SURAT-SURAT UNTUK KAHERAH - 2
Jam pertama. Subuh-subuh lagi aku dikejut dari lena. Dimandikan oleh ibu dengan air paip yang telah dicampur air panas supaya air mandian di dalam kolah menjadi suam-suam kuku. Setelah itu, disarungkan kemeja putih dan luarnya dipadankan dengan baju biru gelap yang bersambung dengan skirt paras lutut. Di sebelah dada kiriku terjahit kemas lencana yang bersulam nama sekolah, SRK Tengku Mahmood Iskandar Dua.

Ibu memegang kedua-dua bahuku, mengisyaratkan aku diam menghadap cermin. Rambut hitamku disisir rapi. Dibelah di bahagian tengah, lalu ditocang dua dengan reben merah. Setelah siap, aku menggoyang-goyangkan kepala. Tocang itu beralun, seperti ekor kuda.

Aku mencapai teddy bear kecil yang sudah kumal. Ku ajukan anak patung itu kepada ibu,

Boleh bawa

Tak boleh, bawa buku je. Hanim iIkut abang naik van ustaz dulu. Nanti ibu menyusul dengan motor. Ibu memberi arahan.

Ku peluk botol air besar berbentuk telefon bimbit. Ibu mendudukkan aku di atas kusyen. Disarung stoking baharu ke kaki kanan dan kiriku. Kemudian di kaki kecilku juga, dipakaikan kasut baharu jenama Bata. Kasut dan stoking berwarna putih bersih. Setelah itu, ibu menyampul kasut di kakiku dengan plastik merah, lalu diikat pada buku lali. Ibu berpesan, Luar tu lecak, jalan perlahanlahan di atas kayu.

Setelah sarapan roti telur, aku mengekori abang dan kakak saudaraku ke jalan tanah merah. Permukaan tanah merah tidak sekata, di mana-mana sahaja ada air bertakung. Lopak. Jiranku yang berusia lima tahun lebih tua mengambil dua batang kayu panjang dari tepi jalan, buat menjadi alas kasut baru kami. Kami berbaris rapat. Setelah semuanya telah berdiri di atas kayu yang sama, kayu yang ditinggalkan di belakang akan diangkat lalu diletakkan di hadapan pula. Begitulah sehingga tiba ke seberang jalan, tempat van sekolah menunggu.

Van panjang berwarna putih itu menjemput murid-murid dari beberapa taman perumahan dan kampung di sekitar bandar Pontian. Penumpang ciliknya adalah murid-murid dari dua buah sekolah rendah yang saling berdekatan. Sekolah Kebangsaan Bandar Pontian dan SRK Tengku Mahmood Iskandar Dua. Sementara di sebelah petang, van itu akan diisi oleh murid-murid SRK Tengku Mahmood Iskandar Satu. Sekolah kami dipecahkan kepada dua sesi berikutan keadaan berkongsi bangunan yang sama. Di sebelah petang juga, van putih itu dilanggani oleh muridmurid Sekolah Agama Bandar Pontian. Sebelum ini dikira $25 sebulan setiap satu kepala, tetapi tahun ini telah muncul istilah Ringgit Malaysia, RM.

Van itu milik Ustaz Badrul, lelaki Arqam yang sentiasa berjubah dan berkopiah putih dengan Marliatan serban hijau. Wajahnya manis bujur sireh, dirapikan dengan janggut paras leher. Abangku yang berbadan gedempol berebut mengambil tempat di hadapan, bersebelahan pemandu. Seperti rata-rata van lain yang kebanyakannya dipandu oleh ahli kumpulan al-Arqam, wajah seorang lelaki tua bernama Abuya tergantung di tali yang terikat pada cermin tengah van mereka. Ustaz Badrul sering menceritakan kemuliaan lelaki bernama Abuya. Wajahnya akan menjelma pada bulan ketika menjelangnya Ramadhan. Abang menyusul dengan soalan, Macam mana nak masuk Al-Arqam.

Hari pertama ke sekolah sangat menakutkan kerana kami dibiarkan bersama penjaga, untuk berkumpul bersama dengan komuniti yang tidak kami kenali. Aku memasuki kelas pertama, 1 Merah. Kelas ini disumbat pelajarbelajar bestari yang kebanyakannya berlatarbelakangkan sumber ekonomi yang selesa. Ada juga pelajar di luar golongan itu menyelit sekelompok dua. Satu bilik darjah memuatkan sekitar empat puluh orang murid. Sekolah kami didaftar oleh ramai murid-murid berbangsa Cina berikutan Sekolah Kebangsaan Bandar Pontian dan SRK Tengku Mahmood Iskandar Satu memberi keutamaan penempatan kepada anak Melayu. Oleh itu, kelas kami dihadiri pelbagai bangsa. Melayu, Cina, India dan Sigh. Tidak seperti sekolah-sekolah rendah lain yang dimonopoli oleh kanak-kanak Melayu sahaja.

Ibu datang menyertai ibu bapa lain yang berdiri di luar bilik darjah. Aku berasa agak selamat kerana sekurangkurangnya masih diperhatikan ibu yang dari luar tingkap. Setelah nama dan kehadiran murid dikenalpasti, kebanyakan ibu bapa beransur pulang. Aku menjeling kelibat ibu, memastikan wanita berusia empat puluh tahun itu kekal di situ.

Guru kelas kami wanita berbangsa Cina, Cikgu Chua. Dia bakal mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris. Di dalam kelas pertama, ditemui berbagai-bagai latar belakang pelajar melalui hobi yang ditanya oleh Cikgu Chua. Berenang, bermain piano dan melancong menggantikan jawapan yang aku jangkakan seperti bermain layanglayang, gasing, batu seremban dan berbasikal. Mungkin itu strategi seorang guru untuk mengetahui latar ekonomi murid-murid, aku tidak tahu.

Tadi ketika waktu rehat, ibu telah meminta izin untuk pergi, dia penat berdiri. Aku merengek-rengek tidak mahu. Ku ugut dengan kaedah yang paling berkesan, menangis. Ibu memperhambakan diri, tidak jadi pulang.

Jumlah murid kelas pertama kira-kira tiga puluh enam orang. Kamar empat segi itu mengandungi enam kumpulan pelajar. Setiap kumpulan terdiri daripada enam orang murid yang sama gender. Tiga buah kumpulan berada di baris hadapan, dan tiga kumpulan lagi di baris kedua. Aku berada dalam kumpulan lima, baris kedua. Kami terdiri daripada empat orang pelajar perempuan Melayu dan dua perempuan India.

Ha, murid-murid sila salam dan berkenal-kenalan dengan rakan sekumpulan.

Hai, saya Fahmi. Hero Malaya..

Fahmi, murid lelaki berambut tercacak melompat dari kumpulan pertama menyapa Raziyah, murid perempuan gemuk yang berpipi montok. Fahmi mengalun rambutnya ke belakang. Dia tunduk. Sikunya ditekan ke meja, punggungnya ditonggekkan ke wajah Hakimi, salah seorang daripada rakan sekumpulannya.

Kalau tubuhku sebesar Raziyah, pasti penumbuk akan menjadi salam perkenalan buat Fahmi. Tetapi Raziyah cuma diam. Hanya rona merah mengalir pada pipinya yang tembam.

Fahmi mengangkat kening, kemudian mengenyitkan mata ke arah Raziyah.

Nice to meet..

I said, your group! Jerit Cikgu Chua.

Fahmi duduk semula. Bersalam dengan Hakimi.

Hakimi Ridzuan, dari Kampung Seri Bunian. Ramah Hakimi, menerangkan tempat tinggalnya yang terletak di jalan menghala ke Johor Bharu.

Khairul Fahmi, dari Kampung Jin Bertendang.

Azwina, murid berambut panjang berwajah bujur sireh ketawa kecil. Ajmain Halim menyampuk,

Kau ni kurang kasih sayang ke, terkinja-kinja dari tadi aku tengok!. Kau kan duduk di Pekan Nenas. Tak perlu tarik perhatian orang dengan lawak bodoh kau, okey

Ajmain yang bertubuh besar menyinga. Wajahnya bengis.

Fahmi mencebik.

Anne menarik kerusi menjauhi Madiah. Perkenalan kumpulan kami dimulakan dengan diskriminasi terhadap gadis India Muslim berkulit gelap itu. Madiah memandangku dengan matanya yang besar dan bulat. Dia cuba senyum, tetapi melihat aku tidak membalas, dia tidak jadi. Tangannya ku sambut. Madiah senyum juga, menampakkan baris gigi. Perkara yang cerah tentang Madiah cuma telapak tangan, gigi, anak mata dan set pakaian seragam sekolahnya. Lalu ia menimbulkan kontras pada warna fizikalnya yang lain. Mungkin kerana faktor warna itu menyebabkan Madiah dipinggirkan anak-anak Melayu yang lain. Madiah malah tidak juga rapat dengan Lakshmi dan Kalaivani, pelajar perempuan India kelas kami. Sudah tentu jurang itu pula disebabkan oleh faktor agama. Tahun-tahun berikutnya, anak pasangan India Muslim itu tidak pernah senyum lagi dan tidak selesa bergaul dengan kami.

Aku duduk di kerusi pertama bahagian tepi, membelakangkan tingkap. Di sisi kananku Wafa Thahirah. Wafa berada di posisi tengah kumpulan. Berbanding pelajar lain yang rata-ratanya berskirt pendek, dia sentiasa berbaju kurung. Baju kurung putih dipasangkan dengan kain biru gelap. Rambutnya hitam lebat, lurus dan dipotong pendek paras bahu. Wafa berkulit sawo matang. Hidung dan bibirnya bersaiz lebar. Matanya sedikit sepet, tetapi kerana warna kulitnya begitu, dia jauh sekali untuk kelihatan Chinese look.

My name, Nur Hanim. Aku senyum sinis, menghulur tangan. Itupun kerana Cikgu Chua bercekak pinggang di hadapan kumpulan kami.

Wafa Thahirah. Sambut murid itu, lembut. Berbudi bahasa.

Thahi Aku mengerut kening.

Thahirah. Jawabnya tegas.

Tahi. Artikulasi sebutanku jelas, keras. Murid-murid kumpulan lima ketawa mendengar perkenalan kami.

Nurainey Nuqman Tan. Panggil Anne. Gadis kacukan Cina-Melayu di hadapanku, menghulur tangan. Anne berkulit cerah, bermata sepet. Keningnya berwarna lembut, condong ke bawah. Tubuhnya lebih sasa berbanding kami.

Aku tinggal di Pekan Nenas, sebelah rumah Wafa. Sambungnya lagi.

Anim. Sepatah.

Di hadapan kami adalah kumpulan pelajar lelaki. Kedudukan Irfan berada di sisi kiriku. Irfan berkulit cerah, rambutnya botak. Di adalah kegembiraan paling nyata buatku hari itu. Dia mencipta imaginasi paling indah. Seolah-olah rohku terbang, memasuki taman bunga di puncak bukit, dilatari padang hijau segar, dan padang fantasi itu seringkali dipadamkan oleh wajah Cikgu Chua yang garang. Irfan kelihatan gembira. Wajah manisnya disempurnakan oleh fizikal yang bertepatan bagi murid berusia tujuh tahun.

Aku mengeluarkan botol air dari perut beg. Pembaris panjangku ikut keluar dan berdenting jatuh ke lantai. Irfan pantas bengun, mengutip alat tulisku itu.

Ni awak punya.. Lembut.

Aku teragak-agak mengambil. Tetapi ku ucap juga terima kasih.

Irfan senyum melihatku. Aku menutup muka dengan buku. Kononnya malu.

Irfan duduk kembali. Sesekali dia menjelingku. Hari pertama sekolah begitu menggembirakan! Seperti perasaan Nobita ketika bertemu Sizuka. Rakan-rakan sekelasku berubah menjadi bunga-bunga. Cikgu Chua yang garang adalah sebatang pohon besar dan rotannya itu tali buaian. Dinding bilik darjah berubah kepada pagar kayu yang terukir indah. Irfan..

Waktu persekolahan tersisa lagi dua jam. Di luar tingkap, kelihatan tidak lebih lima orang penjaga yang tinggal. Aku menjeling dengan hujung mata, dan jelingan itu mendapat perhatian ibu. Akhirnya ibu terpaksa menunggu, sehingga tamatnya waktu.