Hati Tuan Fahreen sungguh berbunga-bunga hari itu. Alyssa telah menjadi isteri yang sepenuhnya untuk dirinya. Apa yang berlaku antaranya dan Alyssa semalam, merupakan satu frasa mimpi indah yang pernah terjadi dalam hidupnya. Tuan Fahreen tidak dapat melupakan bagaimana tangannya menyentuh pipi, dagu, tangan, pinggang dan seluruh tubuh badan Alyssa. Dia merasakan seperti seorang bidadari telah datang ke dalam pelukannya dan membiarkan dia bermimpi dengan tenang.
Kau adalah milikku, Alyssa. Akan kuserahkan jiwa dan seluruh perasaanku untuk kau miliki. Kau bukan sekadar isteri, tetapi kaulah syurgaku, berlagu Tuan Fahreen di dalam hatinya.
Sepanjang perjalanan ke pejabatnya, hanya senyuman yang menemani keterujaannya. Malahan, pemandunya turut berteka-teki dengan senyuman memanjang majikannya itu. Setiap kali pemandu itu menjeling ke cermin pandang belakang, setiap kali itulah pandangannya akan tertangkap senyuman Tuan Fahreen itu. Sebagai pekerja kepada seorang majikan yang berhati mulia, pemandunya tetap gembira bila melihat kegembiraan di wajah majikannya.
Tuan kelihatan kacak sekali hari ini. Mungkin, seri Puan Alyssa dah berjangkit pada tuan kot, usik pemandu yang bernama Husin itu.
Ketika itu, dia membukakan pintu kereta untuk Tuan Fahreen setibanya di hadapan bangunan pejabat. Sekali lagi, Tuan Fahreen tersenyum memancarkan lagi sinar kebahagiaannya.
Hish, kamu ni ada-ada sajalah, Husin. Kalau kamu nak tahu sangat tentang keindahan sesebuah perkahwinan itu, cepat-cepatlah bernikah. Takkan nak membujang sampai ke tua.
Husin tergaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Hasrat hatinya, hanya ingin berseloka dengan majikannya. Tidak disangka, dia pula yang jadi bahan seloka. Baru dia teringat. Sebelum ini, Tuan Fahreenlah yang sering menggiatnya untuk segera beristeri. Malahan, Tuan Fahreen tahu yang Husin ada menyimpan perasaan terhadap Ramlah, salah seorang pembantu di rumahnya. Tuan Fahreen pernah menyatakan kepada Husin mengenai perasaan senangnya jika Husin memperisterikan Ramlah. Satu lagi tradisi yang cuba diwarisi dari arwah ayahnya yang pernah menemukan jodoh antara pekerja dengan pekerjanya dahulu.
Kelucuan yang terpancar di wajah Husin, menambah perasa lagi pada senyuman Tuan Fahreen yang sudah cukup manis itu. Kemudiannya, dia melangkah meninggalkan Husin yang masih tercari-cari jawapan kepada isu yang diutarakan tadi.
Hari itu, Tuan Fahreen masuk ke pejabat dengan perasaan tenang dan senang sekali. Dia merasakan dirinya seperti orang yang baru keluar dari satu kepompong kehidupan yang penuh dengan kesunyian. Sekarang, dia sudah punya Nurul Alyssa.
Seperti biasa, ketibaan Tuan Fahreen di pejabatnya disambut oleh pembantu peribadinya, Che Ros, yang tersenyum simpul macam kerang busuk bila melihatnya muncul. Che Ros kelihatan seperti seorang hamba abdi yang setia menunggu di pintu bilik untuk mendengar arahan tuannya. Che Ros segera mengekori Tuan Fahreen memasuki biliknya dan berdiri tegak di hadapan taikun muda itu, sementara menunggu tuannya itu memperbetulkan duduk di kerusi empuknya.
Tuan, pagi ini dalam pukul sepuluh setengah pagi, ada orang dari Tiara International akan datang berjumpa dengan tuan untuk projek gaharu kita yang di Pahang tu. Petang pula, dalam pukul dua, tuan ada board meeting. Semua pengarah, akauntan, auditor dan company secretary telah confirmkan kedatangan mereka.
Tuan Fahreen seperti tidak begitu memberi penumpuan kepada Che Ros. Akal fikirannya masih terbayangkan wajah dan senyuman Alyssa. Rancangan untuk membawa Alyssa bercuti ke Belanda, akan tetap dia laksanakan. Impiannya untuk membawa Alyssa melihat negara yang penuh dengan bunga tulip itu, harus diatur dengan segera.
Che Ros berasa agak kecewa apabila bos kesayangannya itu seperti alpa dengannya yang sudah lama berdiri terpacak di situ. Che Ros tahu, ada sesuatu yang sedang menari-nari di dalam pemikiran Tuan Fahreen ketika
Selalunya, Tuan Fahreen tidak sebegitu. Lalu, dengan perasaan sarat dan kecewa, Che Ros mula mengatur langkah untuk keluar dari bilik tersebut. Sayu sungguh hatinya bila dia tidak lagi diberikan tumpuan yang diharapkan. Kasih sejati, sedikit pun tidak terdetik dalam perasaan Tuan Fahreen buat Che Ros.
Che Ros! Suara Tuan Fahreen kedengaran tegas.
Che Ros segera menoleh semula kepada Tuan Fahreen, lantas berkata, Yes, tuan Ada apa-apa yang tuan hendak arahkan saya untuk lakukan
Gembira bukan kepalang di hati Che Ros. Tuan Fahreen memanggilnya, setelah puas berdiam diri membuatkan hati Che Ros kegelisahan. Manakan tidak, hubungan Che Ros dengan tuannya itu tidak berapa baik sejak akhir-akhir ini. Tuan Fahreen kelihatan agak bosan dan hilang sabar dengan sikap pembantunya itu yang sering menimbulkan kekecohan dalam senario di pejabat.
Berkali-kali ditegur, acapkali juga dinyatakan tentang ketidak-puasan hatinya terhadap perlakuan Che Ros. Tetapi nampaknya, seperti mencurah air ke daun keladi. Che Ros masih betah menyakiti hati-hati rakan sepejabatnya. Dia fikir, Tuan Fahreen tidak pernah ambil tahu. Namun, dalam diam, Tuan Fahreen sering prihatin, apa lagi bila melibatkan pekerja-pekerjanya. Telah terlalu banyak didengarnya
aduan dari pelbagai peringkat, mengenai tingkah laku Che Ros yang tidak pernah tahu menghormati orang lain. Sehinggakan orang sebijak Tuan Fahreen sendiri, mati akal dalam mencari penyelesaian terhadap permasalahan yang sering ditimbulkan pembantunya itu.
Sudah puas Tuan Fahreen menegur sikap buruk Che Ros itu, namun perangai Che Ros masih tidak berubah. Firasat Che Ros mengatakan bahawa apa yang dilakukannya itu, benar belaka. Padahal, apabila Tuan Fahreen sudah berhenti bercakap, maknanya dia sendiri sudah muak untuk menegur sikap Che Ros itu.
Tanpa membuang masa, Tuan Fahreen mengeluarkan beberapa helaian kertas dari begnya untuk diserahkan kepada Che Ros. Malas rasanya untuk dia terus-menerus merenung wajah pembantu peribadi yang tidak pernah kenal erti serik dalam menggodanya.
Che Ros, kamu ambil dokumen ni, teliti dan buat semakan andainya ada apa-apa yang saya lupa sertakan. Tuan Fahreen memberikan arahan.
Kening Che Ros mula berkerut apabila mendapati dokumen yang diserahkan kepadanya itu merupakan salinan kad pengenalan Tuan Fahreen dan Nurul Alyssa. Serta-merta, dia berasa cuak dan hairan.
Bagaimana salinan kad pengenalan Alyssa boleh berada dalam simpanan Tuan Fahreen persoalnya di dalam benak.
Namun, dia tidak berani untuk bersuara lagi. Kelihatannya, ada arahan lanjut yang mahu diperkatakan oleh tuannya itu. Dia tidak mahu membuat telahan negatif terlebih dahulu. Bimbang akan diperlekehkan nanti.
Saya nak kamu booking tiket fligt untuk dua orang, ke Amsterdam, Belanda. I/c saya dan seorang lagi passenger ada di situ. Tolong uruskan passport dan visa untuk passenger tu sekali. Saya nak supaya semua perkara itu dilakukan dengan segera. No delay, please.
Che Ros terkedu sambil melopo.
Dan satu lagi, saya nak kamu uruskan satu majlis makan malam pada malam ini di mana-mana hotel yang ada dalam senarai panel kita. Pastikan semua staff dan rakan-rakan niaga saya, dijemput. Minta pertolongan dari Alina untuk bantu kamu menguruskan semua perkara itu dengan segera. Faham arah Tuan Fahreen lagi.
Arahan dari Tuan Fahreen amat tegas dan jelas sekali. Che Ros sedar yang dia tiada alasan untuk menunda perkara tersebut. Tuan Fahreen langsung tidak menoleh kepadanya selepas mengeluarkan arahan tersebut. Dia tidak mahu Che Ros banyak bersoal tentang itu dan mahu Che Ros melaksanakan tugas tersebut dengan segera.
Setelah Che Ros keluar dari bilik itu, Tuan Fahreen segera menyeluk telefon bimbitnya dari kocek seluarnya. Sambil tersenyum, dia mendail nombor Alyssa dan menunggu dengan penuh debar untuk sang permaisuri hati menjawab panggilan kasih darinya.
I just want to tell you that I miss you so much, sayang.
Alyssa ketawa manja di hujung talian, namun langsung tidak diperdulikan oleh Tuan Fahreen. Biarlah Alyssa ketawa kerana itu adalah haknya.
Im serious about this. Abang nak sayang tahu yang abang akan membawa wajah kesayangan abang ni walau ke mana sahaja abang pergi. Sehinggalah sakratul maut datang menjemput abang, suatu hari nanti.
Wajah Alyssa berubah serta-merta, setelah agak lama tersenyum panjang dengan bicara romantis suaminya itu.
Abang, tolonglah jangan ungkap soal mati. Kita baru sahaja mahu memulakan hidup. Seharusnya, kita berdoa supaya Allah panjangkan usia dan jodoh kita.
Kali ini, Tuan Fahreen pula yang tersenyum panjang dan manis. Sungguh tidak diduga olehnya, Alyssa tidak sanggup lagi untuk berpisah darinya. Mungkin cinta untuk suami sudah mulai tersemai di jiwa Alyssa.
Sayang, cinta kita bukan cinta sementara, tetapi biarlah kekal sehingga ke syurga. Semoga kasih kita mekar berseri dan sehangat asmara bunga tulip yang sayang kagumi kecantikannya. Maafkan abang, kalau abang telah menyentapkan hati sayang tadi. Kalau sayang tidak sanggup berpisah dengan abang, abang lebih seribu kali tidak sanggup terpisah dari sayang. Percayalah.
Alyssa tersenyum semula. Syukur kerana Tuan Fahreen tidak menyambung kata-kata mengenai ajal maut tadi. Pada ketika itu, mereka menjadi pasangan yang baru mengenal erti cinta dan rindu membara. Lama mereka bergayut di talian laksana sepasang kekasih yang sedang hangat bercinta.
Di mejanya, Che Ros cuba menahan perasaan hatinya yang kecewa bercampur bengang. Jelas sekali yang Tuan Fahreen sudah menunjukkan sikap muak terhadapnya. Sekarang, Tuan Fahreen langsung tidak memandang ke arah muka Che Ros setiap kali memberikan arahan kepadanya. Kalau dahulu, semua arahan Tuan Fahreen dianggap sebagai satu titah perintah oleh Che Ros. Tetapi sekarang, tidak lagi. Segala permintaan dari Tuan Fahreen telah bertukar menjadi arahan yang tegas untuk Che Ros laksanakan.
Kenapalah perubahan tuan begitu drastik sekali. Benci sangatkah dia padaku. Apakah puncanya persoalnya kepada diri sendiri.
Tiba-tiba, Che Ros teringat semula akan arahan yang baru diberikan oleh Tuan Fahreen. Dia menyemak semula dokumen-dokumen itu dan mulai mengerutkan dahi bila membaca nama yang tertera di atas kertas itu.
Nurul Alyssa binti Sulaiman Bakhtiar Bukankah dia ni budak bahagian finance yang dah resign tu Mengapa pula Tuan Fahreen hendak ke Belanda bersama dia
Kemusykilan Che Ros berbalah lagi. Dia seperti tidak percaya bahawa Alyssalah yang akan terbang bersama Tuan Fahreen ke Belanda nanti. Yang peliknya, apakah hubungan Alyssa yang sudah berstatus bekas pekerja Tajul Holdings itu, dengan Tuan Fahreen Prasangka jahat, mulai berlegar-legar di minda Che Ros. Kemudiannya, dia tersenyum sinis.
Patutlah perempuan ni berhenti kerja dengan tiba-tiba. Rupa-rupanya, ada skandal dengan Tuan Fahreen. Entah-entah, sekarang dia sudah jadi perempuan simpanan pada bos aku. Huh, tak padan langsung. Budak hingusan macam tu yang jadi pilihan Tuan Fahreen Jika nak dibandingkan dengan aku, macam langit dengan bumi. Tak sedar diri. Umur baru setahun jagung, ada hati nak masuk dalam hidup Tuan Fahreen. Jenis perempuan materialistik!
Secara tak langsung, perkara itu membangkitkan semula kemarahan di hati Che Ros. Dia dapat merasakan bahawa dia bakal kehilangan lelaki pujaan hatinya itu, di tangan Alyssa. Tetapi Che Ros hairan. Bagaimanakah Tuan Fahreen boleh tertarik dengan Alyssa Pada pendapat Che Ros, Alyssa tidak mempunyai apa-apa kelebihan ataupun karisma sebagai seorang wanita yang boleh menyebabkan Tuan Fahreen jatuh hati kepadanya. Malahan, hati busuk Che Ros tidak menolak kemungkinan yang Alyssa telah membuat guna-guna kepada Tuan Fahreen.
Macam manalah Tuan Fahreen boleh terpikat dengan kenaifan budak Alyssa tu Betullah agaknya tekaan aku selama ini. Alyssa memang ada agenda tersendiri sejak mula bekerja di sini. Patutlah tempoh hari, dengan mudahnya dia dipromotekan ke jawatan eksekutif. Padahal, kelulusannya sekadar sijil SPM sahaja. Che Ros menggenggam tangannya, menahan geram.
Alyssa, jangan engkau fikir, engkau boleh rampas Tuan Fahreen dari aku. Aku akan bongkarkan segala rahsia engkau di hadapan orang ramai, supaya mereka semua tahu siapa engkau yang sebenarnya. Aku tak akan biarkan kau terbang bebas di samping Tuan Fahreen, tinggi di udara. Aku akan jadi lastik untuk jatuhkan kau ke tanah. Biar padan muka kau, bisik hati jahat Che Ros.
Kejahilan tentang jodoh dan pertemuan aturan Allah telah membutakan jiwa Che Ros. Semakin terserlah kehitaman hatinya dibaham rasa cemburu yang membuak-buak. Selama ini, sifat syok sendiri telah memakan dinding cintanya. Perasannya dia bila menyangkakan yang Tuan Fahreen punya hati yang seiring dengannya. Dari dahulu, Che Ros tidak pernah berhenti menyemai angan-angan yang satu, untuk memiliki Tuan Fahreen dan kemewahannya. Sedangkan dia tidak sedar, niat jahat sukar untuk dikabuli.
Petang itu, Alyssa dijemput pemandu Tuan Fahreen untuk pulang ke rumah. Alyssa begitu teruja dengan janji temunya bersama suaminya, malam nanti. Ke mana dia akan dibawa, terpulang sahaja kepada suaminya itu. Sebagai isteri, dia hanya akan menurut. Apa yang penting, dia tetap kekal di samping suaminya.
Kini, Alyssa sudah tidak peduli lagi. Biarlah satu dunia sekali pun tahu yang dia sudah bernikah dengan Tuan Fahreen, dia tidak ambil pusing lagi. Dia tidak malu jika orang mengetahui dia adalah isteri Tuan Fahreen. Biar wanita dari satu dunia mengecamnya kerana merampas lelaki pujaan ramai itu. Namun, dia akan tetap teguh berdiri selagi ada suaminya itu di sampingnya.
Puan, jemput minum jus amra ni. Mak Chom buat sendiri tau. Puan minumlah, supaya reda sikit kepanasan dalam badan tu. Hai, sejak akhir-akhir ni, cuaca panas terik sekali, kan pelawa Mak Chom sebaik sahaja Alyssa menjejakkan kakinya ke dalam mahligai tersebut.
Terima kasih Mak Chom, buat susah-susah saja. Lain kali, tak perlulah Mak Chom layan Lyssa macam permaisuri dalam rumah ni. Apa-apa yang Lyssa nak, Lyssa boleh ambil sendiri. Janganlah terlalu formal dengan Lyssa. Lyssa ni manusia biasa, seperti Mak Chom juga. Taraf Lyssa jauh berbeza jika hendak dibandingkan dengan Tuan Fahreen, pinta Alyssa pada Mak Chom.
Sebenarnya, Alyssa berasa cukup serba-salah dan tidak selesa dengan layanan istimewa yang diberikan oleh Mak Chom dan pembantu rumah yang lain kepadanya. Apa lagi kini, dia sudah mengetahui tentang sejarah hidup Mak Chom yang penuh dengan kesedihan. Mak Chom telah dianggap seperti keluarga di dalam rumah besar itu, semenjak arwah orang tua Tuan Fahreen masih lagi hidup.
Malahan, hubungan akrab Mak Chom dengan Puan Suhaila, arwah ibu mertuanya, menyebabkan dia berasa segan untuk berlebih-lebihan dalam menjamah layanan Mak Chom. Dia tidak betah jadi lebih sudu dari kuah. Alyssa merasakan dirinya langsung tidak setaraf dengan arwah ibu mertuanya itu. Bagi Alyssa, arwah Puan Suhaila merupakan seorang wanita yang terlalu istimewa di mata keluarga dan semua pembantunya, terutama sekali Mak Chom.
Mak Chom adalah teman yang paling rapat kepada arwah Puan Suhaila. Sekali gus, Mak Chom ibarat ibu kepada Tuan Fahreen. Sebagai isteri, Lyssa seharusnya menghormati dan menyayangi Mak Chom. Boleh tak Mak Chom terima Lyssa sebagai anak menantu Mak Chom
Mak Chom mengelus halus tangan gebu Alyssa lalu menyisir rambutnya yang mengurai itu ke tepi cuping telinganya. Senyuman yang penuh dengan kekedutan kerana dimamah usia mula terukir di pipinya. Senang sekali penglihatannya memandang kemurnian wajah Alyssa.
Hati kamu memang baik, nak. Selama ini, Mak Chom sentiasa bimbang dengan perempuan yang bakal menjadi isteri Tuan Fahreen. Mak Chom gusar sekiranya mereka mahukan Tuan Fahreen semata-mata kerana harta. Tuan Fahreen terlalu baik dan Mak Chom tidak sanggup melihat dia dikecewakan.
Bicara Mak Chom terhenti seketika. Ada nada-nada gelisah untuknya meneruskan kata-katanya. Namun, Alyssa terus mendiamkan diri. Dia berminat untuk mendengar apa yang bakal diperkatakan oleh Mak Chom nanti. Alyysa mahu Mak Chom mengungkap isi hatinya. Dari situ, dia boleh membaca harapan Mak Chom tentang perkahwinan baru yang sedang ditempuhi oleh Alyssa dan suaminya itu. Tangan wanita tua itu, semakin erat digenggamnya, sebagai satu isyarat untuk Mak Chom meneruskan luahan hatinya.
Mula-mula tu, Mak Chom sedih juga apabila Tuan Fahreen terpaksa menikahi Alyssa dalam keadaan yang tidak sewajarnya. Tetapi, Mak Chom percaya, pastinya ada hikmah di sebalik itu. Segala apa yang dilakukan oleh Tuan Fahreen punya maksud yang tersendiri, sebab dia orang yang berfikiran tinggi. Dan sekarang, inilah hikmahnya. Puan Alyssa bukan sahaja cantik, tetapi berbudi bahasa dan pandai menjaga hati orang tua. Maknanya, tak salah pilihan Tuan Fahreen itu. Betapa bertuahnya dia sebab memiliki Puan Alyssa sebagai isteri, puji Mak Chom tanpa ragu-ragu.
Sekali lagi, Alyssa berasa kurang selesa dengan pujian Mak Chom. Namun, dia menggunakan kesempatan itu untuk mencium pipi kedut Mak Chom tanpa sedikit pun perasaan malu. Perasaannya merasakan seolah-olah sedang mencium pipi ibu kandungnya. Sesungguhnya, jiwanya bertukar bahagia bila mendekatkan perhatiannya pada orang tua seperti Mak Chom.
Alyssa bukan malaikat, Mak Chom. Lyssa punya terlalu banyak kekurangan. Kelebihan Lyssa hanyalah kerana mempunyai Tuan Fahreen sebagai suami. Dan mengenali Mak Chom yang baik hati ini, adalah suatu bonus dalam hidup Lyssa. Yalah, Lyssa tiada ibu mertua. Jadi, hanya pada Mak Chomlah, Lyssa menumpang kasih ibu mertua.
Syukur Alhamdulillah, bisik hati Mak Chom. Selama ini, Allah telah mendengar doanya. Sepanjang hidup Mak Chom, doanya cuma satu, semoga Tuan Fahreen dikurniakan kesejahteraan hidup dunia dan akhirat. Mungkin Tuan Fahreen sudah tidak punya ibu lagi untuk mendoakannya, dan Mak Chom pengganti ibu sejati yang membekalkan Tuan Fahreen dengan doa yang mustajab.
Mak Chom ada letakkan satu dress atas katil Lyssa. Tuan Fahreen kepingin sangat nak tengok Lyssa pakai baju itu untuk majlis malam ni. Dia telefon Mak Chom tadi, minta sediakan baju tersebut. Pergilah bersiap, takut lambat pula, ujar Mak Chom mengingatkan pesanan majikannya itu.
Alyssa mengerut dahi dan merenung wajah Mak Chom yang tidak habis-habis lagi dengan senyumnya.
Majlis Majlis apa Mak Chom Lyssa tak tahu pula yang kami akan hadiri suatu majlis malam ni. Setahu Lyssa, Tuan Fahreen hanya nak ajak Lyssa untuk pergi makan malam di luar saja. Alyssa kehairanan.
Mak Chom sendiri tidak tahu tentang hal tersebut. Apa yang dia tahu, Tuan Fahreen menyuruh dia menyediakan pakaian seperti yang dikehendakinya, untuk dipakai oleh Alyssa. Katanya, nak bawa isteri tercintanya itu ke suatu majlis makan malam. Tetapi, tidaklah pula dinyatakan majlis tersebut di mana ataupun untuk apa. Orang tua itu sendiri menggaru-garu kepalanya, sebagai tanda tiada jawapan yang sejajar untuk kemusykilan Alyssa itu.
Lyssa pakai sajalah baju tu. Mungkin juga, ada suatu kejutan untuk Lyssalah tu. Entah-entah, dia nak bawa Lyssa ke suatu tempat yang terlalu istimewa. Kalau Lyssa nak tahu, kena tunggu malam nantilah. Biasalah Tuan Fahreen. Dia memang suka buat kejutan.
Tuan Fahreen merupakan seorang yang kuat berahsia. Sesiapapun pasti akan sukar menduga apa yang sedang atau bakal dilakukannya. Malahan, sebelum ini pun, Alyssa sering berteka-teki akan segala tindak-tanduk suaminya sehingga sanggup memperisterikannya. Alyssa tidak pernah mengetahui yang dia adalah sepupu angkat kepada suaminya yang menyimpan satu amanah untuk dipikul dan diserahkan kepadanya.
Namun, ciri-ciri tersebut tersembunyi kelebihannya yang tersendiri. Kerana sifat Tuan Fahreen yang sukar dijangka itulah, yang menyebabkan orang luar terutamanya musuh-musuh perniagaannya sukar meramal strateginya. Ternyata sekali, sikap itu telah berjaya memartabatkan perniagaanya dalam dunia koporat yang serba moden ini.
Lantas, Alyssa mengambil keputusan untuk membiarkan sahaja suaminya melakukan apa-apa sahaja kejutan terhadapnya. Apa yang penting, kehendak dan hajat Tuan Fahreen harus diturutinya, bagi menjaga tatasusila sebagai seorang isteri. Suatu tanggungjawab yang pernah diabaikannya, suatu ketika dahulu. Tapi kini, tidak lagi. Dia berazam untuk menebus dosa silamnya pada Tuan Fahreen.
Apabila Alyssa membuka pintu kamarnya, dia terlihat gaun merah yang dimaksudkan oleh Mak Chom tadi, sudah terletak rapi di atas katilnya. Memang gaun itu terlalu cantik. Berwarna merah hati, bertatahkan kemilau batu-batu indah di dadanya dan diselitkan reben hitam di sis pinggangnya. Alyssa pernah terlihat gaun tersebut tergantung di dalam almari, ketika dia mencuri masuk ke bilik Tuan Fahreen tempoh hari. Ternyata sekali, gaun tersebut dicipta khas untuk Alyssa dan Tuan Fahreen memang benar-benar berhajat untuk melihat dia memakainya.
Kalau ini yang suamiku impikan, akanku penuhi. Aku percaya, dia telah menciptakan gaun ini menggunakan gerak hati dan citarasanya sebagai seorang suami. Aku harus mempersembahkan gaun ini untuk tatapan mata hatinya. Aku terlalu ingin sekali kelihatan hebat dalam ciptaannya ini. Terima kasih sayang, gaun ini cukup indah sekali dan aku sendiri sudah mulai mengaguminya semenjak pertama kali terpandang padanya, ujar Alyssa sendirian.
Tuan Fahreen tiba agak lewat senja. Dia sedikit kelam-kabut untuk menyiapkan dirinya sendiri, untuk ke majlis makan malam yang telah direncanakan. Dia tidak terus menjengah Alyssa. Cukuplah sekadar dia mengetahui dari Mak Chom, bahawa isterinya itu telah lama pulang ke rumah. Yang pastinya, biarlah Alyssa mengambil masanya sendiri untuk mempersiapkan dirinya. Tuan Fahreen tidak mahu kehadirannya di bilik Alyssa nanti, menjadikan wanita itu kekok dan malu.
Tepat jam lapan malam, Tuan Fahreen sudah pun siap dan menunggu Alyssa di ruang tamu. Bagaikan ribut juga, Tuan Fahreen bersiap memandangkan majlis akan dimulakan pada jam lapan setengah malam. Walaupun, dia adalah tuan besar Tajul Holdings dan penganjur majlis makan malam tersebut, dia tidak mahu lewat. Kepantangannya, Tuan Fahreen tidak suka orang menunggu dia. Tidak enak rasa hatinya, sedangkan dia sendiri tidak sanggup berkompromi dengan kelewatan waktu. Mujur jugalah, jarak rumahnya ke hotel tempat majlis itu dianjurkan, hanya lebih kurang lima belas minit perjalanan sahaja.
Amboi, kacaknya Tuan, tegur Mak Chom.
Ye ke Terima kasih, Mak Chom, ujar Tuan Fahreen yang agak kesipuan bila melihat Mak Chom merenungnya seolah-olah putera raja yang sedang berdiri di hadapan rakyatnya.
Oh ya, Alyssa dah siapkah, Mak Chom Kami dah lambat ni.
Dah hampir siaplah tu. Orang perempuan, biasalah.
Tak sampai sesaat selepas itu, Alyssa muncul di hadapan suaminya, siap berpakaian cantik dan bersolek rapi. Pada ketika dan saat itu, Tuan Fahreen dan Mak Chom terlopo melihat wanita cantik itu berdiri tegak di hadapan mereka. Seakan satu transformasi berlaku pada Alyssa sehingga menyerlahkan keayuan di sebalik wajahnya itu.
Ya Allah, bagaikan bidadari isteriku ini, detik hati Tuan Fahreen.
Keayuan luar biasa Alyssa malam itu, menjadi santapan mata yang paling enak sekali. Memanglah kebiasaannya, Alyssa sentiasa cantik di matanya. Tetapi malam itu, dia kelihatan lebih cantik lagi. Gaun berwarna merah hati itu menjadi semakin indah sekali setelah disarungkan ke tubuh Alyssa yang putih gebu. Kejelitaan asli Alyssa yang tersembunyi di sebalik penampilan sederhananya sebelum ini, terus tersingkap nyata. Rambutnya yang mengurai ke bahu, disisirnya rapi lalu diikat ke tepi, lebih menampakkan gaya urban yang elegan. Wajahnya tampak asli dalam solekan tipis, tetapi menyerlah.
Abang!
Panggilan Alyssa itu telah menyentakkan Tuan Fahreen yang terlena seketika dibuai kecantikan isterinya itu. Kalau tidak kerana Mak Chom berada di situ, mahu sahaja dia menerkam dan memeluk isterinya dengan seerat-eratnya untuk mengekspresi kekagumannya terhadap Alyssa. Tuan Fahreen mahu Alyssa tahu yang dia teramat menghargai wanita yang sedang membelai jiwanya itu.
Abang, Lyssa dan siap ni. Boleh tak beritahu Lyssa, kita nak ke mana sebenarnya ni
Tuan Fahreen berdehem lalu menjawab, Surprise! Sayang hanya akan tahu apabila kita tiba di sana nanti.
Alyssa mencebik manja. Kejutan apalah yang mahu dilakukan oleh suami tercintanya itu. Kalau setakat makan malam berdua, rasanya sudah biasa. Barangkali, tempat malam ni berbeza. Siapa tahu.
Tanpa membuang masa, Tuan Fahreen mencapai tangan halus Alyssa, lalu dipimpin untuk dibawa pergi. Mereka kelihatan umpama raja dan permaisuri yang sedang berangkat pergi dengan menaiki sebuah kereta kuda putih yang cukup indah sekali. Malam itu, Alyssa merasakan dirinya umpama gadis di dalam cerita dongeng Cinderella, yang akhirnya dibawa pergi oleh sang putera raja, setelah bertahun-tahun lamanya hidup menderita. Alyssa adalah Cinderella versi Melayu moden, yang mencapai cinta sejati lalu hidup bahagia di samping suaminya.
Mudah-mudahan, ini berkekalan hingga ke syurga, detik hatinya yang sentiasa menjeling suami yang begitu bangga berada di sisinya.
Sementara itu, di Hotel Selesa International, tempat majlis makan malam tersebut diadakan, telah mula dipenuhi dengan jemputan. Ramai telah tiba di situ, termasuklah kakitangan Tajul Holdings, teman-teman dan rakan seperniagaan Tuan Fahreen. Walaupun mereka berasa terkejut kerana menerima jemputan yang datang dengan tiba-tiba itu, namun, ramai juga yang hadir. Ada juga dalam kalangan mereka yang terpaksa membatalkan urusan-urusan lain, demi Tuan Fahreen, walaupun mereka dijemput pada saat-saat akhir.
Dalam kalangan kakitangan Tajul Holdings sendiri turut tertanya-tanya, mengapakah majlis tersebut diadakan tanpa diberi notis panjang. Itu bukanlah menjadi kelaziman bagi pihak syarikat. Sebelum ini, setiap agenda yang dirancangkan akan memakan masa juga. Tetapi kali ini mereka percaya, pastinya ada sesuatu yang istimewa yang bakal diumumkan oleh majikan mereka itu. Apa-apa pun, mereka harus menunggu dengan sabar.
Engkau rasa-rasalah, apa sebenarnya yang ingin disampaikan oleh bos kita tu. Tak fasal-fasal kita semua diundang untuk makan free malam ni, tanya Arul, seperti biasa sebagai peon yang menyibuk.
Entahlah. Tapi, mungkin tak ada kena-mengena dengan kita kut sebab kawan-kawan dan rakan niaga bos kita, turut diundang sama. Mungkin, Tuan Fahreen nak buat pengumuman rasmi. Jangan-jangan, dia nak kahwin, jawab Atikah, rakan celoteh Arul.
Alamak, kalaulah betul bagai dikata, adalah yang patah hati nanti, sampuk Arfah pula, sambil menjeling kepada Che Ros yang sedang memasang telinga.
Che Ros mengerling tajam. Terasa dirinya seperti menjadi bualan dan ejekan teman-teman yang tidak pernah sebulu dengannya.
Bukan setakat patah hati saja Kak Arfah, mahu terjun bangunan nanti, sambung Arul, tambah menyakitkan hati Che Ros mendengarnya.
Che Ros rasa tersindir dan terhina. Walaupun hakikatnya, memang benar, dia pastinya akan patah hati dan kecewa sekali, andainya pengumuman Tuan Fahreen nanti bakal mengiyakan telahan rakan-rakannya. Lalu, dia teringat akan pakej percutian ke Belanda yang ditempahnya untuk Tuan Fahreen dan Alyssa, siang tadi. Hatinya berasa sangsi, tetapi fikirannya cuba untuk menafikan sekeras-kerasnya hubungan mereka berdua.
Mana mungkin orang seperti Tuan Fahreen boleh jatuh hati dengan perempuan seperti Alyssa. Mesti Alyssa yang menggoda Tuan Fahreen untuk mencari pendapatan sampingan, telahnya di dalam hati.
Agak-agaknya kan, Kak Arfah. Perempuan yang macam mana jadi pilihan Tuan Fahreen ya soal Arul.
Engkau jangan nak pandai-pandai buat spekulasi sendirilah, Arul. Kita pun tak tahu, untuk tujuan apakah bos kita tu adakan majlis ini, jawab Arfah sambil tangannya diangkat seolah-olah mahu mengetuk kepala Arul kerana soalan bengapnya itu.
Terkadangnya, kenaifan Arul mengutarakan persoalan dan pendapatnya, menimbulkan rasa geli hati di kalangan teman-temannya. Tetapi kebanyakannya, menyakitkan hati sahaja. Kalau tak dilayan, kasihan. Kalau dilayan pula, sama-sama dikira bangang sepertinya juga.
Entah Arul ni, memandai-mandai saja. Tapi, saya rasalah, majlis ni sebagai penghargaan terhadap kejayaan syarikat mendapatkan projek gaharu di Pahang tu. Tak pun, pasal kilang kita yang di Kelantan tu. Saya dengar cerita, productionnya pun dah bertambah tiga kali ganda, sampuk Atikah.
Alhamdulillah. Nampaknya, bertambah-tambahlah rezeki syarikat kita ni. Mesti bonus pun berganda-ganda jugak, kan tambah Arul lagi.
Engkau ni Arul, tak ada lain. Asyik fikir fasal duit, duit, duit saja. Kerja tak seberapa, gaji nak naik lebih, bonus pula nak banyak, celah Arfah pula.
Kali ini, Arul tidak berani menjawab kata-kata Arfah. Bimbang ditempelak lagi oleh wanita berusia itu. Arfah yang sudah lama bekerja di syarikat itu pun, tidak pernah mempersoalkan isu wang gaji dan bonus yang diterimanya. Dia bersyukur kerana selama bekerja, dia telah dilayan dengan baik oleh syarikat. Mungkin ada beberapa perkara yang mengguris perasaannya, namun dibiarkan berlalu begitu sahaja bila mengenangkan segalanya itu merupakan resam bekerja dengan orang.
Berbeza pula dengan Che Ros. Dia merasakan dirinya punya kuasa besar di syarikat itu. Mentang-mentanglah dia pembantu peribadi kepada pemegang saham terbesar syarikat itu, jadi dia merasakan dirinya sudah cukup gah, seperti kaduk naik junjung. Apa yang orang lain buat, semuanya salah di matanya. Hanya dia sahaja yang hebat dan sempurna. Padahal, Tuan Fahreen sendiri sudah muak dengan perangainya itu. Jika diberi pilihan, sudah lama Tuan Fahreen memecatnya atau menukarkannya ke bahagian lain. Namun, Tuan Fahreen masih punya perasaan belas padanya. Itu pun, dia masih tak sedar diuntung lagi.
Assalamualaikum!
Waalaikumsalam sahut Arul, Atikah dan Arfah, serentak.
Eh, Alyssa!
Kehadiran dan senyuman Alyssa yang tidak disangka-sangka itu, melenyapkan seketika segala gossip-gossip kosong yang sedang dibincangkan oleh tiga rakan sepejabat itu. Malahan, mereka tergamam melihat versi baru Alyssa yang sudah lama tidak ditemui. Alyssa kelihatan jauh berbeza dari penampilannya sebelum ini. Kalau sebelum ini, Alyssa agak naif dalam berfesyen dan lebih gemar mengenakan pakaian ringkas, sejiwa dengan usianya, kini dia sudah memasuki satu dunia penggayaan yang menampakkannya semakin dewasa. Tiga rakan itu percaya, penghijrahan Alyssa ke tempat kerja baru telah mengubah penampilannya supaya tampak lebih elegan.
Wah, cantiknya kau sekarang, Alyssa. Aku ingatkan tadi, bidadari baru turun dari kayangan, puji Arul yang cukup pantang sekali melihat perempuan berdahi licin.
Kamu jangan layan sangat budak Arul ni, Lyssa. Semuanya cantik di mata dia. Monyet pakai gaun pun cantik juga kalau Arul yang melihatnya, tempelak Arfah, dan serentak itu mereka semua tertawa dengan kata-kata lucu itu.
Tapi Alyssa, you really look different now. Akak hampir tak percaya yang berdiri di hadapan akak sekarang adalah Alyssa yang pernah berkerja satu department dengan akak dulu, sambung Arfah lagi.
Mana tak cantik, Kak Arfah. Hidup dengan subsidi. Tanyalah dia, berapa punya besar buaya emas yang dah masuk dalam perangkap dia, sampuk Che Ros yang muncul entah dari mana.
Semuanya tidak mengerti apa yang cuba disampaikan oleh perempuan kecoh itu. Walaupun mereka meluat dengan sikap Che Ros, namun mereka kepingin juga mahu tahu. Apa yang membuatkan Che Ros membuat telahan yang seolah-olahnya ditujukan kepada Alyssa itu. Mungkinkah Che Ros tahu sesuatu, ataupun dia sedang cuba mencipta suatu cerita
Che Ros, tak baik bercakap ikut sedap mulut saja. Siapa yang dapat subsidi Jangan tuduh orang yang bukan-bukan, takut jadi fitnah. Tak fasal-fasal dapat subsidi dosa, tegur Arfah, selamba.
Saya bercakap berlandaskan fakta dan bukti-bukti yang ada. Tengok sajalah pakaian yang Cik Alyssa kita ni pakai. Sebulan gaji kita pun, belum tentu dapat beli gaun ni, Kak Arfah. Eksklusif tu.
Nampak benar ketidak-puasan di hati Che Ros yang jelas terpancar di wajahnya. Seperti ada suatu rahsia yang menyebabkan dia begitu marahkan Alyssa. Apa lagi yang dia tidak puas hati Alyssa bukan lagi bekerja di Tajul Holdings. Terpulang pada dialah.
Habis tu, kenapa Che Ros Biarlah Alyssa nak pakai apa pun. Bukannya dia minta duit dari Che Ros. Ada dia kisah sampuk Arul pula.
Alyssa hanya tersenyum sahaja melihat mereka semua bertegang leher kerananya. Walau bagaimanapun, dia tidak mahu bekas rakan-rakan sekerjanya yang lain memandang serong kepadanya. Lagi pun, dia sendiri tidak tahu menahu apa tujuan Tuan Fahreen membawanya ke situ. Kalau setakat Che Ros yang bersuara, diabaikannya saja. Bukannya Alyssa tidak biasa dengan onar dan berita palsu yang sering Che Ros bawa tentangnya dan kawan-kawan sepejabatnya. Masak benar dia dengan orang seperti Che Ros itu.
Hoi bedigol, memanglah dia tak minta duit dari aku ataupun kau semua, sebab kita semua ni sengkek. Apa yang kita ada Lainlah, kalau orang terkenal dan kaya macam Tuan Fahreen tu. Jangan katakan tanah, matahari pun dia boleh beli, tahu tak, bentak Che Ros.
Che Ros, mana boleh beli matahari. Matahari tu Tuhan punya. Kalau jadi orang terkaya di dunia sekali pun, tak mungkin boleh beli mataharilah. Che Ros ada belajar geografi tak ujar Arul, tolol.
Kenapa engkau ni bengap sangat, hah Apalah malang aku dapat office boy bodoh macam engkau ni, sungut Che Ros.
Namun, belum pun sempat Che Ros berceloteh panjang, kedengaran suara Tuan Fahreen di pembesar suara yang memecahkan kebisingan di situ. Lantas, semua terdiam dan cuba memberikan penumpuan sepenuhnya kepada Tuan Fahreen. Seperti biasa, semua wanita yang berada di situ, memandang Tuan Fahreen dengan satu perasaan kagum pada lelaki yang layak digelar sebagai lelaki eksklusif itu. Dalam apa jua penampilan, Tuan Fahreen akan sentiasa kelihatan tampan, bergaya dan berkarisma.
Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih saya kepada semua yang sudi hadir pada malam ini. Saya minta maaf kerana mengadakan majlis makan malam ini secara tergempar. Ada pengumuman penting yang ingin saya sampaikan kepada semua yang berada di sini.
Semua terlopo. Masing-masing cuba menelah sendiri, apa yang sedang bermain di fikiran Tuan Fahreen sehingga ke maksud yang mahu diterjemahkannya sebentar nanti. Namun, lebih penting lagi untuk mereka mendengar keterbukaan yang bakal disingkap lelaki tersebut. Adakah ianya bakal melibatkan mereka semua, ataupun hanya tentang dirinya sendiri. Wallahualam, setakat ini, masih kekal rahsia.
Di sini, ingin saya war-warkan satu rahsia yang telah saya simpan agak lama, berhubung kait dengan status saya. Selama ini, hanya orang-orang tertentu yang dekat dengan saya, especially Encik Kamal, yang tahu tentang perkara ini. As a lawyer and a friend of mine, I should thank Encik Kamal for not being a broadband spreading this news.
Jenaka Tuan Fahreen itu telah membuatkan sahabatnya Kamal, tersenyum mengenangkan rahsia tersebut dan membuatkan yang lain-lainnya tertawa terbahak-bahak.
Setelah memberi laluan untuk orang ramai tertawa seketika, Tuan Fahreen menyambung kembali ucapannya, Dengan ini, saya ingin mengumumkan bahawa saya sudah pun berstatus suami hampir dua tahun lalu. Saya telah bernikah secara rasminya dengan gadis pilihan saya.
Seperti diduga, hampir keseluruhan penghuni majlis itu terkejut dengan pernyataan Tuan Fahreen itu. Pada mulanya, mereka menyangkakan yang Tuan Fahreen sengaja berseloka. Namun, wajahnya jelas menunjukkan yang dia tidak berjenaka.
Kalau betul you dah kahwin, why dont you introduce her to us Dont make such a silly joke, Tuan Fahreen, ujar Mr. Yong, salah seorang rakan niaga yang juga sudah menjadi pembekal bersama projek di Kelantan. Namun, mulut celuparnya kurang digemari Tuan Fahreen dan beberapa rakan niaga yang lain.
Baiklah, biar saya perkenalkan isteri saya. Come sayang.
Tuan Fahreen mengarahkan Alyssa datang ke hadapan, di tempat dia membuat pengumuman itu. Pada mulanya, semua tercari-cari kelibat wanita istimewa yang dimaksudkan oleh Tuan Fahreen itu. Tatkala orang ramai sedang bersoal sesama sendiri, Alyssa pula berasa agak serba-salah. Namun, pandangan Tuan Fahreen kepadanya, seolah-olah satu arahan yang memintanya tampil segera di sisi suaminya itu. Sedikit demi sedikit, Alyssa keluar menampilkan dirinya.
Ramai yang berada di situ terpegun melihat kejelitaan Alyssa. Dia tampak sederhana tetapi begitu menarik sekali. Semuanya terlopong melihat Alyssa, terutama sekali pekerja-pekerja Tajul Holdings dan Che Ros. Che Ros tidak menyangka sama sekali bahawa perempuan yang sering dikutuk dan disindirnya sebelum ini, merupakan isteri kepada Tuan Fahreen.
I would like to introduce all of you to my lovely wife, Nurul Alyssa binti Sulaiman Bakhtiar, ujar Tuan Fahreen dengan bangganya.
Semua hadirin di situ bersorak dan bertepuk tangan. Tidak terduga oleh mereka bahawa seorang taikun muda dunia korporat, sudah pun menemui jodohnya hampir dua tahun yang lalu, tanpa sebarang publisiti atau kontroversi. Tidak tahu pula, bila Tuan Fahreen mencari jodoh. Tup tup, sudah pun beristeri.
Hebat sungguh anak muda yang berjaya itu menyembunyikan rahsia perkahwinannya, sehinggakan tiada siapa yang boleh menghidunya. Pastinya selepas ini, berita itu akan tersebar dengan meluasnya terutama sekali apabila pihak media sudah dimaklumkan tentang hal ini.
Namun, ramai yang sudah lama sedar akan hakikat ini. Tuan Fahreen, walaupun kaya dan ternama, kurang gemarkan publisiti yang melampau. Dia lebih suka bersederhana dalam setiap aspek kehidupan, termasuk dalam soal jodohnya. Dia tidak berminat untuk mewartakan pernikahannya seperti mana yang sering dilakukan oleh ahli-ahli korporat dan artis-artis terkenal. Apa yang penting baginya ialah keserasian dan perasaan kasih sayang yang tidak berbelah bagi. Biarlah orang mengenalinya sebagai seorang tokoh korporat sahaja, bukannya dengan cerita-cerita sensasi dan kontroversi.
Selepas Tuan Fahreen selesai membuat pengumuman, Si Bising Mr. Yong telah menjadi orang pertama yang bangkit dari kerusinya, lalu mendekati Tuan Fahreen dan Alyssa untuk menyampaikan ucapan tahniahnya. Diikuti oleh hadirin lain. Seorang demi seorang menghulurkan tangan mereka kepada pasangan suami isteri itu, untuk menyampaikan ucapan masing-masing. Begitu juga dengan para pekerja Tajul Holdings. Mereka tidak melepaskan peluang untuk melakukan perkara yang sama kepada majikan dan bekas rakan sekerja mereka itu.
Namun, berbeza dengan Che Ros. Dia langsung tidak mendekati pasangan tersebut, seperti mana yang dilakukan oleh teman-temannya. Perasaan kecewa dan cemburu, bersilih ganti mengisi kotak hatinya. Kini, lelaki idamannya sudah menjadi milik perempuan lain lagi naif seperti Alyssa.
Che Ros merasakan yang dia punya lebih banyak kelebihan berbanding Alyssa. Alyssa, seperti ayam kampung masuk ke bandar. Namun, Che Ros tidak tahu, bahawa kenaifan Alyssa itulah kunci kesederhanaan yang menjadi kriteria Tuan Fahreen dalam memilih calon isteri.
Hai Che Ros, tak teringinkah nak bangkit dan pergi berjumpa dengan Tuan Fahreeen dan Alyssa untuk mengucapkan tahniah pada mereka. Tuan Fahreen tu kan bos pujaan hati Che Ros, sindir Arfah, sekembalinya ke meja.
Yalah, Che Ros. Semua orang berpusu-pusu beratur untuk bersalaman dengan pengantin kita tu. Sedangkan Che Ros, duduk membatu di sini. Tak baik macam tu. Pergilah bersalaman dengan mereka, ambil berkat. Manalah tahu lepas ni, giliran Che Ros pula melekat jodoh, perli Arul, menambahkan sakit hati Che Ros.
Bagai api disimbah minyak, menggelegak sahaja hati Che Ros menerima sindiran pedas rakan-rakannya itu. Tunggu masa sahaja untuk meledak dan menyemarakkan bahangnya. Sudahlah hatinya sakit dengan kejutan berita itu. Sekarang, dia terpaksa menanggung aib akibat terlalu gilakan majikannya sendiri. Che Ros sedar, selepas ini dia akan terus menjadi bahan sindiran dan kutukan rakan-rakan sepejabatnya. Akibat dari keterujaan yang berlebihan pada perasaan cintakan Tuan Fahreen.
Kak Arfah, Arul, tak baik cakap macam tu. Che Ros kita ni tengah patah hati sebab lelaki idaman Malaya tu dah terlepas ke tangan orang lain. Jadi suami Alyssa pula tu. Memanglah dia kecewa sangat. Jangan bimbang Che Ros. Kuota Tuan Fahreen ada tiga kekosongan lagi. Bolehlah apply. Manalah tahu, kalau bernasib baik, tersangkut juga akhirnya, giat Atikah pula.
Ala Che Ros, ramai lagi lelaki Melayu terakhir yang ada dalam dunia ni, sedia untuk dimiliki oleh Che Ros bila-bila masa sahaja. Paling tidak pun, saya kan ada. Solo and available lagi. Saya pun hero idaman Malaya macam Tuan Fahreen juga, sampuk Arul lagi.
Bernanah lagi telinga Che Ros mendengarkan sindiran tiga sahabat itu. Perangai mereka bertiga, tak ubah seperti watak tiga sahabat dalam siri lama televisyen berjudul Three Stooges, yang suka membuat lawak yang menyakitkan hati bercampur celupar. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja diterajangnya ketiga-tiga mereka itu, supaya jatuh tersembam menyembah bumi. Biar mereka tahu yang dunia mereka terletak hanya di bawah tapak kasut Che Ros.
Bercakap biar berlapik. Jangan ikut sedap mulut saja. Walaupun lidah tu tak bertulang, tapi jangan nak kurang ajar dengan saya. Ingat sikit, siapa diri kamu tu. Hormat sikit bila bercakap dengan saya, bentak Che Ros dengan angkuhnya.
Wahai Che Ros, awak tu hanyalah pembantu peribadi Tuan Fahreen. Bukannya isteri dia pun. Lainlah Alyssa, dia isteri Tuan Fahreen. Kami rasa, dia lebih layak dihormati berbanding awak, bantah Arul pula.
Bertambah benganglah Che Ros. Apa lagi, bila Arul membandingkan dirinya dengan Alyssa. Walaupun jelas lagi bersuluh, Alyssa telah menjadi isteri Tuan Fahreen, namun, Che Ros tetap beranggapan yang dirinya adalah lebih baik dari Alyssa. Keperibadiannya lebih sempurna dari Alyssa.
Arul, engkau ni memang pandai menyakitkan hati saja, kan Sedarlah diri tu sikit. Muka tak handsome, hidung tak mancung, pipi pula tersorong-sorong. Jangan katakan perempuan macam aku, Indon cuci toilet pun tak sudi dengan engkau. Dasar lelaki jahanam!
Amboi, amboi, amboi, perempuan ni! Bercakap macam orang buta perasaan saja. Sekurang-kurangnya, ada juga perempuan syok dekat aku. Engkau ada Lelaki angkat sampah pun, takut nak tackle perempuan yang ada taste tinggi macam kau ni. Sedar-sedarlah diri tu sikit. Dasar andalusia! Satu sen pun tak laku, cabar Arul yang mula menampakkan perasaan marahnya pada Che Ros itu.
Celaka kau, Arul. Kau...
Sudah! Cukuplah tu. Tak malukah, orang lain tengok. Jangan cuba nak rosakkan majlis oranglah. Hari ini adalah hari bahagia Tuan Fahreen dan isterinya. Sebagai staff Tajul Holdings, kita sepatutnya meraikan mereka bersama, bukannya bertekak begini, potong Arfah.
Arfah berasa kurang senang bila mendengar peperangan mulut yang sedang terjadi antara Che Ros dan Arul. Dia bimbang, kelancaran majlis yang sedang berjalan malam itu, bakal diganggu-gugat oleh dua orang manusia yang tidak mahu beralah antara satu sama lain itu. Sebelum gunung berapi meledak menampakkan laharnya, lebih baik dia bertindak mengambus kembali api kemarahan yang sedang memenuhi jiwa kedua-dua mereka.
Selepas itu, Che Ros pun terus berlalu pergi dari situ. Dia sudah tidak tahan menanggung pandangan manusia sekeliling, terutama para pekerja Tajul Holding yang seakan menyindirnya. Boleh dikatakan hampir kesemua pekerja di situ tahu yang Che Ros ada memendam perasaan terhadap bos mereka. Cara Che Ros bercakap dan berlagak dengan mereka, memberikan gambaran seolah-olah Tuan Fahreen juga turut sehati dengannya. Namun, setelah itu terjadi, dia yang malu sendiri.
Malam itu, tiada siapa perasan. Che Ros telah hilang lebih awal dari masa majlis itu berakhir. Ada juga yang mencarinya, tetapi ramai yang tidak memperdulikannya. Biarlah Che Ros pergi dari majlis itu dengan membawa hatinya yang luka lara.
Lyssa tak sangka yang abang akan bikin kejutan sebegini sekali.
Alyssa bersuara dari belakang suaminya yang ketika itu, sedang menghadap kolam mandi yang berlatar belakangkan pepohon hijau yang indah. Alyssa langsung tidak menyangka yang Tuan Fahreen akan memperkenalkannya sebagai isteri di hadapan semua
Kenalan, rakan niaga dan pekerja Tajul Holdings. Walaupun agak terkejut dan tidak bersedia dengan majlis tersebut, namun Alyssa berasa bahagia sekali menerima kalungan ucapan tahniah dari semua, terutama sekali dari rakan-rakan yang pernah menjadi rakan sekerjanya.
Tidak dinafikan, ada juga dalam kalangan mereka yang berasa cuak dengan pernikahan yang lama menjadi rahsia itu. Walau bagaimanapun, semuanya berlalu bagai air yang mengalir terus ke muara. Tuan Fahreen begitu bijak menangani pelbagai soalan cepumas daripada mereka. Begitu juga dengan soalan yang dikemukakan oleh wakil pihak media. Segalanya dijawab oleh Tuan Fahreen dengan begitu yakin sekali. Alyssa sendiri tidak berani memberi komen apa-apa. Hanya menyerahkan segala persoalan yang dikemukakan kepada Tuan Fahreen untuk dijawab.
Mengapa abang tak beritahu Lyssa yang majlis makan malam hari ini adalah untuk mengumumkan perhubungan kita tanya Alyssa lagi.
Kenapa Sayang tak sukakah Sayang takut orang tahu yang sayang ni sudah bersuami tanya Tuan Fahreen, menjawab soalan dengan soalan pula.
Bukan macam tu. At least inform me first. Bolehlah Lyssa bersedia. Tidaklah Lyssa termangu-manggu bila macam-macam soalan yang muncul dari mereka tadi.
Tuan Fahreen tersenyum manis memandang isterinya. Dia sedar, kejutan hari ini sedikit sebanyak menimbulkan keresahan Alyssa. Bukan mudah untuk menangani sifat ingin tahu dari hadirin yang datang tadi. Tambahan pula, kedudukan Tuan Fahreen yang gah menjadikan kisah hidupnya antara yang ditunggu-tunggu oleh manusia sekelilingnya. Tambahan pula, Tuan Fahreen sering mendapat jolokan bachelor idaman sebelum ini.
I dont need you to answer. Just hand it over me, sayang. Apa yang penting, abang mahu semua orang tahu yang sayang adalah milik abang, dan tiada siapa yang boleh merampas sayang dari abang. Sayang mengerti, kan ujar Tuan Fahreen sambil mencuit dagu Alyssa.
Alyssa tidak mampu berkata apa-apa lagi. Dia sedar, niat suaminya baik. Itu menandakan yang Tuan Fahreen ikhlas memperisterikannya. Namun sebenarnya, jiwa Alyssa lebih dalam lagi. Dia berasa amat bertuah kerana bersuamikan Tuan Fahreen yang begitu digilai ramai wanita. Alyssa dapat melihat banyak juga mata-mata yang kecewa dengan pengumuman tadi. Lebih-lebih lagi, Che Ros. Malahan, Alyssa juga tidak melihat kelibat Che Ros sepanjang majlis itu berjalan selepas pengumuman dibuat.
Namun, Tuan Fahreen langsung tidak mempersoalkan kehilangan Che Ros. Walhal perempuan itu adalah pembantu peribadinya. Barangkali, dia sendiri mengerti akan kekecewaan yang dirasakan oleh wanita yang begitu menggilainya itu. Sesungguhnya, Tuan Fahreen sudah lama dapat merasakan perasaan cinta yang wujud dalam jiwa Che Ros terhadap dirinya. Tetapi, dia lebih suka mendiamkan diri kerana tidak mahu mereka bekerja dalam suasana yang tidak selesa.
Sayang, ada satu lagi perkara yang abang hendak khabarkan kepadamu. Segala urusan passport dan visa sayang akan selesai dalam masa beberapa hari ni. Insya-Allah, dalam seminggu dua nanti, bolehlah kita bertolak ke Holland, negara bunga tulip itu. Bunga yang menjadi kesukaan sayang. Well spent our honeymoon, there. Its going to be lovely, my love.
Betulkah, abang Alhamdulillah, syukur nikmat. Akhirnya, merasa juga Lyssa menjejakkan kaki di bumi orang. Terima kasih abang, kerana membuatkan impian Lyssa menjadi kenyataan. Lyssa berasa amat bertuah sekali, sambut Alyssa, teruja.
Holland ataupun Belanda merupakan negara bunga tulip yang tersimpan dalam senarai negara yang terlalu ingin dilawati oleh Alyssa. Sebelum ini, impian itu mungkin agak mustahil untuk dia. Namun, setelah bergelar isteri Tuan Fahreen, semua yang mustahil akan menjadi keupayaan untuknya memiliki ataupun penuhi. Fantasi akan menjadi nyata, ibarat sang puteri yang sedang terbang menggunakan sayap pari-pari di samping putera rajanya.
Nanti, bolehlah sayang melukis dengan mengabadikan keindahan bunga tulip yang banyak sekali terdapat di sana. Selain itu, pemandangannya yang cantik dan berbeza dari kita, akan memberikan inspirasi yang lebih kreatif lagi untuk sayang berkarya. Mesti Abang Bob akan bertambah sayang kepada pekerjanya ini. Lukisan-lukisan sayang nanti, pasti akan menjadi pilihan dan kegilaan para pelanggannya, ucap Tuan Fahreen.
Bijak betul Tuan Fahreen mengatur destinasi percutian mereka berdua. Dia tahu Alyssa gemarkan bunga tulip dan cukup suka mengabadikan lukisan yang berlatarkan keindahan alam. Maka itu, dia memilih Holland atau Belanda. Selain dari itu, Holland juga terkenal dengan keindahan senibinanya dan juga kincir air.
Tak sabar rasanya Lyssa hendak ke sana. Abang, selain daripada mempunyai budaya dan keindahan yang menakjubkan, Belanda juga melahirkan ramai pelukis. Antaranya, Vincent Van Gogh, pelukis pujaan Lyssa yang muncul pada kurun ke-19 dan 20. Salah satu hasil seninya yang Lyssa gemari ialah, The Red Vineyard, yang menggambarkan tentang sekumpulan manusia yang sedang bekerja sebagai petani dengan berlatarbelakangkan pemandangan yang amat indah sekali. Sekarang, lukisan tersebut ada dipamerkan di Pushkin Museum, Moscow, ujar Alyssa.
Mm...Moscow Okey, kalau sayang nak tengok lukisan tersebut, abang akan bawa sayang ke sana. Mungkin pada suatu ketika nanti, janji Tuan Fahreen pula.
Alyssa tersenyum lagi. Semakin terserlah kejelitaan aslinya. Sekarang, Alyssa tidak punya masalah lagi untuk ke mana-mana sahaja negara
di dunia ini, kerana dia punya Tuan Fahreen yang mampu menanggung segalanya. Tetapi, itu bukanlah persoalan utamanya. Apa yang penting bagi Alyssa sekarang ialah sentiasa berada di sisi suaminya, tidak kira ke mana sahaja. Bukan destinasi yang menjadi pilihan tetapi matlamat hidup berumahtangga yang menjadi percaturan.
Abang, apa yang paling penting, Lyssa ingin sekali untuk menunaikan haji atau umrah ke tanah suci, bersama-sama dengan abang. Biarlah kaabah dan bumi suci Allah itu menjadi saksi kasih sayang kita yang murni. Mahukah abang berjanji, yang suatu hari nanti, abang akan bawa Lyssa ke sana
Tuan Fahreen tersenyum lalu memegang tangan dan pipi lembut Alyssa sambil berkata, Insha- Allah sayang. Abang pun memang berhajat untuk ke sana suatu hari nanti. Impian ini telah abang simpan semenjak kita bernikah dahulu. Nantilah, abang akan uruskan masa yang sesuai. Kalau boleh, biarlah kita berada di sana lama sikit, supaya dapat mengerjakan ibadah dengan sebanyak mungkin dan dalam keadaan tenang.
Terima kasih, abang, ucap Alyssa lalu memeluk Tuan Fahreen dengan erat.
Agak lama juga mereka berdua berpelukan dan berdakapan di tepi kolam tersebut. Bulan dan bintang menjadi saksi penyatuan dua jiwa itu. Angin pula, membisikkan kasih yang lembut sehingga membelai dua jiwa itu.
Namun, itu hanya satu definasi indah frasa kasih, sayang dan perasaan. Hakikatnya, bahtera ini harus dilayari bersama dengan kekuatan nurani dalam diri masing-masing, kerana laut yang mereka rentasi itu, beronak dan bergelora sepanjang masa.
Abang, Lyssa rasa mengantuk dan penatlah. Lyssa masuk tidur dulu, ya
Hai, sayang seorang sahaja Tak nak ajak abang sekali ke soal Tuan Fahreen, merenung nakal.
Alyssa mengukir senyumannya. Lagi dan lagi. Dia faham apa yang sedang bermain di fikiran nakal suaminya itu. Begitu juga dengan dirinya yang berasa sentiasa ingin dibelai dan dimanja di dalam dakapan hangat Tuan Fahreen. Akhirnya, malam yang larut itu menjadi sunyi apabila kedua mereka berjalan beriringan meniti tangga untuk meneruskan cerita cinta mereka di kamar beradu pula.