Situasinya begini. Saya akan menggunakan medium fiksyen ini agar anda boleh memahami ceritanya, kerana saya tahu anda bukan sebahagian dari kami mahupun saintis. Anda kelihatan pening bukan Maaf kerana memeningkan anda.
Bayangkan budak tadi, selaku kenderaannya untuk saya menggerakkan konsep yang saya fahami ini agar ia bersatu dengan fikiran anda tadi.
Diam! Diam! Lepaskan aku!
Janganlah begitu, saudara. Saya cuba berkomunikasi dengan anda ini. Harap anda bagilah saya peluang. Barangkali saya harus menutup mulut anda dan memastikan telinga anda jelas mendengar, bukankah begitu Oh ya, saya lihat mereka berbuat begini tadi. Lihat, ini adalah imitasi pita pelekat. Saya lekatkan ia di mulut anda, boleh bukan
Hmm! Hmm! Hmmm!
Nampak gayanya cukup efektif. Baiklah, berbalik kepada budak tadi. Dia tidak lagi dapat mencerap bulan dari planetarium mahupun balai-balai cerap yang berdekatan. Dia tidak lagi obses dengan bulan yang putih mengambang dan kadang-kala berbentuk sabit di langit tinggi. Dia tahu, kekangan yang ada tidak membolehkan mengetahui sifat bulan tadi melalui binokular semata-mata.
Maka, dia bermula dengan cermin. Dia merenung wajahnya dalam cermin tadi lalu bertanya.
Kau wujud Atau aku yang wujud
Dan sekiranya mengikut apa yang anda patut faham, menurut hukum logik anda yang terbatas itu, anda tahu, bayangan di dalam cermin itu tidak hidup, bahkan sekadar pengajukan sifatnya. Lalu apabila diaplikasikan konsep perbandingan tadi kepada bulan dan bumi, dia akan menuding ke arah bulan tadi lalu bertanya:
Kau wujud, atau sekadar bayangan di cermin
Semestinya anda dan saya tahu, itu tidak terjadi. Bulan itu wujud sepertimana jua bumi. Bumi itu jua wujud sepertimana bulan. Bagaimana pula dengan kehidupan yang menjalar di atasnya Adakah wajar diletakkan setara bayangan pantulan di cermin
Tidak.
Dari perspektif hylozoits, kita semua ini hidup sebenarnya. Mereka tepat, tetapi tak cukup kuat dengan hujah-hujah mereka. Mereka perlukan kami selaku jawapan. Oleh itu, berbalik kepada budak tadi, sesudah dia berdiri di cermin dan mendapati bayangannya di cermin tidak hidup dengan sendirinya, dia mula mengundur diri dan berbaring di katil, sambil merenung siling dan berfikir.
Mengapa harus dia dibebani masalah ini Dia masih muda, dalam lingkungan 13 tahun selayaknya. Dia tidak patut dibebankan dengan masalah seremeh ini, tambahan pula rakan-rakan sebayanya tidak begitu kritis memikir perihal bulan. Rakan-rakannya sedang leka dengan gajet elektronik terkini dan juga pembinaan hubungan persahabatan.
Dia pula sedang obses dengan misteri yang terlindung di balik muka bulan yang putih bersih tatkala mengambang, jika dilihat dari bumi. Benarkah tiada hidupan di bulanAdakah sifat bulan itu umpama bumi Membalikkan bayang bumi tatkala disinari mentari
Kau nak buat apa!
Jangan berteriak. Saya sedang menghuraikan permasalahan yang anda hadapi semasa anda masih seorang budak yang berusia 13 tahun. Anda mencari kami di bulan. Anda mencari kami di Marikh. Anda mencari kami dalam segenap pelusuk semesta dengan binokular anda yang maha kerdil itu. Tidakkah anda tahu apa natijahnya berjumpa dengan kami secara terus Anda ketakutan dengan fakta-fakta yang akan membolak-balikkan apa yang anda percaya selama ini. Dan nampak gayanya penceritaan secara konvensional tidak menggembirakan anda.
Saya akan memberi sifat fizikal pada memori anda. Anda akan berada dalam tubuh anda versi zaman silam. Saya berkemampuan menterbalikkan masa. Membengkokkan masa. Haruskah saya huraikan bagaimana saya lakukannya Anda tidak akan sukakannya. Saya tahu dalam diri anda ada akidah. Akidah yang menegaskan Allah itu Maha Berkuasa. Namun mampukah anda menghadapi satu kewujudan yang hampir menyamai Tuhan anda itu Mampukah anda membezakannya nanti
Kau bukan Tuhan aku! Kau hanya makhluk asing!
Nyata anda tidak bersedia lagi. Namun persediaan itu boleh dibentuk semasa anda berada dalam perspektif baru yang saya ciptakan nanti.
Dengar. Dengar. Dengar.
Anda seorang hylozoits. Anda seorang budak berumur 13 tahun yang sentiasa dihantui perasaan ingin tahu. Anda merupakan seorang budak yang berada di bawah lensa binokluar, meneliti bintang-bintang di malam hari. Anda merupakan seorang budak yang cuba memahami bahawasanya kehidupan di bumi bukanlah satu-satunya kehidupan yang wujud di dunia ini.
Jangan! Jangan! Jauhkan benda itu dari aku!
Jangan takut Razali. Anda tidak akan dimudaratkan. Anda hanya akan tidur dan bermimpi. Kesakitan itu lumrah tetapi anda tak akan mati. Saya berjanji, saya akan kembalikan tubuh anda kepada asal. Anda akan boleh melangkah keluar dari gua ini tanpa menggunakan tangki oksigen mahupun sebarang alat bantuan graviti. Anda akan keluar dari gua ini menuju ke komuniti anda seolah anda berada di bumi! Ya, anda akan bertelanjangan dan jadi satu-satunya manusia yang boleh berjalan di permukaan Marikh tanpa mengenakan sebarang sut angkasawan. Anda akan jadi bermensch seperti apa yang anda baca dalam falsafah Friedrich Nietzsche. Ah, saya telah menyalahguna konsep perkataan itu tanpa berlandaskan pada falsafahnya yang tepat.Maaf, saya telah menerobos jauh dari apa yang saya fikirkan. Otak anda punya sesuatu yang menyeronokkan. Ia adalah satu arkib yang menyimpan pengetahuan-pengetahuan separa mentah yang hanya boleh dilengkapkan oleh kami.
Anda akan jadi manusia luar biasa, Razali. Anda akan tahu mana satu lawan dan mana satu kawan. Ketika itu, ingatlah, saya akan membantu anda. Saya akan jadi satu-satunya sahabat yang akan membantu anda. Kawan-kawan manusia ini akan menganggap anda musuh yang harus dihapuskan dengan kadar segera.