SAINS-LAH! - 2
Nanti dah habis belajar,bolehlah buat bom

Itu adalah antara tanggapan pertama yang diberi oleh jiran apabila saya mengatakan yang saya belajar dalam bidang kimia. Pemikiran orang dahulu yang mengaitkan kimia dan bom tidak begitu menghairankan kerana terhadnya pendedahan terhadap ilmu-ilmu sains semasa. Mereka tidak menyedari yang kehidupan seharian mereka juga bermula dengan kimia. Dalam lagu popular kanak-kanak; bangun pagi, gosok gigi, cuci muka sudah mencerminkan kegunaan bahan kimia dalam permulaan hidupan harian kita. Ubat gigi adalah sejenis alkali yang mengandungi bahan aktif seperti fluoride dan kalsium. Prinsip penggunaan ubat gigi berdasarkan prinsip peneutralan asid dalam mulut kita.

Sejak kecil, minat saya pada bidang sains bermula apabila mempelajari mata pelajaran Alam dan Manusia. Walaupun subjek ini tidak termasuk dalam penilaian untuk Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), minat saya pada subjek ini membuatkan saya tekun dalam mempelajari segala penerangan dan pengajaran yang diajarkan oleh guru.

Apabila memasuki sekolah menengah dan mula mengenali sains, saya mula meminati bidang sains terutama apabila melibatkan pembelajaran bidang kimia. Rasa takjub apabila melihat perubahan-perubahan warna apabila dua jenis bahan kimia dicampur dalam proses pentitratan, dan pembentukan hablur kuprum. Walaupun menulis laporan makmal adalah sedikit membosankan, tapi minat saya dalam proses kimia tetap membara.

Apabila memasuki aliran sains untuk peperiksaan SPM, minat saya kepada kimia masih lagi menebal. Tetapi yang merancakkan minat saya terhadap bidang kimia adalah siri animasi Fullmetal Alchemist.

Alkimia, Animasi dan Motivasi

Siri animasi Fullmetal Alchemist, berlatarbelakangkan pada zaman pertengahan. Alkimia adalah bidang ilmu yang menjadi asas pada ilmu kimia zaman moden. Pada zaman kegemilangan alkimia, ilmu ini dianggap sebagai ilmu yang mistik dan melibatkan alam ghaib. Berbalik kepada animasi Fullmetal Alchemist, kisah animasi ini mengisahkan dua orang adik beradik, iaitu Edward dan Alphonse Elric yang cuba menghidupkan kembali ibu mereka menggunakan ilmu kimia kuno. Asas dalam ilmu kimia kuno adalah prinsip pertukaran setara. Walaupun masih kecil, adik beradik Elric sudah mahir dalam alkimia dan telah melakukan proses untuk menghidupkan kembali ibu mereka. Apa yang mereka tidak tahu, adalah ilmu ini tidak boleh dilakukan untuk penghidupan semula manusia. Akibatnya, badan Alphonse hilang dan Edward terpaksa mengorbankan tangan dan kakinya untuk mengikat kembali semangat roh Alphonse kepada perisai besi. Seterusnya mereka mengembara untuk mencari Batu Falsafah untuk mengembalikan tubuh mereka kepada normal. Dalam animasi ini, ahli alkimia diiktiraf sebagai golongan intelektual yang tinggi tahapnya sehingga ada pangkat diwujudkan sebagai Ahli Alkimia Negara.

Mungkin kita akan menganggap bahawa ilmu alkimia ini adalah mengarut, tetapi ramai tidak tahu bahawa ilmu alkimia memang betul-betul wujud dan banyak jasanya kepada ilmu kimia moden. Matlamat ilmu alkimia pada zaman pertengahan adalah untuk mencari cara menukarkan logam biasa menjadi emas. Bahan utama untuk proses ini adalah batu falsafah (Philosophers Stone). Matlamat lain ilmu alkimia adalah untuk mencipta jus untuk hidup kekal abadi

(Elixir of Life).

Buku The Alchemist oleh Paulo Coelho juga menggunakan latar belakang zaman pertengahan. Buku ini adalah mahakarya beliau dan telah menginspirasi ramai pemuda dan pemudi untuk mengejar impian mereka. Antara katakata yang terdapat dalam buku tersebut yang masih saya pegang adalah:

People are capable at any time in their lives, of doing what they dream of.

When you want something, all the Universe conspires in helping you to achieve it.

Ilmu alkimia bukan asing pada saintis pada zaman keagungan Islam. Jabir ibn Hayyan dan Muhammad ibn Zakariyya Razi adalah antara tokoh hebat dalam bidang ini. Nama ini lebih dikenali di barat sebagai Geber dan Rhazes. Ilmu alkimia mempunyai sejarah yang panjang dan catatan alkimia terawal adalah dikesan pada zaman Greek. Dari ilmu alkimia, kita boleh pelajari yang walaupun satu ilmu itu kedengaran seperti ilmu yang sesat, tetapi sumbangannya pada zaman ini adalah tidak dapat dinafikan dalam bidang ekperimentasi.

Jadual Berkala dan Cerita Pak Mat: Satu Kenangan

Apabila baru berkenalan dengan jadual berkala, saya merasa takjub kerana memahami bagaimana terbentuknya jadual berkala tersebut yang pada zaman awalnya. Pada zaman Plato, jadual berkala hanyalah meliputi Tanah, Air, Udara dan Api sehinggalah pembentukan jadual berkala moden yang meliputi 114 unsur.

Dalam bidang sains, hafalan adalah satu cara yang selalu diajarkan oleh para guru. Pelbagai cerita digunakan oleh guru-guru dari cerita Pak Mat untuk menghafal proses mitosis sel dan cerita Mary untuk menghafal kumpulan tertentu dalam jadual berkala.

Situasi ini bukanlah perkara yang pelik dan hanya terdapat di Malaysia sahaja. Prof Pervez Hoodbhoy, seorang pakar dalam bidang fizik nuklear dari Pakistan dalam bukunya yang bertajuk Science and Islam pernah berkongsi pengalamannya terdengar cara guru mengajar kimia organik dengan mengunakan kaedah jeritan dan ulangan seperti berzikir. Prof Hoodbhoy juga mengatakan kaedah hafalan dalam pembelajaran kontemporari boleh dikesan dari sistem pendidikan tradisional, di mana ilmu diperolehi bukannya di terokai dan di mana minda adalah pasif dan menerima bulat-bulat daripada menggunakan minda secara kreatif dan suka menyelidik.

Kaedah hafalan dalam pembelajaran sains dan teknologi tidaklah sesuai dalam era teknologi maklumat. Ilmu hanyalah di hujung jari, tetapi yang membezakan adalah kreativiti dan inovasi. Cara pengajaran harus dipelbagaikan untuk menarik minat golongan kanak-kanak untuk mempelajari sains.

Kimia Analisis Dan Sola Dosis Facit Venenum

Kimia analisis boleh dibahagikan kepada dua cabang iaitu analisis kualitatif dan analisis kuantitatif. Analisis kualitatif adalah untuk pengenalpastian unsur kimia dalam sampel dan analisis kuantitatif adalah pengenalapastian kuantiti unsur kimia dalam sampel. Kimia analisis pada zaman moden banyak menggunakan peralatan canggih seperti HPLC, AAS, AES. Jika anda adalah peminat tegar rancangan penyiasatan seperti Crime Scene Investigation, anda akan melihat banyak teknik dan peralatan yang digunakan adalah peralatan seperti yang saya sebutkan tadi. Di Malaysia, Jabatan Kimia Malaysia menyediakan perkhidmatan untuk identifikasi dan analisis dadah-dadah berbahaya (narkotik), DNA forensic, kriminalistik, toksikologi dan dokumen analisis. Walaupun mungkin tidak popular seperti siri CSI, Jabatan Kimia Malaysia telah membantu dalam menyelesaikan banyak keskes berprofil tinggi.

Siri CSI telah banyak membantu mempromosikan kimia forensik dan bidang toksikologi. Namun begitu, siri ini banyak menimbulkan kontroversi kerana pendedahan teknik-teknik forensik yang membolehkan penjenayah mengetahui cara untuk mengelakkan dari meninggalkan bukti di tempat kejadian.

Toksikologi adalah bidang saintifik tentang kajian racun yang memberi fokus kepada kesan-kesan bahan kimia yang tidak diingini ke atas organisma hidup. Paracelcus, pengasas kepada ilmu toksikologi pernah berkata The dose makes the poison. Dalam bahasa mudahnya, racun boleh menjadi penawar dan sebaliknya bergantung kepada kuantiti. Dalam dunia yang semakin dibanjiri dengan ubat-ubatan, bidang toksikologi semakin penting dan ini diakui oleh Pengerusi Majlis Professor Negara, Professor Emeritus, Dato Dr Zakri Abdul Hamid semasa merasmikan Kongres Toksikologi Kebangsaan 2012.

Kimia analisis dan toksikologi adalah bidang yang menjadi pilihan saya sekarang. Mungkin suatu hari nanti saya akan memilih bidang ini untuk melanjutkan pengajian saya.

Wawasan 2020 , Sains Dan Teknologi

Dalam lima tahun lagi, tahun 2020 akan menjelma tiba dan Wawasan 2020 yang diperkenalkan pada tahun 1991 akan menemui penghujungnya. Objektif Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia negara maju menjelang tahun 2020 dengan acuan sendiri. Terdapat sembilan cabaran yang harus dilalui dan antara cabaran yang melibatkan sains dan teknologi adalah cabaran keenam iaitu:

Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, mempunyai daya perubahan tinggi dan memandang ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga menyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan

Menurut Dasar Pembangunan Sumber Manusia mengenai pembangunan tenaga kerja yang melibatkan sains & teknologi iaitu:

Menambahkan bekalan tenaga kerja S&T. Kapasiti program pendidikan dan latihan S&T akan dibesarkan lagi dan pendaftaran akan ditambah untuk mencapai nisbah 60:40 pelajar Sains kepada Sastera bagi mewujudkan jumlah kritikal bagi kakitangan S&T yang diperlukan.

Menurut data dari Kementerian Pendididikan Malaysia, pada tahun 2013 hanya 30% pelajar sahaja yang memilih aliran sains. Fakta ini adalah membimbangkan jika Malaysia mahu menjadi negara peneraju dalam sains dan teknologi. Sektor swasta adalah sektor yang paling banyak menawarkan peluang pekerjaan untuk bakal graduan sains dan teknologi. Dengan Malaysia yang eksport utamanya adalah dari sektor pembuatan, iaitu 72.1%, sektor ini adalah penyumbang pendapatan eksport terbesar sebanyak RM460.96 bilion (DOSM,2010). Tanpa ilmu sains dan teknologi, Malaysia tidak akan berjaya untuk menghadapi cabaran dari pesaing untuk mencapai matlamat Wawasan 2020.

Di sini pentingnya ilmu sains dan teknologi.Walaupun indeks PISA kita semakin menurun, tetapi perancangan kerajaan untuk melaksanakan Dual Language Programme (DLP) untuk pengajaran sains dan matematik hanya akan mewujudkan kelas elit dalam sistem persekolahan negara. Alasan mahu meningkatkan penguasaan sains dan teknologi dengan pengenalan dalam bahasa Inggeris adalah satu retorik tanpa fakta yang kukuh.

Memetik laporan Bernama bertarikh 10 Ogos 2015,dari jumlah calon yang berjaya mendapat tempat ke IPTA, 23,883 (59.06 %) adalah aliran Sains dan 16,555 (40.94 %) daripada aliran Sastera. Sejumlah 12,391 (30.64 %) adalah lelaki manakala 28,047 (69.36 %) perempuan.

Penutup

Dalam buku Budaya Ilmu, Prof Wan Mohd Nor menyatakan pada zaman ini, pendidikan dijadikan hanya sebagai alat untuk mendapatkan pekerjaan dan status sosial. Seharusnya pencarian ilmu bukannya sekadar untuk mendapatkan wang sahaja. Ramai ahli sains pada zaman kegemilangan Islam dan Renaissance bukanlah seorang yang hanya menumpukan kepada satu bidang sahaja dan ada juga yang menjadikan sains sekadar hobi tetapi pengetahuan mereka dalam bidang sains melebihi ilmu yang ada pada saintis terkenal pada zaman kini. Mereka ini dikenali sebagai polymaths kerana kemampuan menguasai lebih dari satu bidang ilmu. Antara tokoh polymath terkenal adalah seperti Sir Isaac Newton, Benjamin Franklin, Al Khawarizmi dan Ibnu Sina. Immanuel Kant yang popular dengan eseinya yang bertajuk What Is Enlightment (Apa Itu Pencerahan) juga seorang polymath. Jangan kita lupa, Brian May gitaris dari kumpulan rock lagenda Queen yang popular dengan lagu Bohemian Rhapsody juga boleh digelar sebagai polymath: beliau mempunyai PhD dari Imperial College London dalam bidang Astrofizik !

Sains adalah bidang yang mengasyikkan. Penemuanpenemuan terbaru dalam bidang sains telah membantu memudahkan kehidupan manusia. Tetapi penemuan bergantung pada sifat ingin tahu manusia. Sifat ingin tahu manusia telah mencipta banyak benda. Minat pelajar terhadap sains harus dipupuk jika Malaysia mahu menjadi negara maju menjelang 2020. Bagaimanpun, kita tidak harus membataskan ilmu kita hanya pada sains sahaja jika kita adalah seorang graduan atau pelajar sains. Ilmu itu luas dan selagi nyawa dikandung badan,jangan berhenti belajar. Seperti ungkapan: Tuntutlah ilmu sejak dari buaian hingga ke liang lahat

Biodata

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kimia Analisis Dan Persekitaran). Sekarang bekerja di sektor pembuatan. Selain menulis mengenai Sains, juga menulis mengenai bidang sastera. Artikel-artikel pernah diterbitkan di Berita Harian, Dewan Masyarakat, RoketKini, MalaysianInsider dan RepublikBuku. Menganggap sastera dan sains harus bersatu untuk mencipta manusia yang seimbang.