Encik Cengkerik tidak membantah, malahan sedia menerima Si Lipas sebagai tamunya sehari dua lagi untuk diperkenalkan kepada Profesor Doktor Mentadak Mentadu, kiranya ia akan datang menjenguk anak cucunya, jika ada, dalam taman bunga keliling rumah besar itu.
Engkau ini sudah jadi lipas kudung. Peribahasa manusia Melayu, Seperti lipas kudung, ialah seseorang atau seekor binatang yang mesti dikasihani, kata Encik Cengkerik.
Mengapa Mentadak Mentadu bergelar profesor Di utara Semenanjung, di Kedah dan Perlis, manusia menggelarnya ketenung. Adakah sebab ia suka termenung-menung Di Pantai Timur pula manusia menggelarnya gegancung. Adakah kerana hidungnya mancung dan pipinya tersorong sorong tanya Si Lipas Kudung.
Sebab dia punya banyak ilmu, baik tingkah lakunya, tidak banyak temberang, lemah lembut perangainya. Itulah sebab-sebabnya ia bergelar profesor. Ada juga yang menggelarnya datuk dan ada pula yang menggelarnya tan Sri, Encik Cengkerik menerangkan.
Engkau tidak takutkan kena semburan racun-racun serangga
Ah nasib hidup aku adalah lebih baik daripada nasib hidup kaum lipas sebab dalam bandar raya ini sekarang ada banyak tempat-tempat yang sudah ditanam dengan pokok-pokok dan rumput-rumpai. Taman yang sangat cantik sekarang ialah di keliling Restoran Rakyat sana. Hidup kaum kerabat aku akan lebih mewah, boleh bersarang di bawah pohonpohon rendang dan subur.
Memang betul, Encik Cengkerik. Makhluk Tuhan yang memakan rumput-rumpai lebih mudah hidupnya. Kami kaum lipas, kaum lalat dan langau dan lain-lain yang ditakdirkan oleh Tuhan Yang Maha Kuasa makan dan minum benda-benda yang kotor, yang basi, sisa-sisa makanan manusia yang hanyut di longkang-longkang kenalah selalu berhadapan dengan berbagai-bagai jenis racun serangga. Tetapi ada juga nasib baik kami, iaitu para pembuat dan penjual racun-racun serangga kini pandai buat helah. Racun-racun serangga sekarang banyak yang palsu, yang baunya saja busuk, tetapi racunnya tak kuat. Dan kami juga bernasib baik sebab kebanyakan kaum wanita penakut, penjijik. Bila-bila mereka menyembur kami tangannya terketar-ketar, jatuh pinggan mangkuk, piring dan cawan seperti yang ditunjukkan dalam televisyen.
Racun-racun rumput-rumpai pun banyak yang palsu, tetapi harganya semakin mahal. Tetapi kaum kami juga ada banyak musuh. Budak-budak nakal suka mengorek lubang-lubang kami, menangkap kami. Kemudian mereka tambat leher kami dengan benang dan pusing-pusing kami hingga pening, dan kemudian kami dilaga-lagakan. Mujurlah, zaman dadah sekarang ini, budak-budak sudah tidak minat lagi berlaga cengkerik. Tetapi di Hong Kong, menurut cerita dalam akhbar, ada kaum kami yang disimpan dalam sangkar dan kemudian dilagakan oleh kaki-kaki judi. Dunia sekarang semakin maju dan manusia semakin suka berjudi. Tak adakah kaum engkau yang telah berpindah ke Genting Highland Di sana tentu banyak sisa makanan.
Ada ramai, Encik Cengkerik. Di Pelabuhan Kelang sana kaum kerabat aku ada beratus-ratus ribu, kata Lipas Kudung dengan megah.
Tengah hari esoknya, tatkala Encik Cengkerik mengintai-intai dari muka Pintu lubangnya maka ia ternampak Profesor Doktor Mentadak Mentadu merayap-rayap pada dedaun bunga raya, bunga kebangsaan Malaysia, yang kembang merah menyala, tetapi baunya tiada.
Assalamualaikum, tuan profesor, nak cari apa di pokok bunga raya tu kata Encik Cengkerik.
Waalaikumussalam, panjang umur kau, warahmatullah selamat pagi. Apa khabar sahut Profesor Doktor Mentadak Mentadu. Anak-anak kau semua ada baik
Khabar baik, tuan profesor. Anak-anak saya semuanya sudah besar, sudah merayau entah ke mana.
Hai!, begitu banyak kereta-kereta lalu lintas, tak takut matikah anak-anak engkau
Zaman moden sekarang tuan profesor bukan tidak tahu. Masing-masing nak cari temanlah, yang betina mencari yang jantan, yang jantan mencari yang betina. Seorang daripadanya dah sangkut di Taman Titiwangsa, seorang lagi dah bersarang di lereng bukit Taman Tasik Perdana. Yang lain-lain lagi tak tahulah saya entah ke mana perginya. Tetapi hari ini saya ada seorang tamu.
Siapa tanya Profesor Mentadak Mentadu sepatah.
Encik Lipas Kudung, jawab Cengkerik.
Lipas Kudung Ganjil tu; lipas menjadi tamu cengkerik! Mengapakah gerangan dia berada di rumah awak
Panjang ceritanya, tuan profesor. Beliau kena sembur dengan racun serangga oleh suri rumah
besar dekat kita ni.
Tetapi mujurnya dia sempat lari terbang ke mari, jatuh di tepi lubang sarang saya ini dalam keadaan separuh pengsan. Saya heret dia masuk ke dalam lubang saya ni, saya ubat dia dengan daun-daun timun tikus seperti yang tuan profesor telah ajarkan pada saya dulu. Dia berhajat sangat jumpa dengan tuan profesor, dia ada satu cadangan yang hendak dikemukakan kepada tuan profesor. Tetapi dia belum cukup sihat. Apa cadangannya
Katanya kita kaum serangga patut sangat mengadakan satu perundangan, sudah sampai masanya, kata dia, bagi membincangkan masalahmasalah kecemaran alam sekitar, bahaya racunracun serangga, masa depan kaum serangga umumnya, bagaimana nasib kaum kita, anak cucu sekalian kaum serangga bagi masa-masa yang akan datang dalam bandar raya ibu negara Malaysia ini. Kaum kita, katanya, mengikut gelagat kaum manusia, semuanya, kalau boleh, nak lari berpindah ke bandar-bandar besar, mencari penghidupan yang kononnya lebih baik, lebih mudah dan lebih makmur daripada hidup di kampung-kampung, istimewa kaum lipas.
Bagus cadangannya itu, Encik Cengkerik, sungguh bagus. Anak cucu saya pun sudah ramai ada dalam Wilayah Persekutuan, dalam bandar raya ini. Yang bertambah ramai ialah dalam hutan simpanan di sekitar UKM, di Bangi sana. Kita sekarang ini berada dekat Kampung Sungai Pencala, berhampiran dengan Damansara Utama. Saya datang ke kawasan ini nak mendengar orang-orang mengaji di Kampung Darul Arkam di Sungai Pencala, sambil membuat kajian-kajian demografi, yakni darihal manusia dan serangga berpindah-pindah dari suatu ke suatu daerah kerana mencari rezeki, pekerjaan dan penghidupan cara-cara baru yang lebih makmur dan moden. Tetapi saya tidak boleh berlama-lama di sini, saya mahu balik ke kampung.
Tetapi sebelum tuan profesor balik ke kampung di manakah agaknya Cik Lipas Kudung boleh berjumpa dengan tuan
Oh, dia tu betina, ya Tak ada masalah, no problem, kata manusia zaman moden ini, lipas pandai terbang, apa lagilah bila sudah kudung. Katakanlah kepadanya dia boleh jumpa saya dalam kawasan ITM di Shah Alam, sebab hutan-hutan di sana tebal dan kerana itu lebih selamat berjumpa di tempat-tempat itu. Lagipun kaum serangga yang lain-lain ada ramai di sana; sang tebuan ada ramai di sana, sang kerengga lagi ramai, sang anai-anai pun ada, sang semut jangan cakaplah, merata-rata ada di kawasan-kawasan itu; sang kerawai (bukan tebuan tanah) ada juga di sana. Sang Tebuan di Taman Billion boleh dipanggil. Dia tu handal, ramai orang sudah disengatnya. Tolonglah beritahu pada Si Lipas Kudung tu. Kita boleh panggil sang-sang lalat dan langau, nyamuk tiruk, nyamuk aedes juga kita boleh panggil.
Tak payah minta kebenaran poliskah, tuan profesor, untuk mengadakan persidangan agung segala jenis kaum serangga itu, dan siapa-siapa lagi yang kita perlu panggil tanya Encik Cengkerik.
Soal itu kita akan bincangkan kelak. Izinkan saya pergi dulu, ya Encik Cengkerik, assalamualaikum....