FIZIK-LAH! - 2
Fizik merupakan salah satu daripada cabang sains alamiah. Mengikut konteks pada masa kini, sains alamiah (natural science) terbahagi pada empat cabang utama, iaitu matematik, fizik, kimia dan biologi. Istilah fizik berasal daripada perkataa Yunani phusike yang bermaksud pengetahuan alamiah (knowledge of nature) yang melibatkan kajian mengenai pergerakan objek melalui ruang-masa, mengenai tenaga, cahaya dan daya. Matlamat utama pengajian fizik adalah untuk memahami bagaimana alam semesta ini berfungsi. Alam ini seperti jam tangan, fizik melibatkan pengajian bagaimana sistemsistem jam tangan itu berfungsi.

Sebelum era Newton, ilmu fizik yang kita kenali pada hari ini dikenali sebagai ilmu falsafah alamiah (natural philosophy). Penuntut dan pengamalnya digelar sebagai ahli falsafah alamiah (natural philosopher), dan hari ini mereka dipanggil sebagai ahli fizik (physicist).

Pada peringkat awal, istilah sains yang kita fahami hari ini merujuk pada ilmu dan kajian secara umum yang berasal daripada bahasa Latin. Ia menjadi penggunaan istilah yang spesifik bermula pada abad ke-19 apabila kaedah saintifik dan eksperimen menjadi disiplin yang berasingan daripada falsafah.

Sebelum era Newton, istilah falsafah alamiah digunakan bagi merujuk pada disiplin pencerapan dan kajian alam. Adanya istilah falsafah kerana disiplin yang digunakan lebih dekat pada falsafah. Malah, matlamat asalnya sejak era Pra-Socrates adalah untuk menentang karut marut dan mitos dalam kalangan masyarakat. Selepas itu, falsafah alamiah berkembang pada dua aliran, iaitu Platonis yang berasaskan taakulan (reasoning) dan Aristotelian yang berasaskan pencerapan (empirical).

Seterusnya, munculnya kaedah saintifik pada Zaman Pertengahan yang dipelopori oleh Alhazen (Ibnu Haytham). Karya Isaac Newton, Prinsip Matematik dalam Falsafah Alamiah (Philosophiae Naturalis Principia Mathematica) yang diterbitkan pada tahun 1687M telah menjadi pivot pemisahan antara falsafah dan kaedah saintifik.

Falsafah alamiah bukan sahaja merujuk pada ilmu fizik semata-mata, malah menggabungkan ilmu matematik, kimia dan biologi. Fizik merupakan cabang paling asas dan paling tulen dalam sains selepas matematik. Sepanjang perkembangan ilmu sains, sedikit demi sedikit ilmu kimia, biologi dan matematik menjadi suatu bidang yang spesifik. Ini berkemungkinan, perkembangan ilmu yang semakin laju, menjadikan manusia tidak mampu menjadi seorang polymath yang menguasai pelbagai bidang. Lalu, ia dispesifikkan menjadi bidang-bidang tertentu. Fizik didefinisikan dengan lebih spesifik dan mendapat bentuknya ketika karya William Thomson juga dikenali sebagai Lord Kelvin, dan Peter Guthrie Tait (1831M 1901M), iaitu Risalah Falsafah Alamiah diterbitkan pada tahun 1867M.

Fizik mempunyai banyak cabang, tetapi teras utama cabang-cabang tersebut ialah fizik klasik, fizik kuantum dan fizik relativiti. Fizik juga telah digabungkan dengan disiplin-disiplin yang lain seperti bio-fizik yang menggabungkan disiplin fizik dan biologi. Ada juga bidang fizik-kimia yang menggabungkan disiplin fizik dan kimia.

Apa yang membezakan mekanik klasik dengan mekanik kuantum adalah mekanik klasik hanya melibatkan objek-objek yang bersifat makro, iaitu objek-objek besar serta objek-objek yang bersaiz kelestial seperti Bumi dan Matahari. Mekanik kuantum hanyalah melibatkan objek-objek bersaiz zarah.

Mekanik klasik melibatkan sifat objek yang boleh dijangka dan diyakini. Ke mana objek itu akan bergerak dan dari mana ia datang adalah sifat yang dikaji dalam mekanik klasik. Sifatnya tetap dan tidak berubah-ubah.

Mekanik kuantum pula melibatkan sifat zarah yang tak dapat dijangka dan bermain dengan kebarangkalian. Seketul zarah boleh berada di dua tempat pada masa yang sama. Malah lima enam tempat sekaligus. Kalau kita tahu di mana zarah itu berada, kita tak tahu momentumnya. Kalau kita dapat tahu momentumnya, kita tak tahu pula di mana ia berada.

Terdapat pembahagian antara dua subjek ini kerana objek manifestasi sifat yang berbeza pada tahap mikro dan pada tahap makro. Malah, hukum fizik yang digariskan juga berbeza dalam dunia kuantum dan dunia klasik.

Fizik Relativiti pula melibatkan objek yang bergerak menghampiri selaju cahaya. Apabila objek bergerak selaju ini, sifat dan hukumnya pun berbeza daripada hukum yang dimanifestasi daripada fizik klasik dan fizik kuantum. Fizik merupakan disiplin akademik yang tertua di dunia.