Latarbelakang
Aku dilahirkan pada 20 April 1979 di Hospital Besar Melaka. Kalau hendak diikutkan, pada tahun kuda ini, usia aku sudah memasuki 35 tahun. Umur aku berhenti pada usia 30. Alor Gajah tempat lahirku.
Sewaktu kecil, kami sekeluarga menumpang di rumah nenek, juga di Alor Gajah. Selepas empat tahun aku dilahirkan, kami berpindah ke Taman Sri Kelemar, juga di Alor Gajah. Tempat aku dibesarkan itu kebanyakannya keluarga yang mencari nafkah sebagai kakitangan kerajaan. Ya, kami semua setia kepada kerajaan.
Melaka tumpah darahku. Apabila kita dari keturunan Melaka, orang ramai akan kaitkan dengan Hang Tuah. Ya, pahlawan Melaka. Sejarah menyanjung tinggi Hang Tuah ini. Kata-kata Hang Tuah takkan melayu hilang di dunia menjadi iktibar kepada menguat semangat ..
Ada beberapa kelompok sejarawan yang mempertikaikan asalusul Hang Tuah ini. Memandangkan aku anak Melaka, aku sering juga memikirkan hal-hal sebegini. Hang Tuah ini bukan nama biasa di kalangan Melayu. Ya, bukannya tiada. Aku tidak nafikan ada segelintir ibubapa yang menamakan anak mereka dengan nama Hang Tuah.
Dari mana datangnya nama Hang Tuah ini Zaman kesultanan Melayu Melaka, tiada terdapat nama-nama seumpama Hang Tuah, Hang Kasturi, Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Lekiu. Tetapi, sejarah ada mencatatkan nama-nama dari bangsa Cina yang bermula dengan Hang, Tan, Maa dan Lee. Ia bergantung kepada suku kaum atau asal-usul keturunan mereka dari wilayah tertentu dari China. Kemungkinan untuk mendakwa bahawa gelaran Hang telah dianugerahkan oleh Raja-Raja Melayu juga tiada asasnya.
Jika dihubungkaitkan dengan nama Hang Tuah dari sebutan loghat Cina adalah berbunyi seperti Hang Too Ah. Nama Hang Jebat berbunyi Hang Jee Fatt, Hang Lekir pula seperti Hang Lee Ker, manakala Hang Lekiu seperti Hang Lee Kiew. Mengikut prosedur tentang suku kata nama bangsa atau keturunan Cina, biasanya cuma terdiri dari tiga suku kata sahaja. Aku tidak pasti pula kepada Hang Kasturi kerana empat suku kata walaupun ia bermula dengan perkataan Hang. Perkataan Kasturi pula ada berbaurkan loghat bahasa Melayu. Mungkin Hang Kasturi kacukan melayu-cina, aku tak tahu.
Aku ada terbaca beberapa penulisan mengenai Hang Li Po, puteri dari Negara China yang berkahwin dengan Sultan Mansur Shah, Sultan Melaka ketika itu. Maka, ada kemungkinan Hang Too Ah, Hang Jee Fatt, Hang Lee Ker, Hang Lee Kiew, adalah keturunan dari rombongan puteri Hang Li Po bersama 500 dayang-dayang ke Melaka (kini Semananjung Malaysia).
Terdapat percanggahan pendapat di antara pengarang Sejarah Melayu dan pengarang Hikayat Hang Tuah mengenai siapa sebenarnya telah menderhaka kepada Sultan Melaka. Pengarang Sejarah Melayu menuduh Hang Kasturi manakala pengarang Hikayat Hang Tuah Pula menuduh Hang Jebat.
Seperti juga kisah hidupku, konflik sejarah Hang Tuah ini juga unik dan tersembunyi tentang kedua-dua tokoh pahlawan ini sehingga tidak ada satu kata sepakat di kalangan pakar sejarah lampau.
Ada yang mengatakan Hang Tuah menukar nama sedemikian apabila pahlawan ini memeluk agama Islam dan berkhidmat kepada Sultan Mansur Shah. PengIslaman Hang Tuah telah mempengaruhi tiga orang rakan karibnya iaitu Hang Jee Fatt, Hang Lee Ker dan Hang Lee Kiew. Keempat-empat sahabat baik ini juga bergaul rapat dengan Kasturi, iaitu rakan sebaya mereka yang berbangsa Melayu. Mereka juga menggelar Kasturi dengan gelaran Hang Kasturi sebagai tanda satu persahabatan yang abadi.
Aku tidak pasti sama ada aku berada dalam keturunan Hang Tuah ataupun Hang Jebat yang didakwa menderhaka kepada Sultan Melaka. Aku dianiaya bagi kepentingan politik.
Taman di mana aku tinggal itu sebuah kawasan perindustrian. Di kawasan belakang taman perumahan kami terdapat kilang-kilang. Taman perumahan ini berbilang kaum. Kelurga India di sebelah kami dan keluarga Melayu di hadapan padang permainan. Kami semua aman.
Aku anak keempat daripada lima adik-beradik. Keluarga yang agak besar. Datuk di sebelah ibuku orang berdagang. Ibuku daripada golongan yang sederhana; bukan karyawan mahupun tidak cukup makan.
Bapaku bukanlah seorang berpelajaran. Daripada konduktor bas menjadikan dia tahu selok-belok jalan di Melaka. Dia bekerja keras sehinggalah mampu untuk membeli sebuah teksi. Maka, jadilah dia pemandu teksi. Aku dibesarkan daripada hasil titik peluh menumpang yang menaiki teksi bapaku.
Ibuku hanyalah seorang suri rumahtangga. Bagi mengurangkan beban keluarga, selepas berkahwin dan sehinggalah aku bersekolah rendah ibuku pada waktu subuh mengambil upah menorah getah di ladang bukan kepunyaannya. Ibuku juga seorang amah separuh masa. Ada lima rumah di daerah Alor Gajah yang mana ibuku kerja sebagai pencuci rumah di waktu siang. Ya, di waktu subuh beliau menorah getah. Kemudian mengambil upah mencuci rumah orang.
Pada waktu ibuku bekerja, aku ditinggalkan di rumah berama kakak-kakakku yang lebih dewasa. Inilah semangat ibu yang aku teladani bagi mengerti erti kehidupan dan mandiri.
Kesemua adik-beradik aku bersekolah di peringkat awal di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Alor Gajah. Lepas sekolah rendah, kami semua melanjutkan pelajaran di peringkat menengah di Sekolah Menengah Dol Said. Jarak dari rumah Cuma 15 minit berjalan kaki. Di Sekolah Dol Said tidak ada sessi pagi atau petang. Jadi, setiap kami, kami beramai-ramai berjalan kaki bersama-sama. Biasanya, kami tidak mengambil sarapan di rumah.
Seperti yang aku nyatakan, ibuku juga perlu bersiap-siap untuk bekerja. Setiap pagi, ibu akan membekalkan kami dengan duit belanja RM1 setiap orang. Tetapi, setiap kali pulang, makan tengahari dihidang oleh ibu.
Kebiasaannya, kami akan tidur di waktu petang dan beriadah pada waktu petang dengan bermain badminton sesame kami ataupun jiran setaman. Kami cuma berpeluang untuk menonton kartun untuk satu jam sahaja. Resmi masyarakat cina, kami makan malam pada jam enam setiap hari.
Selepas siap membersihkan diri, kami akan mengulangkaji pelajaran sehingga waktu tidur jam 10 malam. Bapa pula akan pulang lewat malam sewaktu kami semua sudah bergelimpangan.
Pada hujung minggu pula, kami jarang ke mana-mana.
Hanya menghabiskan masa di rumah menonton tv terutama sekali Hindustan di hari Sabtu. Sebagai sebuah keluarga yang punya ramai anggota, sudah tentu kami tidak mampu untuk bersiar-siar ke kompleks membeli-belah seperti keluarga-keluarga lain. Aku hanya berkesempatan untuk menjamah makanan segera McDonalds selepas kami habis sekolah menengah dan punya wang sendiri.
Oleh kerana kami tidak mampu untuk berpeleseran, kami sekeluarga banyak menghabiskan masa di rumah sahaja. Bagi aku, atas kesedaran bahawa kami sekeluarga bukanlah sebuah keluarga yagn senang dan menginginkan keluarga kami hidup dengan lebih selesa, itu menguatkan semangat aku untuk lebih gigih belajar. Hasil daripada itu, aku cukup berbangga dengan keputusan Peperiksaan Menengah Rendah (sebut: PMR).
Keputusan PMR:
Bahasa Melayu A
Bahasa Inggeris B
Matematik A
Sains A
Sejarah A
Geografi A
Kemahiran Hidup Bersepadu Pilihan 2 A
Bahasa Cina A
Aku mendapat 7A. Memang aku bersyukur dengan keputusan ini. Pada waktu aku menerima keputusan ini di Sekolah Menengah Dol Said, orang yang pertama timbul di benak fikiranku ialah ibu.Aku menelefonnya terus dari telefon awam sekolah. Dia tidak banyak bercakap. Aku tahu dia bangga dengan aku. Aku bisik kepadanya yang aku akan menjadi contoh kepada adik-adikku yang lain. Dia tetap dia. Aku faham hatinya sebak.gembira.
Apabila selesai PMR, aku memilih untuk mengambil jurusan sains. Aku bukanlah seorang ahli sukan aktif di sekolah mahupun aktiviti ko-kurikulum; sekadar menjadi anggota Persatuan Bulan Sabit Merah sahaja dan ahli jawatankuasa Peratuan Bahasa Cina.
Aku menduduki Peperiksaan SPM (sebut: Sijil Pelajaran Malaysia) pada tahun 1997. Aku mengambil jurusan sains tulen. Pada waktu itu, aku masih tidak didedahkan dengan media dan internet. Aku tidak dapat benar-benar memilih bidang minat aku. Sauran tv yang kami menonton selalunya siaran RTM di waktu siang dan NTV7 di waktu malam. Itu pun untuk dua jam sahaja. Maka, pilihan aku sempit. Dalam kesempitan dan kesuntukan masa, aku membuat keputusan drastic untuk memilih sains tulen.
Semasa cuti menunggu keputusan, aku menjadi guru sementara di tadika. Ya, aku akui aku senang dengan kanak-kanak.
Daripada aku kerja menjadi jurujual di gedung membeli-belah, lebih baik aku mendidik kanak-kanak pra-sekolah dengan harapan mereka bakal menjadi masyarakat dengan moral yang tinggi.
Keputusan SPM:
Bahasa Melayu 2
Bahasa Inggeris 7
Pengetahuan Moral 2
Sejarah 2
Matematik 1
Matematik Tambahan 2
Fizik 4
Kimia 3
Biologi 4
Bahasa Cina 3
Keputusan ini tidak aku jangkakan. Aku tidak pernah meletak apaapa matlamat dalam kerja yang aku buat. Aku percaya, tugas kita hanyalah untuk berusaha. Nah, hasilnya SPM 5A.
Walaupun ada di antara kamu yang merasakan keputusan tersebut cemerlang, tetapi keputusan tersebut masih tidak melayakkan aku ke universiti tempatan. Aku tetap perlu menyambun pelajaran ke tingkatan enam.
Di Sekolah Menengah Dol Said, tidak ada disediakan kemudahan untuk pelajar-pelajar untuk Tingkatan Enam. Oleh itu, bagi mereka yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat Tingkatan Enam, mereka perlu masuk ke sekolah lain. Sekolah yang terdekat ialah Sekolah Menengah Gajah Berang.
Pada Tingkatan Enam Atas, aku sudah tidak mampu untuk berulang setiap hari ke sekolah. Jadi, bagi menumpukan lebih perhatian kepada peperiksaan, aku terpaksa menyewa bilik di rumah berdekatan dengan sekolah.