BANDUAN AKHIR - 2
Penjara merupakan sebuah tempat yang ingin dijauhi oleh semua insan yang waras kerana ia akan meragut segala kebebasan dan hak untuk hidup bebas sama seperti orang lain. Namun, ada juga insan yang terpilih untuk menjadi mangsa dan menamatkan sisa-sisa hidupnya sebagai banduan akhir.

Pernahkah anda membayangkan sebuah kehidupan di dalam penjara Hampir semua orang memiliki kesan yang tidak menyenangkan tentang penjara, walaupun mereka tidak pernah masuk dan tinggal di dalam penjara. Ruang gerak yang terbatas, hanya dilingkungi batu dan tirai besi. Makanan yang sangat sederhana. Ruang tidur yang dipergunakan bersama-sama, sempit dan sesak, serta pelbagai kesan negatif yang lainnya.

Hukuman gantung sampai mati merupakan hukuman paling berat yang boleh dijatuhkan ke atas mana-mana individu yang didapati melakukan ke-salahan di bawah akta-akta tertentu seperti yang telah diperuntukkan oleh undang-undang Malaysia.

Walau bagaimanapun, pengecualian hanya diberikan kepada seorang wanita yang mengandung, tetapi mahkamah boleh menggantikannya dengan hukuman penjara seumur hidup seperti yang termaktub di bawah Seksyen 275 Kanun Prosedur Jenayah (CPC).

Menjatuhkan hukuman mati bukanlah satu proses yang mudah kerana melibatkan banyak prosedur dan peraturan yang perlu diikuti oleh pihak penjara sebelum melaksanakan hukuman yang menakutkan ini. Beberapa orang pegawai telah dilantik untuk menyandang jawatan yang paling menggerunkan ini oleh Jabatan Penjara Malaysia. Jawatan ini dinamakan sebagai Pegawai Tugas Khas, Algojo atau Tukang Gantung. Pemilihan dibuat dengan mengambil kira banyak faktor seperti latar belakang kerjaya mereka, kemampuan melakukan kerja dan komitmen untuk melaksanakan kerja dengan penuh dedikasi.

Hukuman bunuh merupakan salah satu makanisma hukuman yang paling berat dilaksanakan ke atas pesalah yang melakukan kesalahan. Terdapat 69 negara di dunia ini yang masih melaksanakan hukuman bunuh tersebut. Sementara itu, sebanyak 128 negara telah menghapuskan hukuman tersebut atas berbagai-bagai alasan. Pada masa ini seperti mana yang dilaporkan oleh Amesty International, iaitu seramai 19,000 banduan sedang menanti untuk dihukum bunuh sehingga Disember tahun 2007.

Statistik hukuman bunuh pada tahun 2005 adalah seperti berikut:

1. Sebanyak 22 buah negara - seramai 2,148 orang mangsa.

2. Negara China 1770 orang mangsa.

3. Negara Iran 94 orang mangsa.

4. Negara Arab Saudi 86 orang mangsa.

5. Negara Amerika Syarikat 60 orang mangsa.

Sementara statistik hukuman bunuh bagi tahun 2006 adalah seperti berikut:

1. Sebanyak 25 negara seramai 1591 orang mangsa.

2. Negara China seramai 1,010 orang mangsa.

3. Negara Iran seramai 177 orang mangsa.

4. Negara Pakistan Seramai 82 orang mangsa.

5. Negara Iraq seramai 65 orang mangsa.

6. Negara Sudan seramai 65 orang mangsa.

Sejak tahun 2000, perlaksanaan hukuman bunuh dilakukan dengan tujuh kaedah oleh pelbagai negara iaitu:

1. Hukuman pancung Negara arab Saudi dan Iraq.

2. Elektrik Amerika Syarikat.

3. Suntikan maut China, Guatamala, Filipina, Thailand dan Amerika Syarikat.

4. Gantung Mesir, Pakistan, Iran, Malaysia, Jepun, Singapura, Jordan dan lain-lain.

5. Tembak Belarus, China, Somalia, Ubekistan, Taiwan,Vietnam dan lain- lain.

6. Direjam batu Afghanistan dan Iran.

7. Ditikam Somalia.

Sumber: Harian Metro, 28 April 2007.