OCEHAN penyampai radio wanita itu mengapung di dalam kereta Cikgu Isa. Entah apa yang cuba disampaikannya kepada pendengar. Kadang-kadang sakit hati juga jika diladeni.
Pergerakan kenderaan di lebuh raya itu makin pantas. Sejak melintasi Genting Sempah, Cikgu Isa terpaksa mengisi lorong paling kiri untuk memberi laluan kepada kenderaan lain memotong.
Lebuh raya sepanjang 60 kilometer ini sudah mencatatkan banyak nahas ngeri sejak sedekad lalu. Bas ekspres acap kali menjadi penyumbang kepada statistik kemalangan di sepanjang laluan maut ini. Malah diberitakan lebuh raya ini juga berhantu. Tidak ramai yang berani memandu di sini selepas jam 10 malam.
Cikgu Isa menggelengkan kepalanya. Bimbang dengan apa yang sedang melanda negara. Terkadangnya hairan juga dia melihat sikap pemandu-pemandu di Malaysia. Seperti ada lebih daripada satu nyawa.
Dari cermin sisi kanan, dia melihat sebuah bas mengekori rapat belakang keretanya. Dia terpaksa memperlekas pemanduannya. Takuttakut kalau terhimpit dengan kebiadaban pemandu bas itu. Malangnya, dia seperti sedang dihambat.
Serta-merta hon dibunyikan. Cikgu Isa tergamam. Debar di hati semakin deras. Sederas henjutan bas itu melintasi bahu kanannya. Pemandu bas itu menjeling tajam.
Cikgu Isa mengeciskan sikap pemandu bas tersebut. Ternyata fakta daripada Jabatan Perangkaan Negara tepat. Pemandu bas ekspres perlu ditapis. Jangan sampai sudah terhantuk baru tengadah, bisiknya dalam hati.
Halus nafas yang dihembus. Mengangini bulu-bulu roma pada tangan yang diletakkan tetap di stereng kereta. Cikgu Isa menoleh ke arah Ajai yang pulas tidur. Batinnya melayang sepicing. Tentang peristiwa hari itu.
Kenapa dengan ajeh ni
Maaf, Tokki. Kan terkejut, suara Ajai terketar-ketar saat mengutip serpihan kaca di lantai kayu.
Kaca-kaca itu berlaga sehingga dentingannya mengusik telinga Cikgu Isa dan Tok Batin Kutam. Mereka berdua turut hairan. Dua pasang mata bertemu, kelu.
Biar saya yang bersihkan. Cikgu Isa
meluru ke ruang tamu untuk membantu. Dia tahu inilah kesempatannya memujuk Ajai mengikutnya ke Kuala Lumpur. Peluang keemasan ini tidak akan dibiarkan terlepas.
Tidak mengapa, abang. Saya boleh buat sendiri.
Abang Itulah Cikgu Isa. Yang Tokki ceritakan pada ajeh tadi.
Ajai tercengang. Matanya turut menjegil. Dikerutnya dahi semahu-mahunya. Seperti ada jawapan tersembunyi di balik dahinya.
Tak mengapa, Tokki. Sebenarnya, saya dah pernah jumpa Si Ajai ni. Saya selesa dipanggil abang.
Tapi...
Maafkan saya, cikgu, Ajai memintas ujaran ketua kampungnya. Dia tidak sedar orang tua itu mahu melunaskan kata. Dalam keadaan benak yang bercelaru, dia berasakan perlu untuk melontarkan maaf.
Bukan silap Ajai. Saya yang silap sebab tidak perkenalkan diri pada malam itu.
Sudah. Yang penting kamu berdua saling mengenali. Baiklah, sekarang bagaimana
Secara tiba-tiba soalan daripada mulut susuk tua itu terpersil. Mata Ajai kembali terbelelek. Bundar sekali ainnya sehingga menampakkan anak mata yang kecoklatan.
Baik, Tokki. Kalau cikgu ini yang nak bawa kan, boleh. Kan setuju.
Tok Batin Kutam tersenyum. Terus diambilnya serpihan-serpihan kaca di tangan Ajai. Tercelangak mata budak itu.
Baguslah kalau macam itu, Ajai. Di Kuala Lumpur, kamu boleh sekolah. Di sini tak pasti lagi, Cikgu Isa cuba meyakinkan Ajai yang tidak berbaju ketika itu. Kurus ceding badannya menampakkan tulang-tulang timbul pada bahagian rusuk kedua-dua belah.
Tidak terlintas pun di minda Ajai tentang hal sekolahnya. Di kampung itu memang ramai anak-anak yang tidak menyambung persekolahan. Jadi, dia tidak pernah hairan. Yang dia tahu, dia perlu berhijrah. Ke suatu tempat yang baharu di mana tiada bayangan kesedihan mengekorinya. Biarlah nostalgia hidup bersama seorang insan yang sudah tiada terkubur di situ. Dia mahu kehidupan baharu di bandar.
Lamunan Cikgu Isa terhenti. Ada kemalangan di hadapan. Kenderaan terpaksa diperlahankan akibat kesesakan lalu lintas yang teruk. Kenderaan lain turut bergerak perlahan. Barangkali mahu menghulurkan doa kepada sang mangsa.
Cikgu Isa tergaru-garu dahinya. Tidak begitu senang dengan sikap sesetengah pemandu yang menyesakkan lalu lintas kerana hanya
untuk menonton. Lebih geram lagi, laluan bertentangan juga akan menjadi sesak.
Kalau sekadar nak menghantar pandang, tak perlulah berhenti, ngomelnya.
Kawasan kemalangan tidaklah begitu jauh jaraknya. Tetapi, untuk sampai ke situ terlalu lama pula tempohnya. Mujurlah ada anggota polis yang mengawal kesesakan. Jika tidak, hingga ke malam dia tidak akan tiba di Bangsar. Ya, Allah. Bas inikah yang kemalangan
Seluruh tubuh Cikgu Isa keras sertamerta. Jiwanya digeluti resah. Dia menjeling dengan ekor matanya. Pemandu bas itulah yang menghonnya tadi. Sungguh, malang ada di mana-mana sahaja.
Matanya mula gatal membayangkan yang bukan-bukan. Ada wajah Zarina di cermin hadapan. Wanita itu muncul lagi dalam fantasinya. Puas dia menampar-nampar pipinya supaya hilang jelmaan gadis itu. Gagal jua.
Cikgu, kenapa tiba-tiba Ajai turut menamparnya. Tetapi dengan kata-kata.
Tak ada apa-apa. Cikgu cuma mengantuk tadi.
Tidur Ajai terganggu. Dia termangumangu melihat penjaga baharunya itu berkelakuan aneh. Mujur tiada apa-apa yang berlaku. Kerusinya ditarik ke hadapan sedikit dan ditegakkan. Mukanya puas digosok-gosok
dengan dua belah tapak tangan bilisnya. Dia mahu kembali segar.
Cikgu Isa pula menggeletis di kerusi pemandu. Memperbetul duduknya yang sudah selesa. Berhelah ingin menutup malu tadi. Nafasnya dihela dalam-dalam kemudian dihembuskan melalui mulut. Sedikit tersembur air liur ke papan pemuka kereta.
Ajai tertawa kecil melihat keletah lelaki berusia lingkungan 30-an itu. Cepat-cepat dia mengatup mulutnya dengan tangan. Gusar tawanya tertangkap dek telinga Cikgu Isa. Begini rupanya sikap guru yang baru dikenali malam itu. Satu malam yang membawanya kepada alam baharu.
Ajai, kamu lapar Mahu berhenti makan dahulu
Tidak. Saya masih kenyang.
Ajai merasa-rasai perutnya. Cikgu Isa sedar budak kampung itu sedang menanggung lapar. Isyarat ke kiri dinyalakan. Perut perlu diisi segera sebelum angin menyelinap masuk.
Cikgu, boleh saya tanya sesuatu Ajai bersuara.
Apa dia Tanyalah.
Kenapa cikgu bersungguh-sungguh bawa saya ke Kuala Lumpur
Dada Cikgu Isa turun naik. Ada ombak
resah garang membanting. Dia masih belum bersedia untuk menjelaskan segala-galanya.
Cikgu tak ada anak lagi Entah mengapa itu soalan yang terkeluar.
Cikgu Isa menggeleng.
Cikgu masih belum menjawab soalan saya yang tadi.
Ajai, nanti-nanti cikgu akan ceritakan alasannya. Sekarang, ayuh kita makan dulu.
Cikgu pun dah lapar ni.
Janji
Ya, cikgu janji, sahut Cikgu Isa. Tangan kanannya menculak. Dia memaksa bibirnya menguntumkan senyuman.
Ajai perasan lagak itu dibuat-buat. Tetapi, dia segan untuk bersuara. Dia tidak mahu hari pertama mereka suram begitu sahaja.
Begitu juga Cikgu Isa yang masih dilanyak kebuntuan. Ekor matanya mencuri-curi pandang Ajai yang sedang termenung. Dia masih tiada jawapan yang pasti. Dia tahu, apabila Ajai sudah besar kelak, tentu dia akan mempersoalkannya lagi. Tiada apa yang layak dilakukannya selain berdoa moga-moga Ajai terlupa akan memorandum persefahaman tadi.
BUNYI kipas angin sedikit membingit. Entah mengapa hari ini kipas itu meragam. Mungkin
skru-skru di dalamnya sudah longgar atau tidak berfungsi lagi. Tetapi anginnya masih lagi laju seperti biasa. Cuma bunyinya sahaja sedikit merimaskan.
Ajai bangkit dari katil. Diletakkan majalah yang dibacanya di atas meja. Dia berdiri tegak betul-betul di bawah kepala kipas. Makin terasa anginnya. Sesekali rambutnya yang halus mengenai dahi.
Dia tercari-cari arah datang bunyi bingit itu. Gusar juga hatinya takut kalau-kalau ada sesuatu yang berbahaya. Ada ketukan di pintu hati supaya hal ini diadukan kepada Cikgu Isa.
Langkahnya terhenti di pintu bilik Cikgu Isa. Diserunya nama guru itu, namun tidak bersahut. Pintu itu sedikit terbuka. Ajai mengetuk berkali-kali. Masih tiada jawapan.
Perlahan-lahan pintu itu diruak. Terang. Cikgu Isa tiada di dalam. Ajai kecewa. Tibatiba lensa pandangannya singgah ke sudut meja. Ada sekeping gambar berbingkai kayu. Dia melangkah perlahan menuju ke meja itu. Gambar Cikgu Isa bersama seorang perempuan. Mereka lengkap berpakaian sedondon putih. Aneh. Siapa perempuan ini
Bunyi pintu bersanggit. Ajai menoleh ke belakang. Terpancang Cikgu Isa di situ. Ajai bungkam. Bibirnya digari perasaan cuak.
Diam.