MOLOTOV KOKTEL - 2
DEWASA ini, universiti dan sistem pendidikan di negara kita panas diasak dengan cabaran dan kritikan. Ada kritikan yang hadir dan disampaikan melalui akhbar, ada yang melalui forum dan pentas debat, malah tidak kurang hebatnya dicabar melalui jalan raya. Apa sekalipun saluran yang digunakan, semuanya menjurus kepada matlamat sama; memulihkan semangat universiti, akademia dan mahasiswa.

Terdapat sekitar 20 universiti awam (IPTA) di negara kita. Selebihnya universiti dan kolej-kolej swasta (IPTS) yang kebanyakannya menjalankan operasi sama ada di bangunan pejabat, rumah kedai, atau premis sendiri mengikut kemampuan ekonomi penajanya.

Setiap IPTA membawa perkataan UNIVERSITI sebagai pengenalan diri. Namun demikian, haruslah diakui bahawa secara asasnya, perkataan universiti di negara kita kelihatan gagal berfungsi dan mengangkat tinggi martabat perkataan tersebut.

Asal perkataan universiti itu sendiri membawa definisi kelompok guru dan cendekiawan, bukanlah bangunan canggih bernilai jutaan ringgit. Sayangnya, universiti di negara kita tidak mensasar matlamatnya ke arah melahirkan cendekiawan, sebaliknya terus berorientasi pasaran kerjaya, hasil dari era pensyarikatan Malaysia suatu masa dahulu.

Apabila universiti menumpukan titik fokus dan meletakkan matlamat semata-mata melahirkan tenaga untuk mengisi kehendak industri, maka itulah kegagalan universiti kita. Difahamkan, selain daripada universitiuniversiti sebelum AUKU, selainnya tidak pun mempunyai fakulti ataupun jabatan falsafah - antara tangga tertinggi pengajian ilmu.

Sistem dan persekitaran yang dipromosi melalui AUKU tidak mungkin mampu melahirkan golongan cendekiawan ataupun pendeta dalam mana-mana disiplin ilmu. Maka, kita faham mengapa universiti tidak berfungsi seperti yang sering digambarkan. Universiti dan sistemnya lebih gemar menjadi kilang berbanding pusat ilmu.

Oleh itu, dasar perlu dirombak dan dikaji semula.

Universiti tidak harus mengikut jalur kehendak pasaran dan sektor industri / ekonomi semata-mata. Jaminan kerjaya produk dari universiti tidak harus lahir atas sistem menepati kehendak pasaran dan membentuk buruh berkepakaran.

Sebaliknya ia wajar melahirkan minda-minda yang boleh memberi input kepada sektor tersebut, berdasarkan ilmu dan kepakaran natural hasil daripada disiplin ilmu ketika mahasiswa berada di universiti.

Sektor kerjaya, pasaran, industri, dan ekonomi tidak harus menjadi acuan dalam membentuk mahasiswa sebaliknya mahasiswa yang membentuk acuan tersebut hasil daripada ilmu yang dikuasai oleh mereka.

Setiap universiti mempunyai latar belakang dan fungsi makro berbeza. Terdapat universiti yang menumpukan fokus ke atas bidang penyelidikan, ada yang memilih bidang pengurusan dan sebagainya. Maka, permasalahan yang dihadapi oleh universiti-universiti berbeza antara satu sama lain walaupun berpaut pada undang-undang dan dasar sama iaitu AUKU.

Mengambil contoh Universiti

Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dinaik taraf pada 1997, terdapat kecelaruan fungsi yang membantutkan perkembangannya sebagai sebuah pusat ilmu.

UPSI dinaik taraf dari institut guru (sebelum itu maktab) pada 1997 kepada universiti dengan harapan untuk menjadi pusat perkembangan bagi sektor pendidikan. Sebelum ini, insititusi tersebut bergelar pusat perguruan kerana acuannya melahirkan tenaga pengajar di sekolah.

Namun, hari ini, dengan status universiti, fungsi tersebut sudah pun berkembang dan tidak lagi hanya menjadi pusat melahirkan tenaga guru. Bertepatan dengan pemilihan namanya dari perguruan kepada pendidikan - sebagai sebuah universiti, seharusnya UPSI diangkat martabat dan fungsinya dengan lebih tinggi.

Seharusnya, status universiti pendidikan tersebut diraih dengan menjadikan UPSI sebagai pusat kajian dan penyelidikan sistem pendidikan negara.

Memandangkan sistem dan dasar pendidikan negara sering berubah bentuk setiap kali bertukar menteri portfolionya, kita memerlukan sebuah autoriti yang tidak ada kepentingan politik untuk mengawal dan menjadi government kepada dasar pendidikan negara.

UPSI mempunyai potensi dan kelayakan untuk mengisi jawatan tersebut. Sistem pendidikan bertujuan melahirkan golongan cerdik pandai. Maka seharusnya fungsi tersebut diberi kepada universiti, cendekiawan dan ilmuwan dari universiti berkaitan seperti UPSI berbanding orang politik.

Mahasiswa dan AUKU

Mahasiswa adalah golongan majoriti di dalam universiti. Ini fakta yang tidak disedari ramai dan tidak boleh dinafikan. Ironinya, sebagai golongan majoriti, mahasiswa sebaliknya menjadi golongan paling tidak ada kuasa dan suara berbanding pengurusan dan pentadbiran, misalnya. Mahasiswa yang rata-ratanya adalah golongan young adult masih terus diperlaku seperti kanak-kanak sekolah.

Ini perlu dihentikan.

Antara akar permasalahan selain dari faktor persekitaran dan kecelaruan politik negara, tidak boleh tidak, kita harus akui bahawa kewujudan AUKU sebenarnya secara subliminal menggalakkan tekanan kepada pelajar dan pemusatan kuasa kepada pihak pentadbiran dan menteri berjawatan tinggi.

Semangat demokrasi tidak mampu bernafas di dalam universiti melalui sistem ini. Mahasiswa masih lagi dikawal pergerakan dan pemikirannya melalui agen AUKU seperti Hal Ehwal Pelajar dan

Kementerian Pengajian Tinggi.

Di bawah AUKU, kesatuan pelajar digantikan dengan perwakilan pelajar yang terang-terangan mempromosi patronage politic apabila memperkenal sistem hierarki dalam sistem universiti. Akhirnya, mahasiswa dipupuk menjadi pengikut berbanding pemimpin. Kegagalan sistem universiti dibebankan lagi dengan masalah ini.

Pindaan ke atas AUKU tidak mampu memperbaiki masalah kerana akhirnya, ia masih lagi memberi keputusan sama. Mengulangi perbuatan sama (pindaan) dengan harapan melihat hasil berbeza adalah perbuatan sia-sia. Pemimpin politik perlu sedia untuk menerima kenyataan bahawa membebaskan mahasiswa dari cengkaman mereka adalah jawapan kepada penyelesaian masalah kemerosotan kualiti pelajar.

Tanpa AUKU, universiti tidak mungkin mati.

Akta bertujuan mengekang jenayah. Menjadi kritis dan berbeza pendirian dengan penguasa bukan jenayah. Menjadi pencabar kepada pengetahuan bukan jenayah. Mengurus tadbir sebuah pusat ilmu menggunakan autonomi juga bukan jenayah. Ringkasnya, AUKU perlu dimansuh dan mahasiswa serta universiti diberi autonomi mereka kembali.

Akhirnya, setiap yang dibincangkan kita hari ini berkenaan dengan problema dan permasalahan yang dihadapi oleh universiti, mahasiswa dan sistem pendidikan negara, hanya kekal sebagai perbincangan, jika tiada langkah drastik dalam menyelesaikannya.

Pemimpin politik yang berjawatan di kementerian harus mampu menyedari dan berlapang dada bahawa terdapat beberapa perkara yang tidak boleh dikawal oleh mereka. Apa lagi jika perkara tersebut lebih besar dan tinggi matlamatnya berbanding mereka.

Universiti dan sistem pendidikan sebenarnya sudah pun bersedia untuk melalui perubahan, hanya tinggal menteri itu sendiri mampu atau tidak, menelan realiti. Pemimpin politik perlu mempunyai political will jika benar-benar ikhlas untuk menyelamatkan sistem pendidikan negara.

Universiti tidak dibina oleh batu dan kayu, sebaliknya ilmu dan penghuninya.