Aku kecewa sebab baru sekejap tadi aku habis menyanyi wakasau wakasau cenangga sambil berdiri menggenggam penumbuk ke langit mengikut ritual Retsu untuk bertukar menjadi seorang Polis Angkasa. Selesai saja intro cerita Gaban yang memang menaikkan spirit tadi, aku kembali duduk bersila depan televisyen menanti aksi-aksi seterusnya penuh debaran di petang Rabu.
Baju Melayu balik mengaji Muqaddam dari rumah Tok Cik pun kadang-kadang aku tak sempat salin.
Entah siapa pula Gaban kena lawan kali ni, aku cakap sendiri dalam hati.
Namun belum pun sempat Gaban diancam mara bahaya oleh konco-konco Don Horror dari planet Makuu, iklan televisyen terlebih dahulu datang mencelah.
Mula-mula iklan permainan Playdough, aku tengok meleleh air liur sajalah sebab permainan ini tidak dijual di pekan Bagan Serai. Ayah aku cakap, ini permainan orang kaya di Kuala Lumpur, benda ini harganya mahal, dan kalau ada jual pun, tak ada orang kampung di Bagan Serai yang mampu beli.
Selepas Playdough, stesen RTM tayang pula iklan Kentucky. Ini pun satu hal juga, Bagan Serai tak ada Kentucky. Kalau nak merasa makan Kentucky kena pergi sampai ke Taiping. Bayangkanlah sebesar-besar negeri Perak masa itu, seingat aku ada 3 saja kedai Kentucky; di Ipoh, Setiawan dan Taiping. Punyalah kesian ke orang Perak.
Iklan Maggi masuk juga waktu petang macam ni. Iklan susu Dutch Lady, atau iklan Planta pun ada, tapi memang tidak kenalah dengan rutin kanak-kanak macam aku.
Selepas tiga atau empat iklan, akan muncul iklan wajib waktu petang, iaitu iklan Ding Dang. Ding Dang ini aku tak berapa pergi sebab mainan dalam dia tu kecil dan selalunya tak best. Versi mainan itu pula lambat nak ganti, maksudnya kalau kau beli Ding Dang sekarang, dengan kau beli Ding Dang bulan depan, potensi untuk kau dapat mainan kecil dan tak best yang sama itu adalah sangat tinggi.
RTM ini pandai susun iklan, selalunya iklan akhir sebelum sambung aksi Gaban dia akan pancing budak-budak dengan iklan paling berhantu zaman itu, iklan Tora. Lebih kurang Ding Dang, tapi Tora ini mahal sikit sebab biskut coklatnya lebih besar dan permainan dalam kotaknya lebih power.
Tora Datang Lagi! begitu nyaring suara Mat Sentul di kaca televisyen cuba menghasut budak-budak. Untuk kali ini, Mat Sentul memberitahu kami yang Tora ada permainan baru, bola terbang. Aku cepat-cepat tumpukan perhatian sebab iklan Tora minggu lepas masih sama dengan iklan minggu sebelum itu, permainan kapal angkasa. Minggu ini sudah ada yang baru, bola terbang. Tak berkelip mata aku tengok bola sebesar ibu jari orang dewasa terbang mengelilingi meja budak-budak dalam iklan yang diketuai oleh tidak lain lagi iaitu Mat Sentul. Bola getah, dengan ekor warna warni dan boleh terbang, sangat mengasyikkan.
Aku mesti suruh ayah beli ni, dah ada baru pulak! aku gembira menyeringai.
Gaban beraksi semula. Musuh sudah membuat kucar-kacir. Retsu macam biasa bertukar menjadi Gaban dalam tempoh cuma 0.02 saat. Langit bertukar gelap, lalu bergemalah suara Don Horror memberi arahan kepada konconya, Heret Gaban ke ruang angkasa syaitan! Gaban mula bertempur, menyeru kawannya robot naga warna biru bernama Dol Blue untuk datang membantu. Di penghujung pertarungan, Gaban akan keluarkan senjata akhir paling power, iaitu sebuah pedang laser. Hmmm bila sudah keluar pedang laser ini maknanya cerita Gaban sudah di penghujung dan aku dah boleh bersiap untuk pergi main tepuk kad di port kaki lima Tadika, atau aku ambil stok guli dalam tin Milo di tempat rahsia, letak dalam poket lalu keluar rumah mencari lawan.
Pedang laser Gaban diangkat tinggi, Gaban Z! Potong dua!
Maka berakhirlah riwayat penjahat. Geng penjahat ini akan hidup balik untuk lawan Gaban minggu hadapan pula.
Di luar, kedengaran bunyi motor ayah aku balik kerja. Aku menerpa ke pintu. Belum sempat ayah aku tanggalkan topi keledar, aku dah sound;
Esok balik kerja belikan Tora ayah. Ada baru punya, bola terbang, nak yang itu.
Ini antara secebis kenangan peribadi yang datang, bila aku baca naskah Bozu bertajuk Tora Datang Lagi ini.
Menghabiskan buku ini sama seperti kau menyusun balik memori hidup kau mengikut timeline zaman kanak-kanak. Kau jumpa semula yang hilang, kau ingat balik yang sudah terlupa, kau bina balik blok-blok gambaran hidup zaman zaman kanak-kanak dan segala keriangan bila kau baca buku ini sehelai demi sehelai.
Bozu ini makan apa pun aku tak tahulah. Bagaimana dia boleh ingat semua benda Dan bukan setakat ingat, tapi dia ingat dengan penuh perincian.
Tora Datang Lagi ini bagus kerana ia mengimbau memori kita dengan jelas dan terperinci. Selepas ini kita tidak perlu bimbang kalau aktiviti atau scene kanak-kanak kita terlepas dari ingatan. Simpan buku ini dan bila hendak mengingat, bacalah. Bacalah untuk diri sendiri, bacalah untuk anakanak dan bacalah untuk cucu-cucu di suatu masa nanti. Kita semua pasti akan tersenyum.
Buku Tora Datang Lagi ini ibarat bola terbang dengan ekor warna-warni yang menjadi dambaan dan hajat setiap kanakkanak yang kini telah pun mencecah usia dewasa.
Terima kasih Bozu kerana menulis buku ini.
Dan;
Kau lah sebenarnya, Gaban kami semua.
Fdaus Ahmad
Mac 2015
Buku ini didedikasikan kepada
Allahyarham Muhammad Izwan bin Yaacob
1990-2012
Al-Fatihah
Terima kasih untuk semua masa dan kenangan bersama
Segala frasa, contoh, gelaran, rukun, penerangan dan definisi di dalam buku ini mungkin sedikit berbeza mengikut lokasi, jalur masa, iman, pembesaran, fahaman dan didikan ibu bapa masing-masing. Tiada sebarang kajian khusus atau DeLorean yang digunakan dalam usaha menyiapkan buku ini. Segala yang ditulis di dalam buku ini adalah kisah benar berdasarkan saki-baki ingatan penulis sendiri.