Kali ini mereka menggeleng pula.
"Munir jumpa dengan Adib lebih kurang dua tahun yang lepas. Nenek Adib ditemui meninggal dunia dekat belakang rumahnya. Dipercayai serangan jantung. Munir yang jaga dia sejak tu. Kemudian saya ambil alih menjaga Adib untuk seketika masa Munir kena masuk..." Suraya memandang ke sisi. Melihat riak wajah Munir yang kosong. Dia ragu-ragu untuk meneruskan kata-kata.
"Maksud puan, semasa Encik Munir masuk ke wad psikiatri dulu Jangan bimbang, saya tahu tentang sejarah lampau Encik Munir dan sejujurnya saya tak kisah. Lebih-lebih lagi, sekarang ini kita bukan nak berbincang tentang masa lampau Encik Munir, sebaliknya tentang Adib."
Munir hanya mengangguk perlahan. Dia meramas lembut tangan Suraya yang hanya tersenyum layu.
"Terima kasih cikgu, sebab faham. Tentang Adib pulak, macam yang isteri saya cakap tadi, dia yang jaga Adib semasa tempoh beberapa bulan saya dirawat di pusat rawatan tu dulu. Lepas saya dah pulih dan keluar dari sana, kami berkahwin. Selepas kahwin, kami buat keputusan untuk ambil Adib sebagai anak angkat kami yang sah," terang Munir lebih lanjut.
Cikgu Raudhah mengangguk beberapa kali. Kemudian dia mengeluh. Perlahan tapi jelas.
"Saya tak pernah jumpa budak macam dia..." luah Cikgu Raudhah.
"Maksud cikgu" tanya Munir.
"Saya rasa Encik Munir tau.... Puan Suraya juga," ujar Cikgu Raudhah menyerkap jarang.
Munir dan Suraya membatu. Namun faham akan maksud guru kelas Adib itu. Adib memang budak yang luarbiasa. Dalam segala segi. Cuma apa hal pulalah kali ini. Itu yang Munir dan Suraya benar-benar tidak sabar untuk tahu.
"Kita semua tau bahawa Adib adalah seorang kanak-kanak yang istimewa. Malah sewaktu encik dan puan mula-mula masukkan dia belajar di sini pun, encik dan puan sudah terangkan pada kami tentang situasi uniknya.... Jadi kami para guru faham. Dan kami cuba untuk menyesuaikan diri. Dalam masa yang sama cuba untuk didik Adib sebaik yang mungkin. Walaupun banyak cabarannya, kami optimis..." Cikgu Raudhah terhenti seketika. Merenung pada kertas-kertas di hadapannya. Kemudian dia menyambung semula...
"Saya selalu memanggil encik dan puan bila ada perkara-perkara baru yang dilakukan oleh Adib yang memerlukan kami untuk mendapatkan lebih kefahaman. Contohnya bila dia enggan membuat kerja rumah dengan alasan ianya tidak releven dengan motif kewujudannya. Dan bila dia menggelarkan dirinya dengan gelaran 'aku' pada para guru. Juga bila dia sering menanyakan soalan-soalan luarbiasa dan tidak sesuai untuk budak seusianya.... Tapi hari ini saya memanggil encik dan puan atas sebab yang sedikit berbeza."
Munir merenung wajah Cikgu Raudhah dalam. Fokus. Suraya pula menoleh ke belakang dan memerhatikan Adib yang sedang duduk berseorangan di hujung belakang kelas. Tatkala rakan-rakan sekelasnya riuh bermain sesama sendiri, Adib hanya bercakap-cakap dengan dirinya.
Suraya menahan airmata dari gugur. Mengetap bibirnya yang bergetar, sebelum mengembalikan perhatiannya kepada Cikgu Raudhah. Kadangkala keadaan Adib betul-betul menyentuh naluri keibuannya.
"Teruskan cikgu... kami sedia mendengar..." ujar Suraya.
"Umur Adib sembilan tahun kan Tapi saya rasa encik dan puan pun sedar bahawa pemikirannya jauh lebih matang dari usianya. Bila ada masa-masa dia setuju untuk menjawab soalan ataupun membuat kerja rumah juga, saya dapat lihat bahawa Adib mempunyai tahap IQ yang sangat tinggi. Malah... luarbiasa. Lalu saya pun cuba membuat satu eksperimen. Saya mendapatkan beberapa salinan peperiksaan percubaan SPM yang lepas dari rakan saya yang mengajar di sekolah menengah. Lepas tu saya meminta Adib untuk menjawabnya. Ada lebih kurang tujuh subjek semua termasuk Matematik Tambahan, Kimia dan Biologi. Selepas menyemak kertas jawapan Adib sebanyak beberapa kali, ini adalah keputusannya," kata Cikgu Raudhah sambil menghulurkan kertas-kertas peperiksaan tersebut.
"Adib dapat menjawab semua soalan dengan tepat. Tak ada satu pun yang salah. Soalan objektif mahupun subjektif. Beberapa orang guru yang turut memeriksa juga mengatakan bahawa kebanyakan jawapan Adib mirip dengan apa yang biasanya mampu dilakukan oleh pelajar-pelajar peringkat pengajian tinggi."
Munir dan Suraya memerhatikan kertas-kertas peperiksaan bertanda pen merah itu dengan perasaan yang keliru. Bibir mereka merumpun dan dahi mereka mengerut.
"Saya tak boleh mengatakan dengan pasti. Sebab ada ujian-ujian lain yang boleh dilakukan untuk mengenalpasti secara lebih tepat. Tapi rumusan yang saya boleh buat secara peribadi adalah, walaupun Adib baru berumur sembilan tahun, pengetahuannya sama tahap dengan seorang pelajar universiti yang berumur 19 atau 20 tahun."
"Macam mana bang"
"Hah" Munir terkeluar dari imbas kembalinya.
"Termenung pulak. Apa pendapat abang" tanya Suraya.
"Dia belajar kat internet kut" saran Munir.
"Rumah kita internet pun tak ada..."
"Betul jugak..."
bersambung
Bab akan datang:
Bagaimanakah Adib mampu menjawab soalan-soalan tersebut sedangkan di rumahnya tiada kemudahan internet