BINTANG AL-NILAM DI LANGIT MENTAKAB - 3
Awal pagi lagi Leman sudah bersiap menuju ke sekolah. Butang bajunya dipasangkan satu demi satu dengan cukup teliti. Kemudian ditaburkan sedikit bedak ke tapak tangan kanan, lalu diusap kedua-dua belah tangan dan disapunya ke seluruh wajah. Leman tersenyum sendiri. Diambilnya minyak rambut Cikgu Muhammad lalu disapunya sekali lagi dan terus digosok ke kepala. Kemudian, diambil sikat dan terus sahaja menyisir rambut.

Leman senyum kali kedua.

Amboi wanginya! tegur Mak Cik Vijaya sambil menghulur tangan kepada Leman. Dicium juga di pipi dan Leman cuba mengelak malu.

Laju sahaja Leman menyambut salam Mak Cik Vijaya dan menaiki basikal Cikgu Muhammad. Pagi itu girang Leman bersama dengan lagu Basikal Tua nyanyian asal Sudirman Haji Arshad. Dengar ketawa kecil Cikgu Muhammad yang ikut gembira dengan suara Leman yang sudah bergema seantero Pasir Rawa. Sekejap-sekejap Cikgu Muhammad menyambut lirik kata.

Ooooorang biaaasaaaa! Baaaasikal tua! Ooooorang biasa!

Baaaasikal tua!

Sudah hampir ke sekolah, Leman meminta turun. Kemudian bersalaman dan mencium tangan Cikgu Muhammad. Walau sedunia sudah tahu Leman ini anak bongsu waima kesayangan keluarga Cikgu Muhammad, dia tetap malu-malu untuk sentiasa nampak berkepit dengan ibu bapanya. Lekas dia berlari mendapatkan Faduli dan Bahari yang sudah pun melambai dari jauh.

Dia dah sampai ke Duli tanya Leman.

Siapa Bahari tiba-tiba menyampuk.

Alah, budak yang aku cerita kat Duli semalam, lawa woih!

Leman tersengih-sengih bercerita kepada Bahari, rakan baiknya yang tinggal di Kampung Pasir Rawa Seberang. Bahari antara anak orang kaya yang suka bergaul sama Leman dan Faduli. Setiap kali ke sekolah, Bahari akan dihantar oleh pemandu bapanya. Ikutkan jika mahu ke sekolah yang sama menggunakan kereta sudah jadi jauh, perlu membuat pusingan untuk menaiki jambatan Bailey di hujung Kampung Gantuk dan kemudian kembali ke Pasir Rawa. Tetapi begitulah kehidupan Bahari. Leman dan Faduli sudah terbiasa dengan lagak Bahari yang kadang-kadang menjengkelkan menunjuk bukti kekayaan dengan bekas pensel besi serta alat-alat tulis yang serba lengkap termasuk pemadam yang berbagai warna. Kadang-kadang senang sahaja Faduli dan Leman mengambil dan menganggap itu adalah hadiah daripada Bahari.

Sedang mereka bersembang kencang, wajah ayu yang sama melewati Leman semalam berjalan di hadapan mereka.

Ketiga-tiga budak lelaki ini terdiam serentak. Seluruh alam persekolahan yang hingar bingar juga diam. Pokok-pokok yang melentuk-lentuk ditiup angin juga berdiri diam. Malah tudungtudung kecil yang mengepak-ngepak angin oleh budak-budak perempuan di sekolah juga terhenti dan diam.

Nurul!

Bahari menjerit. Budak perempuan yang digila-gila Leman memandang Bahari dan melambai. Nurul berlari anak mendapatkan ibunya untuk ke pejabat guru. Mendaftar. Nampak pemalu dan segan-segan dalam setiap langkahnya. Dipegang rapat kain biru tua sambil sebelah tangannya lagi menekup tudung supaya tidak berterbangan. Nurul Kau kenal dia Baha tanya Leman.

Ha ah, betul-betul belakang rumah akulah. Dia cucu Tok Penghulu Ariffin. Tapi dia tak duduk sekali dengan Tok Penghulu. Dia menyewa belakang rumah aku. Semalam aku tolong mak dia angkat barang. Bahari bercerita. Leman tambah gembira. Boleh sahaja ke rumah Bahari bermain sungai selepas ini. Pasti! Terus sahaja dia senyum sendiri.

Semua bangun! Assalamualaikum cikgu!

Waalaikumussalam, duduk-duduk. Hari ini kita ada kawan baru. Nurul Binti Wahab. Nurul akan duduk di sebelah Imah ya.

Cikgu Muhammad memperkenalkan Nurul. Leman pula yang berdebar tak sudah melihat wajah Nurul yang sentiasa tunduk dan memberi senyum. Manisnya ya Tuhan.

Leman! Apa lagi tersengih-sengih tu, buka buku! Cikgu Muhammad mengusik Leman. Ketawa berderai di Kelas Anggerik. Baha memandang wajah Leman dan Nurul berselangseli, lalu berkerut.

Kau suka Nurul, Leman tanya Bahari. Leman tanpa fikir terus sahaja mengangguk bersungguh. Bahari ketawa lalu berkata, Kau gila, bercinta umur kita ini tak akan dapat apa-apa, kita baru darjah satulah! Aku beritahu bapak kau, baru kau tahu!

Leman hanya ketawa dan mengusik pinggang Bahari. Kelas hari itu dirasakan penuh warna-warni. Seharian mereka berkenalan dan bersuka-suka antara satu sama lain. Nurul kelihatan tenang. Sesekali membetulkan tudung putih yang sentiasa melekat di atas kepala. Dengan lengan panjang yang sentiasa dipegang kemas supaya tidak terlucut dan tidak menampakkan lengannya, kasut putih bersih seakan baru dan kain biru tua yang masih lagi tajam kesan gosokan. Nurul nampak serasi dengan kelas barunya ini. Kawan baru, cikgu yang baik serta Imah yang rajin bersembang dengannya.

Cucu kepada Tok Penghulu Ariffin ini punya ibu yang cukup tegas. Setiap hari beliau perlu mengaji sekurang-kurangnya dua muka surat naskah Al-Quran. Tidak boleh sesekali keluar dari rumah tanpa menutup aurat walaupun hanya mahu menyidai pakaian. Jika ke mana-mana, perlu sentiasa diawasi oleh ibunya. Tidak boleh sembarangan. Hari itu hari pertama Nurul di sekolah. Sebelum ini hanya bersekolah pra di sebuah bandar kecil di Selangor.

Langsung waktu balik sekolah tidak dihiraukan Leman. Disuruhnya Cikgu Muhammad pulang terlebih dahulu membawa beg sekolahnya dan dia mahu bersama lagi dengan kawan-kawan. Cikgu Muhammad sekadar menggeleng kepala sambil menyarung beg Leman dan terus sahaja menuju ke rumah. Leman berjalan bersama Faduli dan Bahari menyusuri pesisir Sungai Semantan.

Liuk-liuk lalang di pinggir sekolah menanti Nurul pulang. Ibunya sudah pun menunggu dengan basikal hitam berona warna perak. Ada loceng kecil di bahagian kanan dan punya dua brek tangan. Di bahagian hadapan lengkap dengan bakul kecil bertatah satu lampu berkuasa dinamo. Dan di tempat duduk belakang punya satu set bersofa nipis. Nampak empuk.

Nurul perlahan memberikan ibunya beg dan kemudian menaiki tempat duduk belakang basikal. Serentak Leman, Bahari dan Faduli melambai. Tidak berbalas dan berlalu begitu sahaja. Bahari dan Faduli mentertawakan Leman.

Ini kalau Nurul lambai kau, mesti tak tidur punya! Mereka mengilai bersama sedang Leman menggigit bibir sendiri. Geram.

Kita jumpa di Cilawagi tujuh petang ni! jerit Bahari. Jika Bahari mahu pulang bersama Faduli dan Leman, Bahari perlu menaiki jambatan gantung untuk pulang ke rumahnya. Tak perlu ikut jalan besar yang perlu memusing sekampung untuk sampai ke rumah. Manakala Leman dan Faduli berjalan bersama menuju ke rumah masing-masing.

Perjalanan ke rumah petang itu cukup menghiburkan. Leman dan Faduli bermain-main dengan batu dan air sungai. Sesekali mereka membaling dua tiga biji batu besar dan sengaja melihat ikan-ikan kecil bertempiaran lari.

Leman sampai dahulu di rumah. Faduli meneruskan perjalanan seorang diri dan melambai pergi.