Istilah deklamasi ini sangat popular di Republik Indonesia sejak tahun 50-an lagi. Dalam konteks sastera Melayu, istilah deklamasi puisi dan baca puisi digunakan secara sinonim.
Deklamasi sebagai proses komunikasi
Deklamasi merupakan suatu proses komunikasi iaitu penyampaian maklumat, ilmu, perasaan, idealisme dan fikiran individu kepada individu atau sekumpulan individu lain. Dalam konteks ini, perasaan ialah puisi manakala sekumpulan individu lain adalah merujuk kepada audiens / penonton.
Semasa seseorang deklamator berlatih seorang diri di rumah, bentuk komunikasi yang terlibat ialah komunikasi intrapersonal manakala ketika persembahan di pentas, bentuk komunikasinya ialah interpersonal. Proses ini melibatkan kedua-dua komunikasi iaitu verbal dan bukan verbal.
Berikut merupakan tiga proses yang terlibat dalam proses penyampaian mesej (komunikasi) dalam deklamasi puisi.
1. Pengirim (Pendeklemasi)
2. Mesej (Isi / idea puisi
Pemikiran penyajak
Perasaan penyajak
3. Penerima (Audiens)
Deklamasi sebagai satu cabang seni
Deklamasi merupakan salah satu cabang seni yang tidak asing lagi dalam ujana sastera tanah air. Dengan deklamasi, apresiasi terhadap seni puisi akan lebih terkesan. Deklamasi seolah-olah memasukkan roh sekaligus memberi nafas kepada teks puisi yang sebelum ini kaku di lembaran selakan akhbar, majalah atau antologi puisi.
Di Malaysia, dunia penulisan puisi adalah berbeza dengan dunia deklamasi. Tidak semua penulis puisi dapat mendeklamasikan puisi dengan baik dan begitulah sebaliknya. Bermakna, disiplin deklamasi dengan penulisan adalah sangat berbeza.
Namun, antara seni penulisan dengan seni deklamator, masing-masing sangat memerlukan antara satu sama lain.
Jaguh deklamator
Persembahan deklamasi puisi yang hebat mampu menggoncang emosi pendengar. Di Malaysia, antara nama-nama yang sinonim dengan persembahan puisi hebat ialah Rahman Shaari, A. Samad Said, Abdul Hadi Yusoff, Intan Marhayu Rahman, Lim Swee Tin, Dinsman, Maarof Seman RS, Mohd Radzi Abd Hamid, S. Iqram, Puzi Hadi, Ahmad Shukri Abdullah, Lin Haslinaz, Haryani Harun, Norzailani Muhd. Nozi dan ramai lagi.
Kehebatan mereka di pentas adalah kerana mempunyai identiti deklamasi yang tersendiri. Mereka tidak meniru mana-mana gaya deklamator lain. Misalnya, gaya A. Samad Said mendeklamasi puisi adalah bersahaja, tetapi kesannya tetap meruntun jiwa pendengar. Begitu juga dengan gaya Kemala dan Baha Zain yang lembut, tetapi sangat menusuk kalbu.
Sayembara deklamasi
Di Malaysia, antara sayembara deklamasi yang popular ialah Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan dan Sayembara Deklamasi Puisi Sempena Bulan Bahasa Kebangsaan.
Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan ini misalnya akan memilih juara-juara deklamator peringkat negeri untuk pertandingan peringkat kebangsaan. Hadiah yang ditawarkan juga adalah sangat lumayan, iaitu RM5,000 untuk johan peringkat kebangsaan, hadiah iringan dan sijil penyertaan.
Teks-teks yang dideklamasikan adalah berpandukan kepada buku yang telah diterbitkan oleh Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) iaitu Lentera Zaman.
Malam baca puisi
Sebenarnya, deklamasi puisi tidak terhad kepada Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan sahaja. Terdapat banyak lagi program baca puisi yang dianjurkan oleh pihak institusi pendidikan (sekolah, IPTA / IPTS, IPGM, Politeknik) dan lain-lain. Antara yang sering berlangsung ialah Malam Baca Puisi PENA di Rumah PENA dan Suara Kuala Lumpur.
Selain itu, terdapat juga majlis baca puisi sempena tema tertentu seperti Baca Puisi Palestin, Baca Puisi Hari Guru, Baca Puisi Anti-Amerika dan lain-lain. Persembahan baca puisi turut diselitkan dalam majlis penyampaian anugerah sastera, misalnya Hadiah e-Sastera.Com (HesCom).