A.I.D.S. - 2
MATAHARI condong ke barat. Tenggelam sedikit demi sedikit. Akhirnya hilang. Sebelum itu sejalur teja yang tergaris di langit kelihatan. Sungguh indah. Senja perlahan-lahan merangkak membenarkan malam mengambil alih tempatnya. Aturan alam sentiasa tetap. Tidak ingkar walaupun sejemang lantaran patuh kepada pencipta yang Maha Bijaksana.

Senja itu J.C telah membuka matanya. Namun dia tidak bingkas dari katil. Dia masih mahu bersantai di tempat tidur. Matanya yang membiru itu dikesip-kesipkan tatkala merenung siling kamar tidur. Keletihan telah pun merdeka dari tubuh. Cuma rasa bimbang yang tidak mahu nyah dari diri.

J.C berasa sedikit bebas sekarang. Assignment di Rwanda sudah beres. Meskipun pelbagai cabaran dihadapi, namun dia tidak berputus asa. Tambahan lagi jurufoto yang bukan sekadar cekatan dalam membantu tugasnya tetapi juga merupakan seorang sahabat yang pandai menyimpan rahsia.

Sejak pulang dari Kigali malam semalam, J.C tidak menyentuh makanan. Dia tidak berselera langsung. Keletihan yang mengiringi kepulangannya dikambus dengan tidur. Santak ke tengah hari. Kemudian disambung lagi dari jam lima tadi membawa ke senja ini. Kini dia berasa puas dan lega. Mujur Norman tidak mengganggu. Dia pun sibuk sejak akhir-akhir ini. Masanya banyak habis di studio rakaman. J.C tersenyum tibatiba. Kini dia teringatkan cabaran yang ditempuhinya di Rwanda seminggu yang lalu. Jiwanya bersorak girang. Dia berjaya sekali lagi. Bersama-sama Pauletta tentunya. Kali ini Zhi Cheng tidak mempunyai alasan kuat lagi untuk memisahkan mereka berdua. Meskipun nyaris dibunuh pemberontak di Kigali dan Pauletta sendiri hampir-hampir terbunuh oleh peluru tentera kerajaan di perbatasan, tetapi mereka selamat juga akhirnya. Ya, selamat membawa pulang berita bergambar yang pasti menjulang nama The Observer buat kali kedua.

J.C kau tidur terlalu lama. Cepat kita akan menerima tetamu. Laung Norman dari dapur.

J.C bangkitlah.

J.C malas. Dia menarik nafas. Dia mengurut-ngurut dahinya. Kemudian menggeliat.

J.C bangun dari tidur, honey.

J.C tersenyum merua.

Hari ini hari apa Norm

Senyap. Tiada balasan. J.C kehairanan.

Kau lupaMalam Isnin.Kawan-kawan kita dari kelab. Kan ke rumah kita terpilih untuk perjumpaan mingguan kali ini. Bangun. Mujur kau balik dari Afrika sebelum parti ini. Suara Norman tenggelam timbul dari dapur. J.C bangun. Sukar melawan malas.

Oooo, ya! Aku ingat sekarang. Ramai yang nak datang

Entahlah darling. Rasanya muka-muka yang biasalah. Yang lain tu tak sekepala dengan kita.

J.C bosan. Dia berfikir-fikir. Tentu Sandra dan kekasihnya Becca. Gerald dan teman barunya Jeremy. Husin juga tentu ada. Dan dia tahu Mokhtar akan turut serta. Ramai lagi kawan-kawan dari kelab tetapi tidak sekepala. Namun ikatan sesama sendiri tetap terjaga.

J.C mencium bau makanan dari dapur. Kari agaknya. Dia tersenyum. Norman memang boleh diharap dalam urusan seperti ini. J.C benci pada kerja-kerja di dapur. Minat untuk memasak tiada. Tambahan pula Norman sendiri tidak menyukai masakannya. Jadi dia terpaksa mengakui bakatnya tidak di dapur sebaliknya dia lebih cenderung kepada kerja-kerja penyiasatan. Naluri kewartawanannya sudah sebati.

J.C melangkah masuk ke dalam bilik air. Cermin pada singki yang sederhana saiznya memantulkan wajah yang kian cengkung. Setiap kali melihat cermin, dia akan menjadi tambah takut kepada dirinya sendiri. Matanya kini terperosok ke dalam. Bibir matanya sedikit lebam. Dia sering berdoa supaya Norman tidak menyedari perubahan ketara tersebut. Norman sibuk. Dia juga. Dan masa yang dihabiskan bersama kian kurang. Malahan tiada.

J.C membasuh mukanya. Dia kembali melihat refleksi wajahnya pada cermin. Perasaan khuatir tiba-tiba hadir mendadak. Terdapat bengkak di tengkuk. Mujur ia agak tersorok. J.C sedar dia sudah tidak mampu lagi untuk merahsiakan penyakit ini dari Norman.Suatu hari nanti Norman akan tahu juga. Sejak akhirakhir ini pun Norman sudah merungut tentang badannya.Dia terlalu kurus.

Entah berapa paun jatuh sejak enam bulan yang berlalu. Norman juga asyik mempertikaikan keengganannya untuk melakukan hubungan seks. Lebih dari itu Norman marah-marah kerana masakannya jarang dijamah J.C. Mana tidaknya, nafsu J.C telah lama patah meskipun dihidang dengan pelbagai makanan lazat.

Batuk yang tidak pernah mereda ini juga mengganggu pemikiran. Ramai rakan sekerjanya menegur batuk yang tidak putusputus ini. Syukur Pauletta dapat menolongnya menutup segala kesangsian. Setakat ini hanya Pauletta sahaja yang memaklumi rahsia ini.

J.C terkenangkan Doktor Faridah. Doktor peribadinya. Ya, sepatutnya dia mengadakan pertemuan biasa mengikut jadual pada keesokan hari. Sejak tanda-tanda ARC muncul, berkalikali Dr. Faridah memintanya supaya meletakkan jawatan. Tugas sebagai wartawan majalah antarabangsa menyukarkan rawatan ke atasnya. Dan paling penting sekali kerja-kerja berat seumpama itu memburukkan lagi kesihatan. J.C sedar. Akan tetapi dia tidak betah untuk duduk diam di rumah. Dia mencintai tugasnya. Keseronokan dan kenikmatan sebagai wartawan selalu menghalang dirinya dari berehat dan akur pada nasihat-nasihat Doktor Faridah.

J.C berfikir-fikir lagi. Mampukah dia berhadapan dengan Norman lalu memberitahunya penyakit yang sekian lama dirahsiakan ini. Tentu Norman berasa marah. Atau adakah Norman akan melarikan diri. Aaah! Tidak. Mustahil demikian. Dia cukup mengenali siapa Norman. Pemuda berusia 25 tahun itu sangat mencintainya. Lebih dari segala-galanya. Malahan lebih daripada Lis. Tunangnya sendiri. Begitu juga J.C, mencintainya sepenuh hati. Dan kerana cintalah dia enggan berterus-terang dan memilih untuk berahsia.

J.C menarik nafas berat. Perlahan-lahan J.C menanggalkan pakaiannya. Dia bertelanjang. Sepasang matanya merayap meneliti tubuh. J.C tersentak tiba-tiba. Sesuatu yang jelas. Sangat jelas untuk mendedahkan rahsianya. Ungu kebiruan. Mata J.C masih terbelelang sambil mulut melopong. Kini dia takut. Bimbang dan gelisah memuncak ke serebrum.

Penyakit sampingan. Sarkoma Karposi. Dia pasti.

J.C mula mengenali Norman di kelab mereka Blue Bank. J.C hanya sekadar bertegur sapa dengan Norman. Tidak lebih dari itu. J.C juga sedar yang Norman sudah berpunya. Seorang lelaki Cina sering menemaninya. Dan hubungan mereka tatkala itu sangat intim. Dia memang mengagumi bakat Norman sebagai seorang penyanyi lagu-lagu balada sentimental. Dan yang paling menarik minatnya ialah wajah kacak Norman. Baby Face dengan hidung yang agak mancung. Mata bundar dan kening lebat. Mulut seulas dengan kumis nipis memayunginya. Apabila tersenyum lesung pipitnya jelas terserlah. Ah, sungguh kacak. Ya, wajah itulah yang membuatkan berahinya menjelir-jelir keluar.

J.C mengenali Norman ketika bercuti di Paris. Dia sedang memilih-milih anak patung antik di kawasan membeli belah Rue de Seine ketika Norman melangkah masuk ke kedai L Etagere tersebut. Sejak dari itu mereka sering berdua. Mereka sempat menjelajah ke seluruh Paris. Suasana romantik di Arc de Triomphe del Etoile dan Eiffel Tower bagai baja subur untuk semaraknya sejambak cinta.

Minat yang sama dalam opera mendorong mereka untuk menonton Madame Butterfly di Opera Comique. Kemudian makan malam di restoran Chez Les Anges yang berlatarkan lukisan kontemporari. Hidangan ketika itu masih segar dalam ingatan J.C, Les Oeufs En Meurette. Ah, indahnya saat itu.

Malam ketujuh musim rontok di Paris itu jadi saksi. Segelintir dedaun berwarna kuning dan perang sedang gugur ke bumi tatkala mereka menghampiri sesama sendiri di bilik Hotel Paris bertaraf lima bintang itu. Dan malam itu hujan gerimis turun secara tiba-tiba. Ketika itu Norman sedang mengukir kelopak senyum ghairah. Lebar J.C menanti. Norman bersedia. J.C membiarkan. Norman meneroka. Lalu di luar sedar mereka, hujan gerimis pun bertukar menjadi ganas, mencurah-curah. Hebat dan basah. Segenap sudut bumi tidak terlepas.

Dan bermula dari malam itu J.C menjadi kekasih hati Norman. Mereka setia bersama santak ke hari ini. Sudah makan lapan tahun tujuh bulan dan empat belas hari. Begitulah hitungannya dalam kepala J.C. Segala-galanya mereka tempuhi bersama dalam tempoh itu. Saat kejayaan Norman sebagai seorang artis pujaan. Kala sukar Norman menerima berita kematian ibu yang dikasihinya. Setiap peristiwa dalam hidup termasuk tangis dan tawa mereka lalui penuh ketabahan.

Cuma satu yang tidak dikongsi bersama. Rahsia J.C. Peristiwa itu telah lama berlaku. Kira-kira lima tahun lalu. Norman tiada. Sibuk di studio rakaman. Ralph, seorang kenalan baru dari kelab mengunjunginya. Entah bahana apa syahwat berganda. Ralph memulakannya dahulu. Ralph penunggang. Dia hanya seekor kuda. Dan setelah terkapar kelesuan di atas ranjang, Ralph membuat pengakuan. Celaka. Dia HIV positif.

Kini terdayakah J.C memberitahu Norman yang dia telah berlaku curang. Yang dia seorang pesakit yang sedang membilang hari mati. Ah, Norman maafkanlah diriku ini. Aku tidak mampu untuk menentang mata coklatmu itu sayang. Aku tidak tergamak menganiayamu. Aku tidak rela memindahkan kuman jahanam ini ke tubuhmu. Biarlah aku dahaga terus-terusan. Malang sekali Norman, malang benar nasib kekasihmu ini.

J.C, kalau dah siap tu marilah ke dapur ni. Tak laratlah buat seorang. Laung Norman keras. Nada menuntut bantuan.

J.C membetulkan butang baju. Biar rapi. Dia tidak mahu Norman mengesan kesan lecetan KS pada tubuhnya.

Ooooiii, sweet heart. Please... J.C bergegas ke dapur.

Ooops, yep, kerja yang boleh ditolong J.C merangkul pinggang Norman sambil memberikannya ciuman di pipi. Norman biar sahaja. Menadah.

Emmm, tolong sendukkan apa yang patut ni. Tolong bawa ke meja hidangan. Norman memberi perintah selaku mandur.

J.C mengangguk. Dia rasa seronok diperintah-perintah begitu. Entah kenapa. Dia kurang arif. Barangkali kerana dia dapat bermanja dengan Norman.

Yaaakkk, kenapa lauk-lauk macam ni J.C merenung lauk sawi dan kobis bersama tairu dalam mangkuk di tangannya.

Oooo, itu khas untuk Sandra. Dia sekarang ni amalkan diet vegetarian lacto-ovo. Balas Norman tanpa memandang muka J.C. Dia masih sibuk mengacau kuah kari di dalam periuk.

Apa tu Mulut J.C melongo.

Emmm, dia tak makan daging tapi dia makan juga susu, keju, tairu dan telur.

Pelik sungguh si Sandra tu.

Bunyi loceng pintu yang ditekan secara berturut-turut melangsing. J.C berkejar untuk membuka pintu. Di hadapannya kini Sandra dan Becca. Kedua-duanya tersenyum lebar melihat J.C.

Hai, cute. Wah, dah kuruslah. Eh, tak mahu ajak kami masuk ke Becca kelihatan amat riang menemui J.C. Sandra telah masuk tanpa dipelawa terlebih dahulu.

Hai, hai, hai. Its really good meeting both of you again.

Becca melangkah masuk dan duduk menenggelamkan punggungnya di atas sofa berbaldu biru langit di ruang tamu pangsapuri J.C. Sandra duduk di sisinya. Becca masih cuba menghilangkan penat. Sandra pula asyik membebaskan matanya ke serata ruang tamu seolah-olah pangsapuri J.C merupakan ruang legar untuk sebuah pameran.

Kau berdua dari mana

Dari kelab. Oh, ya si Husin dan Mokhtar tak dapat datang. Kau kenal tak Fahmi dari J.B dulu Becca merenung tepat ke dalam mata biru J.C.

J.C mengangguk. Matanya sedikit berair kerana menahan batuk.

Dia teruk sekarang. AIDS. Aku fikir dia tak lama lagi. Mungkin dalam dua tiga hari ni. Mereka ke hospital tengok-tengokkan keadaannya.

J.C berasa cuak. Dia tidak senang membicarakan soal yang berkaitan dengan penyakit AIDS.

Hoi Sandra. Becca, ah awalnya kau berdua tiba.

Norman menyelamatkan suasana. Mujur, bisik hati J.C. Norman mencium pipi kiri Sandra dan Becca. Mesra seperti selalu.

Tentulah datang siang-siang. Kami ni tak sabar nak merasa masakan kau yang sedap-sedap tu. Kata Sandra yang sejak tadi cuma membisu.

Norman tersenyum riang. Seronok menerima pujian.

Kalian duduklah dulu. Eh, J.C cuba beri mereka baca Outrage. Boleh juga hilangkan bosan. Norman menyarankan sebelum meminta diri semula ke dapur.

J.C bangun untuk mengambil majalah tersebut. Tangannya mengeluarkan beberapa naskah majalah itu dari laci meja tulisnya.

Kau berlanggan Tanya Sandra girang. J.C angguk sahaja.

Ini isu terbaru Becca pula bertanya sambil tangannya mengambil senaskah majalah dengan wajah Lorice Washington sebagai gambar kulit.

Inilah satu-satunya majalah gay yang aku kagumi. Isu-isunya bagus. J.C memberikan pendapat. Dia terbatuk perlahan.

Betul. Tengok ni, isu Lorice Washington dan Emma Luntschild. Aku tak faham kenapa masyarakat menentang. Sandra menggetap bibir tanda geram.

Aku rasa Queer Nation patut diberi pujian dalam menangani isu besar ini. Becca mencelah untuk merancakkan lagi perbincangan.

Ya, masih baru ditubuhkan dalam tahun 1990 dulu tapi tengok saja aktiviti-aktivitinya. Pertubuhan ini banyak menolong menghapuskan ketakutan terhadap golongan homo. Bodoh betul. Kita ni bukan Drakula. Kita manusia juga. Cuma fahaman kita dalam soal seks saja yang berbeza. Sandra bersemangat.

Dan hebatnya mereka kian bijak berpolitik. Berani menghadapi masa. J.C mengiakan kata-kata Sandra.

Aku pohon isu ini akan berakhir dengan keadilan untuk kita. Perempuan itu berhak memelihara anaknya. Peduli apa soal lesbian. Itu soal lain. Becca menatap helaian majalah dalam tangannya. Matanya luas. Tepat meneliti dari satu perenggan ke perenggan yang lain pada muka surat kelapan.

Bunyi loceng melangsing sekali lagi.

Hah, tentu kawan kita si Gerald dan Jeremy tu. Laung Norman dari dapur.

J.C membuka pintu, menyambut rakan-rakannya dengan muka manis. Meskipun dia mula berasa pening.

Gerald dan Jeremy, silakan. Kami menanti dari tadi lagi. J.C berusaha mengambus pening yang mencengkam.

Gerald masuk. Begitu juga Jeremy mengekorinya. Kedua-dua pemuda tampan itu bersalaman dengan Becca dan Sandra. Ketawa mengiringi kata-kata aluan dari Becca. Kemesraan bertaut.

Eh, kami mengganggu kalian tadi ke Soal Jeremy ramah. Dia masih baru. Belum setahun berjinak-jinak dalam dunia gay.

Oooo, kami cuma cakap-cakap tentang isu Lorice dan Emma di New York. Yalah soal keberanian Lorice dan kekasihnya itu menghadapi permusuhan dari orang ramai di sekeliling. Sandra membalas pertanyaan Jeremy tadi. Nada suaranya lembut.

J.C terbatuk-batuk kecil. Kau ada bawa tape yang aku pesan dulu

Gerald mengangguk tanda ada. Hebat, aku ada yang terbaru.

Sandra melopong. Becca tidak cerap, leka membaca artikel dalam majalah Outrage.

Oooii! Dengar sini. Biar aku baca perenggan yang menarik ini. Dengar... Becca mengganggu perbualan mereka. Sandra mula menumpukan perhatian.

J.C, Gerald dan Jeremy juga memasang lebar telinga.

Gereja berpendapat tingkah laku golongan gay sebagai tidak berasas. Ia sesuatu yang melanggar fitrah ciptaan Tuhan. Didikan agama sahaja yang mampu memulihkan keadaan gawat ini kerana moral dan agama itu mendidik. Gereja tidak boleh bertolak ansur dalam hal ini tetapi adakah paderi-paderi tidak pernah terlintas walau sesaat pun untuk melakukan hubungan seks di dalam gereja

Sandra ketawa besar. Yang lain juga begitu.

Ganas pertanyaan itu! Gerald separuh menjerit. Ledak tawanya menjadi-jadi. Gereja fahamkah pengertian agama itu

Entah, kami free thinker. Jawab J.C, Becca duduk bersandar. Dia sudah berhenti ketawa.

Sibuk bercakap soal agama. Aku juga free thinker. Kau nak tahu takrif agama Ini takrif Durkheim. Satu kumpulan kepercayaan turun temurun dan perasaan individu; satu peniruan terhadap upacara-upacara dan aturan-aturan agama atau praktik yang sudah berakar umbi dari generasi ke satu generasi yang selanjutnya.

Itu sahaja Tanya Sandra, wajahnya seakan mengejek Durkheim.

Bagus aku jadi free thinker saja, kalau itulah maksud agama selama ini. Jeremy juga memperlekehkan takrif tersebut. Dangkal padanya.

O.K semua mari kita makan. Cuma Sandra dan Becca tolong sekali bawa hidangan ke meja. Norman tiba-tiba datang menguburkan perbincangan.

Becca dan Sandra tergesa-gesa bangun menurut perintah Norman, ke dapur.

Oh ya, mana Husin dan juga Mokhtar Gerald mengalihkan pandangannya kepada J.C.

Eh, aku jemput mereka. Norman seolah-olah tidak mahu dipersalahkan.

Yalah, tapi...

Mereka pergi jenguk Fahmi. Semakin teruk. Kata Becca di meja makan. Matanya pada Gerald tetapi tangannya bekerja menyusun gelas-gelas.

AIDS Tanya Jeremy ragu.

Sandra angguk berkali-kali.

Dia tu penagih dadah kan Hai, dahlah ketagihan, sakit pula. Norman memandang J.C dengan wajah kosong. J.C serba salah.

Itulah masyarakat mesti tahu yang pesakit-pesakit AIDS di Malaysia ni kebanyakan terdiri dari penagih kemudian heteroseksual dan bilangan pembawa HIV dari kalangan kita terlalu kurang. Sangat sedikit. Gerald sudah duduk di meja makan tetapi fikirannya tidak. Masih menerawang terkenangkan Fahmi yang sedang berjuang untuk hidup di atas katil hospital.

Kalau dulu memang AIDS ini dikenali sebagai Gay Related Immune Deficiency. Sekarang ni yang paling banyak dijangkiti ialah heteroseksual. Aku hairanlah kenapa masyarakat masih mengaitkan kita dengan pesakit jahanam itu. Sandra meluahkan rasa tidak puas hatinya.

Emmm, mari kita makan sajalah. J.C cuba menutup cerita AIDS yang kurang enak pada telinganya.

Ya, lets eat. Im starving. Becca bersetuju.

Ya, bercakap soal makan, kenapa si J.C ni kurus. Kau tak jaga kekasih kau ni betul-betul Jeremy cuba berseloroh.

Ya, kau dera dia Sandra pula mengusik.

Eh, kau tanyalah dia sendiri, puas aku sajikan makanan lazat. Emm, dia pilih Nestum juga. Norman ketawa kecil seraya memandang wajah J.C yang berkerut.

Telefon berdering. J.C bersorak girang dalam hatinya. Dia benci apabila ada orang mengungkit soal berat badannya yang kian susut itu.

Biar aku ambil, yang lain makanlah dulu. Norman berlalu untuk menyambut panggilan.

J.C kau nak ayam goreng ni Becca menghulurkan semangkuk penuh ayam goreng. J.C mengambil seketul yang teramat kecil. Sekadar menutup jalan rahsianya terdedah.

Ooopss! Aku ada satu makluman pen.... Kalimat Sandra itu putus.

J.C mak cik kau telefon dari New York. Norman berada di meja makan semula.

J.C bangun. Dalam hatinya berkembang riang. J.C masih memiliki keluarga yang boleh dibuat bergantung. Dia yakin tentang itu.

JESSE WILL STEVEN adalah anak blaster. Ibunya berbangsa Cina sementara ayahnya pula seorang lelaki berkulit putih. Asal New York. Ibu bapanya terbunuh dalam satu kemalangan udara di Pulau Tasmania. Sejak berusia dua tahun itulah dia dipelihara oleh pak cik dan mak ciknya. Dia dibesarkan di New York tetapi status kerakyatannya tidak pernah diubah. Tetap mengikut kewarganegaraan ibunya, Malaysia. Sebagai anak yatim, dia dibela dengan penuh kasih sayang. Dan anak-anak Pak Cik Bruce dan Mak Cik Jill dianggap sebagai adik beradik sendiri.

Setelah berjaya sebagai graduan Institut Kewartawanan Brooklyn, J.C mengambil keputusan untuk melihat sendiri Malaysia. Dan sudah tentu, sesiapa jua pasti jatuh hati untuk tinggal lebih lama di sini. Demikianlah J.C. Akhirnya dia memilih untuk menetap.

Kau mesti pulang untuk sambutan hari lahir Jason. Suara mak ciknya tenggelam dan timbul di sebelah sana.

Emmm, susah. Banyak kerja. J.C mengelak. Dia terbatukbatuk sedikit.

Kau tak sihat

Ooo, taklah. Saya sihat. Biasalah batuk ni. Kuala Lumpur berjerebu.

Kau pulang untuk Halloween. Nada suara mak ciknya masih mendesak.

Emm, tapi Halloween 31 Oktober. Terlalu awal.

Haaiiii!! Kedengaran suara mengeluh.

Thanksgiving Kau jangan beri alasan kerja lagi. Nada mak ciknya tegas dan jelas dari kejauhan.

Krismas. Saya akan pulang untuk Krismas. J.C memberikan keputusan.

Pak cik kau tentu marah jika kau tidak berada di sini untuk Thanksgiving. Kau kan kesayangannya. Kini suara tua itu mulai kecewa.

Tapi saya sibuk. J.C batuk lagi.

Betul kau tak apa-apa ni

Tidak. Saya cuma batuk sedikit. Jangan bimbang.

Baiklah. Tapi pak cik kau akan telefon lagi agaknya. Dia tak boleh sambut Thanksgiving tanpa kau. Mak ciknya tidak berputus asa.

O.K ucapkan selamat hari lahir kepada Jason. Hadiah akan menyusul. Dan kirimkan salam sayang saya kepada Tom dan Janet. Juga pak cik. Saya minta maaf. J.C bersuara perlahan.

Baiklah. Bye, hubungi kami pula.

Suara dari seberang benua dan lautan itu hilang. J.C meletakkan gagang telefon. Dia menarik nafas dalam-dalam. Jikalau keluarganya tahu cara hidupnya. Atau jikalau mereka tahu penyakit yang ditanggungnya. Mahukah mereka menerimanya J.C memadamkan ramalan-ramalan menakutkan yang berbisik di dalam hati.

J.C kembali ke meja sajian.

Ada aku tertinggal apa-apa yang penting dan menarik Tanya J.C sambil tersenyum nipis.

Oooo, kita ada berita baik malam ini. Kata Jeremy segera.

Berita baik J.C memandang muka Norman. Kekasihnya mengangguk.

Sandra baru umumkan kejayaan Becca terpilih untuk berlakon dalam teater bulan depan. Kata Gerald laju. Getar gembira dalam nada suaranya jelas.

Oooo tahniah, watak apa Judul apa Arahan siapa J.C juga tumpang seronok. Terlalu gembira. Dia berasa lega kerana peningnya tadi mereda.

Cendera Kirana dalam Teater Malam Ini, Panji Semarang... Balas Becca tersipu-sipu.

Eh, itu watak utama. Norm, cepat ambilkan champagne. Kita mesti raikan. J.C bangun tanpa lengah lantas mencium pipi kanan Becca.

Norman bergegas mematuhi arahan J.C.

J.C, kau ni makin kacaklah. Entah kenapa Gerald memujinya. Terlalu menyimpang dari pokok perbualan. J.C tertegun. Kehairanan. Sandra dan Becca leka berbual. Jeremy pula di dapur membantu Norman.

Kau nak minta belanja ke Minta maaf ya, sekarang ni pertengahan bulan. J.C membalas selamba. Cuba berseloroh. Walaupun begitu hatinya tertanya-tanya juga. Matanya merenung dalam sepasang mata Gerald sambil terbatuk sekali-sekala.

Gerald ketawa mengada. Lentuk badannya manja dibuat-buat.

Norman dan Jeremy kembali semula ke meja hidangan. Tangan Norman memegang sebotol champagne. Jeremy pula membawa beberapa gelas arak.

Sekarang kita ucapkan syabas kerana kejayaan mendadak Becca ini. J.C menuang champagne itu ke dalam gelas. Sedikit seorang.

Sebentar kemudian gelas-gelas berlaga. Mereka meneguk rakus. Dan kembali berbual-bual mesra. Gerald asyik berbual-bual dengan J.C. Dia bertanya itu dan ini tentang pengalaman J.C di Rwanda. Sandra dan Becca ketawa nyaring entah kenapa. Norman pula bergurau dengan Jeremy. Namun matanya itu tidak lepas mengerling gelak dan tawa J.C yang kelihatan tenggelam bersama Gerald. Hatinya meronta kepanasan. Cemburu meluapluap. Dia benci melihat Gerald. Gatal.

Apabila kek buah-buahan dipotong, Gerald mendahului Norman. Sepotong besar kek itu dipanggukan kepada J.C. Norman makin geram.

Perlahan-lahan tanpa sedar Sandra, Becca, Jeremy dan Gerald dia ke dapur. Air matanya mengalir. Perlu dikesat. Ya, menghormati tetamu. J.C sedar, bertahun-tahun hidup bersama telah banyak memberitahunya.

Dia ke dapur dan merangkul pinggang Norman dari belakang.

Dan memaksa kekasihnya itu menentang mata birunya.

Kau marah Cemburu

Norman angguk. Dia tunduk. Enggan menentang mata J.C. Dia lemah.

Kau ingat apa kata Shamsul Bahri kepada Siti Nurbaya dalam novel karangan Marah Rusli

Norman geleng.

Berbunyi meriam tanah Jawa, orang Belanda mati berperang. Haram kekanda berhati dua, cinta kepada adinda seorang.

Air mata Norman disapu. Dia tersenyum kembali. Ah, J.C bagaimana hidupku ini tanpa dirimu

Dia tidak tahu J.C akan meninggalkannya.