KEMBARA PENIAGA JALANAN - 2
SEINGAT aku, kisah ini berlaku ketika aku masih tingkatan satu. Kebetulan pada waktu itu di sekolah kami ada dua blok bangunan baru sedang disiapkan. Seperti biasa, aku yang memang penduduk tetap di dalam kawasan sekolah ini akan menyaksikan pelbagai aktiviti setiap hari. Aku perhatikan hampir semua benda dan ia sangat memberi kesan terhadap minat aku untuk mencuba. Aku memang pelik, kadang-kadang aku boleh duduk seorang diri di tepi kawasan pembinaan sambil perhati lori punggah batu bata. Pelik, kan Masa itu, aku masih lagi tinggal di dalam kawasan sekolah yang sama. Ayah aku masih belum pindah ke mana-mana.

Banyak lagi sebenarnya pengalaman berkuli yang aku hendak ceritakan masa peringkat sekolah ini tapi cukuplah aku simpan sebahagiannya dulu. Aku ceritakan dtentang pengalaman menjadi kelindan lori tanah. Semuanya bermula apabila aku semakin lama semakin geram melihat begitu banyak lori keluar masuk ke kawasan sekolah bagi pembinaan projek baru ini. Sampailah pada suatu hari, aku berpeluang duduk bersembang dengan seorang pemandu lori yang kebetulan berehat di bawah pokok selepas habis membuang tanah dan pasir di situ.

Saya nak ikut abang naik lori boleh dak Aku mulakan bicara dan aku serius.

Sungguh ka Mak marah satgi. Pi bagitau mak hang dulu, kalau mak ok, boleh, ujar beliau. Aku lupa betul nama abang ini. Tapi dia memang cukup baik.

Aku pura-pura berlari balik ke rumah, kononnya minta izin naik lori. Mana maunya Mama bagi izin, aku tahulah. Selepas keluar dari rumah, aku terus menuju kepada abang lori tadi. Dengan muka ceria dan bersungguh, aku cakap pada dia begini:

Ok mak bagi! Saya nak ikut lori, dapat dua tiga round pun jadilah. Nak rasa! Aku excited.

Maka dengan lafaz bismillah, aku pun naik lori dan menjadi kelindan abang tadi untuk hari itu. Sepanjang jalan di dalam lori, aku hanya duduk diam sambil perhatikan semua benda. Seronok betul rasanya apabila dapat duduk di depan, di dalam kenderaan yang tinggi dan besar pula. Kami menuju ke satu lokasi untuk mengambil pasir. Sepanjang proses itu, aku hanya perhatikan saja abang itu tadi buat kerja. Beliau panjat ke belakang lori, menutup pasir dan kembali duduk untuk pandu ke destinasi. Wah, bukan senang rupanya kerja bawa lori tanah dan pasir, bisik hati kecil aku.

Adik esok jangan kerja bawa lori macam abang. Belajaq rajin-rajin dan pi kerja baguih-baguih. Abang nak sambung mengaji dulu tak mampu, orang susah. La ni kerja bawa lori ja. Tapi tak apalah, janji kerja halal. Dia menyekolahkan aku di dalam lori. Ini memang aku masih ingat sampai ke hari ini. Sebagai seorang budak sekolah yang berstatus remaja ketika itu, sel-sel otak aku memang mula berhubung dengan baik. Aku mungkin bukan seorang yang bijak di dalam akademik tetapi aku memang cukup faham untuk merekod dan menganalisis data yang terbit daripada kisah kehidupan begini. Sepanjang jalan sewaktu berada di dalam lori itu, aku hanya diam dan angguk-angguk sahaja. Bagus juga, sekurang-kurangnya diapun ada peneman di sebelahnya ketika memandu dan bekerja.

Sewaktu aku berkuli dan ikut lori dengan abang tadi, aku tidak dapat banyak input tentang perniagaan lori ataupun pasir tetapi aku belajar banyak perkara tentang perjuangan hidup. Dengan gaji yang tidak berapa besar, seorang pemandu lori perlu mengejar trip penghantaran untuk mendapat bayaran ekstra. Sesekali, aku tolong juga panjat ke belakang lori untuk membuka kanvas yang menutup pasir. Bukan senang woi, gayat juga masa berdiri di atas sana. Sebagai upah, aku diberi makan dan wang belanja tiga ringgit. Sehinggalah projek itu selesai sepenuhnya, aku tidak lagi berjumpa beliau. Aku syak, dia sudah berhenti kerja dan mula berniaga sendiri.

Tidak berhenti di situ, selepas bangunan ini siap. Aku berkenalan pula dengan seorang arkitek dan kontraktor landskap yang aku panggil sebagai Abang Chik. Waktu itu, beliau mendapat kontrak untuk menyiapkan landskap di kawasan sekolah kami. Beliau perlu menyiapkan tanaman pokok bunga dan kolam ikan berserta air terjun buatan dalam masa dua bulan. Aku mempelawa diri untuk berkuli pada waktu cuti sekolah. Kerja-kerja yang diberi mudah sahaja tetapi cukup memenatkan, itu semuanya tak ada orang yang sanggup buat kecuali Bangla dan Indon sahaja. Ayah aku tak marah, biarkan saja aku buat kerja-kerja di situ. Sesekali dia meronda juga datang mengenguk sambil menunggang Modenas Kriss warna merah.

Abang Chik amat meminati motosikal berkuasa tinggi. Daripada beliaulah aku kenal Virago dan Harley Davidson. Sesekali dia bawa juga aku membonceng motosikalnya mengelilingi sekolah, boleh tahan seronok juga. Aku suka deruman bunyi ekzos pada enjin motosikal jenis ini, padu!

Ok, kembali kepada cerita landskap tadi. Dari sini juga aku belajar bagaimana memilih pokok bunga yang sesuai untuk ditanam, jenis-jenis baja dan penyediaan tanah sebelum penanaman bermula. Aku juga diajar cara-cara mengikat batu-batu buatan ala-ala air terjun.

Kadang-kadang, aku duduk termenung juga seorang diri, sambil menyedut teh O ais, aku berfikir apalah agaknya pengajaran yang Tuhan mahu tunjukkan kepada aku di sebalik semua ini. Semua pengalaman yang aku dapat pada zaman persekolahan hanya di sekitar sekolah dan rumah aku sahaja. Begitu banyak sekali aktiviti dan benda yang aku jumpa dan teroka. Aku memang suka belajar dan buat kerja-kerja begini, suka berkenalan dengan orang baru dan mendapatkan pengalaman rare begini. Dan jawapannya kepada semua persoalan aku tadi hadir selepas aku habis belajar.

Ini antara coretan pengalaman pengembaraan bisnes jalanan aku di bangku sekolah.