MENUJU NAFAS TERAKHIR - 2
Eh, kenapa kau tak beratur sekali ramai-ramai tanya saya pada seorang lelaki, sebaya saya ketika itu. Pelajar-pelajar darjah dua dihimpun dan dibariskan sekali di dalam satu barisan. Tetapi seorang lelaki, yang namanya masih belum diketahui saya, sedang duduk seorang diri dan bersandar di dinding dewan.

Aku budak baru, katanya perlahan.

Cikgu tak bagi aku beratur, sambungnya lagi. Saya kehairanan. Dan sebelum sempat saya bertanya kenapa, dia menjawab.

Aku baru sunat, ohhhhhhh, saya mengangguk perlahan. Selepas kami berborak seketika, baru lah saya tahu bahawa pelajar baru itu bernama Amir. Amir Nasuha. Dari mana beliau datang, di mana sekolah terakhir beliau sebelum masuk mendaftar di sekolah saya, tidak pula diberitahu. Kami hanya berborak tentang perkara yang biasa-biasa dan tidak pula tentang subjek-subjek yang berat.

Sewaktu saya menuntut di situ sebagai pelajar darjah dua, saya mempunyai seorang abang dan seorang kakak yang turut belajar di sekolah rendah yang sama. Kakak di tahun enam, dan abang di tahun lima. Mereka berdua berada di sesi pagi. Saya pula di sesi petang. Sekolah kami tidak seperti kebanyakan sekolah lain yang hanya mempunyai satu sesi sahaja. Mungkin sekolah kami sedikit kecil dan tidak mampu menampung pelajar dalam jumlah yang banyak dalam satu sesi. Hurm. Mungkin juga sangat kecil.

Perkara paling banyak menimbulkan carutan di dalam hati saya adalah apabila terserempak dengan abang dan kakak dalam waktu persekolahan. Seperti kanak-kanak yang lain, saya sangat-sangat lasak dan nakal. Ketika waktu rehat, saya biasanya akan berkejarkejaran dengan rakan-rakan yang lain. Perkara ini mungkin tidak disenangi oleh kakak. Apabila tiba di rumah, dia akan memarahi saya sekiranya ternampak perbuatan saya di sekolah perbuatan yang tidak menyenangkan hatinya. Sekiranya tidak begitu, dia akan sekadar menarik muka dan mendiamkan diri. Saya tidak suka akan situasi sebegitu. Ianya seperti menolak dada saya ke dalam, kuat-kuat.

Sekiranya terjumpa abang pula, saya akan bersembunyi di sebalik dinding atau berpura-pura tidak perasan akan dirinya. Tetapi, biasanya perbuatan saya itu akan disedari oleh rakan-rakannya atau dirinya sendiri. Dia akan datang menghampiri saya dan mengusik saya di depan rakan-rakannya. Jarang sekali dia mengasari saya. Tetapi, usikan itu membuatkan rakan-rakannya ketawa dan saya akan berasa sangat malu kerana pada waktu itu, rakan-rakan saya juga berada berdekatan dengan saya. Sedikit demi sedikit rahsia hidup saya terbongkar akibat usikan abang.

Abang saya ini menghidap penyakit jantung. Kata ayah, abang tidak boleh dan tidak dibenarkan untuk minum air berkarbonat. Entah mengapa ayah melarang abang berbuat begitu, saya langsung tidak tahu. Saya tidak tahu sama ada air berkarbonat boleh meninggalkan sebarang kesan kepada kesihatan abang. Tetapi di belakang ayah, abang kadang-kala mengingkari perintah ini. Selalu juga saya ternampak abang memegang tin minuman berkarbonat di sekolah. Oleh itu, sebagai satu langkah membalas dendam terhadap perbuatan abang yang selalu membuli saya, saya akan mengadu perihal abang meminum air berkarbonat kepada ibu. Ibu pula, dengan perlahan, akan menegur abang dan tidak langsung memberitahu ayah.

Teguran yang perlahan itu, yang lembut itu membuatkan abang terus melakukan perbuatan yang sama, yang dilarang ayah dan ibu.

Pada suatu hari, saya dipanggil oleh seorang guru, Cikgu Nordin. Cikgu Nordin adalah seorang guru displin di sekolah kami. Badannya tegap dan kulitnya agak gelap. Mungkin kerana sering sahaja berjemur di tengah panas. Saya selalu terbayang bahawa keadaan Cikgu Nordin pada waktu kecilnya sangat susah. Maksud susah saya ini adalah keadaan ekonomi keluarganya. Imaginasi itu barangkali ada kena mengena dengan fizikal tubuh badannya sendiri.

Bukanlah satu-satunya pelajar yang dipanggil oleh Cikgu Nordin pada hari itu, ialah saya seorang. Ramai lagi pelajar sebaya saya pada waktu itu turut diajak ke dewan utama. Berdebar. Selepas diberitahu tentang panggilan itu, saya berasa tidak senang. Akal saya terus-menerus memikirkan tentang apakah kesalahan yang telah saya lakukan. Cikgu Nordin tersenyum memandang kami. Itu kebiasaannya. Sentiasa tersenyum dan tidak henti-henti. Saya tidak pernah menjumpai guru displin sebegitu. Sungguh, beliau tegas dalam kelucuan.

Ah, berita baik, katanya. Dia memandang kami. Ucapan yang terpancul dari mulutnya selepas itu menyampaikan berita yang menyenangkan. Darah dari muka yang semenjak awal-awal tadi masih mengeras di situ, terus mengalir seperti biasa. Saya pulang ke rumah pada hari itu, dengan perasaan yang tidak sabar. Sudah tentu saya ingin memberitahu perkara yang menyeronokkan itu kepada ibu. Saya membuat mimik muka seperti kebiasaannya apabila sudah sampai di rumah.

Cadangnya, saya ingin menjadikan berita gembira itu satu kejutan untuk ibu. Entah. Apabila ibu melihat tanda nama yang diberi oleh Cikgu Nordin, wajahnya biasa-biasa. Seperti tiada apa-apa. Seperti semua anak-anaknya sama.

Bagus. Tapi, belajar jangan lupa, kata ibu. Belajar jangan lupa adalah satu perkataan rasmi setiap kali saya melakukan perkara yang saya gemari. Kerana apa yang saya gemari, ibu dan ayah tidak begitu menyukainya. Kata mereka, ia menjejaskan pelajaran. Saya tidak tahu mengapa saya selalu sahaja berbeza dengan ibu dan ayah. Apa yang saya suka, pasti ibu dan ayah tidak suka.

Hari esok bermula seperti biasa. Bangun pagi, mandi, makan sarapan dan ke sekolah. Tapi, pada hari itu saya memakai tanda nama yang diberikan oleh Cikgu Nordin semalamnya. Tanda nama itu tidak tertulis nama saya. Ianya istimewa, kata Cikgu Nordin. Ianya hanya dipakai oleh pelajar yang terpilih sahaja. Itulah yang membuatkan saya gembira. Istimewa.

Di atas tanda nama itu tertulis CALON PENGAWAS. Ya. Untuk tahun hadapan.

2 Setia nama kelas yang diminta untuk saya duduki tahun itu. Kelas itu berada di kelas yang ketiga. Ketiga cerdik atau apa, tidak saya ketahui. Guru kelas adalah seorang perempuan Norhazawati. Puan Hazawati singkatan untuk memanggilnya dengan membuang nama Nor yang dirapatkan bapanya semasa menulis kad kelahirannya sewaktu dahulu adalah seorang isteri dan seorang ibu. Beliau mengajar saya dan rakan-rakan sekelas mata pelajaran Matematik. Jarang-jarang sekali untuk saya melihatnya tersenyum. Kerenahnya sama sahaja seperti guru kelas sewaktu saya di darjah satu, Puan Azaedah. Dan mungkin kebetulan, Puan Azaedah juga mengajar subjek Matematik.

Ada satu keanehan pada Puan Hazawati yang tidak ada pada Puan Azaedah. Dan keanehan inilah yang menimbulkan kelucuan pada kami sekelas. Pada sesuatu masa, dia akan membawa anaknya ke sekolah. Anak lelakinya tidak lah sebesar mana. Mungkin pada waktu itu, baru berumur lima atau enam tahun. Sekiranya dia mengajar di kelas, dia akan membaringkan anaknya yang nakal itu di atas meja yang sudah disambung-sambung.

Saya dan rakan-rakan akan duduk rapat-rapat dan saling berkongsi meja untuk menulis. Puan Hazawati pula akan menconteng papan hitam dengan soalan-soalan, seterusnya kembali kepada anaknya yang sedang terbaring menunggunya. Setiap kali anak kecil itu dibaringkan, dia tidak akan tidur terus. Matanya memandangmandang kami yang cuba menjawab soalan yang diberi. Berkalikali dipujuk supaya tidur, barulah ia akan tidur. Itu pun selepas dikipas oleh ibunya berkali-kali. Panas, mungkin. Kami juga panas. Malangnya, kami tidak seuntung anaknya.

Di kelas 2 Maju, bersebelahan dengan kelas saya, ada seorang pelajar perempuan yang sangat comel. Nuriana Balqis namanya. Saya yakin, bahawa setiap pelajar lelaki yang sebaya dengan saya sangat-sangat meminatinya. Tapi, pada umur yang semuda itu, kami tidak lagi kenal benar dengan erti cinta. Cinta yang dimaksudkan adalah cinta dari seorang lelaki kepada perempuan bukan mahram atau sebaliknya. Bukan juga cinta dari seorang lelaki kepada perempuan bukan mahram yang dianggap kawan atau sebaliknya. Tapi, cinta yang Ah. Sulit. Beginilah keadaan saya pada darjah dua yang sudah pandai mengucapkan sulit tentang cinta.

Kami selalu terasa suka pada seseorang, tetapi kami tidak tahu bagaimana ingin mentafsirkannya. Perkataan couple atau satu lafaz tentang perasaan itu pun belum kami ketahui. Yang saya ingat, suatu ayat yang dapat mengubah seluruh kehidupan saya pada waktu itu adalah - I love You. Ah. Bagaimana perkataan itu harus saya lafazkan sedangkan Balqis entah kenal entah tidak terhadap saya. Saya tidak fikir bahawa saya ini terlalu muda untuk bercinta. Kerana perkara lebih berat untuk difikirkan pada kanak-kanak berusia lapan tahun adalah bagaimana ingin menghadapinya selepas itu.

Disebabkan itu, Balqis seorang kanak-kanak sebaya yang kadangkadang memakai baju kurung, kadang-kadang skirt paras lutut, berkulit putih kemerah-merahan, bermuka bulat, dan rambutnya yang separas bahu, saya lupakan. Saya lupakan walaupun harihari selepas saya membuat keputusan untuk meninggalkan fikiran itu, saya masih lagi mengingatinya sebagai sesuatu yang indah. Saya lupakan walaupun tahun-tahun selepas itu masih saya memandangnya dari jauh.

Akhir 2001, sewaktu cuti akhir tahun, saya dan abang saya yang berusia sebelas tahun itu dikehendaki oleh ayah untuk berkhatan. Takut. Tapi, apabila mendengar cerita bahawa sakitnya khatan hanya sekadar seperti digigit semut api, saya menjadi berani. Lagipun, ramai dari rakan-rakan saya sudah pun berkhatan. Saya terasa tercabar setiap kali disoal oleh guru-guru di dalam kelas, lebih-lebih lagi ustazah. Kata ustazah, lelaki yang sudah berkhatan adalah lelaki yang sudah dewasa. Orang dewasa banyak tanggungjawabnya. Terutamanya tanggungjawap pada diri sendiri. Saya tak mengerti tentang kenyataan itu. Dari apa yang saya perhatikan, orang dewasa lebih banyak meninggalkan tanggungjawab dari memelihara tanggungjawab mereka.

Subuh-subuh lagi ibu menjagakan kami dari tidur. Pagi itu terasa lain. Terasa seperti bangun dari tidur apabila tiba 1 Syawal. Terasa gembira kerana tidak lagi perlu menahan lapar. Tapi gembira itu tidak sepenuhnya sama tentang Aidilfitri. Kerana perasaan gembira itu juga menimbulkan ketakutan yang amat sangat.

Saya mengejutkan abang dari tidurnya. Dia juga seperti saya. Tidak banyak kerenah, terus bangun dari katil dan menyiapkan diri untuk ke hospital. Di sana, saya terjumpa dengan seorang rakan sekelas di sekolah, Fardian. Dia juga seperti saya, ingin berkhatan. Kami sama-sama duduk di bangku panjang dan menunggu giliran. Saya lebih tenang berbanding abang kerana saya mempunyai teman. Abang hanya duduk diam dan menggengam tangannya sendiri.

Saya dan Fardian berlari ke sini, berjalan ke sana sehingga terlupa apa yang bakal terjadi. Bau ubat-ubatan di hospital itu langsung tidak menganggu perasaan kecil saya dan Fardian. Dia mempengaruhi saya untuk berlaku gembira. Begitu juga saya, mempengaruhinya untuk melupakan apa yang akan tiba. Apa yang dapat mendiamkan kami untuk sejenak adalah jeritan kecil kanak-kanak yang dibuat-buat. Mereka adalah kanak-kanak yang sudah selesai dikhatankan.

Tapi, pak cik saya yang saya gelarkan Ayah Chik ada memberitahu, sekiranya saya sudah berkhatan, saya bukan lagi kanak-kanak. Saya sudah dewasa. Saya pasti, ramai lagi orang di luar sana digunakan ayat yang serupa untuk dipujuk supaya pergi berkhatan. Klise. Dan itulah realitinya kehidupan. Namun begitu, sesudah berkhatan kemudiannya, apabila saya mulai berjinak-jinak membuat keputusan sendiri, dan keputusan itu pula barangkali salah, saya dimarahi. Apabila pembantahan terhadap keputusan saya itu dibangkitkan, mereka ibu, ayah dan abang serta kakak biasanya akan berkata;

Kau budak-budak. Kau tahu apa

Bukankah saya sudah dewasa Mereka bilang saya dewasa. Saya bukan lagi kanak-kanak atau budak-budak. Itu apa yang mereka pernah katakan. Ini penipuan. Dan saya belajar untuk menipu juga, dari pengalaman yang dilahirkan itu. Mungkin kecil. Tapi, koleksi dari yang kecil itulah bakal menghasilkan sesuatu yang besar. Dan bermakna.

Saya dibaringkan di atas katil. Cahaya lampu menyilaukan mata. Sebelum itu, saya diminta untuk menanggalkan semua pakaian yang dipakai. Kemudian, saya hanya diberi sepasang baju yang labuh hingga ke lutut, berwarna hijau. Atas sedikit dari lutut, terdapat lubang kecil.

Ianya berlaku terlalu pantas. Jarum suntikan, laser, bau hangit kulit, jeritan kecil abang di sebelah, benang, dan malunya perasaan saya ketika itu kerana menunjukkan sesuatu yang berharga berlaku secara pantas. Dan akhirnya, saya sudah dipapah keluar dari bilik tersebut dengan pergerakan yang terbatas. Tidak boleh berlari dan bergerak bebas. Tiba sahaja di luar bilik, ramai orang memerhatikan saya. Ibu bapa yang ada di situ menghadiahkan senyuman yang manis. Yang membanggakan. Ayah Fardian menepuk bahu saya perlahan dan membisikkan ;

Anak jantan.

Saya dilihat sebagai seorang penjaring gol Malaysia yang berhasil membolos gagang lawan dengan satu rembatan kencang dalam perlawanan akhir Piala Dunia.

Saya sudah bersedia, menjadi seorang lelaki pada tahun hadapan. Kata Ayah Chik lagi, selepas berkhatan, barulah saya benar-benar digelar lelaki.

Rupa-rupanya, selepas lapan tahun hidup, barulah saya tahu bahawa selama ini saya ini seorang perempuan.

* * *

Ibu memeluk saya erat-erat. Kami bersama-sama di depan televisyen melihat sebuah bangunan yang besar, hancur dan roboh perlahan-lahan memeluk bumi. Ramai orang lari bertempiaran dan bergegas entah ke mana, seperti hilang akal.

Kat mana ni tanya saya pada ibu. Ibu tidak menjawab soalan saya itu, tetapi makin menumpukan perhatian kepada pembaca berita RTM yang membaca berita dengan mendayu-dayu sekali. Seperti tidak bersemangat.

Setiap kali saya bertanya soalan yang serupa, ibu hanya menjawab dengan tepukan perlahan di bahu saya, seolah-olah ingin menidurkan bayi.

Jahat sungguh, kata ayah yang turut berada di sebelah kami, sambil tangannya memegang senaskah surat khabar.

Tak tahu lagi siapa, balas ibu pula.

Tak tahu apanya Paper dah cakap, TV dah bagitahu. Tak tahu lagi apa suara ayah sedikit meninggi, dengan loghat Kelantannya yang pekat.

Itulah awak. Percaya sangat kat paper tu. Percaya sungguh kat TV ni, ibu membalas. Tapi suara ibu tetap perlahan seperti awalnya. Saya melihat mata ibu ada air-air yang bertakung.

Kenapa menangis, tanya saya sendiri-sendiri. Kerana sekiranya saya bertanya pada mereka, saya tahu yang saya tidak akan mendapat apa-apa jawapan.

Beberapa minggu selepas itu, surat khabar dan televisyen banyak memainkan berita-berita tentang perkara tersebut. Saya yang tidak faham apa-apa pada waktu itu, hanya termenung di depan televisyen, menghadam perkataan-perkataan seperti pengganas, mangsa korban, ekstremis, dan macam-macam lagi perkataanperkataan lain yang sudah pun saya lupa sejurus selepas menonton berita di televisyen itu.

Dan setiap kali melihat berita itu, ibu akan menutup mulutnya, membeliakkan biji matanya, dan menggeleng-gelengkan kepala.

Ini lah permulaan kepada segala-galanya, kata ibu, bermonolog.

Saya tidak faham apa-apa.