Kaki Leman disentuh jari-jari halus Mak Cik Vijaya. Lalu digerakkannya sedikit, diayun lembut kiri dan kanan. Leman bangun perlahan-lahan dan mengerekot kesejukan. Dicapainya tuala yang sudah terperap sepurnama di belakang pintu bilik yang sudah kusam dan gelap. Bau masam dengan tompok kecil berwarna kehitaman itulah yang diciumnya beberapa kali. Mak Cik Vijaya mengintai-ngintai dengan harapan anak lelaki bongsunya ini lekas bersiap untuk mengikut suaminya ke surau.
Leman!
Berdentum bunyi kaki berlari menuruni tangga rumah Cikgu Muhammad. Terus dia lekas membonceng basikal tua. Kerusi kecil yang diletakkan di bahagian belakang basikal ini semakin lama semakin mengeras. Kadang-kadang saat terlanggar batu atau terjatuh sedikit ke dalam lubang, terasa pedihnya di punggung. Cikgu Muhammad sengaja berbuat bengis saat Leman memandang wajahnya. Elok sahaja sudah sampai ke surau, sempat lagi Leman mendapat kucupan manis daripada Cikgu Muhammad di ubun-ubunnya.
Pak Yus sudah pun membacakan iqamat, ada lebih kurang enam orang yang akan jadi makmum termasuk Leman yang masih belum masuk jawi. Dipaksanya Leman solat seorang diri di saf belakang yang terpisah sebanyak tiga barisan. Kipas yang berpusing sepenuh kuasa, kerik-kerik bunyi serangga dan sesekali terdengar bunyian air daripada jemaah yang baru sampai menyebabkan Leman tersengguk sekali dua. Bercampur angin dingin dari luar surau dengan laju deras kipas. Leman memeluk tubuhnya sendiri sambil berdiri solat dan sesekali mahu tersembam dek mengantuk yang amat sangat. Rakaat pertama memejamkan mata, rakaat kedua juga begitu. Hingga ke doa qunut matanya masih terpejam sampailah ke hujung tahiyyat akhir. Habis sahaja salam kedua, Leman membuka mata. Cikgu Muhammad melambai-lambai Leman untuk duduk bersama-sama di saf hadapan. Leman tidak bangun, hanya merangkak ke hadapan dan duduk di sisi Cikgu Muhammad. Kemudian, Cikgu Muhammad mengangkat bahu dan memeluk separuh badan Leman. Akhirnya terasa nyaman dan bernyawa. Wap badan panas ayahnya kini membalut diri Leman yang kembali tertidur.
Pak Imam membacakan zikir pagi dan diikuti dengan doa yang panjangnya ya Tuhan. Masing-masing tunduk mengaminkan doa sambil memejamkan mata. Ada antaranya yang tidak langsung mengeluarkan bunyi daripada mulut tetapi tangan masih teguh menadah doa. Habis sahaja doa, ada yang terkebilkebil memandang kiri kanan dan kemudian laju sahaja menyapu muka. Kemudian Pak Imam mengambil sebuah buku yang tebalnya seakan kek buah Mak Cik Vijaya. Tebalnya lebih kurang sejengkal tangan Leman. Jika Leman yang memegang naskah tersebut pasti perlu dierat dengan kedua-dua belah tangan. Pak Imam menyelak perlahan-lahan mencari tanda dan dibaca kuat kepada semua.
Hadith kesepuluh, kata Pak Imam.
Daripada Abu Hurairah r.a., telah bersabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya Allah Taala itu baik, dia tidak akan menerima melainkan yang baik sahaja. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan kaum Mukminin sama sebagaimana Dia memerintahkan para Mursalin (para Rasul). Allah berfirman: Wahai para Rasul, makanlah dari yang baik-baik dan kerjakanlah amalan yang saleh. Dan Allah berfirman lagi: Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari makanan yang baik yang Kami berikan kepada kamu. Kemudian Rasulullah SAW mengisahkan tentang seorang lelaki yang telah belayar jauh. Rambutnya kusut, berdebu, mengangkat kedua belah tapak tangannya ke langit serta memohon: Ya Tuhanku! Ya Tuhanku! Sedangkan makanannya dari yang haram, minumannya dari yang haram dan pakaiannya dari yang haram, dan dia telah dikenyangkan dari sumber yang haram. Alangkah jauhnya dia (doanya) untuk dikabulkan.
Masing-masing tunduk sama ada mendengar dengan tekun atau sudah berlayar hingga ke negeri bersebelahan Laut China Selatan. Habis sahaja semua perkara-perkara syurga di dalam taman yang disamakan dengan Raudhah ini, masing-masing berselawat dan bersalaman. Semua jemaah berbondong keluar mendapatkan selipar.
Jom pergi cari nasi lemak Mak Lang, mesti dah ada ni, ajak Cikgu Muhammad.
Leman menyambut dengan mengangguk perlahan. Diikutkan hatinya, mahu sahaja menjawab hendak balik ke rumah dan menyambung tidur. Tetapi tidak punya keberanian sebesar itu.
Longlai Leman berjalan menuruni tangga dan naik ke tempat duduk belakang basikal. Kemudiannya terus memegang baju Melayu Cikgu Muhammad.
Cikgu Muhammad dan Leman menyusuri jalan kecil menuju ke hadapan rumah Mak Lang yang betul-betul membelakangi Sungai Semantan. Jalan ini hanya boleh dilalui oleh seorang sahaja pada satu-satu masa, jika berselisih basikal, salah seorang perlu mengalah dan berhenti memberi laluan. Denai tepi seakan dibina ini punya semak samun setinggi pinggang Cikgu Muhammad. Kadang-kadang bersilih dengan pokok-pokok besar yang tumbuh secara semula jadi.
Jika berjalan sendirian, pasti mahu bercepat-cepat menuju ke destinasi. Tidak boleh lama-lama kerana berbagai perkara akan keluar dari dalam kepala. Harimaulah, kerbaulah, juga Hantu Kum Kum yang menjadi igauan kanak-kanak di kampung.
Rumah Mak Lang punya anjung yang menawan. Alang segi tiga sengaja dibiarkan terbuka dan dilitupi dengan atap-atap kayu hitam di bahagian hadapan. Di bahagian depannya pula bersusun mata tangga yang dicat warna merah hati dan kemudian ada garisan yang berwarna kuning bersilang siur. Terdapat dua pangkin yang siap dengan meja kecil di tepi kanan tangga, menjadikan rumah Mak Lang sedikit istimewa dari sudut landskap kampung. Di hadapan rumahnya, terdapat beberapa pohon rimbun, antaranya pokok rambutan, mempelam serta manggis yang sentiasa berbuah mengikut musim masingmasing.
Di bawah pokok rambutan yang tersergam di hadapan rumah Mak Lang inilah diletakkan satu pangkin untuk menjual nasi lemak dan kuih-muih pada pagi hari.
Dari jauh lagi kelihatan Mak Lang sedang mengemas meja kecil yang memuatkan seleksi masakan paling utama di Tanah Melayu, nasi lemak. Ada juga beberapa bekas kuih-muih yang diletakkan oleh adik kesayangannya Mak Tehteh. Dua beradik ini cukup sinonim di Pasir Rawa kerana kehebatan memasak masakan kampung. Ada sahaja tempahan bagi mereka yang mahu membuat keramaian atau kenduri-kendara. Dari badak berendam hinggalah ke kaswi, sebut sahaja. Mereka berdua pasti menerima tempahan dengan hati terbuka.
Hampir setiap hari, Mak Lang akan menggoreng di luar rumah. Manakala untuk menyiapkan nasi lemak serta aksesori, beliau akan sediakan di ruang dapurnya. Leman antara yang suka sekali bermain di seputar ini.
Jika saat Mak Lang memasak, Leman suka menjadi penonton tegar. Ada sahaja keletah budak ini yang menyenangkan Mak Lang dan Mak Tehteh. Disuruhlah apa sahaja, Leman akan menuruti dengan baik.
Saat Cikgu Muhammad menyambut nasi yang sudah dibeli dari Mak Lang, mata Leman terbeliak. Dipandangnya betul-betul dan bingkas berdiri dengan tegak. Belum pernah lagi beliau melihat rupa budak yang sedang berlalu di hadapannya. Wajah ayu dengan tudung kecil ini terus laju tanpa memerhatikan Leman sedikit pun. Berpegang tangan dengan ibu. Bermata galak. Dengan pipi gebu ala pau Tuck Keong di bandar. Oh Leman ternganga.
Hah, tengok apa lagi Jom balik. Leman bingkas ke basikal.
Cikgu Muhammad memulakan kayuhan sedang Leman masih lagi memacakkan matanya kepada gadis tadi. Hampir sahaja leher Leman terpusing 180 darjah.
Sampai sahaja di rumah, Leman berlari mendapatkan kalendar kuda yang tergantung kemas di dinding bilik. Oh 13 April! Leman menjerit. Ditandakan bulat tarikh keramat tersebut dengan pen merah dan berangan untuk berkenal-kenal di sekolah pada pagi esoknya. Pasti ini budak baru di Pasir Rawa! Pasti!
Budak kurus keding ini terus sahaja berlari menuruni tangga rumah, belum habis ke tangga paling akhir dia melompat ke tanah dan memecut lari ke rumah Faduli. Tidak sempat Mak Cik Vijaya mengejar untuk mengajak bersarapan bersama. Digeleng-geleng kepala beberapa kali dan meletakkan kembali sebungkus nasi ke dalam tudung saji. Manakala dua bungkus lagi diletakkan di atas dulang bersama dengan piring dan dua gelas cawan teh o yang masih berasap.
Duli!! Duli!!
Duli belum bangun Leman, naiklah! Kejutkan dia tu, sampuk Mak Cik Cah. Leman terus menaiki rumah dan memasuki bilik Faduli.
Duli, bangun woi! Bangun! Dah pagilah!
Kau buat apa kat rumah aku pagi-pagi Ahad ni Dah gila
Tadi aku ikut bapak aku beli nasi lemak, ada budak perempuan! Aku tak pernah tengok dia, kau kenal Mata dia besar, pipinya gebu ala Ogy Ahmad Daud! Kau kenal tak
Oh... itu mesti cucu Tok Penghulu Ariffin. Aku dengar ayahnya sambung belajar di England. Dia pindah ke sini dengan maknya. Nanti kau jumpalah dia puas-puas kat sekolah. Faduli bingkas duduk. Diusapnya mata berkali-kali dan memandang tepat pada wajah Leman yang masih tersenyum-senyum sendiri. Kau ni kenapa Dah gila bayang ke apa ni tanya Faduli.
Ha ha! Budak tu dah membuka muka surat cinta dalam hati aku! Ha ha ha! Kau pernah baca tentang kisah Zainab dan Hamid dalam Di Bawah Lindungan Kaabah, Faduli Pernah Kau belum tahu kisah cinta yang sebegitu indah, nanti bila kau sudah nampak wajah budak perempuan ini. Entah-entah kau juga jatuh cinta!
Leman menjawab sambil meletakkan tangan di tepi jendela kecil bilik Faduli. Angin-angin yang bertiup memukul rambut lebat Leman, meliuk-liuk mengikut rentak angin. Leman mengadu nasib pada alam yang sedang dipandangnya. Pagi itu matahari bangun dengan sendiri seperti biasa. Tidak peduli dengan angin dan embun yang baru sahaja mahu bermain-main dengan pokok dan daun-daun. Lalu haiwan dan binatang menari dan berkokok bersama. Matahari terus naik, Leman pula memejamkan mata. Membiarkan sahaja cahayanya yang memancar itu memasuki ruang kepala dan dadanya.
Esok kita jumpa wahai Ogy!
Amboi, apa ni cerita cinta-cinta Mak Cik Cah muncul di bibir pintu sambil ketawa.
Dah, mari makan. Kau pergi gosok gigi dulu Duli. Leman tersentak dan Faduli menggeleng kepala.
Habislah kau kalau mak aku tahu.
Kau janganlah kasi tau!
Kalau dia dengar tadi macam mana Dia pengerusi persatuan gosip kampung kita tau tak jawab Faduli disambung dekah ketawa Leman. Pagi itu mereka menyambung berjalan dan berpelesiran di kampung. Anak mata mereka tercari-cari sekiranya wajah ayu pagi tadi muncul kembali di hadapan mata. Tetapi nasib langsung tidak menyebelahi mereka. Yang ada hanya angsa-angsa Mak Lang yang membingit dan itik-itik yang tak pernah berhenti menyudu di gigi air Semantan.