PADA MULANYA ADAAPA
Untuk memulakan pengenalan ini, aku perlu membawa kau ke tempat dimana segalanya bermula, iaitu di salah sebuah negara kota Tamadun Yunani sekitar tahun 500 SM. Dan, memandangkan perjalanan kita akan merentas dimensi masa, maka vertigo tidak dapat dielakkan. Kau akan merasa sedikit pening dan terpinga-pinga, dan kau mungkin akan terus mahu memaut kepada realiti yang biasa, tetapi aku pohon, bersabar sedikit. Sebab seperti semua ribut dan taufan, di hujung nya akan ada langit yang cerah (macam lagu Youll Never Walk Alone).
Ok. Kita mula.
Sekarang, kau adalah seorang pemuda yang tinggal di Tamadun Yunani pada tahun 500 SM, Sebelum Masihi. Masihi di sini merujuk kepada Isa al-Masih, ataupun Nabi Isa/ Jesus Kristus. Maka ini adalah zaman sebelum agama paling popular di dunia, agama Kristian diturunkan. Maka tak heranlah, pada masa itu Tamadun Yunani mempunyai agama yang punyai banyak tuhan-tuhan. Dan tiap tuhan/dewa ini punyai mitos nya sendiri.
Katakanlah, kau hidup pada tahun 500 SM, (dan ini sebelum adanya ilmu mengenai atom,jisim-misim, proton-moton dan kau duduk di bandar Athens. Kau amat beruntung sebab lahirnya kau bukan dalam kelas paling bawah, iaitu hamba. Kalau kau hamba, kau tidak punyai kebebasan atau peluang untuk ke sekolah (sebenarnya begitu juga kalau kau perempuan, sebab pada masa itu, wanita tidak punyai hak seperti lelaki, ) .Dan di sekolah, seperti orang-orang Yunani lain, kau diajar ilmu matematik, ilmu astronomi, botani, gimnastik, dan musik. Dan yang paling penting ialah kelas sastera, dimana kau diajar mitos-mitos mengenai dewa-dewi, yang perempuan (Aphrodite dan Hera sebagai contoh), yang lelaki (Zeus dan Hades), yang manusia kacukan Tuhan pun ada (seperti Hercules).
Dan kepada dewa-dewi ini lah masyarakat sekeliling kau berdoa jika berlaku apa-apa. Dewa dewi ini juga yang mengatur dunia, dan agak hebat dewa-dewi ini, walaupun selalu bermain, beromancinta, bergaduh, mengelamun dan bergosip, dunia manusia masih berjalan dengan lancar.
Tapi itu cerita dunia tuhan.
Kembali ke sekolah, satu hari bila di sekolah di Athens sekitar tahun 500 SM, kau terdengar sekelompok pelajar yang sedang membincangkan sesuatu. Kau datang dekat, kau dapati mereka sebenarnya sedang bertelagah. Dan kau tanya mereka, apa isu yang digaduhkan ini
Mereka menjawab, mereka sedang bertengkar mengenai apakah itu Aarkhe ,unsur yang pertama-tama sekali yang tuhan buat di dunia ini Bahan-bahan disekeliling ini, sudah tentu datang dari bahan yang utama, dari mana munculnya bahan-bahan yang lain,apakah bahan ataupun Aarkhe tersebut
Huh Kau terkedu seketika. Dari mana tiba-tiba datang topik maha berat ini
Agak menarik. Dan mengapa benda ini penting Dan bagaimana mereka boleh terfikir mengenai perkara ini
Perihal Aarkhe
Lalu seorang dari mereka berkata,
Takkan kau tak pernah terpikir pasal benda ni. Bila kau merenung ke luar jendela, bayu pagi meniup lembut, kau nampak pokok-pokok (sebab hari siang mana ada bintang yang nampak selain matahari). Ada yang tinggi, ada yang renek, ada yang sudah tua, ada yang masih hijau. Kau sedar bahawa pokok akan mati, dan pokok lain akan hidup semula. Kau melihat bahawa benda-benda di dunia ini semuanya mengalami perubahan. Lalu kau tertanya, pokok yang mati akan meninggalkan apa, pokok yang hidup, hidup dari apa Apa satu unsur atau aarkhe yang membuat pokok itu, dimana aarkhe ini sendiri tidak berubah Adakah aarkhe yang membuat pokok ada juga dalam meja yang dihasilkan dari pokok Disinilah kami mempunyai perbezaan pendapat mengenai unsur yang membuat segalanya (aarkhe) itu. Aku mengikut kata Thales, yang mengatakan bahawa aarkhe adalah air. Kalau kau lihat, pokok memerlukan air, air inilah yang menjadikan pokok, sebab kalau kau tusuk pisau ke daun pokok ini, akan ada air yang keluar darinya,kau lihat kau sendiri juga terhasil dari air, iaitu air mani! Pokok akan mengalami perubahan, kau mengalamai perubahan, tetapi air tetap tidak berubah, sebab dialah asas kepada semua!
Seorang lagi pemuda yang ada di situ pantas berdiri dan mengangkat dan menggerakkan jarinya tanda tidak setuju, dan berkata dengan suara yang tegas,
Bukan, bukan air yang menghasilkan segalanya, Anaximenes cakap udara lah aarkhe ! Udara boleh dijadikan air, dan jika disejukkan boleh menjadi pepejal! Dan pepejal ini boleh dijadikan udara semula jika kau panaskannya, kau lihat, perkara-perkara ini boleh berubah, tapi udara sebagai asasnya tidak berubah, maka udara lah bahan asal seluruh kosmos ini, yang membuat engkau, engkau, dan aku!
Thales Anaximenes Air ataupun udara Ketika kau masih menghadam apa yang dikatakan, seorang lagi pemuda yang dari awalnya duduk, tersenyum. Kini tiba masa dia pula bersuara. Masih lagi duduk, dia berucap,
Noob..noob kau orang semua ini. Thales, dan Anaximenes pemikir lama, yang sudah tidak ada. Idea mereka lapuk. Mereka fikir bahawa semuanya berubah, termasuklah si Heraclitus dan Cratylus, yang baginya semua benda di sekeliling kita sentiasa berada dalam proses perubahan. Cratylus malahan berfikir yang kau tidak akan dapat memasukkan kaki kedalam sungai yang sama walaupun pada kali pertama, kerana tiada yang berterusan/stabil. Semuanya, hatta air sungai pada satu saat itu tidak duduk di tempat sama di saat itu, kerana ianya berubah! Fahaman apa ini Kalau semua benda berubah kenapa kita nampak bangunan sekolah kita stabil dan tidak runtuh ataupun akan berubah bentuk menjadi lain
Mari aku sampaikan apa yang Parmenides ajar. Semua, SEMUANYA sekali yang kau nampak berubah, sebenarnya tidaklah berubah. Ya, tiada perubahan yang berlaku walaupun panca indera-panca indera kita berkata sebaliknya. Kerana perubahan itu sediri tidak logik kalau difikirkan. Kau dengar baik-baik apa yang Parmenides ajarkan,
Apa yang wujud, mustahil untuk ia tidak wujud.
Apa yang tidak wujud, maka wajiblah ia tidak wujud.
Apa yang wujud, boleh (mampu) difikirkan,
Apa yang wujud, tidak boleh (tidak mampu) difikirkan.
Korang setuju Baiklah, aku teruskan. Perubahan bermaksud, sebagai contoh, pokok yang daunnya berubah dari hijau kepada kuning, sesuatu yang asalnya ada, iaitu warna hijau, sekarang sudah tiada. Warna hijau, menjadi hilang, dan masuk ke dunia tiada/tidak wujud. Tetapi, tadi kita sudah setuju bahawa apa yang tiada, tidak boleh difikirkan. Jadi, persoalannya, bagaimana sesuatu yang wujud, boleh melepasi ke dunia yang tidak wujud, iaitu tidak wujudnya apa-apa, dan tidak mampu difikirkan manusia Benda yang sudah tiada, sepatutnya, seperti yang kita persetujui, tidak dapat kita fikirkan, sebab ianya tiada. Bagaimana kita boleh membolehkan perubahan, sesuatu yang pindah dari dunia wujud kepada tidak wujud, dan juga sebaliknya. Sepatutnya, dari dunia tidak wujud, tiada apa-apa yang dapat masuk kepada dunia wujud, kerana tiada apa-apa dalam dunia tidak wujud. Dunia tidak wujud itu tidak ada! Maka, perubahan dari wujud kepada tidak wujud,dan sebaliknya sebenarnya tidak berlaku. Maka, tiada perubahan pada dasarnya berlaku. Yang kita nampak perubahan dari warna hijau kepada kuning itu ilusi. Panca indera kita yang membohongi kita. Maka, Aarkhe , seperti kata Parmenides adalah sesuatu yang Wujud itu sahaja, tiada yang lain!
Dan disini, kau bolehlah bangun dan berkata ,
APA KEJADAH
Dan sebelum sempat kau berkata apa-apa lagi yang lebih serius kadar carutannya, aku tekap mulut kau, dan aku ucapkan, selamat datang ke dunia falsafah.