RETRO BOLA SEPAK - 2
Ini nama spesies harimau yang terdapat di Semenanjung Malaysia.

Harimau simboliknya menunjukkan keberanian, ketangkasan dan kemegahan.

Lama sebelum itu, nama tersebut digelar kan kepada seorang Jeneral Tentera Jepun, Tomoyuki

Yamashita atas peranannya mengemudi ketumbukan tentera Jepun menawan Tanah Melayu dan Singapura selama 70 hari sahaja semasa Perang Dunia Kedua.

Yamashita sebelum itu pernah berkhidmat di Berlin, Jerman sekitar pertengahan 1910an, menjadi pegawai atas kerajaan Jepun. Dia belajar selok-belok diplomatik dunia terutamanya di

Eropah. Malah sebelum tercetusnya Perang Dunia Kedua, Yamashita telah ke Eropah bertemu dengan pemimpin Axis, Adolf Hitler dan Benito Mussolini bagi membincangkan hala tuju pakatan Itali-Jerman-Jepun

dalam konflik ketenteraan dunia.

Memang ilmu peperangan Yamashita tiada tandingan. Belajar dari mereka yang berpengalaman dan pandai, itu salah satu cara untuk perbaiki diri. Kepimpinannya digeruni pihak Berikat terutamanya British.

Tamat perang, Yamashita ditangkap lantas dibicarakan di mahkamah tribunal tentera antarabangsa atas kesalahan jenayah perang.

Di Manila sekitar Februari 1946, Yamashita telah dihukum gantung sampai mati.

Satu lagi individu yang digelar Harimau Malaya adalah bekas legenda bola sepak negara,

Allahyarham Dollah Don, yang berasal dari Johor.

Sekitar tahun 1953, skuad bola sepak Melayu Singapura telah bertandang ke Sumatera untuk satu perlawanan persahabatan dengan sebuah pasukan tempatan di sana yang dianggotai oleh orang-orang Belanda dan beberapa anak watan.

Perlawanan tersebut turut dihadiri oleh pemimpin tertinggi Indonesia, Jeneral Sukarno.

Dipendekkan cerita, Dollah Don yang menjaringkan sebegitu banyak gol telah dihambur pujian dek kerana ketangkasan Dollah Don menghidu peluang di depan gawang. Sukarno turut teruja, lantas mengelarkan Dollah Don sebagai Harimau Malaya.

Nama itu kekal legasi nya sehingga kini, gelaran buat skuad bola sepak negara meskipun aksi bola sepak kita tidak lah sekarang harimau lagi.

Baru-baru ini, badan induk bola sepak negara telah ubah gelaran tersebut daripada Harimau Malaya kepada Harimau Malaysia.

Katanya, asbab penukaran tersebut adalah untuk pupuk nilai kekitaan dan kebersamaan di kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum leluhur negeri.

Agak tidak berapa setuju dengan penukaran gelaran tersebut sebenarnya. Apa yang dah terpahat legasi sejarahnya biarlah ia kekal supaya nostalgia nya terus-menerus diingati.

Dahulu sewaktu Wira, seekor orang utan dijadikan maskot Sukan Komanwel 1998, tidak pula ada yang membentak kata negerinya tiada orang utan. Sama juga sewaktu penyu menjadi maskot Sukan SEA 1989, tidak pula warga kota mempertikai bahawa di Kuala Lumpur tiada penyu mendarat.

Kita terkadang terlalu memikirkan perbezaan simbol dan stigma. Sepatutnya perbezaan itu dirai dan dihormati.

Tak kisah lah nanti, di hari mendatang, Sukan SEA 2017 misalnya, samada monyet belanda, buaya, gajah pygmy, badak sumbu, burung kenyalang, kijang atau rusa, seladang atau selembu, biar apa pun simbolis nya, kalau sungguh kamu rakyat Malaysia, sama-sama lah kita raikannya.

Dan nama Harimau Malaya itu, biarlah segah nama dan takrif gelarannya.