Lagi sekali Munir buntu. Suraya juga begitu. Tapi mungkin mereka sudah mula membiasakan diri dengan keadaan begitu. Dengan Adib memang tidak pernah ada kejelasan. Hanya kesamaran. Tidak pernah ada penyelesaian. Hanya jalan mati.
Sewaktu mula-mula dahulu, Adib tidak begitu. Dia seorang budak yang pendiam, malah akur. Namun sejak usianya mencecah lapan tahun, dia semakin menampakkan perubahan. Kalau dahulu, kebanyakan masanya Adib akan diam, termasuklah apabila diajukan sebarang soalan. Kini terbalik. Dia banyak bercakap, dan dia pula yang sering mengutarakan soalan-soalan yang begitu aneh untuk lahir dari mulut seorang budak kecil. Juga dari semasa ke semasa, ada saja pernyataan-pernyataan yang dikeluarkannya dan perbuatan yang dilakukannya yang membuatkan Suraya dan Munir mati akal.
Contohnya semasa malam pertama selepas Munir dan Suraya selamat diijab kabulkan sebagai suami isteri dulu. Munir terkejut beruk apabila dia keluar dari bilik air dan mendapati Adib sedang duduk menongkat dagu di sudut hujung katil sambil memerhatikan Suraya tak lepas pandang, hingga anak dara itu jadi tidak keruan dibuatnya. Munir pun menanyakan apa yang Adib sedang buat dalam bilik mereka. Lalu dengan bersahaja Adib menjawab,
"Aku nak lihat bagaimana berlakunya proses pembiakan manusia."
Suraya tergelak besar dan Munir pula hanya mampu menghantuk kepala ke dinding berkali-kali.
Bukan Munir dan Suraya tak usaha. Dah macam-macam ikhtiar yang mereka lakukan. Dari berjumpa doktor pakar kanak-kanak hinggalah kepada perubatan secara Islam. Namun semuanya tak memberi kesan. Adib tetap Adib. Seorang budak yang setiap aspek dalam kehidupannya diselubungi misteri yang tidak berkesudahan. Dari asal-usulnya, sifatnya, emosinya, pemikirannya. Semuanya begitu mencabar tahap kefahaman Munir.
Walaupun Munir memang bukan 'pakar' kanak-kanak. Tapi Munir kira, dia punya pengetahuan yang selaras dengan kebanyakan orang dewasa ataupun kebanyakan bapa lain di luar sana. Munir beranggapan, walaupun dia tidak cekap, tapi cukup untuk membesarkan seorang anak. Walaupun dia tidak sempurna, tapi cukup untuk memberikan kasih sayang sepertimana yang bapa-bapa lain mampu berikan. Tapi Munir tidak pernah menyangka yang ianya sesukar ini. Tak pernah menyangka bahawa ianya begitu... mustahil.
Beberapa kali juga Munir menyalahkan dirinya. Tapi Suraya sentiasa ada di sisi untuk mengingatkan Munir bahawa situasi mereka berbeza. Adib itu sendiri berbeza. Dia bukan macam budak-budak lain. Masa lampaunya tidak jelas. Dan masa depannya terkesan oleh hakikat itu. Suraya juga setiap kali mengingatkan Munir bahawa bapa mana pun akan merasakan apa yang Munir rasakan, kalau mereka dikurniakan anak seperti Adib.
Kurnia....
Munir benci pada hakikat bahawa dia mempuyai masalah untuk meletakkan perkataan 'kurnia' itu berseiringan dengan nama Adib.
"Bapak jenis apa aku ni..."
Marah Munir pada dirinya setiap hari. Bila setiap malam, bapa-bapa di seluruh dunia mengucup dahi anak mereka sambil melafazkan syukur atas kurniaan yang Tuhan anugerahkan pada mereka, Munir pula mengucup dahi Adib sambil bertanya...
Dari mana kau datang sebenarnya...
Kenapa kau begitu aneh...
Kenapa kau hadir dalam hidup aku...
Kenapa di sebalik semua tu...
Aku tetap sayangkan kau...
Begitulah antara ratusan soalan lain yang menyucuk kepala otak Munir bagaikan jarum-jarum jahat yang menghasut. Menghasutnya untuk mempersoalkan tentang segala-galanya. Termasuk ketentuan Tuhan terhadap dirinya.
Astaghfirullahaladzim....
Munir bingkas dari perbaringannya. Dia tak dapat tidur dari tadi walaupun jam sudah mencecah pukul 3.27 minit pagi. Munir menguis juraian rambut pada wajah Suraya yang sedang tidur dengan aman di sebelahnya.
Dia cemburu pada Suraya. Cemburu pada kekuatan Suraya. Dan keteguhannya. Dari dulu sampai sekarang. Dari pasangan kekasih, tunangan, sehinggalah kini sudah bersatu sebagai suami isteri, Suraya begitu hebat pada mata Munir. Hebat dalam menempuhi apa saja yang dilemparkan kepadanya. Hebat menangani setiap masalah dan cabaran. Kalau dulu cabaran yang datang dari diri Munir sendiri. Sekarang dari Adib pula.
Namun sepanjang masa ini, Suraya tetap begitu. Dia tetap konsisten. Sebagai seorang kekasih, seorang ibu dan seorang wanita. Dia kekal hebat. Kekal sebagai dirinya yang serba sempurna. Seorang yang memancarkan kebajikan, kebahagiaan dan keterjaminan dari tubuhnya kepada orang-orang di sekelilingnya, sambil dalam masa yang sama mendakap semua kesusahan, kesedihan dan ketakutan... dengan tabah.
Apalah yang aku akan buat kalau kau tak ada Suraya...
Munir menuju ke bilik air. Mengambil wudhuk walaupun kesejukan seolah menggigit tulang. Munir lalu mencapai kain sejadah dan membawanya ke bilik Adib. Sejadah itu dihamparkan, bersebelahan dengan katil Adib. Lalu Munir mengerjakan solat sunat sepertiga malam. Sesuatu yang dia akan lakukan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu, ataupun bila-bila saja dia tidak dapat melelapkan mata. Sesuatu yang semakin kerap berlaku kebelakangan ini.
bersambung
Bab akan datang:
Mengapakah Munir mengerjakan solat sunat di bilik Adib