AURA KEJIRANAN - 2
Jibrail berkali-kali mengingatkan aku (supaya berbuat baik) terhadap jiran sehingga aku merasakan seolah-olah mereka akan mewarisi hartaku.

Riwayat Al-Bukhari dan Muslim

Masyarakat yang utuh amat bergantung pada persefahaman dan kesatuan. Masyarakat yang rapuh adalah kelompok yang ramai tetapi tidak boleh bersatu dan bekerjasamaserta berkompromi dalam perkara-perkara yang melibatkan kepentingan bersama.

Konflik, perbezaan dan keinginan untuk mempertahankan kepentingan adalah satu lumrah biasa yang pasti akan wujud dalam masyarakat. Hanya ia akan terurus jika dikendalikan dengan baik dan mengambil kira kesan, akibat dan kebaikan yang boleh diraih dari tindakan bersama yang diambil.

Bermasyarakat dan berjiran serta mencapai tahap keharmonian merupakan satu impian semua bangsa. Namun bagaimana kita boleh meraikan hak orang lain serta menguruskan hak dan kepentingan kita agar ia dihormati dan diberi tempat yang sewajarnya oleh orang lain merupakan satu cabaran yang tidak boleh dianggap mudah.

Dengan latar belakang pendidikan dan nilai-nilai yang berbeza yang memerlukan satu proses kolaborasi yang berterusan, maka usaha dan falsafah untuk memelihara hubungan jiran dan peranan yang perlu dimainkan oleh setiap ahli dalam masyarakat perlu difahami dan diterjemahkan dalam hubungan interpersonal dalam masyarakat.

Semua pihak mempunyai hak. Ini termasuklah seorang kanak-kanak kecil yang baru lahir kerana beliau perlu kedamaian dari bunyi bising yang melampau agar boleh tidur dan membesar dengan baik dan sempurna.Maka hubungan simbiotik ini perlu diasaskan dan dibajai serta diberi penjenamaan baru dari masa ke semasa. Ini sangat penting kerana hubungan yang suram akan menyebabkan penyakit-penyakit dalam masyarakat seperti prejudis, buruk sangka, perang dingin, berpuak-puak dan sebagainya akan menular dan menjadi sebati yang akhirnya sukar dibendung.

Ada orang yang mempunyai segala-galanya dan boleh mendapatkannya melalui kuasa beli dan kedudukan yang dimilikinya. Namun mereka masih merasa tidak selamat dan prejudis terhadap orang lain, persekitaran atau merasa bimbang kepada sesuatu yang dia sendiri tidak pasti. Mereka mempunyai pengawal tetapi tidak mendapat kebebasan dan rasa selamat.

Akhirnya mereka sedar bahawa terdapat banyak perkara yang harganya sangat mahal tetapi tidak mungkin dapat dibeli dengan wang. Kebahagiaan kegembiraan, ketenangan dan merasa selamat merupakan antara elemen penting dalam pakej kehidupan yang tidak boleh dijual beli. Bermasyarakat dan saling memerlukan antara satu sama lain serta keinginan untuk berkawan merupakan satu keperluan fitrah manusia. Maka sebab itulah apabila manusia cuba lari dari fitrah, mereka akan merasa runsing terasing dan merasa pincang hidupnya.

Perlu diingat bahawa sudah menjadi lumrah manusia, apabila dia merasa cukup dan selesa, maka mereka akan menjauhkan diri dari orang lain kerana bimbang akan terpaksa berkongsi dengan orang lain terhadap apa yang telah diusahakannya. Namun apabila mereka tiada pilihan lain dan memerlukan bantuan orang lain seperti urusan kematian, kenduri atau apa sahaja yang tidak mampu dilakukannya sendiri, maka mereka akan lembik tengkuk untuk mendampingi dan bekerjasama dengan orang lain. Sedangkan Allah s.w.t dan Rasulullah dengan jelas dan tegas menyatakan bahawa setiap kita mempunyai hak terhadap orang lain. Seharusnya hak tersebut ditunaikan sebaiknya.

Dari Abdullah r.a katanya, Saya bertanya NABI s.a.w, Wahai Rasulullah, dosa apakah yang paling besar Baginda menjawab, Jika engkau mengadakan sekutu bagi Tuhan, padahal Dialah yang telah menciptakan engkau. Saya katakan: Sesungguhnya itu adalah dosa besar. Saya bertanya, Setelah itu apa lagi ya Rasulullah Baginda menjawab, Jika engkau membunuh anak

sendiri kerana takut kemiskinan. Setelah itu apa lagi Baginda menjawab, Berzina dengan isteri tetangga mu.

Riwayat Bukhari dan Muslim