Cucurrr udanggggg!!!
Kuiiih karipapppp!!! aku melontar suara. Antara nyaring dan mengah.
Di tangan kanan aku menjinjing bakul plastik yang ditutup akhbar lama. Nafasku sedikit sesak. Kuih-muih ini hampir habis sebenarnya. Aku berdoa supaya ada manusiamanusia mulia yang akan memborong baki kuih. Ada janji temu penting pada waktu sore yang harus aku hadiri.
Aku melewati sebuah rumah panggung yang tidak kurang cantik. Tiang-tiang rumahnya ditutupi dan dikemaskan dengan susunan kayu seperti kekisi. Nasibku baik. Tuan rumahnya, seorang ibu tunggal memberi isyarat tangan memanggil. Aku mendekatinya. Mak cik ini memang pelanggan setiaku. Dia wanita di pertengahan 30-an. Masih cantik bergaya dengan sanggul tinggi. Memakai kebaya kasa dan berkain batik, di mulutnya tersepit rokok daun yang masih berasap.
Ya Mak Long
Mana kau pergi semalam Di Kenapa tak berniaga Kau malas ya suaranya nyaring dan sedikit pelik, dikekang dengan rokok di celah bibir.
Puas aku tunggu kau semalam! Aku ni dah lah malas buat minum petang! tinggi sekali suaranya. Semalam mak balik lewat. Tak sempat buat kuih!
Oh Ye ke! Kesian! Sini Sini bakul kau!
Perempuan itu dengan tangkas menarik bakulku, mengeluarkan baki kuih dan meletakkannya di dalam pinggan. Dia meletakkan wang kertas itu di telapak tanganku dengan kasar sekali.
Nah. Simpan baki! Pergi balik. Jangan merayau! dan baki di tanganku bukan sedikit. Dia terus menutup pintu kayu itu tanpa salam atau selamat tinggal.
Laku sungguh jualanku hari ini. Dan mengingatkan betapa pantas urusniaga tadi, aku senyum lebar.
Betapa kalau kau mahu mengenal perempuan di Kampung Morten ini khususnya itulah contoh terbaik. Aku bagaimanapun beranggapan semua perempuan melayu Melaka memang begitu.
Jika bercakap, suara mereka tinggi dan nyaring sekali. Kadang-kadang seperti mahu diajak bergaduh. Dan ekspresi perkataan yang keluar daripada mulut mereka mengejutkan. Jika kau tidak faham apa yang mereka katakan pun, kau pasti tahu kata-kata mereka tidak lain tidak bukan hanya maki dan hamun. Bahasa tubuh dan lenggok mereka juga tidak ayu. Mereka bekerja dengan kasar dan tangkas. Aku sentiasa melihat wanita Cina Peranakan jauh lebih anggun daripada mereka. Mereka di seberang sungai itu berjalan dengan kepit dan berlenggang dengan santun.
Bagaimanapun, fizikal dan budi bahasa perempuan Morten tidak langsung menggambarkan kejernihan hati mereka yang bersih. Aku selalu mengenangkan betapa mereka dengan mudahnya menghulurkan bantu dan bahu di kala ada di antara kami yang kepayahan. Semangat dan sikap ini kau lihat dengan jelas apabila ada kenduri kendara. Apatah lagi bila ada kematian. Satu perkara jelas yang tidak akan sekali-kali berubah, sejauh mana pun superior karakter lelaki di Kampung Morten ini, sehingga kiamat pun orang perempuannya tidak akan sesekali menyembah dunia patriarki kejantanan.
Aku berjalan pantas mahu pulang. Kalau boleh sepantas mungkin kerana itu saja waktu bersenggang. Aku kini sudah masuk sekolah kebangsaan darjah tiga. Petang adalah waktu menjaja sebelum dapat bermain sebentar. Malam nanti ke surau untuk mengaji pula. Susah juga menjadi seorang budak. Baru masuk sembilan tahun, ku rasa jadualku sudah penuh seperti perdana menteri.
Semakin laju kakiku bila jalan itu ke persimpangan rumah Dhiya. Aku kemudian menjengukjenguk jika perempuan itu ada di rumah. Rumah Dhiya walaupun daif dan seperti mahu roboh jika menghadap ribut hujan
keras, punya keistimewaan. Di depan rumahnya kau akan melihat berjejeran pokok-pokok herba daripada daun kunyit, selasih, pandan, cekur hingga ke rimbun lengkuas yang bukan saja menyegar pandangan, tetapi boleh dibawa ke dapur untuk ramuan masakan.
Aku masih berkira-kira untuk masuk. Hening. Rumah itu sunyi sekali. Tetapi pintu depan terbuka. Aku melangkah penuh curiga. Nah. Tersentap jantungku. Aku mengira ada hantu berambut gerbang di satu sudut ceruk. Perempuan itu duduk di atas kerusi plastik kecil. Kepalanya tunduk tekun. Dia membaca buku nipis coklat muda. Aneh sekali. Langsung dia tidak menyedari kehadiranku.
Ketika ini kau telah tahu Dhiya cemerlang mempelajari bahasa. Ibunya seorang pembantu tabika KEMAS dan walaupun tidak berpelajaran tinggi, telah memberikan pendidikan terbaik semampunya. Maka, ketika berumur empat tahun, Dhiya sudah lancar membaca. Ibu Dhiya berusaha membelikan beberapa buah buku yang baik-baik. Rumahnya memang tiada perabot. Tetapi di satu sudut, kau akan melihat rak kecil dengan himpunan buku kanak-kanak malahan terjemahan siri penyiasatan kembara Nancy Drew, Hardy Boys dan Lima Sekawan.
Aku, walaupun sudah lancar membaca, masih belum dapat menghadam siri ala detektif yang rapat-rapat dan halus perkataannya itu. Tidak untuk Dhiya. Dhiya sudah berjinak-jinak dengan karya-karya terjemahan itu sejak berumur enam tahun lagi. Kerana saban hari mengulang baca, Dhiya menjadi pembaca pantas.
Jauh meninggalkan anak-anak yang lebih besar daripadanya. Keadaan buku-buku yang tidak seberapa banyak itu menyedihkan. Detektifdetektif kesayangannya itu diulit dari kulit ke kulit hingga lencun haus. Mereka telah membawa Dhiya jauh ke dunia benua lain. Dan siapa mahu melepaskan peluang mengembara percuma
Di dalam kepalaku telah menyusun agenda hari ini. Dialog di dalam kepalaku begini;
Dhiya, hari ini kita ada lawan separuh akhir laga ketam! Lani akan jadi tuan rumah. Laman rumah dia lagi besar dari Sidek. Kita kena ada sana pukul lima!
Ku fikir dia yang sedang asyik itu tidak perasan kewujudan aku. Rupanya apa yang berlaku adalah dia memang tidak peduli dan tidak mahu memandang aku pun. Perempuan itu telah jauh masuk ke gua hantu bersama detektif Salma @ Nancy Drew. Aku baru mahu mengejutkan Dhiya, membuka mulut. Tetapi Dhiya dengan pantas mencantas kataku;
Esok saja Adi! Esok saja. dan dia santai menukar posisi menyambung baca. Buat muka tidak kuasa.
Masalah. Masalah besar. Aku sentiasa mengharapkan Dhiya menjadi jurulatih perlawanan. Juga untuk pemilihan pemain. Matanya lebih tajam. Dia lebih tahu menduga ketam mana yang akan tersungkur, yang mana membawa kemenangan. Aku garu kepala. Baik. Besok. Besok saja. Aku pun melangkah longlai pulang.
***
Selepas semalaman dentingan hujan menimpa bumbung zink dan sejuk dingin mendakap hingga aku menggigil dan menarik rapat gebar, aku terlajak lagi. Walaupun sudah berbuih-buih orang Melayu mengatakan jangan sesekali kau bangun lewat di waktu pagi kerana akan mengundang nasib malang dan
mencantas rezeki, ini adalah kelemahan aku yang tidak boleh diubat. Aku sepatutnya bersiap ke Sekolah Kebangsaan Kubu dan pergi berjalan kaki bersama Dhiya dan ibunya. Tetapi saban hari aku masih lewat.
Dan kau boleh bayangkan butir maki mulut Melaka ibuku. Akibat hujan lebat semalam aku tidur terlebih lena dan terlebih lambat pula. Pagi ini mulutnya itu menjadi-jadi;
Hawau kau! Pemalas! Kau bukan nak bangun awal, tolong aku godak air, kemas bilik yang berkombah tu ke, hape ke. Kerja kau asyik melantak, mencekik! Bangun kau sekarang! Bangun!!
Ya, setiap hujung ayat makian itu wajib kau letakkan tanda seru bold.
Dan aku telah jelaskan bahawa setiap perempuan Kampung Morten itu adalah enigma. Apabila aku bingkas bangun menurut dan terus mandi tanpa menjawab, ibuku menyambutku di luar bilik air dengan pandangan bercahaya penuh kasih sayang. Dia menggosok kepala basahku dan menyuruhku memakai baju sekolah yang digosok. Malah, dia menyikat rambutku dengan minyak dan membedakkan muka. Nasi goreng panas telah dihidang di atas meja dengan segelas kopi. Ayahku yang duduk bersarapan sekali cuma senyum penuh makna melihat ibuku. Dia menepuk-nepuk bahuku memujuk tanpa bahasa. Dan segala kata-kata ibuku tadi terampun begitu saja sehingga dia memaki lagi keesokan hari.
Ibu bapa kami tidak kisah pun untuk menghantar kami ke sekolah yang didegar-degar sebagai berprestij. Sekolah Kebangsan Kubu bukanlah terkenal seperti Sekolah Sacred Heart atau Sekolah Kebangsaan Bandar
Hilir. Aku cemburu melihat apabila ada anak-anak kampung yang sedikit senang dihantar ke dua sekolah ini menaiki van dan memakai baju seragam lengkap bertali leher dengan segak sekali. Tetapi ibuku sering mengatakan yang jika aku punya kemahuan untuk pandai, sekolah mana pun mampu membuat aku pandai. Dan memang aku percaya sepenuh jiwa raga bahawa ibuku wanita paling bijaksana.
Di penghujung jambatan itu, Dhiya dan ibunya menunggu. Inilah waktu tepat untuk melihat Dhiya dalam keadaan terbaik, paling bersih dan comel. Mata bersinar kunangnya saja yang tidak berubah. Dan kami pun berjalan di Persiaran Datuk Othman itu sebelum tiba di sekolah rendah kami.
***
Mengimbas kembali kisah-kisah lalu, walaupun aku baru sembilan tahun aku sebenarnya telah lama bersabahat dengan perempuan berambut gerbang itu. Yang membuatkan aku faham makna setiap kerling, kerut dahi atau senyum liciknya. Seperti yang kau tahu, ibu Dhiya yang bekerja sebagai pembantu guru tabika telah membawa aku dan Dhiya ke tabika KEMAS sejak kami berumur lima tahun lagi.
Sehingga dewasa pun aku sentiasa berbangga menjadi sebahagian daripada produk anak-anak KEMAS. Mungkin sebahagian daripada kamu tahu jika ditelusuri sejarah KEMAS yang ditubuhkan oleh perdana menteri kedua, ianya diwujudkan atas gerakan pembasmian buta huruf. Setelah hampir 1.7 juta masyarakat Malaysia diwarwarkan
tidak tahu baca dan tulis, maka selepas Dasar Ekonomi Baru tahun 1970, KEMAS atau nama penuhnya Jabatan Kemajuan Masyarakat ditubuhkan. Dan di sekolah separuh kayu separuh batu, bertingkap jaring besi kotak-kotak itu walaupun tidak gah dan mewah, telah
memberi kami makna pendidikan awal. Bahawa erti tahu baca, tulis dan kira itu tidak ternilai.
Dhiya di sekolah bukanlah pelajar yang sempurna seperti yang kau jangka. Masalah budak pandai dengan kepala aloi besi dan batu sepertinya sudah memilih siap-siap apa yang dia mahu belajar dan apa yang tidak. Perkara ini memeningkan kepala dan menjadi masalah besar kepada ibu Dhiya sehinggalah bertahun-tahun kemudian menunggu dia dewasa. Kerana sistem pendidikan itu sendiri tidak memandang belas kepada mereka yang tidak menguasai pelajaran secara menyeluruh. Dan Dhiya pula cuma belajar subjek-subjek yang akan menawarkannya kembara, keindahan dan keseronokan.
Justeru itu, jangan kau tanya mengapa semenjak enam tahun dia sudah boleh menulis karangan pendek Bahasa Melayu dengan bergeliga seperti budak darjah enam; dan apabila dia diminta menyalin kembali kerawang huruf-huruf jawi dia mula menguap. Di satu ketika untuk kelas lukisan dia boleh menghabiskan setengah karton kertas sehingga habis bajunya lencun dengan warna air dan di kelas agama setengah jam kemudian yang memintanya menghafal surah-surah pendek Juz Amma, dia akan tidur berdengkur.
Ini tidak bermakna pelajaran agama tidak memikat Dhiya. Tetapi meminta dia menghafal dan menulis tanpa diterangkan sebab musabab dan praktikalnya di dalam kehidupan menyebabkan Dhiya mudah sekali bosan. Dan kerana itu guru Fatimah, guru tabika kami terpaksa bekerja lebih keras untuk memuaskan hati budak bertuah itu. Dhiya telah memberi tanda aras yang cukup tinggi dan guru itu harus menurutnya.
Ini cukup jelas apabila guru Fatimah yang bermulut garang (dia juga perempuan Morten) tetapi ikhlas mengajar itu membacakan kehebatan cerita-cerita nabi di zaman silam dengan ekspresif dan mempersona. Apabila guru itu melakonkan semula kejadian penghijrahan muslimin ke kota Madinah; bagaimana hebatnya Rasulullah SAW dapat menyatukan Muhajirin yang tiada lagi kampung halaman dengan kaum Ansar yang pada tahun-tahun sebelumnya telah menghabiskan masa mereka dengan perang saudara antara kabilah, Dhiya mengengsot ke tempat paling depan sambil melongo menongkat dagu dan hampir menitis air liurnya.
Begitulah hari-hari seterusnya di tabika itu. Dhiya dengan jelas menunjukkan semangat belajar berkobar-kobar. Menunggu perkara baru bukan sekadar menyentuh malah mencabar mindanya. Mengharapkan kegemilangan warna pendidikan singgah ke benaknya. Dan jika harapannya itu tidak dipenuhi, memang seharusnya dibalas dengan menung bosan dan dengkuran.
Bagimanapun, yang menghairankan guru Fatimah cuma membiarkan apa saja yang Dhiya mahu lakukan. Ia tiada kena mengena dengan persahabatan ibu Dhiya dengan guru itu. Juga tiada kaitan dengan kecerdasan Dhiya di dalam sesetengah mata pelajaran. Ini adalah kerana guru Fatimah juga punya kelemahan yang tiada tandingan. Kunci itu adalah anaknya sendiri.
Satu perkara yang menakjubkan sekaligus membingungkan tentang Dhiya ialah kesabarannya yang langsung tidak konsisten. Begini. Cikgu Fatimah, seperti juga ibu Dhiya dan juga guru-guru KEMAS yang lain akan membawa anak-anak mereka bersama ke sekolah kerana kemudahan yang telah sedia ada dan dapat pula menjimatkan wang daripada dihantar ke rumah pengasuh. Anak cikgu Fatimah ini bagaimanapun begitu istimewa.
Aku mendengar daripada kata-kata ibu Dhiya, anak yang bernama Mira ini mengidap sejenis sakit ganjil autisme. Satu penyakit yang boleh sahaja diurus dan dijaga tetapi tidak pernah wujud ubatnya.
Mira, budak berwajah sayu dan terasing. Matanya yang menerawang menembusi dinding sentiasa menggambarkan dia seperti terperangkap di dunia khayalan. Kami kanakkanak yang tidak memahami kadang-kadang tidak tahan dengan perangai Mira yang sering hilang kawalan dan menjerit tanpa dengar butir marahnya apabila permintaannya tidak dipenuhi. Dan permintaan Mira itu sentiasa saja yang bukan-bukan. Sentuhan fizikal dilarang. Menu makan yang langsung tidak boleh berubah dan ini pantang; jangan sesekali kau menukar-nukar aturan barang yang telah dia siap susun dan dikarang.
Kami kasihan dengan Mira tetapi tidak tahu bagaimana kami boleh berkawan dengannya kerana atas satu sebab jelas. Komunikasi. Kami tidak memahami butir bebelnya. Emosinya tidak keruan. Ini ditambah pula apabila merundum perasaannya, Mira punya tabiat suka menghentak-hentak tangan atau kaki ke dinding berulang-ulang. Menjauhkan diri daripada Mira adalah keputusan paling mudah. Yang menjadi perkara ajaib ialah satu-satunya manusia yang boleh bersabar dan menjadi kawan Mira adalah Dhiya.
Pada mulanya aku menyangka jalinan hubungan unik antara Mira dan Dhiya ini diikat atas dasar kasihan. Kemudian aku melihat mata Dhiya yang bersinar-sinar apabila melihat Mira menyusun blok-blok huruf memanjang dan beratur lurus mengikut saiz. Dhiya begitu teruja apabila melihat Mira terjumpa pensil warnanya yang hilang dan telah menyebabkan dia mengamuk seharian dan menyusunnya semula. Dhiya kemudian berdiri tegak
takjub apabila Mira yang jarang-jarang sekali bercakap, tiba-tiba mengumam perkataan-perkataan yang melintas di benaknya.
Perempuan itu juga sering menemankan Mira yang mengantuk di belakang kelas apabila tiba masa subjek bosannya dan ku lihat bagaimana Dhiya memerhatikan dengan dekat Mira mengumam perkataan berulang-ulang hingga dia tertidur. Perbuatan ini dibiarkan pula tanpa sebarang tegahan oleh cikgu Fatimah. Aku sendiri tidak tahu sama ada hubungan kompleks itu punya hasil baik atau buruk. Dhiya memang sering saja membela Mira. Memujuk dan melayan. Tetapi bukan seperti yang kau sangkakan.
Aku sedar apa yang berlaku. Sungguh kurang ajar. Perempuan bernama Dhiya itu memang menyayangi Mira. Tetapi Mira bukanlah sahabat atas dasar simpati tetapi sebagai bahan belajar. Subjek pemerhatian.
***
Aku masih ingat lagi hari itu. Hari bertitik tolaknya bayangan minat dan sinar bakat istimewa Dhiya. Ia telah bermula semenjak dia masih enam tahun lagi. Cuaca terik amat dan bumbung asbestos sekolah tabika tidak dapat menahan bahang tengahari. Kami sudah mula gusar dan tidak sabar menunggu masa mahu pulang. Bagaimanapun guru Fatimah masih tetap mahu memenuhi masa akhir sekolah dengan sesuatu.
Bercakap tentang masa depan, semasa kau masuk tadika dahulu pasti kau pernah ditanya guru tentang cita-cita apabila dewasa. Seolah-olah ianya kemestian walaupun pada aku ianya satu tindakan retorik yang hanya mahu menghabiskan baki waktu di hujung
jadual sekolah. Mana mungkin anak-anak 5 atau 6 tahun sudah tahu apa yang kami mahukan Apatah lagi melihat masa depan
Dan perkara ini tidak terkecuali bagi guru kami. Guru Fatimah setelah membuat beberapa permainan interaktif sambil belajar telah bertanyakan cita-cita kami mengikut giliran. Dia dengan lurusnya meyakinkan kami betapa kami perlu cita-cita yang perlu disebut dalam bentuk profesion. Betapa punya cita-cita yang jelas akan membantu kami memberi hala tuju kehidupan. Lalu bermulalah pengakuan semberono kanak-kanak sekelas itu yang entah kan iya entahkan tidak. Permainan ini bermula dari kiri kelas. Dan tempat kami nun jauh di kanan. Aku lihat mata Dhiya telah bersinar. Duduknya itu begitu gelisah macam kucing mahu beranak dan tidak sabar-sabar lagi mahu memberi jawapan.
Bomba!
Bagus, Fikri! Terus ke kanan! balas cikgu Fatimah.
Jururawat
Guru! Macam cikgu Fatimah! wah, dasar membodek. Cikgu Fatimah ku lihat sudah senyum meleret.
Askar!
Angkasawan! ia disambut dengan tepukan gemuruh bukan kepalang. Aku menoleh kepada budak itu. Bukan main lagi si tembam Adli.
Ku harap dalam masa 20 tahun lagi Malaysia sudah punya roket sendiri.
Cantik jawapan tu, Adli! bangga sungguh cikgu Fatimah punya murid bermulut politikus. Tiba giliranku. Dengan pantas aku menjawab; Polis! sambil menabik hormat.
Tanpa sempat aku duduk, Dhiya dengan bingkas bangun dan bercakap dengan lantang, penuh semangat berkobarkobar;
Penyiasat persendirian!
Kau dengar tawa derai mereka. Termasuk hilai dekah guru itu. Betapa mereka tidak akan mengerti. Langsung tidak mengerti.