Jejawi Tua - 3
Bab 3

RUMAH buruk berdindingkan pelupuh, beratap rembia dan bertiang banyak itu seolah-olah reban ayam yang sudah ditinggalkan. Kawasan sekitarnya semak dengan belukar. Halamannya tidak bertebang tebas. Tiang dan pelantarnya kelihatan sudah reput dan tidak lagi kukuh. Hanya tinggal kerana wujudnya sebatang lorong yang menghala ke tangga di pelantar itu yang menunjukkan rumah tersebut masih digunakan oleh seseorang. Pemiliknya jarang-jarang berada di rumah. Rumah itu hanya akan didatangi pada waktu malam. Rumah itu hanya diterangi dengan sebiji pelita ayan yang malap lampunya. Dari rumah itu tidak pernah kedengaran orang memasak atau periuk belanga berlaga sebagaimana rumah-rumah yang lain. Tiada juga suara kanak-kanak kampung yang riang bermain di halaman rumah itu. Tidak seperti kebanyakan rumah orang kampung yang lain, rumah itu benar-benar sunyi dan terpisah meskipun di sekelilingnya diapit oleh rumah penduduk Kampung Sungai Teja yang lain. Selain jejawi tua, rumah itu juga adalah antara tempat yang perlu dihindari oleh kebanyakan orang kampung. Walau apa keadaan sekalipun, tiada orang yang datang ke rumah itu, baik untuk menjemput kenduri-kendara mahupun untuk memaklumkan tentang kematian penduduk kampung. Persimpangan masuk ke rumah itu seolah-olah terlindung dari pandangan manusia. Pemiliknya sudah tentulah Angah Soyah! Angah Soyah tidak kisah kalau rumahnya tidak didatangi oleh sesiapa pun. Dan sememangnya dia tidak mengharapkan akan ada orang kampung yang ingin mengambil berat tentang keadaan dirinya, lantas bertandang ke rumah buruknya itu. Sudah bertahuntahun Angah Soyah hidup bersendirian. Sakit pening, lapar dahaga, semuanya ditanggung sendiri. Tidak pernah sekali pun, Angah Soyah meminta bantuan sesiapa pun.

Ke masjid, Angah Soyah hanya untuk menunaikan solat Jumaat. Tidak lama dahulu, rajin jugalah Angah Soyah ke masjid setiap waktu untuk samasama berjemaah. Namun, kata-kata Tok Imam Tua kepadanya yang mengguriskan hati, membuatkan Angah Soyah memutuskan kewajipan ke masjid hanya pada hari Jumaat. Namun ada kalanya kalau rajin, Angah Soyah pergilah waktu subuh dan isyak. Sebabnya pada kedua-dua waktu itu, jemaah boleh dibilang. Ada kalanya hanya Haji Karia dan Lebai Mudin saja yang menjadi jemaah. Pak Long Lateh, Pak Su Cik Leh, Mat Ajib, Man Bewak... semua itu hanyalah nama-nama hero Kampung Sungai Teja. Mereka tidak pernah membiarkan Angah Soyah senang hati kalau terserempak dengannya. Ada-ada sahaja yang mereka akan lakukan. Paling-paling tidak pun umpat keji dan caci hina. Hadir mereka di masjid hanya pada hari Jumaat. Untuk solat waktu, bayang mereka tidak kelihatan langsung. Malah biasanya, masa jemaah sedang bersolat di masjid, nama-nama itu berada di pondok buruk, tidak jauh dari kebun getah Cik Kiah. Kerja mereka adalah main judi! Mujurlah, Pak Long Lateh, Pak Su Cik Leh, Mat Ajib dan Man Bewak tidak pernah datang ke rumahnya. Setiap hari mereka akan lalu di hadapan rumahnya. Bagaimanapun, mereka tidak pernah singgah ataupun menoleh ke arah rumahnya. Kalau mereka terpandang Angah Soyah baru turun dari pelantar rumahnya pun, mereka tidak akan berhenti dan kemudian menajinya seperti yang sering mereka lakukan kalau terserempak Angah Soyah di pondok buruk di kebun getah Cik Kiah. Senja sudah berlabuh. Angah Soyah menapak perlahan-lahan menuju ke rumahnya. Tidak banyak hasil yang berjaya diperoleh hari itu. Angah Soyah berkenan sangat dengan merbah kunyit tetapi tiada sesiapa pun yang mahukan merbah kunyit. Mereka lebih berminat dengan merbah kapur atau murai batu. Paling mereka suka kalau Angah Soyah dapat bekalkan tekukur, merbuk dan tiung. Angah Soyah akan dibayar dengan duit yang banyak kalau burung-burung itu berjaya ditangkapnya hidup-hidup. Lagipun Angah Soyah hanya menangkap tekukur dan merbuk yang bersuara sedap sahaja. Manakala tiung, Angah Soyah hanya pilih tiung emas. Perut Angah Soyah berkeriau kelaparan. Angah Soyah tahu, di rumahnya tidak ada banyak makanan yang masih bersisa. Mungkin ada segenggam beras yang boleh ditanak sebagai moi. Kalau tidak salah ada juga ikan kedera kering yang boleh dipanggang untuk dijadikan lauk. Kicap masih ada walaupun kicap itu dibeli hampir setahun yang lalu. Cili api cuma perlu kutip dan kerunas di hujung pelantar. Mungkin ramai orang kampung menganggap Angah Soyah orang gila, tiga suku atau otak tidak cukup sempurna tetapi Angah Soyah adalah seorang yang waras. Dia ingat semuanya. Dia tahu segalagalanya.

Dia boleh berfikir dengan tenang dan membuat pertimbangan dengan wajar. Mungkin kerana kemiskinan dan kedaifannya itulah yang menjadikan Angah Soyah seperti orang marhain yang hilang kewarasan berfikir dan bertindak. Apatah lagi Angah Soyah tidak kisah pun dengan pakaian buruk yang tersungkup di badannya. Angah Soyah tidak kisahlah sama ada giginya kuning bagaikan tembaga bersusun atau baunya yang busuk dan membuatkan kebanyakan orang menutup hidung atau menahan nafas masing-masing. Tadi, Angah Soyah nampak lagi gadis itu. Angah Soyah memang berminat sangat dengan gadis itu tetapi Angah Soyah sedar, gadis itu tidak mungkin akan membalas perasaan Angah Soyah. Bahkan, Angah Soyah mungkin akan diherdik atau difi tnah. Alangkan Angah Soyah tidak pernah kacau orang pun, orang kata Angah Soyah cuba menghendap, mengintai dan memeluk anak dara orang. Padahal tidak pernah terlintas untuk Angah Soyah berbuat seperti itu. Angah Soyah tahu hukum-hakam. Angah Soyah tahu halal haram. Disebabkan itulah juga, Angah Soyah memilih untuk mengasingkan dirinya. Selagi boleh dia akan cuba mengelak daripada bertembung dengan orang kampung. Kalau ke masjid pun, Angah Soyah tidak akan rapat dengan saf, sebaliknya berada di saf lain. Dia masih ingat lagi pesanan Tok Imam Tua bahawa salah satu rukun orang yang berjemaah ialah memberikan keselesaan kepada jemaahnya yang lain. Sebab itulah jemaah makruh memakan petai, bawang putih, bawang, dan segala macam yang boleh menyebabkan nafas busuk sekali gus menimbulkan perasaan tidak senang kepada rakan-rakan jemaah. Itu baru nafas busuk. Kalau badan busuk macam Angah Soyah, memang selayaknya dia berada di saf lain. Itu pun, orang mengata juga. Itu pun orang kampung ramai yang tidak membenarkan Angah Soyah datang bersolat di masjid juga. Kalau Angah Soyah datang, mereka tidak akan memberi tempat kepadanya. Selalunya kalau solat Jumaat, Angah Soyah terpaksa bersolat di tepi pokok kelapa di halaman masjid, bersendirian. Hujan atau panas, memang di situlah tempatnya. Di dalam masjid, ruang memang tidak ada untuk Angah Soyah. Cuma satu sahaja yang aneh, tabung derma untuk masjid, sempat juga datang ke hadapan Angah Soyah setiap Jumaat. Tidak pernah culas walau sekali! Ada juga terlintas di fikiran Angah Soyah untuk meninggalkan Kampung Sungai Teja. Banyak sungguh Angah Soyah mendengar cerita tentang hijrah dan penghijrahan sebagai pembuka kejayaan. Angah Soyah ingin juga menjadi seperti orang lain yang hidup mewah, berkeluarga dan hidup normal hasil daripada penghijrahan. Namun, Angah Soyah terfikirkan sesuatu, sekali gus menghalang terus niatnya untuk berhijrah. Apa yang dia tahu tentang dunia luar Apa yang dia tahu tentang kota besar Malah apa yang dia tahu tentang pekerjaan lain selain meracik dan menggetah burung Angah Soyah tidak sempat menghabiskan persekolahannya. Dia hanya mampu bersekolah setakat darjah dua. Cukup sekadar mengenal huruf dan angka. Mujurlah dia boleh membaca walaupun merangkak-rangkak dan sangat perlahan. Tiada sesiapa yang sudi membiayai persekolahannya. Malah tiada sesiapa yang sudi membiayai kehidupannya selepas kematian neneknya. Angah Soyah hidup bersendirian dan seorang diri semenjak usianya lapan tahun. Hidup Angah Soyah tiada kasih sayang dan perhatian. Kalau ada pun, cuma daripada Tok Imam Tua. Namun Tok Imam Tua pun tidak pernah berani mengajak Angah Soyah pulang ke rumahnya kerana isterinya tidak menyenangi Angah Soyah. Isteri Tok Imam Tua menganggap Angah Soyah sebagai pembawa puaka dan menyebabkan dia kurang khusyuk sembahyang. Tok Imam Tua kehilangan upaya dakwah dan terpaksa memilih jalan tengah iaitu tidak membawa Angah Soyah untuk tinggal bersamasamanya bagi mengelakkan rumah tangganya berkecai. Waktu kecil-kecil dahulu, setiap kali malam, Angah Soyah akan berkelubung di dalam selimut di tempat tidurnya. Angah Soyah takut sampai menangis-nangis apabila mendengar suara burung hantu dari penjuru atap rumah peninggalan arwah neneknya. Angah Soyah sampai terkencing-kencing di atas tikar kerana takut apabila mendengar kucing menghindik buluh pelantar sampai bunyinya macam orang menggigit tulang. Namun semakin lama, Angah Soyah membesar dengan persekitarannya yang serba kekurangan. Angah Soyah berjaya mengadaptasi persekitarannya. Angah Soyah mulai membiasakan alam dengan dirinya yang serba kekurangan. Malah Angah Soyah mulai mampu mencari sesuap nasi tanpa perlu mengharapkan bantuan daripada sesiapa pun, termasuklah daripada Tok Imam Tua sendiri. Perlahan-lahan Angah Soyah mendaki anak tangga pelantarnya. Itulah satu-satunya tangga yang masih wujud dan masih utuh. Dua tangga yang lain, sudah lama patah dan hilang dari tempatnya. Lagipun, satusatunya jalan masuk ke dalam rumah adalah menerusi pelantar itu. Yang lain-lain semak! Prakkk! Anak tangga kedua yang dipijaknya, patah. Mujur Angah Soyah tidak jatuh. Cepat-cepat Angah Soyah membetulkan diriannya dan memerhatikan anak tangga yang diperbuat daripada kayu merbau itu.

Esoklah cari ganti,

Angah Soyah bersuara perlahan. Dia menolak daun pintu yang diperbuat daripada kulit batang bertam yang dianyam. Banyak yang sudah berlubang dan koyak rabak. Pintu itu tidak pernah berkunci. Tidak ada sesiapa pun yang akan masuk menerusi pintu itu.

Apa pula yang tersangkut ni

Angah Soyah tidak berpuas hati apabila pintu itu agak sukar ditolak, seolah-olah ada sesuatu yang menahan pintu itu daripada dikangkangkan dengan mudah. Angah Soyah tolak lagi pintu itu sampai daun pintu itu terkeledong dan hampir patah. Namun, benda di belakang pintu itu tetap tidak berganjak. Daun pintu tetap tidak boleh dibuka. Pengalamannya mengajar Angah Soyah sesuatu. Kalau daun pintu itu sudah terhalang, bermakna dia memang tidak boleh masuk ikut pintu itu. Mahu tidak mahu, Angah Soyah perlu masuk menerusi pintu di bahagian hadapan. Cuma Angah Soyah perlu berhatihati agar tidak terjerlus di atas lantai yang sudah rapuh dan reput. Senja yang kelam, bertambah kelam apabila dedaunan yang menghijau menudung hampir keseluruhan kawasan halaman yang sudah lama tidak berjaga. Walaupun masih ada saki baki pokok cekur, halia dan kunyit peninggalan arwah neneknya di penjuru halaman, namun kesibukan Angah Soyah dengan burung-burungnya, sering kali membataskan waktu Angah Soyah berada di rumah itu. Pun begitu, tidak sukar untuk Angah Soyah berjalan sambil menangkis ranting-ranting pokok yang terjulur menghalang perjalanannya. Dia sampai ke pintu yang suatu masa dahulu menempatkan beranda. Malah pintu itu adalah pintu utama bagi kebanyakan orang yang datang bertandang. Menerusi pintu itulah juga, jenazah neneknya dibawa keluar untuk disemadikan di tanah perkuburan. Dan itulah kali terakhir pintu tersebut digunakan. Daun pintu itu agak tinggi. Angah Soyah terpaksa memanjat tiang tangga yang masih bersisa meskipun tidak ada lagi anaknya. Daun pintu itu berkunci dan berselak dari dalam. Namun ia bukanlah sesuatu yang sukar, memandangkan selak dan kunci itu tidak lagi sekuat mana. Sekali tolak, daun pintu itu sudah terkangkang. Angah Soyah menjenguk memerhatikan persekitaran dalam rumah yang kelam dengan penuh hati-hati. Kemudian, dia berdiri dan terus memanjat. Tidak sukar kerana memanjat adalah kerja rutinnya. Hanya apabila berada di dalam rumah, atau lebih tepat lagi di hadapan pintu yang sudah terkangkang itu, Angah Soyah perlu lebih berhati-hati. Kebanyakan lantai di tempat itu sudah reput. Atap yang bocor, meniriskan air hujan dan air hujan jatuh ke atas lantai di situ, sekali gus mereputkan papan lantai, alang dan gelegar. Dia perlu mencuba-cuba langkahnya terlebih dahulu sebelum benar-benar mengatur langkah. Sebagai langkah keselamatan, Angah Soyah berjalan hampir dengan dinding. Sebelah tangannya memaut dinding dan jenang tingkap. Kalau pun kakinya terperlus, dia tidak akan jatuh ke tanah kerana pautannya akan menyelamatkan Angah Soyah. Setiap kali dia melangkah, setiap kali itulah juga lantai berderap dan berderik. Sehinggalah Angah Soyah sampai ke tempatnya tidur, barulah Angah Soyah menarik nafas panjang. Angah Soyah teringatkan sesuatu. Dia ke tempat tidurnya. Dari bawah bantal busuk yang tidak bersarung, Angah Soyah ambil sebiji lampu suluh berbateri enam. Lampu suluh itu sengaja diletakkan di bawah bantal dan jarang digunakan. Ia hanya digunakan apabila perlu sahaja. Dan tersangkut di tiang dinding di atas kepalanya, adalah sebilah golok bersarung yang cukup tajam dan sentiasa diasah oleh Angah Soyah. Apabila lampu suluhnya dinyalakan, Angah Soyah terus menghalakan ke arah pintu pelantar. Dia ingin memastikan apakah sebenarnya yang menghalang daun pintu itu daripada terbuka. Suluhan itu menimpa sesuatu. Sesuatu yang memanjang. Sesuatu yang berbatik. Sesuatu yang besar.

Ular sawa!

Seekor ular sawa batik tidak bergerak dari belakang pintu tersebut. Daripada bentuk badannya, memang jelas, ular sawa itu sedang kekenyangan. Entah apa yang dimakannya, Angah Soyah tidak dapat meneka. Angah Soyah tidak membela sebarang binatang di rumahnya. Ular sawa batik itu juga tidak mungkin sengaja-sengaja naik ke rumahnya untuk berehat selepas kenyang sebab ular sawa yang kekenyangan tidak mungkin akan berganjak. Dengan golok yang masih bersarung, Angah Soyah mendekati ular sawa tersebut. Tidak perlu ditakuti pada ular sawa yang sedang kekenyangan walau sebesar mana pun ular tersebut. Ular sawa itu tidak mungkin dapat berbuat apa-apa kepadanya. Jangankan memakannya, mengangkat kepala dan menyerangnya juga, haiwan itu tidak akan mampu melakukannya.

Apa benda yang kau makan dalam rumah aku ni, ular sawa

Angah Soyah bertanya seolah-olah ular sawa itu memahami tutur perbualannya. Sorotan cahaya yang cerah dari lampu suluhnya mengitari ke bahagian berbenjol pada badan ular sawa tersebut. Bentuk mangsa yang menjadi makanan ular sawa batik itu seolah-olah menceritakan perkara sebenar kepada Angah Soyah.

Kau makan siapa ni, ular sawa

Angah Soyah jadi tidak tentu arah. Dia cukup yakin, ular sawa itu baru sahaja menelan seorang manusia. Lebih meyakinkan ialah kain pelikat yang dipenuhi kesan darah dan lendir yang terdapat tidak jauh dari pintu ke pelantar itu. Dalam keadaan begitu, Angah Soyah tidak tahu apakah yang harus dilakukannya. Golok yang dipegang, sekadar dipegang. Tidak terlintas langsung untuk dia membunuh ular sawa itu. Ular sawa batik itu mungkin sudah lama menghendapnya di rumah. Atau boleh jadi juga haiwan itu bertindak sebagai penjaga dan pengawal. Apabila ada orang lain yang cuba menceroboh, orang itu akan menjadi korbannya. Boleh jadi, penceroboh itulah yang berada dalam perut ular sawa batik di belakang pintunya.

Kau jaga aku ye

Angah Soyah berkata kepada ular sawa batik itu lagi. Ular sawa itu kelihatan tenang. Matanya bagaikan memerhati segala gerak-geri Angah Soyah. Ular sawa itu tidak langsung menunjukkan tanda-tanda yang ia akan bergerak atau menjauhi Angah Soyah biarpun Angah Soyah bersenjatakan golok tajam yang boleh memutuskan kepala dan memburaikan badannya. Hanya lidahnya yang terkeluar-keluar sedikit!

Kalau kau jaga aku, kau duduklah kat sini. Jangan kau buat aku pula ya

Angah Soyah tersengih lebar, seolah-olah ular sawa batik yang sedang kekenyangan itu adalah seorang puteri jelmaan dari dunia kayangan. Ular sawa batik terus diam. Hanya lidahnya yang terjulur-julur dan sesekali, bahagian tengah badannya yang membuncit sedikit bergerak. Angah Soyah membetulkan pintu di sebelah pelantar itu. Dikuncinya pintu itu dari dalam. Dengan cara itu, tiada sesiapa pun yang akan nampak dan tahu tentang ular sawa batik yang telah menelan makanannya yang cukup menyelerakan. Perutnya berkeroncong. Angah Soyah menghidupkan api pelita. Kemudian segera ke dapur yang jarangjarang digunakan. Dia mula menanak nasi. Beras yang segenggam dimasukkan ke dalam periuk kecil dan dibasuh tiga kali. Air beras dijirus ke kepala ular sawa batik. Ular sawa batik menggerakkan kepalanya. Boleh jadi sedap bila kepalanya disiram dengan air beras. Angah Soyah ketawa. Geli hati melihat gelagat ular sawa batik.

Nasib baik kau dah kenyang... kalau tidak, aku nak juga ajak kau makan nasi bersama-sama aku. Dah lama aku tak makan dengan orang lain. Asyik-asyik makan seorang diri saja,

Angah Soyah berpaling ke arah ular sawa batik yang masih diam bagaikan patung kayu di muka pintu pelantar. Angah Soyah menghidupkan api dapur yang menggunakan kayu api. Ditiup-tiup sampai kembungkempis pipinya. Apabila api yang hendak dinyalakan, terpadam, Angah Soyah menggunakan getah sekerap sebagai umpannya. Dia menunggu sebentar sehingga api pada getah sekerap itu betul-betul marak. Kemudian, diumpan pula dengan kayu-kayu kecil sampailah kayu-kayu kecil itu terbakar. Apabila kayukayu kecil itu sudah terbakar, Angah Soyah menyusun pula kayu-kayu api besar. Hanya selepas itulah, baru Angah Soyah menenggekkan periuk nasi kecil yang berjelaga dan hitam porong punggungnya di atas tungku. Selepas menanak nasi, Angah Soyah raba-raba bekas plastik yang tersangkut di atas dapur. Walaupun plastik tersebut sudah keras dan tidak lagi berwarna jernih, namun benda yang ada di dalamnya masih ada. Angah Soyah tersenyum gembira. Tamban kiat yang rupanya tidak ubah seperti sekerap yang sudah dikeringkan berbulan-bulan, bengkok keledok bagaikan badan ular sawa batik yang sedang tidur. Angah Soyah keluarkan tiga ekor tamban kiat. Kemudian, dicapainya batok yang tersandar di dinding. Batok itu dihulurkan ke dalam tempayan kecil bertutup. Air dari telaga yang diambilnya, diceduk dan kemudian dimasukkan ke dalam besen tin kecil yang sudah berkarat bibirnya. Tamban kiat yang berusia berbulanbulan itu direndam bagi melembutkan dagingnya. Setidak-tidaknya dengan berbuat begitu juga, bubuk yang cuba bersarang di dalam badan tamban kiat, juga akan terapung dan dia tidak perlu makan bubuk tersebut apabila tamban kiat dipanggang nanti. Beras segenggam yang ditanak, sudah pun meruap. Angah Soyah cepat-cepat alihkan tudung periuk. Tamban kiat disepit ke celah pemanggang yang diperbuat daripada buluh. Bahagian hujung pemanggang dikepil dengan dawai yang memang terdapat di hujungn pemanggang berkenaan. Kemudian, pemanggang dan tamban kiat didekatkan dengan api dapur. Sementara menunggu tamban kiat masak, sementara menunggu nasi yang ditanak kering, Angah Soyah capai bekas yang mengandungi cili api. Kemudian, dia menjemput garam serta secubit belacan yang sudah kohong baunya. Semuanya dimasukkan ke dalam sebiji piring kaca. Belacan, garam dan cili api ditenyeh-tenyeh sebelum dicampurkan sedikit air. Ular sawa batik bergerak sedikit. Angah Soyah cepat-cepat berpaling. Cuak juga hatinya. Namun apabila melihat haiwan tersebut sekadar bergerak seolah-olah ingin membetulkan kedudukan badannya, Angah Soyah kembali tersengih seperti kerang busuk.

Besar sangat orang yang kau telan tu. Nasib baik kau tu ular sawa. Kalau kau tu manusia macam aku, mungkin kau dah mati pecah perut,

beritahu Angah Soyah kepada ular sawa batik. Makanan malamnya telah tersedia. Biarpun juadahnya tidaklah semewah orang lain, tetapi ia sudah cukup untuk Angah Soyah. Sudah bertahun-tahun, itulah makanan malamnya. Angah Soyah tidak pernah mengeluh. Malah dia tidak pernah mengimpikan makanan yang sedap-sedap. Makanan walau sesedap mana pun, apabila perut sudah kenyang, hilanglah seleranya. Sambil makan, Angah Soyah sempat menjeling ke arah ular sawa batik. Hatinya terhibur dengan kehadiran ular sawa batik itu. Entah mengapa, dia tidak langsung mempunyai perasaan takut terhadap haiwan itu meskipun Angah Soyah tahu, haiwan itu baru sahaja menelan seseorang yang sangat dikenalinya.

Kalau kau dah boleh bergerak nanti, kau duduklah di sini. Temankan aku. Kalau kau ada, adalah juga kawan aku. Ni asyik-asyik aku seorang diri saja,

kata Angah Soyah dengan mulut yang penuh nasi panas. Ular sawa batik menggerakkan sedikit kepalanya seolah-olah faham kata-kata Angah Soyah sebentar tadi.

Kalau dah tak ada manusia yang mahu berkawan dengan aku, tak ada salahnya kalau aku berkawan dengan kau. Kau pun makhluk Tuhan macam aku juga. Cuma satu sajalah... sebaik mana pun kau, kau tak boleh ikut aku ke masjid. Kau duduk saja di rumah ni. Nanti aku buatkan kandang untuk kau. Kau tak payah pergi mana-mana. Kalau kau lapar, nanti aku humbanlah seekor dua ayam untuk kau,

kata Angah Soyah dengan janji yang bersungguh-sungguh. Angah Soyah tidak dapat bayangkan bagaimana terkejutnya orang kampung jikalau mereka tahu, dia sudah mula berkawan dengan ular sawa. Lebih mengejutkan mereka nanti ialah apabila mereka mendapat tahu, kawan barunya itu telah membaham salah seorang daripada penduduk kampung yang gemar sangat menghina dan menyakiti Angah Soyah. Pun begitu, biarpun ketakutan tidak wujud di hatinya, Angah Soyah tetap berawas. Golok yang berada di sisinya, tidak dicuaikan. Kalau ular sawa batik itu cuba mencari fasal dengannya, dia tidak akan segan silu memakuk kepala ular sawa batik itu dengan mata golok yang kerap diasah. Dia tidak rugi kehilangan kawan baharu seandainya nyawa menjadi taruhan. Ular sawa batik itu bukan tandingan tulangtulang serta nyawanya. Tandingan sebenar ular sawa batik yang besarnya hampir sama dengan saiz pahanya ialah mata goloknya. Namun sehingga dia selesai mengisi perutnya dengan makanan yang tidak seberapa, ular sawa batik itu tidak banyak bergerak dari hadapan pintu ke pelantar. Barangkali tubuh Pak Long Lateh yang memenuhi ruang perutnya, menyukarkan ular sawa batik itu daripada bergerak. Malah sewaktu Angah Soyah membawa pinggan, periuk dan piring yang sudah digunakan untuk diletak di bucu dapur pun, ular sawa batik itu sekadar menggerakkan sedikit kepalanya.

Kau dah kenyang... aku pun dah kenyang. Bila dah kenyang, kita tidurlah. Pagi esok, aku kena keluar. Kau tunggu dan jaga rumah. Jangan bagi sesiapa pun masuk, faham

Angah Soyah memberi arahan kepada ular sawa batik. Lampu suluh berbateri enam diselitkan di celah bantal busuknya. Angah Soyah membersihkan tempat tidurnya yang hanya dilapiki tikar mengkuang yang sudah cabuk dan koyak rabak di sana sini. Selimut kusam yang sudah bertahun tidak disentuh air kecuali air liur basinya, terperuk di penjuru kepala bantal. Selimut itu dibentangkan dan Angah Soyah berbaring. Pun begitu, dia bangun dan menginsut ke arah pelita ayan yang sedang meliuk lintuk apinya.

Ah, biarkan sajalah lampu ni menyala.

Angah Soyah membuat keputusan. Angah Soyah kembali ke tempat tidurnya. Dia sempat mengerling ke arah ular sawa batik. Haiwan itu masih diam kaku.

Dah tidur barangkali,

bisik Angah Soyah, perlahan. Sangat perlahan. Dia merebahkan badannya. Seperti biasa, tangannya menggalang dahi. Angah Soyah memerhatikan tulang bumbung betul-betul bertentangan dengan tempat tidurnya. Cahaya meliang-lintuk api daripada pelita ayan, tidak begitu memudahkan dia melihat tulang bumbung namun Angah Soyah sebenarnya tidak kisah pun dengan apa yang terdapat pada tulang bumbung itu. Fikirannya menerawang. Kehidupannya tidak pernah berubah semenjak dia kecil sehinggalah dewasa. Keinginan untuk mempunyai keluarga, tidak pernah lekang dari hatinya tetapi Angah Soyah juga sedar, tidak ada sesiapa pun di kampung itu yang mahu menjadikan dia sebagai keluarga mereka. Bahkan dia mungkin akan terus dihina dan diperlekehkan jikalau dia berani-berani menawarkan diri untuk menjadi sebahagian daripada keluarga sesiapa di Kampung Sungai Teja. Satu-satunya orang yang mungkin memahami dirinya ialah Tok Imam Tua. Namun Tok Imam Tua terlalu takutkan isterinya. Biarpun Tok Imam Tua mungkin orang yang paling dihormati di kampung itu dan cakapnya mungkin menjadi kalau tidak pun menjadi turutan, namun Tok Imam Tua biasanya akan menikus apabila disergah oleh isterinya sendiri. Suatu ketika dahulu, Tok Imam Tua bagaikan sinar kepadanya. Masa kecilnya, Angah Soyah gemar sekali mengendeng dengan orang tua itu. Dia cuba mengekori Tok Imam Tua. Apabila Tok Imam Tua memberikannya sepinggan nasi, berbesar sungguh hatinya. Apabila Tok Imam Tua memberikan pelikat dan sehelai baju melayu cabuk entah milik siapa kepadanya, kepalanya bagaikan mengembang tidak ubah seperti buah kembang semangkuk yang terendam dalam air sejuk. Apabila Tok Imam Tua membawanya pulang dan menyuruhnya membersihkan diri, Angah Soyah cuba melakukan sebaik-baik mungkin dengan harapan, Tok Imam Tua akan gembira melihatnya. Setiap kali dia bersama-sama Tok Imam Tua, pastinya isteri Tok Imam Tua akan mengerling dan merenungnya dengan penuh kebencian. Pada mulanya, wanita tua yang gemar berkemban dengan kain batik sambil menutup kepalanya, juga dengan kain batik, sekadar merenungnya dengan tajam. Namun lamakelamaan, wanita tua itu mula mengasarinya. Bermula dengan tamparan, kemudian dengan penyapu. Biasanya tempat yang menjadi kegemaran wanita tua itu untuk memukul adalah di kepalanya. Dalam satu kejadian, pukulan wanita tua itu di kepala Angah Soyah menyebabkan luka meleleh di leher dan dadanya. Namun, Angah Soyah sedikit pun tidak marah. Baginya, itulah kasih sayang dan perhatian. Lama-kelamaan sikap Tok Imam Tua terhadapnya juga berubah. Tok Imam Tua tidak lagi menegurnya. Tidak lagi memberinya makanan. Tidak lagi mengajaknya pulang ke rumahnya bersama-sama. Malah, tidak juga menghiraukan Angah Soyah biarpun Angah Soyah tersengih-sengih sewaktu bertemu dengan Tok Imam Tua di masjid. Lebih mengecilkan hati Angah Soyah ialah apabila setiap kali dia cuba pergi ke rumah Tok Imam Tua, Tok Imam Tua sendiri yang akan menghalaunya. Biarpun kata-katanya tidaklah setajam dan sehina kata-kata yang keluar dari mulut isterinya, namun Angah Soyah mengerti, dia tidak dikehendaki dan Tok Imam Tua juga sama seperti orang lain di kampung itu yang sangat membencinya. Angah Soyah kembali menyendiri. Usianya yang masih kecil, tidak bermakna dia harus pasrah. Dia melawan keadaan. Biarpun pada masa yang sama, dia kerap mengintai rakan-rakan sebaya berseronok pergi dan pulang dari sekolah. Hatinya berbunga, ingin merasai semula pengalaman di sekolah. Namun Angah Soyah cukup sedar, dia tidak dikehendaki oleh sesiapa pun, termasuklah guru-guru di sekolah. Selain daripada kemiskinan dan ketidakmampuannya membayar segala yuran, dia juga tidak mampu membeli walau selembar kertas pun.

Berapa lama lagi aku harus hidup sebegini

Angah Soyah bertanya kepada dirinya. Api pelita semakin mengecil. Di luar, bayu malam berpuput lembut. Terobos anginnya menembusi dinding rumah dan mendinginkan tubuh Angah Soyah. Angah Soyah masih sukar melelapkan mata. Gambaran demi gambaran terus bermain dan bersarang di dalam benaknya. Esok, hari baru menjenguk lagi namun hidupnya tiada yang baru!