Tuanku hantar sepucuk surat kepada Raja Kufah, minta raja itu menulis sepucuk surat pula kepada Amirul Mukminin Husin meminta Amirul Mukminin datang ke Kufah untuk berehat-rehat. Ini adalah Raja Kufah amat dipercayainya. Terangkan juga bahawa pengaruh Amirul Mukminin begitu kuat di Kufah.
Bagus sekali rancangan ayahanda memanda itu. Ayahanda memanda buatkanlah sepucuk surat untuk dikirimkan kepada Raja Kufah.
Setelah surat itu sampai ke tangan Raja Kufah dengan segera Baginda menitahkan menulis sepucuk surat menjemput Amirul Mukminin Husin datang ke Kufah. Baginda menjamin akan keselamatan Amirul Mukminin sekiranya Baginda diserang oleh tentera Yazid.
Pelawaan ini dipersetujui oleh Baginda Husin. Baginda bersiap-siap untuk berangkat. Berita berangkat Baginda Husin telah didengar oleh Baginda Yazid. Baginda Yazid segera pula mengirimkan sepucuk surat kepada Ubaidullah Ziad agar menyebarkan berita bahawa dia bermimpi bertemu dengan Baginda Rasulullah. Baginda Rasulullah begitu murka kepada Baginda Yazid dan sekalian sahabatnya kerana membiarkan cucunya berangkat ke Kufah.
Malah banyak daripada sahabat Baginda Rasulullah telah memalingkan muka mereka dari melihat muka cucu Baginda. Apabila surat itu tiba di tangan Ubaidullah Ziad di Madinah, seluruh penduduk Madinah menyangka surat itu datangnya dari Baginda Amirul Mukminin Husin. Segera surat itu diarak dengan meriah sehingga sampai ke hadapan sahabat-sahabat Amirul Mukminin yang rapat.
Surat siapakah ini, ya saudara ku Ubaidullah, tanya salah seorang sahabat Baginda Husin.
Surat dari Baginda Amirul Mukminin Husin, sahabat ku, Baginda begitu marah sekali kepada penduduk Madinah yang tidak menemaninya.
Surat Baginda Amirul Mukminin Baginda marah
Sahabat-sahabat Baginda Husin yang rapat begitu terkejut. Seluruh penduduk Madinah begitu dukacita mendengar perkhabaran itu. Yang paling dukacita adalah kaum keluarga Rasulullah. Timbullah pula rasa kasih akan Baginda Yazid yang selama ini mereka membencinya.
Kemudian Baginda Yazid mengirimkan pula sepucuk surat kepada Baginda Husin, menyatakan bahawa surat itu datangnya dari sahabat-sahabatnya yang karib di Madinah. Dalam surat itu Baginda Yazid menyatakan bahawa kini penduduk Madinah mula menjadi penyokong Baginda Yazid. Seluruh penduduknya telah dihadiahkan dengan emas yang banyak di atas sokongan mereka kepada Baginda Yazid.
Begitulah tipu daya Baginda Yazid dan Ubaidullah hingga berapa kali dilakukannya. Setelah mendapat surat yang paling akhir maka segera Baginda Husin memohon diri balik ke Madinah. Baginda Husin telah dihantar oleh tentera Raja Kufah sebagai langkah keselamatan hingga ke pintu kota Madinah. Masuklah Baginda Husin ke dalam kota. Gemparlah penduduk Madinah.
Amirul Mukminin pulang, Amirul Mukminin pulang! kata mereka.
Penduduk Madinah seakan-akan mahu menangis kegembiraan. Mereka melaung-laungkan nama Baginda Husin dan setengahnya menari dan bersyair kesukaan.
Berita kepulangan Baginda Husin sampai kepada Baginda Yazid. Baginda terus mengirim sepucuk surat kepada Raja Kufah. Dengan marahnya Baginda mengutuk Raja Kufah dan berjanji satu hari nanti Baginda pasti akan dapat menewaskan Baginda Husin.
Setelah diketahui akan tujuan Baginda Yazid, Raja Kufah segera mengutus sepucuk surat kepada Baginda Husin memberitahunya bahawa Baginda Yazid terlalu mendendaminya, bila surat itu tiba dan dibaca, Baginda Husin terus membawanya kepada bondanya Umi Salamah. Baginda meminta kebenaran untuk ke Kufah.
Tidak anak ku Amirul Mukminin, anakanda seharusnya tidak akan pergi ke Kufah lagi. Bonda terlalu risau kerana orang-orang Kufah tidak teguh janjinya.
Tapi bonda janganlah risau, penyokong anakanda di Kufah masih setia berdiri di belakang anakanda.
Menangislah Umi Salamah apabila mengetahui bahawa Baginda Husin akan ke Kufah lagi. Dengan tersedu Umi Salamah menyambung, Anakanda harus ingat kepada musuh mu Yazid tidak akan membiarkan anakanda dalam keadaan aman. Dia akan terus menjalankan tipu muslihatnya untuk menumpaskan anakanda. Bonda bimbang sekali keselamatan anakanda dalam perjalanan nanti.
Wajah Baginda Husin berubah apabila mendengar nasihat Umi Salamah. Keluarlah Baginda dengan wajah yang sugul. Sambil menangis Baginda terus ke masjid dan ke makam Rasulullah. Di situ Baginda tertidur. Semasa tidur itu Baginda Husin bermimpi bertemu dengan Rasulullah. Rasulullah sedang dihadap oleh para nabi dan malaikat. Rasulullah mengatakan kepada Baginda Husin bahawa saat kematian telah hampir tiba. Mereka semua menunggu kedatangannya. Lalu Rasulullah mengangkat tangan berdoa. Ketika itu Baginda Husin terjaga daripada tidurnya. Dengan tergesa-gesa Baginda pulang ke rumahnya.
Setibanya di rumah, Baginda terus berjumpa dengan bondanya Umi Salamah dan menceritakan mimpinya. Menangislah seluruh keluarga Rasulullah apabila mendengar cerita Baginda itu. Gemparlah seluruh makmum sembahyang apabila mendengar suara ratapan dari rumah keluarga Rasulullah itu. Selepas semuanya tenang Baginda terus masuk ke masjid untuk mengerjakan sembahyang subuh. Selesai sembahyang Baginda segera ke makam Rasulullah dan berdoa. Diambilnya segenggam tanah dari makam itu. Dimasukkannya tanah itu ke dalam sakunya. Baginda terus berdoa agar terpelihara daripada teraniaya.
Semua sahabatnya menunggu ketibaan Baginda Husin di masjid. Apabila selesai berdoa di makam Rasulullah, Baginda pun menemui sahabat-sahabatnya. Dalam mesyuarat itu putuslah yang Baginda tetap berangkat ke Kufah.
Sahabat-sahabat hamba sekalian, siapakah yang sanggup bersama hamba ke Kufah nanti tanya Baginda.
Tidak begitu banyak Amirul Mukminin. Tentera yang mengiring amir, sebanyak tujuh puluh orang sahaja. Manakala yang tinggal mengawal kota Madinah biarlah banyak. Mungkin tujuh ratus orang Amirul Mukminin.
Baiklah sahabat-sahabat ku, hamba rasa itu sudah mencukupi.
Apabila kelengkapan telah siap berangkatlah Baginda Husin dengan tentera yang mengiringnya seramai tujuh puluh orang. Hari ini didengar oleh Panglima Umar Said. Dengan segera dikirimkannya sepucuk surat kepada Baginda Yazid menyatakan pemergian Baginda Husin ke Kufah.
Sampai di suatu tempat tiba-tiba kuda Baginda tidak mahu berjalan. Dicuba oleh Baginda memacu kuda itu beberapa kali tetapi tidak berjaya.
Sahabat ku, apalah nama padang yang luas ini tanya Baginda.
Padang Karbala, ya Amirul Mukminin, sahabat Baginda menjawab dengan singkat.
Apa sahabat ku, apakah betul ini Padang Karbala
Baginda Husin tergamam apabila mendengar penerangan sahabatnya itu. Wajahnya berubah.
Tidak bersalahan lagi.
Terbayang dalam ingatan Baginda Husin akan kata-kata Rasulullah yang menerangkan tentang ketewasannya di padang ini.
Wahai, pengawal. Dirikanlah khemah disini, kita akan berehat disini sahaja malam ini.
Baiklah Amirul Mukminin, akan hamba siapkan segera.
Dengan segera pengawalnya membuat khemah. Dicarinya pohon-pohon kayu yang besar untuk dibuat tiang. Pengawal yang menetak dahan kayu itu terperanjat apabila melihat pohon itu mengeluarkan getah berwarna merah,
Amir! Pohon kayu ini bergetah warna merah! teriak pengawal itu. Apa, getahnya merah kata Baginda Husin sambil melihat dengan kehairanan.
Pada ketika itu tentera Baginda Yazid telah sampai di padang itu. Baginda segera memerintahkan Panglima Umar mengepung Baginda Husin. Kepungan tentera Baginda Yazid juga merentangi Sungai Furat.
Sungai Furat menjadi punca bekalan air Baginda Husin telah mula kering. Pihak Baginda Husin begitu genting. Ketika ini Baginda Yazid mengutuskan sepucuk surat kepada Panglima Umar Said memintanya menggabungkan tenteranya dengan Panglima
Ubaidullah Ziad. Jumlah tentera mereka ialah dua ribu lima ratus orang hulubalang dan tujuh puluh ribu orang tentera biasa. Mereka sampai di tebing Sungai Furat tepat pada 1 Muharam. Kepungan yang ketat ini menyebabkan tentera Husin menderita.
Bagaimana sekarang sahabatku, telah lapan hari kita begini. Air sudah kering, kata Baginda Husin.
Ya Amirul Mukminin, berikanlah sedikit air yang ada itu pada hamba semua, biarpun setitik.
Sahabat-sahabat Baginda tahu kendi belulang yang berada di sisi Baginda Husin masih lagi mempunyai sedikit air.
Baginda Husin segera menghulurkan kendi belulang itu pada sahabt-sahabatnya. Tetapi belum pun sempat mereka memegang, kendi itu terjatuh dan air di dalamnya tertumpah. Dengan tidak berfikir panjang lagi keluarlah Baginda Husin dari khemahnya dan terus memanggil Panglima Umar Said.
Wahai Panglima Umar, hulubalang perkasa Baginda Yazid, berikan hamba sedikit air untuk kegunaan tentera hamba. Dan lepaskanlah mereka yang kecil ini agar dapat pulang ke Madinah semula.
Dengan segera tentera Baginda Yazid menjawab, Kami lebih suka memberi air kepada seekor anjing daripada memberikannya kepada tuan hamba.
Sambil tertawa mereka mencurahkan air bekalan mereka ke tanah.
Dengan suara yang lemah Baginda Husin merayu lagi, Hamba berjanji sekiranya tuan hamba memberikan kami sedikit air, hamba sanggup memenuhi tiga syarat.
Apakah dia tiga syarat itu wahai Amirul Mukminin
Mereka menunggu tiga syarat yang akan dikemukakan oleh Baginda Husin.