MAT DAN MEL - 3
Aku menghantar mesej pendek kepada Tamrin bahawa aku akan makan malam di Mid Valley. Jadi aku memintanya supaya pulang sendiri ke rumah. Dia hanya menjawab dengan menghantar emoticon tanda senyum :). Selalunya, bila aku hantar mesej yang panjang-panjang dia akan membalas dengan mesej yang pendek-pendek. Dia hanya membalas mesej yang panjang-panjang bila Raslan menghantar SMS kepadanya. Setiap kali Raslan menghantar SMS, pasti dia akan ketawa terkekek-kekek. Bila aku mahu baca apa yang membuatnya ketawa, dia tidak akan membenarkan.

Aku membawa Hamiza dan Melati ke tempat aku meletak motorku. Aku menyerahkan Melati topi keledar yang digunakan oleh Tamrin. Melati nampak seronok apabila mengenakan topi keledar yang aku serahkan kepadanya. Aku merapatkan diriku kepadanya lalu mengikat topi keledarnya itu dengan ikatan yang lebih kemas.

Beritahu kepada Mel dia perlu pegang pinggang saya bila saya bawa motor nanti, kataku kepada Hamiza.

Setelah selesai Hamiza menyampaikan mesejku, aku lihat Melati mengangguk faham. Dia nampak kekok ketika aku menyuruhnya naik ke atas motor kapcaiku. sahlah dia tidak pernah naik motor sebelum ini. Wajahnya jelas nampak takut walau pun dia bersungguh-sungguh mahu menyembunyikannya daripada ku.

Hamiza mengucapkan selamat tinggal kepada Melati dengan melambaikan tangannya. Melati tidak berani melambaikan tangannya ke arah Hamiza. Tangannya erat memegang bahagian tali pinggangku.

Hasnah pernahku bawa bersiar-siar dengan motosikalku. Tetapi hanya sekali. Dia tidak suka cara aku bawa motosikalku ini. Dia kata aku bawa laju walau pun aku cuba meyakinkannya bahawa aku jarang menunggang dengan laju. Sejak hari itu, dia lebih suka jika kami bersiar-siar dengan kereta yang dibawanya sebuah kereta BMW kepunyaan bapanya. Melati memegang bahagian tali pinggangku itu dengan lebih erat lagi apabila aku membawa motorku dengan lebih laju. Sebenarnya, memang betul kata Hasnah. Aku memang suka bawa motor aku dengan laju. Aku suka awek-awek yang naik motor aku peluk badan aku dari belakang dengan pelukan yang erat. Ada juga awek yang ambil kesempatan untuk pegang benda lain, aku tak kisah, aku biarkan sahaja. Aku sporting orangnya. Aku sebenarnya lebih suka jika mereka merapatkan tubuh mereka ke belakangku. Stim gila beb!

Melati langsung tidak mengeluarkan suara untuk membantah. Aku hampir-hampir terlupa dia bisu. Aku memandang ke arahnya dari arah cermin. Apabila dia sedar aku sedang menjeling ke arahnya dia melemparkan senyuman ke arahku.

Dia nampak lega sebaik sahaja kami tiba di Mid Valley. Dia membetulkan rambutnya sebelum dia berdiri tegak di hadapanku seolah-olah menunggu arahan selanjutnya daripada aku.

Mel, kita makan dulu Saranku sambil membuat isyarat tangan makan dengan menggunakan tangan. Dia mengerti. Kami berjalan masuk ke dalam pusat membeli-belah Mid Valley.

Aku perlu memberitahu diriku berkali-kali bahawa Melati pekak dan bisu. Tiga kali aku membuat kesilapan untuk cuba berbual dengannya. Dia langsung tidak menjawab, malah dia langsung tidak tahu bahawa aku sedang bercakap dengannya.

Aku mengidam makan pizza, jadi aku ajak dia makan pizza di Pizza Hut. Dia tidak keberatan. Apabila menu diberikan kepada kami, aku memintanya memilih dengan menunjukkan kepadaku pizza apa yang menjadi pilihannya. Dia membuat pilihan, lalu aku terus memesan pizza perisa yang dimahukannya.

Saya berasal dari Johor Bahru, kataku kepadanya walau pun aku tahu dia tidak tahu apa yang aku katakan kepadanya. Matanya ke tempat lain, merenung ke arah seorang anak kecil bermata bulat yang sedang duduk di sebelah kami. Aku cuba menarik perhatiannya dengan menyentuh lengannya seperti mana yang telah aku lihat dilakukan oleh Hamiza di perpustakaan tadi. Perbuatanku telah membuatkannya terkejut, seolah-olah dia baru sahaja terkena kejutan elektrik. Dia menarik lengannya. Wajahnya terus berubah. Dingin. Suasana menjadi tegang seketika. Kemudian dengan ikhlas aku meminta maaf. Aku rasa dia faham aku rasa bersalah.

SAYA TAK MARAH, katanya satu-satu sambil melakukan isyarat tangan. Suaranya tersekat-sekat ketika dia seboleh-boleh menyebut kalimah ini satu persatu agar aku boleh memahaminya. Dia tidak sedar dia telah mengeluarkan suaranya dengankuat. Beberapa orang pelanggan restoran berpaling ke arah kami.

Aku meletakkan jari telunjukku ke bibirku untuk memintanya supaya jangan menambah lagi.

Bang, boleh pinjam pen dan kertas Tanyaku kepada seorang pelayan bertubuhkurus dan berambut kerinting. Dia menghilang lalu kembali dengan sekeping kertas dan sebatang pen yang aku pinta daripadanya.

Aku tulis: Sekali lagi saya meminta maaf.

Dia tulis: Kita baru kenal.

Aku tulis: Saya tahu. Sebab itu saya minta maaf.

Dia tulis: Tak apa. Awak tak tahu.

Melati cuba mengukir senyuman, tetapi senyumannya tawar.

Aku sebenarnya tidak tahu apa silapku. Aku keliru. Apabila pizza yang aku pesan diletakkan di atas meja, aku rasa macam tak ada mood nak makan. Mungkin Melati sedar keadaan aku yang sedikit terganggu pada waktu itu. Dia memujuk aku supaya makan. Dia meletakkan sekeping pizza di atas pinggan, lalu dia menjemput aku makan.

Jadi aku makan. Dia pun makan. Ketika makan aku langsung tidak bersuara. Aku rasa lain macam saja. Aku selalunya akan berbual dengan awek-awek aku ketika makan, tetapi bersama Melati aku hanya duduk diam saja sambil makan. Aku boleh bercerita tentang diriku. Aku boleh bertanyakan kepada mereka tentang diri mereka.

Bila aku bercerita tentang diriku akan memberitahu kepada mereka bahawa aku dilahirkan di JB. Aku anak sulung. Aku ada dua orang lagi adik. Kedua-duanya perempuan. Aku minat main bola. Aku ambil Kejuruteraan Elektrik kerana bapa aku yang suruh, bukan sebab minat aku. Sebenarnya sehingga ke hari ini, aku masih tidak tahu apa sebenarnya yang aku minat nak belajar. Cita-cita aku semasa aku kecil adalah untuk menjadi seorang anggota tentera, tapi bapa aku tak benarkan. Dia kata kalau aku jadi askar aku tak akan ada masa depan yang cerah. Dia nak aku jadi jurutera, macam dia. Aku suka tengok wayang. Aku suka tonton filem aksi dan sains fiksyen. Aku suka makan kat Burger King. Aku penyokong kuat pasukan bola Liverpool. Warna yang paling aku suka adalah warna merah. Semua ini aku beritahu kepada awek-awek yang pernah keluar berdating dengan aku, tapi aku tak beritahu kepada mereka yang aku dah lama tak bersemuka dengan bapaku. Atau aku pernah nak tumbuk muka bapa aku sendiri ketika aku bergaduh dengannya lebih setahun yang lalu dan sudah lebih setahun aku tidak bercakap dengannya.

Aku rasa Melati langsung tidak tahu menahu tentang

diriku walau pun aku rasa aku mahu memberitahu segalagalanya tentang diriku kepadanya. Aku juga mahu tahu tentang dirinya. Sikit pun jadilah.

Jadi selepas selesai makan, aku terus cuba menyambung perbualan aku dengannya yang tak ke mana itu:

Aku tulis: Awak berasal dari mana

Dia tulis: Muar

Aku tulis: Saya berasal dari JB

Dia senyum selepas itu. Mungkin dia mula rasa selesa sedikit denganku. Aku mula suka melihat senyumannya. Memang senyumannya manis macam orangnya.

Aku tulis: Di UM awak belajar apa

Dia tulis: Geografi

Aku tulis: Bagaimana awak habiskan masa hujung minggu awak

Dia tulis: Jumpa kawan-kawan pekak.

Aku tulis: Awak ada ramai kawan-kawan yang macam awak

Dia tulis: Ramai

Aku tulis: Dalam ramai-ramai tu ada yang istimewa

Dia tulis: Istimewa

Aku tulis: Boyfriend

Dia ketawa kecil. Dia merenung ke wajahku lama-lama.

Aku tak tahu apa yang sedang difikirkannya.

Dia tulis: Dulu ada. Sekarang tak lagi.

Aku melepaskan nafas lega. Jika dia ada boyfriend, satu hal pula nanti. Aku kena buat dia sukakan aku sampai dia mahu tinggalkan boyfriend dia. Bukan aku tidak pernah buat kerja macam ini.

Selepas makan malam, kami berjalan di Mid Valley sehinggalah kami tiba di toko Jusco. Aku mahu sembahyang maghrib. Aku membawanya ke surau lalu membuat isyarat bahawa aku mahu bersembahyang. Aku sempat buat lawak. Aku buat style bintang Akademi Fantasi Mawi lalu berkata:

WORLD PUN WORLD Juga AKHIRAT JANGAN LUPA!

Dia tidak ketawa. Dia tak faham apa yang aku cakapkan. Aku masih ingat lagi bila aku buat benda yang sama di tempat yang sama dua minggu lepas kepada Hasnah, dia ketawa.

Aku masuk ke dalam surau. Bila aku toleh, aku lihat dia sedang duduk di bangku berdekatan sambil mengeluarkan telefon bimbitnya. Dia sempat memandang ke arahku. Dia tersenyum. Entah mengapa, pada saat itu aku dapat merasakan bila selesai aku bersembahyang, dia tidak akan ada di situ. Inilah kali pertama aku alami perasaan aneh seperti ini. Aku rasa risau dia akan menghilang begitu sahaja kerana aku rasa aku tidak mampu menarik perhatiannya dengan kata-kataku. Tidak ada apa yang dapat aku lakukan untuk membuatnya cair dengan ayat-ayat yangku luahkan kepadanya kerana dia pekak. Jadi aku rasa macam tidak cukup syarat. Aku rasa macam ada sesuatu yang tidak selesai. Dengan Melati, aku tidak boleh mengayatnya seperti mana yang aku lakukan dengan awek-awek lain. Dengan Melati, segala-gala strategi yang pernah aku lakukan dan praktikkan sebelum ini perlu aku tolak ke tepi.

Aku tidak dapat sembahyang dengan khusyuk. Masa tengah sembahyang pun aku masih fikirkan tentang Melati. Ada sesuatu tentang dirinya yang mengganggu fikiranku, tetapi aku tidak tahu apa.

Semasa aku memakai stokin, aku mula sedar bahawa sebelum ini aku tidak pernah mempunyai awek seperti Melati. Awek-awek aku dulu semuanya tidak secantik Melati. Semuanya sederhana sahaja. Aku tak minat sangat dengan awek-awek popular yang selalunya tak berminat dengan orang macam aku yang hanya bermotor kapcai ke kampus. Mereka suka cari balak berkereta. Mereka tidak kisah kalau balak tu muka menggerutu dan gemuk macam tong minyak asalkan berkereta. Itu sahaja yang mereka pentingkan dan aku tidak dapat berikan itu semua kepada mereka. Aku hanya boleh harapkan duit biasiswa dan duit yang mak bagi. Bapa aku dah lepas tangan tidak mahu bagi aku sesen pun sejak aku bergaduh besar dengannya.

Bila aku keluar dari surau aku dapati Melati masih ada di luar menungguku. Aku lega. Kemudian aku bawa dia ke bahagian alat tulis lalu menyuruhnya memilih buku nota bersaiz kecil yang paling dia suka. Dia pilih sebuah buku nota berwarna hitam. Dia tidak pilih buku nota merah jambu yang ada gambar Hello Kitty di hadapannya. Aku tahu jika aku suruh Hasnah buat pilihan yang sama, pasti dia memilih buku nota Hello Kitty itu.

Aku beli sebatang pen hitam. Aku ke kaunter lalu membayar harga pen dan buku nota yang mahu aku beli itu. Sejurus aku selesai membayar, aku terus menulis sesuatu ke dalam buku nota itu:

Aku tulis: Jom ke tingkat atas, saya nak beli kasut baru.

Dia mengangguk setuju. Aku baru sahaja tunaikan wang biasiswaku untuk semester ini, jadi aku kaya sikit. Aku cuba untuk tidak seboros semester lepas semester belum habis duit dalam bank aku sdah habis licin.

Aku tulis: Saya nak beli kasut baru yang saya boleh gunakan ketika main futsal.

Beritahuku sebaik sahaja kami melangkah masuk ke dalam sebuah toko barangan sukan. Aku mahu memberitahunya bahawa Tamrin mahu aku bermain futsal dengannya dan beberapa orang rakannya yang lain mulai minggu depan. Semuanya gara-gara filem Gol & Gincu yang ditontonnya bersama Raslan. Tetapi aku diam. Aku rasa aku perlu mencari jalan untuk berkomunikasi dengan lebih efektif dengannya.

Aku tulis: Saya mahu belajar bahasa isyarat.

Dia tulis: Serius

Aku tulis: Ya. Awak boleh ajar saya tak

Melati menganggukkan kepalanya dengan pantas. Dia menudingkan jarinya ke arah kasut-kasut yang dipamerkan. Dia membuat isyarat tangan untuk kasut. Aku cuba mengingatnya. Melati bersungguh-sungguh membuat isyarat tangan dari satu barang ke satu barang. Dia membuat aku tersenyum melihat gelagatnya. Dia tahu aku tidak mungkin dapat mengingati segala-gala yang mahu diajarnya malam ini, tetapi diteruskannya juga. Ketika dia membuat isyarat tangan untuk seluar renang, handphone ku berdering. Aku dapati Hasnah sedang menelefonku. Inilah kali pertama dia menelefonku sejak kami berpisah. Aku tak tahu jika aku perlu menjawab panggilan ini atau pun buat tidak tahu sahaja.

Aku mengambil keputusan untuk tidak menjawab panggilannya. Aku menyimpan kembali handphone ku ke dalam kocek seluarku.