PERSEPSI TERBIAR SEPI - 2
KENAPA memilih untuk terus menganiaya hati sendiri

Membuat keputusan tidak memerlukan ketundukan pada segala hal yang menyakitkan. Bisik-bisik orang. Teguran-teguran yang tidak membina. Kata-kata penuh cela. Jika tidak, hasilnya semakin merosak. Sebab permulaannya pun sudah bernanah. Bertindak kerana terpaksa. Demi sesuatu yang diragukan. Bukan dengan kelapangan hati. Sehingga banyak keutamaan yang memberi manfaat pada diri sendiri terpadam begitu sahaja. Bahkan untuk ummah sekalipun.

Pastikan kita benar-benar tahu apa sebenarnya yang kita tuju. Kita punyai alasan tertentu atas setiap jalan dan corak keputusan yang kita pilih. Tiada yang mahu memahami Biarkan. Pengakhirannya mungkin kita tak terjangka, cuma sekurang-kurangnya kita mengehadkan peluang untuk gagal. Apatah lagi gagal pada permulaan. Gagal kerana asyik memikirkan bisikan-bisikan kosong yang melemahkan pemikiran.

Sebenarnya apa yang kau kejarkan selain kebaikan yang diiktiraf Tuhan Terlalu banyak cara untuk kita mengubati banyak hati yang tersakiti. Tanpa perlu merelakan hati sendiri dilukai. Salah satunya, kebaikan memaafkan.

Tenanglah ketika kita cuba berusaha memahamkan orang lain akan situasi yang kita hadapi, tetapi tiada yang mahu ambil peduli. Persepsi akan larut dengan sendirinya. Air tetap bernama air. Takkan berubah menjadi batu, kayu, daun atau gunung sekalipun. Hitam tahan tempa, putih tahan sesah.

Bukan semua perkara mesti kita pedulikan untuk menjadi manusia yang prihatin. Sebetulnya prihatin pada segala keutamaan yang digariskan Tuhan. Misalnya hidup berjiran, jangan dibiarkan jiran mati kerana kelaparan. Bertemu si miskin, ringankan tangan bersedekah. Memperjuangkan hak seorang Muslim yang dizalimi, pastikan keadilan tertegak. Memimpin sahabat yang mahu berhijrah, tunjukkan dia akhlak seorang Muslim dan baiknya Tuhan memberi keampunan. Mengukuhkan tali persahabatan, kejarkanlah sampai menuju tingkat ithar. Tingkat tertinggi dalam silaturahim.

Keprihatinan yang salah adalah ketika kita sanggup mencela kebaikan yang tersedia kerana kepentingan yang lain. Memandang sesuatu yang lebih jauh untuk dikerjakan, sedangkan amanah yang di tangan langsung tak digerakkan. Imaginasi terlalu tinggi, sehingga sifat rasional untuk membuat pertimbangan tak melekap ke peribadi. Layaklah dijamu peribahasa, mendengarkan guruh di langit, air di tempayan dicurahkan.

Sederhanalah dalam berfikir. Tahu membezakan mana yang betul, mana yang salah. Mana yang sepatutnya didahulukan, mana yang harus ditangguhkan. Memisahkan kejahatan dan pendirian yang curang.

Ketika mahu berbaik sangka, biarkan hati nikmati rasa lapang yang benar-benar lapang. Bukan ada rasa musykil seolah-olah ada bayang-bayang belati yang akan muncul kemudian hari. Berbaik sangka jangan kerana didesak-desak, tapi kerana yakin perhitungan Rab selalu dalam ketetapan yang terbaik.

Berkata Imam al-Ghazali dalam kitab al-Maqsad al-Asna, Seorang hamba yang ingin meniru sifat alRahman ialah dengan cara menyayangi semua hamba Allah yang lalai lalu mengembalikan mereka kepada jalan Allah dengan nasihat dan kelembutan, bukan dengan kekasaran. Dia selalu melihat kepada orang yang bermaksiat dengan mata rahmat, bukan mata hinaan.

Terdapat dua kisah teladan yang setiap satunya menegur tentang corak pemikiran masyarakat. Persepsi yang akhirnya terjawab oleh segala yang tersembunyi. Penceritaan yang jarang-jarang didengar kerana duduknya dalam karya klasik dan sejarah. Kisah yang pertama adalah mengenai seorang soleh bernama Silah yang berhadapan dengan seekor Singa ketika sedang menunaikan solat. Kisah ini dipetik daripada majalah Solusi isu Ruginya Hidup Tanpa Makrifatullah. Kisah kedua pula dirumuskan daripada kitab sastera hikayat, Syair Raja Tedung dengan Raja Katak.