Setiap kali selesai menguruskan taman biasanya si ibu duduk di beranda rumah sambil memandang keindahan tamannya dari kejauhan. Suatu ketika, saat dia sedang terbuai oleh keindahan tamannya, tiba-tiba terlintas sebuah keinginan, supaya banyak kupu-kupu yang datang berterbangan di tamannya itu. Diapun memanjatkan doa, Ya Tuhan, aku ingin tamanku dipenuhi oleh berbagai-bagai jenis kupu-kupu yang berterbangan agar taman ini tampak semakin indah dan cantik.
Setelah berdoa, si ibu semakin sering mengintip tamannya dari dalam rumah, berharap Tuhan mengirimkan banyak kupu-kupu seperti yang diingini. Sebulan berlalu tetapi tiada satupun kupukupu hinggap di taman. Si ibu kecewa, ternyata Tuhan tidak mengabulkan doanya. Malah banyak ulat yang melahap dengan nikmat sebahagian besar pohon di tamannya.
Dengan berbagai-bagai cara, dia berusaha mengusir ulat-ulat tersebut. Akan tetapi, bukannya pergi malah badannya kini menjadi gatal. Akhirnya diapun pasrah. Sejak itu pula, dia malas mengurusi tamannya. Dia memindahkan sebahagian besar tanaman yang rosak ke dalam gudang sehingga yang tertinggal sebahagian kecil sahaja di luar. Namun, si ibu masih berusaha merawat tanaman yang berbaki, sambil mengeluh dan mengumpat dalam hati, Dasar ulat-ulat tak tahu diri, beraninya merosakkan tamanku.
Hingga pada suatu pagi, ketika dia membuka pintu gudang untuk mengambil peralatan berkebun, berterbanganlah kupu-kupu yang indah. Ketika pintu gudang dibuka lebar, kupu-kupu terbang keluar mencari pati bunga yang ada di taman.
Si ibu terkagum-kagum dengan kejadian ini. Sambil berdiri di pintu gudang, dia memandang jauh ke tamannya sambil menggelenggelengkan kepalanya dan menjerit kekaguman. Kini tamannya kelihatan semakin indah, dihiasi oleh kupu-kupu yang banyak.
Si ibu ini berfikir dalam hati, dari mana gerangan datangnya kupukupu sebanyak ini Aha, dia baru teringat akan ulat-ulat yang memakan tanamannya, yang dulu dia pindahkan ke dalam gudang. Dia tidak menyedari bahawa ulat-ulat yang dulu dia benci dan singkirkan ke gudang itu kini telah berubah menjadi kupu-kupu yang indah dan membahagiakan hatinya.
Para ibu bapa yang berbahagia, sering kali kita berdoa kepada Tuhan agar dikurniakan anak-anak yang baik dan sempurna. Namun, yang datang adalah anak-anak keras kepala, hiperaktif dan sebagainya, yang membuatkan kita berasa kecewa dan mengeluh. Padahal sejarah membuktikan bahawa anak-anak keras kepala yang dibesarkan dengan baik, banyak yang berubah menjadi pemimpin dan negarawan hebat, dan anak-anak hiperaktif yang dibesarkan dengan tepat banyak yang berjaya menjadi pemilik beberapa syarikat dan perniagaan sekaligus.
Mungkin sama dengan kisah ulat-ulat tadi, anak-anak kita sesungguhnya perlu waktu untuk boleh bermetamorfosis menjadi manusia yang luar biasa pada masa depan. Namun, jika kita tidak berjaya membantunya untuk berubah secara sempurna tentu kelak anak tidak akan berjaya untuk menjadi orang yang hebat sebagaimana kupu-kupu yang indah tadi.
Mulai saat ini, mari kita terima anak-anak kita dengan rasa syukur, biarpun mereka sering menyebabkan kekesalan dan kekhuatiran. Mari kita berhenti mengeluh, dan mula belajar untuk mendidik mereka secara tepat agar kelak mereka menjadi orang-orang yang luar biasa dan membahagiakan ibu bapanya.
Mari kita bangunkan Indonesia yang Kuat dari Keluarga.
Bagaikan kupu-kupu, anak-anak perlu waktu untuk boleh bermetamorfosis menjadi manusia yang luar biasa pada masa depan.