Memang setiap hari selepas solat berjemaah, Ustazah Nora akan memberi sedikit peringatan kepada para pelajar. Beliau dikenali dengan seorang yang cukup tegas tentang hal-hal agama. Namun ada tolak ansurnya tentang pertumbuhan pelajar-pelajar. Hari Jumaat hingga Sabtu malam, boleh menonton televisyen, boleh juga mendengar radio. Tak pernah menjadi masalah. Ia satu perkara yang tidak boleh ditolak oleh peredaran masa dan zaman.
Waktu belajar, kena belajar. Waktu mahu beriadah dan berhibur, tetap boleh dilakukan dengan baik-baik.
Pagi itu Ustazah Nora bercerita tentang bagaimana kita ini perlu menghargai setiap sesiapapun yang ada di sekeliling kita. Bagaimana pentingnya bersangka baik sesama manusia dan tidak sama sekali mengutuk atau menghina segala apa yang mereka lakukan. Selagi mereka itu membawa kebaikan, berkawanlah. Jika tidak mampu berkawan, cerita hal yang baik-baik sahaja untuk mereka. Tidak perlu berdengki dan berburuk sangka. Dalam semua hal, perbanyakan elemen positif dan menghargai orang lain. Walau ada orang yang bertugas sebagai tukang sapu, hargai dia dengan memberi dia senyum dan mengucapkan terima kasih.
Itulah kekuatan Ustazah Nora. Penuh ilmiah dan cukup berhemah dalam menyampaikan sesuatu kepada semua pelajar. Itulah yang mendapat hormat tinggi di kalangan pelajar juga guru-guru. Bukan itu sahaja, para Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga cukup menghormatinya.
Kadang-kadang Ustazah Nora akan menampal poster di ruang makan. Tayangan Filem Casper di bilik saya, jam 8.00 pagi, Sabtu. Siapa mahu menonton, letak nama di bawah. Maka berpusu-pusulah pelajar mengisi nama. Biasanya yang dapat hanya 15 pelajar paling awal. Untung. Yang paling best ialah beliau suka sekali menonton Bintang RTM. Malah, ketika Jaja menonton di Bilik Televisyen yang disediakan khas untuk pelajar perempuan, Ustazah Nora ikut serta.
Di Aspuri, ada dua unit televisyen. Satu di Dewan Makan. Yang sudah tersusun jadualnya waktu lelaki dan perempuan bergilir boleh menonton. Dan satu lagi di dalam bilik Ustazah Nora. Selaku warden pelajar perempuan. Jika dapat menonton di situ, maka tinggilah makamnya. Kerana dapat makan, dapat minum jus oren juga dapat bersembang dengan Ustazah Nora dengan serapat-rapatnya. Nurul, Jaja dan La tak pernah berjaya.
Beliau memiliki raut wajah yang tenang, berkulit cerah dengan mata seakan sedikit nipis, apabila berjalan, beliau lebih suka menundukkan pandangan. Langkahnya laju dan kadang-kadang perlu dikejar untuk mendapatkannya. Walau sudah berumur 30-an dan masih membujang, beliau terus sahaja disayangi oleh mereka yang tinggal di asrama. Ada sahaja program dan aktiviti yang dirancang untuk semua pelajarnya. Sama ada rombongan ke negeri-negeri lain, atau aktiviti berkhemah di mana-mana tempat rekreasi. Kadang-kadang aktiviti adhoc seperti membersihkan asrama pun menjadi seronok kerana selepas itu beliau akan pergi mendapatkan makanan yang enak-enak untuk mereka yang membantunya. Seronok sekali.
Asrama mereka ini mempunyai dua blok. Satu, asrama perempuan. Yang mana lokasinya betul-betul menghadap padang sekolah yang jika dipandang dari padang tersebut perlulah didongak. Ia tinggi di atas bukit. Jika ada pakaian yang bersidai dan kemudian jatuh diterbangkan angin. Boleh bertukar parah kerana bakal menjadi gelak ketawa para pelajar dari asrama lelaki. Lebih tepat lagi Aspura. Oleh sebab itu semua pakaian yang bersidai memang wajib punya penyepit. Wajib!
Asrama perempuan, sudah tentu dinamakan sebagai Aspuri. Menempatkan 6 dorm yang mana setiap satu dorm tersebut mempunyai 16-30 orang pelajar. Lebih kurang 15 katil dua tingkat disusun secara parallel. Semuanya akan bersusun dengan siap bercadar putih, selimut putih, sarung bantalnya juga putih serta wajib tidak punya satu kedut pun. Walaupun spot check jarang-jarang berlaku, namun para senior sama ada di dalam Aspura atau Aspuri punya identiti tersendiri di dalam bilik yang mereka ketuai. Jika waktu pagi sebelum ke sekolah tidak mengemas katil, cadarnya kusut dan tidak dilipat segala selimut bagai, maka nantikanlah muka mereka ini ditampal di papan tanda dewan makan sebagai manusia paling malas di asrama. Maka bertebaranlah ketawa berdekad-dekad lamanya. Lebih lagi yang mengusik itu datangnya daripada golongan yang berlainan jantina. Haru. Malu!
Pernah sekali itu Jaja melakukan kesalahan yang sama. Waktu itu beliau di tingkatan satu. Bangun lambat dan tergocoh-gocoh mahu ke kelas. Lalu dengan tuala di atas katil, selimut, cadar semuanya tidak dikemas. Dan sekonyong itulah balik sahaja dari sekolah saat sedang beratur mengambil makan tengah hari, beliau sudah diketawakan.
Carta Paling Malas Hari Ini Jatuh Kepada: Noraizah Othman. Siap dengan muka beliau bersaiz pasport ditampal di situ. Jaja masih belum tahu tentang itu. Masih terpinga-pinga. Beliau makan sahaja tanpa memikirkan tentang apa-apa. Bagi beliau, makan merupakan perkara paling penting selepas pulang dari sekolah. Kemudian tidur sekejap dan bangun untuk belajar (atau tidur di bilik prep. Kahkahkah).
Ja, kau dah tengok ke
Tengok apa
Ish kau ni, makan je! Muka kau dekat papan tanda! Kau tak kemas katil ke apa
Blueeekkk! Aduh! Serius ke ni Maaakkkk! Jaja bangun tergesa-gesa ke papan tanda dewan makan. Lalu wajahnya bertukar kemerah-merahan. Nurul dan La yang menegur tadi memandangnya lalu menunduk ketawa. Mereka menutup tangan mereka ke mulut dan ketawa semahu-mahunya.
Ini semua kau oranglah, tak kejut aku, ujar Jaja kesedihan. Lalu disambut ketawa Nurul dan La.
Angguk kau tak kejut, dah puas kejut. Last-last Kak Iman kata biarkan je, jawab Nurul. La mengangguk setuju.
Kak Iman merupakan Ketua Dorm mereka. Pelajar paling senior dalam dorm dan yang paling ditakuti serta digeruni. Bukan sekadar penghuni dorm tersebut, malah satu Aspuri takutkannya kerana suaranya yang garau, wajahnya yang jarang-jarang kali senyum dan tubuhnya yang besar ya ampun. Jika beliau sedang marah, beliau boleh menumbuk apa sahaja. Pernah dulu beliau hanya marahkan seorang pelajar junior kerana tidak mengambil air yang dipesan di dewan makan. Maka Kak Iman sekonyong-konyong menumbuk loker pelajar tersebut lalu kemik hingga hari ini.
Tanda kemik itu sebagai aras kekuatan beliau. Sampai sekarang masih ada.
Jaja terus mengangkat tray yang masih belum habis makan. Sugul dan terus menuju ke tempat membasuh segala pinggan cawan mak nenek belaka.
Rajinnya cik adik basuh tray, tapi katil tak reti kemas ye dik
Kahkahkah!
Berdentum telinga Jaja. Terus menangis dan berlari ke bilik. Digegarkan sekali lagi dengan ketawa para penduduk Aspura dan berlalu sehingga habis seminggu. Selagi tidak ada pelajar lain yang mengganti Jaja, selagi itulah gambarnya akan ada di situ. Begitulah episode memori tentang kisah katil. Cukup mendebarkan, lebih lagi kaum hawa yang sepatutnya handal bab-bab mengemas dan bersih.
Manakala di bahagian belakang Aspuri terletaknya Dewan Makan Habibah. Yang bersambung terus dengan lapangan badminton dan bola tampar. Biasanya dikuasai oleh pelajar lelaki yang mana bangunan Aspura terletak betul-betul bertanjak di penghujung Dewan Makan Habibah. Boleh kata jika buka cermin dari Aspuri bolehlah nampak pelajar lelaki bersidai kerana koridor lelaki memang menghadap Dewan Makan yang hanya setinggi satu tingkat sahaja. Manakala dua-dua asrama dua tingkat. Kebanyakan pelajar lelaki memang selamba sahaja tidak berbaju. Dan itu tidak pernah menjadi masalah. Yang jadi hal ialah sekiranya ada cermin nako yang bergerak dan terbuka.
Memang pantang sekali ada cermin yang terbuka dari Aspuri. Itu bakal mengundang boo daripada pihak Aspura. Sudah tentu kerana itu merupakan tanda-tanda mereka sedang mengintai atau mahu tahu apa sorakan yang sedang berlaku di lapangan badminton atau bola tampar.
Nurul membuka beg sekolahnya. Kemudian diambilnya bekas pensel yang gedabaknya bukan main. Lalu dibuka dan dicapainya gam kanji berwarna kuning. Sebiji sama seperti bekas ubat gigi. Cuma, bentuknya lebih kecil dan warnanya sahaja memang kuning. Kadang-kadang kau boleh jumpa warna merah, hijau, biru. Menarik. Dalamnya punya gam kanji yang emak kau boleh buat sendiri sahaja.
Dibukanya perlahan-lahan dan kemudian Nurul mengambil keratan akhbar yang disoroknya tempoh hari. Kemudian dilekap-lekapkan tangannya supaya keromot dan keroyok itu tidak terlalu kelihatan. Lalu dipicit bekas gam dan keluarkan sedikit isinya. Dan disapu perlahan di belakang keratan akhbar tersebut menggunakan jari telunjuknya.
Kemudian ditampalnya di dinding pintu lokar sebelah dalam. Betul-betul di bawah gambarnya bersama Jaja dan La. Terpampang kisah penyanyi muda yang bergelar Siti Nurhaliza yang memenangi Bintang Hiburan Minggu Ini kali ke berapa entah itu. Gadis itu telah pun membuat dia percaya yang anak muda berumur 16 tahun ini bakal berada di lubuk hati setiap seorang rakyat Malaysia suatu hari nanti.
Bayangkanlah, hampir semua penyanyi nombor satu negara pernah memenangi Bintang RTM dan Bintang Hiburan
Minggu Ini. Dan dari situ bermula langkah besar mereka untuk membintangi segala lagu serta konsert serata negara. Gadis yang ini punya kekuatan itu. Vokalnya dilantun dengan normal. Relaks serta sungguh tenang walau membawa lagu-lagu tinggi.
Bintang RTM merupakan sebuah program oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang dibuat khas bagi mencungkil bakat-bakat peserta di dalam bidang nyanyian khususnya. Sejarah pertandingan ini bermula pada awal 1959 dan dikenali sebagai 'Bintang Radio', sebuah program anjuran Radio Malaya. Tetapi, pertandingan Bintang Radio hanya mengetengahkan lagu-lagu yang berentak langgam, asli, keroncong dan seriosa.
Pada tahun 1964, Bintang Radio telah memulakan siaran pertamanya di televisyen serta TV Malaya pula muncul untuk mencari bakat-bakat baru untuk pertandingan "Bakat TV". Bermula dari itu, pada setiap tahun, Bintang Radio dan Bakat TV menerima sambutan yang amat memberangsangkan daripada peminat seni tanah air.
Saban tahun, ada sahaja penyanyi luar biasa yang akan memenangi pertandingan ini. Dan mereka ini akan menghiasi dada akhbar dan suara mereka akan menyinari kehidupan kita dengan kisah dalam lagu-lagu yang mereka dendangkan.
Mereka ini punya kualiti luar biasa. Ya, 80% faktor kemenangan datang daripada juri yang akan mengira tentang kekuatan vokal. Kemudiannya persembahan dan penampilan memberi markah sebanyak 20%. Jadi, boleh kata semua pemenang mempunyai kuasa vokal yang cukup padu untuk menjadi pemenang. Antara yang pernah menjadi pemenang suatu masa lalu ialah kesayangan Nurul, Almarhum Sudirman Haji Arshad. Oleh sebab itu beliau cukup percaya, Siti yang satu ini akan menjadi penghias telinganya untuk mengalun irama segar selepas ini.
Pertandingan Bintang RTM sebenarnya berehat selepas tahun 1986 dan memperkenalkan pertandingan baharu iaitu Bintang Hiburan Minggu Ini pada tahun 1991. Penyanyi Nora lahir sebagai juara pada 1991 manakala Siti Nurhaliza pada tahun 1995. Bintang RTM diperkenalkan semula pada tahun 1999 dengan Nor Asmadi sebagai juara. Pertandingan berkenaan berhenti lagi selama dua tahun selepas itu kemudian diwujudkan semula pada tahun 2001.
Melalui pertandingan ini, RTM telah melahirkan ramai nama besar dalam industri seni hiburan. Antaranya Dahlan Zainuddin, Allahyarham Datuk Sudirman Hj Arshad, Rosmaria, Jennifer Yen, M.Rizal, Muhaini Suratman, Yunizar Hussein, Jamal Abdillah, Najib Hanif, Rohana Jalil, Juliza Adlizan, Safar Ghafar, Raisuddin Hamzah, Ramlah Ram, Jamilul Hayat, Noraniza Idris, Noraliza Yusof, Azian Mazwan Safuan, Ayai Ilusi, dan Siti Nurhaliza.