hati mula terasa apabila membayangkan saat yang bakal dihadapi nanti. Semoga Allah terus memberi kekuatan.
Saya membelek-belek buku rujukan sewaktu di matrikulasi. Hancur lebur kerana berkali-kali saya membeleknya. Hanya ada tujuh buah buku ketika itu (tiga untuk semester 1 dan tiga untuk semester 2); biologi, kimia dan matematik. Sebuah buku lagi merupakan buku paling tebal pernah saya pegang sejak dari sekolah hinggalah matrikulasi iaitu buku teks biologi Campbell.
Saya memerhati catitan nota kuliah dan kelas yang sempat saya salin pada buku latihan. Dakwat highlighter pula sudah semakin lusuh. Kenangan belajar bersama rakan-rakan menerpa fikiran.
Kenakalan sewaktu di matrikulasi juga jelas terbayang satu persatu lantas membuatkan saya ketawa sendirian.
Masih teringat betapa rakan-rakan matrikulasi menyangkakan bahawa saya adalah pelajar jurusan fizik atau akaun kerana bagi mereka, budak-budak sains hayat biasanya skema. Tapi saya pada ketika itu berambut pendek dengan bahagian sisi rambut ditoreh ala-ala gangster. Ada masanya, apabila datang angin gila, saya memotong rambut ala-ala mohawk.
Pergi ke kuliah lazimnya dengan hanya berselipar dan berseluar jeans. Bersama rakan-rakan yang lain, kami mendengar syarahan pensyarah bagai menonton wayang. Keropok dan air minuman menjadi teman setia. Apabila berasa bosan, kami berbual di belakang hingga menenggelamkan suara pensyarah. Beberapa kali pensyarah marah hingga kami hampir dihalau keluar.
Sewaktu menunggu pensyarah lain masuk ke kuliah, kami mengacau pula rakan-rakan yang agak skema hingga berlari-lari anak di dalam dewan kuliah.
Di waktu lapang, sempat lagi kami memancing dan bermandimanda di lombong belakang asrama lelaki Blok A2. Suatu aktiviti yang tidak langsung menarik minat pelajar lain yang khusyuk belajar.
Sewaktu orang lain belajar di waktu malam, saya menyibuk dengan anak tuan cafe asrama kami untuk memasak burger. Ada masanya juga, saya mengambil upah untuk menjual nasi lemak di asrama. Nasi lemak tersebut dijual dengan harga RM1.00 dan saya mendapat komisyen sebanyak 20 sen untuk setiap bungkus. Alhamdulillah dalam masa 2 hingga 3 jam sahaja saya mampu memperoleh RM20 semalaman.
Apabila stress belajar, saya dan beberapa orang rakan lagi akan memanjat tangki air yang terletak di antara asrama lelaki Blok A2 dan blok perempuan. Walaupun pintu pagar berkunci, kami akan memanjatnya untuk memasuki tangki air tersebut. Biasanya kami akan duduk di situ untuk berbual-bual kosong dari jam 1 pagi hingga jam 3 pagi.
Sahabat saya yang juga agak nakal bermain SMS cinta dengan pensyarah perempuan. Kami ketawa berdekah-dekah apabila dia kemudiannya kantoi dengan pensyarah tersebut dan dimarahi dengan teruk.
Saya tersenyum sendirian lagi. Banyak sungguh kenangan yang terpahat dalam memori saya. Sekali imbas, mungkin perangai gila-gila sebegini menjadi pendinding kepada saya dari mengalami tekanan belajar.
Kata orang, apabila bergelar pelajar perubatan nanti, semua orang kena serius. Sudah tidak boleh main-main dan tidak boleh jadi gila-gila lagi.
Adakah saya harus mengubah personaliti saya demi sebuah karier yang menjadi idaman itu Saya cuba membayangkan betapa menderitanya nanti kehidupan saya yang menghadap buku sepanjang masa.
Dan apakah saya mampu untuk berubah Jika mampu pun, adakah ia merupakan perubahan yang saya redhai atau menjadi make-up kepada sebuah getaran rasa yang mendambakan sesuatu yang lain. Di sebalik tawaku, ada resah yang bertandang, setiap inci tubuhku dimamah, hingga aku lemah tanpa berdaya. Riangku untuk menghiburkan hati, agar lara dan duka tiada bersemi, andai gembiraku dirampas, akan adakah lagi bahagiaku
Saya terus menghitung detik menantikan tibanya saat itu dengan penuh persoalan dan tanda tanya. Semoga yang baik-baik saja menjadi teman kehidupanku.