DIAGNOSIS2: PROGNOSIS - 2
PeNGeNAlAN

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpahan rahmat dan nikmatNya maka angan-angan untuk menerbitkan buku PROgnosis ini akhirnya menjadi satu kenyataan. Ia semestinya akan menjadi satu lagi kenangan manis buat saya.

Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang menjadikan penerbitan buku ini satu realiti khususnya keluarga tersayang. Terima kasih juga buat rakan-rakan, guru dan pensyarah yang berada di samping saya di saat suka duka bergelar pelajar perubatan. Buah tangan ini merupakan hadiah terbaik yang dapat saya berikan kepada anda.

Semoga buku ini akan memberikan pencerahan kepada masyarakat khususnya ibu bapa, kaunselor dan pelajar-pelajar yang menaruh minat untuk menjadi pelajar perubatan akan kisah di sebalik glamor nya menjadi pelajar perubatan. Semoga niat untuk menjadi pelajar perubatan akan terus kukuh dan mereka dapat mempersiapkan diri untuk menghadapi cabaran pahit getirnya perjuangan dalam lapangan ini. Untuk ibu bapa semoga ia dapat memberikan kefahaman mengenai apa yang dilalui oleh anak anda yang mengambil kursus ini.

Untuk pelajar perubatan pula, semoga ia dapat dijadikan satu perkongsian walaupun pengalaman ini tidak seberapa. Semoga ia dapat menjadi inspirasi untuk anda mencari potensi diri dan seterusnya menjadi pelajar perubatan yang cemerlang.

Dan akhirnya, semoga buku ini menjadi tazkirah buat saya andai saya futur di jalan yang saya pilih pada suatu hari nanti. Supaya buku ini akan mengingatkan kembali cita-cita membara seorang pemuda yang ingin menjadi Doktor Muslim yang cemerlang dalam bidang Perubatan Kecemasan.

PeNGhArGAAN

Setiap saat masa berlalu dan setiap detik baru yang bakal dilalui pasti menemukan kita dengan pelbagai jenis manusia, situasi dan ragam. Hadirnya mereka pasti memberikan seribu satu pengajaran yang mencorakkan rencah kehidupan kita. Ada yang tinggal dan ada yang berlalu pergi, tetapi yang nyata segala pengalaman akan terus bersemadi di kalbu.

Terima kasih diucapkan buat anda yang hadir di dalam hidup saya saat saya menempuh segala suka duka dan pahit getir perjalanan hidup hingga bergelar pelajar perubatan.

Ibu bapa tercinta;

Adik beradik yang teguh di sisi pada saat suka duka;

Konsultan, doktor pakar, pegawai perubatan, houseman, jururawat, pembantu pegawai perubatan, inspektor kesihatan, pembantu perawatan kesihatan dan staf sokongan Hospital Universiti Sains Malaysia, Hospital Raja Perempuan Zainab Kota Bharu, Hospital Pasir Mas, Hospital Machang, Klinik Kesihatan Chekok dan Pejabat Kesihatan Tanah Merah diatas segala tunjuk ajar hingga membolehkan saya menamatkan pengajian dalam bidang perubatan;

Sahabat-sahabat baik di alam nyata mahupun maya yang tidak putus-putus menjadi tempat mengadu penat dan lelah;

Pihak penerbit DuBook Press yang memberi peluang untuk menerbitkan buku ini;

Dan anda semua para pembaca yang bakal memberi kenangan dan memori di masa akan datang.

Dr. Jacknaim (MD USM)