Gadis Kebaya Merah - 3
BAB 3

BANGUN PAGI, Chad dan Jai bersarapan pula di rumah Kudin. Nek Tom tersenyum gembira melihat kawan-kawan Kudin begitu berselera menikmati nasi lemak sambal kerang dan kopi panas. Nasi lemak yang sudah siap dibungkus dengan daun pisang diletakkan di dalam bakul. Selalunya Kudin yang akan menghantar nasi lemak itu ke warung Mak Limah dan juga kedai Pak Sahak.

Chad hanya memerhati Nek Tom menyediakan nasi lemak dan membungkus dengan daun pisang yang sudah dilayur atas api tadi.

Begitu gigih orang tua itu membuat semua itu walaupun sudah berusia. Mungkin usia Nek Tom sudah menjangkau tujuh puluhan.

Tekanya sendiri.

"Makanlah ya. Jangan segan-segan. Nasi lemak je yang nenek ada." Nek Tom tersenyum.

"Ni pun dah kira baik ni nek." Chad sengih. Dapat makan percuma memanglah sedap. Dia gelak sendiri.

"Mana Kudin" Jai pula jenguk ke bilik Kudin. Malam tadi Kudin di dalam bilik. Dia dan Chad tidur di ruang tamu.

"Kudin tu..kalau dah masuk bilik air, berjam-jam!" Nek Tom menjawab.

Chad dan Jai mula ketawa. Memang mereka sudah tahu perangai Kudin. Sejak sekolah dulu lagi Kudin suka memerap dalam bilik air. Entah apa yang dibuat..agaknya berak batu! Sebab tu berjam-jam duduk dalam tu!

"Ha..panjang pun umur kau!" Jai sengih bila melihat Kudin sudah menuju ke arah mereka.

"Kenapa Korang mengumpat aku eh" Kudin sengih. Dia melabuhkan punggung di sebelah Jai. Nasi lemak dalam mangkuk besar dicedok ke dalam pinggan. Sambal kerang diambil dua sudu bersama sebiji telur rebus yang sudah dikupas.

"Kudin, nanti hantar nasi lemak ni ya. Nenek nak anyam tikar pulak." Nek Tom mula berpesan sebelum melangkah ke pangkin di depan laman. Di situlah selalunya dia menganyam tikar. Angin lembut pada waktu pagi cukup selesa berada di situ.

Kudin hanya mengangguk.

"Kudin, siapa perempuan malam tadi tu" Chad mula buka bicara tentang perempuan yang datang ke meja mereka di kedai Pak Kahar malam tadi.

"Ha'ah la Kudin. Siapa dia" Jai turut menyoal.

"Aku pun tak kenal. Masa aku pertama kali jumpa dia dulu, masa aku nak ke rumah Pak Sahak. Dia tanya aku pasal rumah sewa.

Malam tadi, tak sangka dia datang lagi. Aku ingat dia main-main je. Tak ada la aku beria nak cari rumah kosong." Kudin sengih.

"Cantik tu bro! Anak siapa dia tu" Chad semakin berminat.

Haah! Siapa ek Jai pula mencelah.

"Eh, kau ni..semalam bukan main lagi kau tanya aku pernah jatuh cinta ke tak. Alih-alih hari ni, kau tanya pasal minah kebaya merah tu. Mana pergi perempuan yang buat kau jatuh cinta tu" Kudin senyum. Dia ambil cawan kopi dan mula meneguk perlahan.

"Aku je yang syok kat minah tu..dia buat dek je kat aku..ya la..anak orang kayalah katakan. Aku ni apa ada.." Chad buat muka seposen.

"Hek eleh..poyo betullah kau ni." Jai pula mencelah.

"Aku pun hairan jugak ni. Aku tak pernah nampak dia sebelum ni. Dah tu..asyik jumpa di waktu malam je..tiba-tiba pulak tu. Kau ada nampak ke perempuan tu berjalan ke arah kedai Pak Kahar malam tadi" Kudin pandang Chad dan Jai silih berganti. Mana tahu mereka nampak gadis kebaya merah tu terkedek-kedek berjalan sebelum berhenti di tepi meja makan yang mereka duduk.

"Tak ada pulak...tiba-tiba je aku dengar dia bagi salam.." Chad garu kepala. Turut berkerut kening.

"Entah-entah dia tu hantu tak..orang kata hantu ni suka menyamar jadi perempuan cantik. Eii...seram aku.." Jai menambah.

"Hish! Mana ada hantu beri salam!" Kudin luku kepala Jai.

"Kau jangan tak tahu Kudin. Hantu zaman sekarang ni, bukan setakat beri salam je tapi boleh pulak baca yasin tu..apa kes" Jai pertahankan anggapannya tadi.

"Yalah..aku ada dengar jugak pasal tu. Mungkin dia tu hantu kut.." Chad mengiakan kata Jai.

"Kalau hantu..takkan kakinya jejak tanah! Tapi kan...masa aku pegang tangan dia malam tadi..aku rasa sejuk sangat.." Kudin teringat semula kejadian malam tadi.

"Sejuk la sebab kau tu gatal! Suka suki je pegang tangan anak dara orang!" Chad ketawa mengekek.

Jai turut ketawa. Kudin dijeling sekilas. Ada segaris senyuman di bibir merah Kudin. Memang sahlah gatal mamat ni.

"Hmm...macam mana mayat tu pulak Takkan hilang macam tu je" Jai pula mengalih topik pada karung guni yang diceritakan oleh Kudin.

"Tu yang aku pelik. Tak apa..kalau jumpa Senah nanti, kita tanya dia. Korang cuti berapa hari" Kudin pandang Chad dan Jai.

"Aku cuti seminggu. Kau" Chad pandang Jai.

"Aku pun." Jai sengih.

"Kalau macam tu, kita bolehlah siasat hal ni sama-sama." Kudin sudah bersemangat.

Mereka bertiga menghabiskan nasi lemak dalam pinggan. Sekejap lagi mereka akan ke kedai Pak Sahak dan warung Mak Limah pula. Kudin pula hari itu tidak ke sawah seperti biasa.

TIBA di kedai makan Pak Sahak, Kudin letak beberapa bungkus nasi lemak di atas meja. Chad dan Jai hanya menunggu di tepi jalan. Kudin menapak pula ke arah Chad dan Jai yang menunggu di bawah pokok mangga. Belum sempat mereka mengatur langkah, Senah sudah memanggil nama Kudin. laju dia kayuh basikal ke arah Kudin.

"Abang Kudin! Tunggu Senna!" Laung Senah.

"Weh! Apa hal minah becok tu Kau ada date ke dengan dia" Chad mengusik. Dia sudah tersengih-sengih.

Kudin senyum kelat. Memang Senah suka sangat mengendeng. Pagi buta macam ni pun dah keluar dengan basikalnya tu. Tak padan dengan pakai baju kurung tapi perangai mengalahkan Joyah kampung seberang tu.

"Abang Kudin nak ke mana" Senah berhenti betul-betul di depan Kudin. Dia pandang Chad dan Jai.

"Nak ke warung Mak Limah, kenapa" Kudin pandang Senah yang sudah berseri mukanya. Gincu merah dan pemerah pipi yang cukup terang. Rambut pula ditocang dua.

"Oh..abang Chad dan abang Jai pun nak ke sana juga ke" Senah tanya pula Chad dan Jai yang berdiri di sebelah Kudin.

"Ya..kenapa Nak ikut ke" Jai sengih. Walaupun Senah nampak selekeh dan tak semenggah berpakaian dan bersolek tapi Senah tetap nampak cantik di matanya. Kalaulah Senah sesopan Anum, tentu ramai yang masuk meminang. Perangai Senah yang membuatkan anak muda di kampung itu berfikir banyak kali hendak masuk meminang. Senah hanya muda dua tahun saja dari mereka.

"Senna ada cerita baru. Kalau nak dengar, nanti kita jumpa kat pangkin tepi sawah, tempat abang Kudin selalu lepak tu, macam mana" Senah sengih. Sebenarnya dia ingin sangat bersama Kudin. Chad dan Jai pula dia tak berapa berkenan kerana sejak sekolah lagi mereka berdua itu seperti berlagak. Kudin, walaupun agak kasar melayannya tapi lelaki itu tidak menolak jika diajak berbual.

"Hmm...nak cerita apa Berita sensasi apa pulak kali ni Dah jumpa kapal terbang yang hilang tu" Sindir Chad.

"Abang Chad ni...ke situ pulak. Senna bukannya bomoh nak ramal kat mana kapal terbang tu." Senah muncung.

Kudin dan Jai ketawa mengekek.

"Datang tau! Jangan buat Senna tunggu macam buah durian putik pulak!" Senah mula mengayuh basikalnya semula.

Kudin, Chad dan Jai kembali mengatur langkah ke warung Mak Limah.

KUDIN tersenyum melihat Senah sudah menunggu di pangkin di bawah pokok kelapa. Angin dari sawah meniup lembut rambut Senah yang sudah termenung di situ. Dia, Chad dan Jai menapak menghampiri Senah.

"Dah lama tunggu" Kudin menyapa.

"Lama la jugak..duduk la." Senah beri ruang pada Kudin untuk duduk. Chad dan Jai hanya berdiri di tepi pangkin.

"Apa cerita sensasi kali ni" Kudin terus bertanya. Dia kadang kala suka juga melayan karenah Senah, walaupun agak kebudak-budakan tapi Senah seorang yang periang. Terhibur juga sekali sekala mendengar celoteh gadis itu.

"Haha...berita terkini apa yang kau nak cakap ni" Chad pula menyampuk.

Senah jeling pada Chad. Meluat tengok muka lelaki tu. Dia tahu selera Chad. Chad hanya pandang perempuan cantik dan lawa bak model saja. Perempuan yang ada rupa paras suam-suam kuku macam dirinya ni tak dipandang pun.

"Semalam..Senna ke rumah Mak Jemah. Senna nak mintak daun pandan sebab nak buat kuih untuk ayah. Masa Senna sampai di laman rumah Mak Jemah tu, Senna perasan ada karung guni kat bawah rumah dia..dekat dengan dapur." Senah mula buka cerita.

"Karung guni" Kudin terkejut.

Senah angguk.

"Kau biar betul Senah! Kau pasti itu karung guni sama macam kat kolam kumbahan tu" Chad jeling Senah. Mulut becok minah ni bukan boleh percaya sangat.

"Betul! Sumpah! Senna nampak dengan mata kepala Senna sendiri. Karung guni tu basah! Dah tu..macam ada bau busuk. Senna tak jadi ambik daun pandan kat rumah Mak Jemah tu." Senah beria menjelaskan apa yang dia nampak semalam.

"Entah-entah karung guni yang Mak Jemah bubuh dedak makanan itik dia tak" Chad masih tak puas hati.

Senah muncung. Menyampah kalau bercakap dengan Chad...patutlah panggil Chad, agaknya kepala otak dia tu dah terencat! Nama elok je..Arshad. Dia jeling pula Jai..lelaki itu dilihat sudah tersenyum kepadanya.

"Betul ke apa Senah nampak ni" Kudin tanya lagi. Dia perlu kepastian.

"Betul bang.. Senna berani bersumpah!" Senah angkat tangan lagak orang nak bersumpah dalam mahkamah.

"Geli aku dengar nama kau! Senna konon! Kalau rupa kau tu macam minah saleh tu oklah jugak.Ni lebih kampung dari kampung!" Chad mencebik.

Senah menjeling tajam ke arah Chad. Dia ni ada deria pelik ke Macam boleh baca je apa otak aku fikir tadi.

"Okey, kalau betul..nanti malam kita pergi tengok. Kita perlu tahu, apa ada dalam karung guni tu. Kalau bukan mayat bermakna cerita tu bohong la." Kudin mengusap dagu.

"Kalau betul mayat" Jai pula mencelah.

"Kalau betul itu mayat, Mak Jemah nak buat apa dengan benda tu" Kudin pula rasa pelik.

"Alah abang Kudin, Mak Jemah tu kan cantik dan masih bergetah. Mungkin dia nak guna mayat tu untuk puja ke apa ke" Senah sengih.

Chad dan Jai pandang Senah tak berkelip. Biar betul! Mak Jemah dah jadi pemuja mayat pulak ke

"Senna ikut boleh tak malam nanti" Senah paut lengan Kudin.

Chad dan Jai hanya jeling ke arah Kudin. Nampaknya Senah ni sudah tangkap cintan dengan jejaka petani moden ni. Mereka senyum serentak. Chad pula sudah terbayang yang gadis kebaya merah malam tadi akan mudah didekatinya jika Kudin melayan Senah. Jai pula ada riak cemburu. Entah kenapa dia suka melihat Senah yang sentiasa riang dan becok mulut.

Boleh.. Kudin sengih.

Senah sudah mula beredar dari situ.

MALAM itu, Kudin sudah berjanji dengan Chad dan Jai untuk berjumpa di simpang menghala ke rumah Mak Jemah. Sudah lebih setengah jam dia menunggu Chad, Jai dan Senah. Sesekali dia melihat sekitar simpang itu. Keadaan agak gelap. Cahaya pelita dari rumah yang tidak berapa jauh dari simpang itu nampak berbalam-balam.

"Assalamualaikum.."

Kudin terkejut. Dia menoleh. Gadis kebaya merah itu tersenyum kepadanya. Haih...dia ni lagi.

"Wa'alaikumussalam.." Kudin cuba senyum. Kali ini dia perlu berhati-hati. Gadis itu dilihat atas bawah. Kaki memang jejak tanah.

"Encik tunggu siapa kat sini" Tanya gadis kebaya merah sambil tersenyum simpul.

"Err..tunggu kawan. Cik nak ke mana malam-malam ni" Kudin beranikan diri bertanya.

"Saya nak ke kampung seberang. Ada orang jemput saya ke majlis kenduri." Gadis itu senyum lagi.

"Kenduri Malam macam ni" Kudin pula terkejut. Kenduri apa malam-malam macam ni Majlis tahlil logik la.

Gadis kebaya merah itu hanya angguk. "Oh ya..saya dah dapat rumah sewa. Kat hujung kampung ni. Kebetulan ada satu keluarga ni nak sewakan bilik. Jadi saya ambil je la. Nak sewa satu rumah tak ada pula yang kosong." Ramah gadis itu bercerita.

Kudin angguk-angguk tapi dalam hati..keluarga mana Rumah kat hujung kampung Rumah aku saja yang ada kat situ.

"Saya pergi dulu ya. Dah lambat ni.." Gadis kebaya merah itu minta diri.

Sekali lagi Kudin mengangguk. Gadis itu dilihat sudah berjalan menuju ke arah jalan besar yang menuju ke kampung seberang.

"Weh! Kau tengok apa"

Kudin menoleh. Chad dan Jai sudah tercegat di sebelahnya.

"Tak ada apa.." Kudin sengih.

"Mana Senna perasan tu" Chad intai sekitar simpang.

"Ha! Tu dia dah terkedek-kedek datang tu!" Kudin tuding ke arah Senah yang laju berjalan sambil memegang lampu suluh.

"Maaf abang Kudin..Senna lambat sikit." Senah senyum. Dia berdiri di sebelah Kudin.

"Jomlah. Dah nak pukul lapan ni..lewat malam nanti, entah apa kita jumpa pulak.." Chad sengih.

"Celupar mulut kau!" Jai luku kepala Chad.

Mereka berempat mula menapak ke rumah Mak Jemah. Terhendap-hendap mereka di sebalik pokok bunga kertas yang agak merimbun. Dari celah pokok itu, mereka cuba perhatikan kawasan bawah rumah Mak Jemah. Memang betul kata Senah. Memang ada karung guni di situ. Sebelum sempat mereka menapak ke bawah rumah Mak Jemah, tiba-tiba ada kepulan asap dari celah dinding rumah Mak Jemah. Kepulan asap itu semakin lama semakin tebal. Terbang dibawa angin malam ke dada langit

"Asap apa tu" Chad cuit lengan Kudin sambil berbisik.

"Entahlah.." Kudin masih mengintai.

"Senna rasa, Mak Jemah tu tengah puja mayat kut.." Senah pula menyampuk.

Chad jeling Senah. Suka suki je teka!

"Kau rasa asap apa" Jai mula bersuara. Dari tadi dia hanya diam.

"Kita tengok dulu." Kudin masih memerhati ke arah rumah Mak Jemah.

Mata mereka terbeliak melihat apa yang terhidang di depan mata. Asap tadi sudah bertukar menjadi kepulan berbentuk tubuh manusia.

TINGKAH Kudin dan sahabatnya yang lain diperhatikan oleh gadis kebaya merah tadi. Dia sengaja berpatah balik ke tempat itu.

Sebenarnya tadi pun dia ingin ke rumah Mak Jemah tapi terserempak pula dengan lelaki yang ada iras pelakon hidustan itu..Shaheed Kapoor. Dia senyum, pertama kali jumpa lelaki itu, hatinya berdetak..kacak juga mamat ni tapi dia tidak boleh layan kata hatinya. Dia mesti dahulukan rancangannya dan tujuannya ke kampung Pinang Patah itu. Itu tugas yang perlu dilaksanakan. Arahan dari bos!

Penyamarannya juga tidak boleh terbongkar selagi kes yang sedang disiasat itu tidak selesai.

"Hmm...apa yang dia orang nampak kat rumah tu" Gadis berkebaya merah itu turut mengintai rumah Mak Jemah di sebalik pokok kelapa. Memang kawasan kampung itu agak gelap. Hanya diterangi cahaya lampu gasolin dari anjung rumah penduduk yang berdekatan saja. Rumah Mak Jemah pun agak gelap. Dia mula beredar dari situ bila melihat Kudin dan kawan-kawannya sudah mula ingin beredar.

KUDIN mula bangun. Asap yang dilihat tadi sudah ditiup angin malam dan hilang lenyap dalam kegelapan malam. Chad dan Jai masih membatu di situ. Senah pula turut berdiri di sebelah Kudin.

"Tak ada apa pun...asap tu dah hilang. Pelik aku, apa yang orang tua tu buat" Chad turut bangun.

"Ha'ah la..apa kaitan asap tu dengan karung guni tu" Jai menyampuk. Dia tampar pipinya yang digigit nyamuk.

"Itu tandanya Mak Jemah tu tengah perasap kemenyan.." Senah mula menelah sendiri.

"Ish! Minah sengal ni. Pandai je buat andaian sendiri." Chad jeling.

"Senna teka je, yang abang Chad nak marah ni kenapa" Senah jeling. Meluat melihat Chad yang dari tadi tidak senang dengan kehadirannya di situ.

"Jomlah kita balik. Nyamuk banyak ni, karang tak pasal pulak kena denggi. Tak nak aku..aku belum kahwin lagi ni." Jai menampar sekali lagi pipinya yang digigit nyamuk.

"Alah..abang Jai ni macam pompuan la." Senah sengih.

"Yang kau ikut kita orang ni kenapa Kau tu pompuan, dah la malam-malam macam ni, tak takut ikut kita orang yang maskulin ni" Chad sengih.

"Apa nak takut Senna dah biasa." Senah pegang lengan Kudin.

"Tu..pegang-pegang tu, malam-malam ni, jangan percaya sangat kat kita orang ni. Kita orang ni bukannya malaikat..silap hari bulan.." Chad sengih lagi.

"Hish! Kau ni! Jangan nak takut-takutkan Senah ni. Kau tu..ada niat ke nak buat kerja tu" Kudin luku kepala Chad.

Jai hanya sengih. Kalau di KL, sudah lama perempuan macam Senah tu jadi santapan lelaki yang tak ada akal.

"Dah, kita balik." Kudin terus ajak mereka balik.

SEMINGGU berlalu. Selama seminggu itulah tiada tanda-tanda karung guni itu mengandungi mayat. Pernah dia dan Chad pergi tanya sendiri dengan Mak Jemah, orang tua itu hanya senyum saja. Senah pula mati-mati pertahankan apa yang dia nampak. Sekarang ni, Chad dan Jai sudahpun kembali bekerja setelah seminggu bercuti di kampung.

"Haih..apa aku nak buat ni" Kudin nyalakan sebatang rokok dan disedut perlahan di anjung rumah. Petang itu, dia tidak ke mana-mana. Nak lepak di kedai Pak Sahak, malas pula rasanya bila hanya ada orang tua tua saja di situ. Topik perbualan pun dah lain, tak masuk jiwa.

"Assalamualaikum!"

Kudin menoleh. Pak Sahak sudah terpacak di depan rumahnya.

"Wa'alaikumussalam. Ada apa pakcik" Kudin buang puntung rokok dan mula menapak ke arah Pak Sahak.

"Pakcik ada hal sikit ni." Pak Sahak duduk di pangkin bawah pokok mangga.

Kudin turut mengikut Pak Sahak ke situ dan duduk bersama.

"Ni..pakcik risau pasal Anum ni. Pakcik harap sangat kamu boleh cari Anum tu." Pak Sahak sudah sugul.

"Dia tak balik lagi ke" Kudin teringat dulu Pak Sahak ada menyuruhnya mencari Anum di KL.

"Kalau dia balik, tak ada la pakcik suruh kamu cari." Pak Sahak semakin sugul.

Kudin terdiam sebentar. Dia sebenarnya malas hendak jejakkan kaki ke KL semula. Kalau boleh dia ingin melupakan semuanya.

"Nih! Ambil duit ni. Pakcik nak kamu pergi esok ke KL tu." Pak Sahak letak segumpal wang kertas atas tapak tangan Kudin.

"Apa ni"

"Duit la!" Pak Sahak jeling Kudin.

"Kamu pergi cari Anum. Pakai duit tu. Ingat tau! Esok!" Pak Sahak mula kayuh basikalnya semula dan mula beredar dari situ.

Kudin masih terkebil-kebil atas pangkin. Segumpal duit tadi dibuka perlahan. Ada lebih dari dua ribu ringgit semuanya!

"Biar betul..banyak duit orang tua ni. Kedai makan dia kecik je. Pelanggan pun aku tengok orang yang sama je..tu pun datang minum je dan main dam.." Kudin garu kepala. Lama dia melihat duit segenggam di tangannya.

Dia mendongak bila mendengar bunyi enjin kereta memasuki laman rumahnya. Sebuah kereta mewah BMW hitam sudah menjalar masuk di halaman rumah. Kudin hanya memerhati. Seorang lelaki agak tua, mungkin sama tua dengan Pak Sahak keluar dari perut kereta. Kemudian, keluar seorang

lagi lelaki yang agak muda. Mereka berdua menuju ke arahnya.

"Assalamualaikum!"

"Wa'alaikumussalam.." Kudin menjawab ramah. Berbahasa.

"Ni rumah Kaltom binti Mustafa" Tanya lelaki muda itu.

Kudin angguk. Apa hal dia orang cari nenek aku

"Alhamdulillah..jumpa juga akhirnya. Puas kami cari rumah ni. Nak cari kampung ni pun jenuh nak jumpa." Lelaki itu mula ramah.

Kudin hanya sengih. Memang kampungnya sangat susah untuk orang luar cari kerana terletak agak ke dalam sikit, agak pedalaman.

"Kaltom ada"

Kudin angguk lagi. "Ada apa nak jumpa nenek saya"

"Oh..kami ada hal penting." Lelaki itu senyum.

Kudin mula mengajak kedua lelaki itu masuk ke dalam rumah. Dia kemudian memanggil neneknya yang sedang asyik menganyam tikar di anjung rumah sebelah kiri mengadap ke arah sawah padi.

"Nek, ada tetamu nak jumpa." Kudin mendekati neneknya.

"Siapa"

Kudin jongket bahu dan dia mula ke dapur membancuh air kopi bujang. Dia kembali ke ruang tamu dan duduk bersila atas tikar mengkuang bersama dengan tetamu tadi. Neneknya turut sama duduk di situ.

"Ni makcik Kaltom" Lelaki itu bertanya sambil memandang ke arah Nek Tom.

Nek Tom angguk.

"Saya Razul dan ini driver Tengku Muzafar." Razul mula perkenalkan diri.

Nek Tom terkejut. Dia pandang Kudin dan kemudian beralih pula pada kedua lelaki itu.

"Err...ada apa dengan Tengku Muzafar" Suara Nek Tom sudah tergagap-gagap.

"Tujuan kami datang ni sebenarnya nak baca wasiat ni, wasiat yang telah ditinggalkan oleh arwah Tengku Muzafar." Terang Razul.

"Arwah Bila dia meninggal" Nek Tom makin terkejut.

Kudin hanya pandang neneknya yang sudah berlainan riak. Nenek aku kenal ke Tengku Muzafar tu Eh,..bukan ke tu...

"Kami datang ni nak beritahu wasiat arwah untuk anaknya, Tengku Saifuddin bin Tengku Muzafar." Jelas Razul setelah melihat Kudin dan Nek Tom tercengang dan terkejut.

"Eh, itu nama saya tu. Apa kena mengena pulak dengan saya" Kudin sudah bingung. Dia jeling neneknya yang mula tunduk. Seperti ada rahsia.Patutlah bila ditanya hal kedua orang tuanya nenek selalu cari alasan.

"Nanti, betul ke wasiat ni untuk saya Saya tahulah nama dalam kad pengenalan saya ni sama macam yang encik sebut tadi tapi tak semestinya kalau ada tengku-tengku ni, saya ni waris yang sebenar" Kudin pandang Razul yang masih tersenyum.

"Ya..enciklah orang tu. Saya hanya menjalankan tugas. Mengikut wasiat ni, Tengku Saifuddin akan mengambilalih syarikat TM Holdings yang terletak di Ampang, dan memiliki lebih separuh dari saham syarikat. Syarikat itu nanti akan dikongsi bersama dengan anak perempuan arwah. Selain dari itu, Tengku Saifuddin juga layak menerima rumah banglo arwah di Damansara dan juga beberapa saham syarikat lain." Razul mula membaca satu persatu wasiat itu.

Kudin terpaku. Biar betul Tahulah namanya ada Tengku tapi takkanlah semudah itu dia kaya sekelip mata Selama ini pun dia tak pernah kenal siapa kedua ibu bapanya. Nenek banyak berahsia. Dia jeling neneknya yang sudah tunduk. Tak apa..nanti dia akan korek semua rahsia tu dari nenek.

"Encik dikehendaki hadir ke mesyuarat lembaga pengarah minggu depan untuk pemindahan saham dan pengambilalihan syarikat." Razul menjelaskan lagi tentang hal syarikat.

Kudin masih terdiam di situ. Kedua lelaki itu mula minta diri.

SEMENTARA itu, Senah yang sampai di laman rumah Kudin, sempat memasang telinga mendengar perbualan tadi. Dia menyorok di bawah tangga rumah Kudin.

"Hmm..jadi abang Kudin aku ni kaya raya la" Senah senyum sengih.