Bumbungnya boleh jadi dalam bentuk Minangkabau, boleh juga bumbung konvensional beratap zink, ataupun satu tambahan dari dinding yang bergerak horizontal lalu bergelar bumbung kerana saya tahu, anda mendefinisikan bumbung itu selaku sesuatu yang menutup pondok dari sinaran mentari dan hujan itu selaku bumbung. Maka begitulah pondok yang saya maksudkan itu.
Anda boleh bayangkan pula, saya sedang berdiri di dalam rumah itu, sedang mendepakan tangan, sedang memejamkan mata, sedang berpakaian ataupun bertelanjangan, seorang tua ataupun seorang muda, seorang androgynus ataupun seorang yang berjantina. Bayangkan sahaja, saya seorang manusia seperti anda, yang suka bersendiri di dalam sebuah pondok kecil ringkas.
Saya bermeditasi cuba untuk memahami anda dan anda kini sudah berkemampuan untuk melihat saya selaku diri anda juga. Saya adalah sebahagian dari anda. Dan saya percaya anda sudah boleh membayangkan pondok tadi dan juga saya selaku satu kombinasi benda hidup. Yakin
Baik, saya sambung lagi penceritaan saya dengan bagaimana pondok ini berfungsi selaku pondok yang menyelesakan saya selaku manusia di mata anda.
Bagaimana dengan sistem aliran elektrik Ya, kena ada sistem penebat haba ataupun alat pemanas agar suhu permukaan Marikh yang dinginnya terletak dalam julat 68 Fahrenheit sehingga negatif 197 Fahrenheit tidak membekukan saya hidup-hidup. Setiap tingkap ada motornya yang dikawal bukaannya secara automatik. Terdapat tapisan debu pada tingkap-tingkap dan juga pintu masuk. Bayangkan rumah ini berfungsi dengan tenaga kinetik sang angin dan beralternatif pula dengan sinaran mentari yang garang membelah angkasa. Ia akan bernyawa, seperti tafsiran anda dan memberikan keselesaan kepada saya di dalam rumah ini.
Bayangkan pula sistem pencahayaannya di malam hari. Sebutir mentol sudah memadai, kerana saya seorang minimalis. Eh, bukan. Minimalis sudah memadai, kerana penceritaan konsep haruslah minimal, bukankah begitu
Anda boleh membayangkan saya selaku manusia yang tak perlukan pembuangan sisa-sisa toksik dalam tubuh. Namun itu akan meletakkan saya selaku penghuni Marikh yang mati di hati anda. Baiklah, dalam pondok kecil ini ada mangkuk tandas dan juga bilik mandi. Kecil sahaja, cukup-cukup untuk seorang, tanpa perlu pergerakan berpusing banyak kali. Bahan-bahan kumbahan akan disalurkan ke dalam lubang yang dikorek dalam menembusi permukaan Marikh, dan usah risau, saya sudah dapatkan kelulusan dari jabatan pemuliharan alam, sepertimana anda di bumi.
Kebersihan alam harus dijaga, bukankah begitu Walaupun ia sia-sia sebenarnya.
Baiklah, anda pasti sudah mengerti analogi seorang tua di dalam pondok di permukaan Marikh itu bukan
Tukar persepsi anda itu, sekarang! Saya kata, sekarang!
Saya hanyalah sebutir jasad selestial yang melumat dan lebih kompleks dari beruang genome yang abadi itu. Pondok saya tadi adalah seketul batu besar yang anda semua lihat selaku objek mati yang tak relevan untuk ditatapi. Pintunya pula adalah lubangan yang dicetuskan angin Marikh yang kadangkala bertiup lebih ganas dari tornado bumi anda. Tingkapnya pula adalah lekuk-lekuk yang dijamah angin ganas tadi, sehingga terdapat sedikit bukaan ke dalam batuan yang sudah rapuh. Bumbungnya pula adalah permukaan batu yang mendekati langit. Sistem aliran elektriknya pula adalah pergerakan butir-butir selestial seperti saya di dalam batu, yang dibawa oleh angin tadi, sebelum termansuh oleh geseran demi geseran yang menghimpit ruang yang semakin kerdil dalam batu ampuh itu. Paduan silika dan oksigen membentuk komposisi kami, dan apa yang anda boleh bayangkan dengan silika dan juga oksigen itu tadi
Penebat haba ataupun alat pemanasnya adalah kematian sang angin digeser dalaman batu yang lohong.
Maka, adakah anda boleh memahami saya selaku benda hidup Sukar bukan Saya adalah seorang tua bernama kompleksiti, maka haruslah anda tidak mengerti dengan pembacaan bab pertama dan juga bab kedua semata-mata.
Saya akan bentangkan pula senario-senario kemanusiaan, yang boleh difahami anda semua. Biar tampak jelas analoginya.
Diharap sesudah ini, saya dan anda akan memahami bahawasanya kita hidup di bawah sinaran mentari yang sama.
*
Bolehkah anda melihat saya di atas permukaan bumi Saya rasa anda tak dapat melihat saya dari bumi. Saya juga tak boleh lihat anda dari Marikh ini. Maka, bagaimana harus kita berinteraksi Kita dipagari hijab yang membataskan penafsiran kehidupan masing-masing. Saya telah cuba menggunakan analogi pondok dan seorang tua, dan serasanya ia masih tak memadai.
Percayakah anda, saya juga boleh digambarkan berada di permukaan bulan Batunya mungkin tak sama secara ciri-ciri geologinya, tetapi aplikasinya boleh disamakan analoginya. Maka, saya dengan pondok tadi kini berada di bulan, menghadap bumi dengan konsep bahawasanya bumi ini tidak punya kehidupan. Anda juga seperti yang saya tahu secara lahiriahnya, melihat bulan selaku suatu objek yang nyata indah tetapi tidak berpenghuni. Entah berapa orang yang percaya di bulan ada arnab, tetapi saya berani yakinkan anda, bahawa kami yang tak bernyawa di mata anda ini, tidak langsung menyerupai arnab yang anda maksudkan itu. Ia karut. Kami tak sesuai dilabelkan selaku arnab. Kita setara bukan
Kita punya intelektualiti yang boleh disamaratakan.
Bayangkan seorang budak kecil dengan binokularnya, sedang merenung langit malam, dan terpersona dengan indahnya bulan itu. Beliau, sang budak kecil itu juga gigih membayangkan kemungkinan bulan itu punya penghuni seperti bumi. Justeru itu, bayangkan saya selaku pembayangan kepada budak itu tadi.
Naif dan mahu mengetahui serba-serbi segalanya mengenai jasad selestial dan juga jirim gelap yang memenuhi langit tak bersulam mentari. Saya juga melihat bumi dengan persepsi begitu.
Dengan meletakkan persamaan berikut:
Jasad selestial = benua.
Jirim gelap = lautan
Dan meletakkan simbol-simbol yang sesuai untuk memudahkan penganalisaan persamaan-persamaan tersebut, ia akan berbunyi seperti berikut pula:
Js = B
Jg = L
Apa yang anda fahamkan
Jasad selestial adalah komponen tompok-tompok galaksi yang dikelubungi bintang-bintang, planet-planet, awan Oort dan pelbagai lagi objek tak dikenalpasti oleh fizik anda dan tidak dapat diwartakan dengan bukti-bukti sahih kerana anda belum menemui hakikat yang tepat benar untuk menjelaskannya. Manakala jirim gelap itu adalah lautan ketidaktahuan yang anda gagal lihat dengan sains anda, seperti gagalnya anda melihat saya selaku sesuatu yang bernyawa dan setara dengan anda.
Adakah anda berminat untuk tahu apa di dalam lautan anda Sepertimana apa yang anda mahu tahu akan apa yang tersirat dalam jirim gelap di angkasa Namun begitu, laut anda boleh diterokai dari masa ke semasa. Apa yang anda perlukan hanyalah masa. Anda perlu mencipta peralatan demi peralatan canggih yang mampu menangani tekanan atmosfera yang menjunam naik dengan setiap kedalaman yang mencabar. Namun jirim gelap adalah lautan yang takkan dapat anda tembusi dengan peralatan-peralatan canggih tersebut. Tidak, jirim gelap adalah sesuatu yang gagal difikirkan komposisinya dengan akal anda, kerana anda telah dibatasi sebegitu.
Saya pula melihat jirim gelap itu seumpama anda yang mengenal tanah dan juga butir-butir setiap atom yang tersirat di dalamnya.
Namun jangan desak saya untuk menceritakan sesuatu yang diluar konteks otak anda. Saya akan cuba huraikannya dengan bahasa anda yang paling mudah, biarpun anda akan melabel saya selaku satu kompleksiti yang celaka dan berselirat. Ia tidak dapat dielakkan. Sesuatu yang mustahil untuk dijelaskan memang rumit diceritakan oleh saya biarpun saya telah memahami bahasa dan kesusasteraan yang menjadi pegangan anda berinteraksi.
Kita mulakan pula dengan babak seorang tua di pondok asing di bulan pula. Anda bersedia Mungkin tidak bersedia lagi, tetapi saya tak peduli. Saya akan ceritakan bermula dengan analogi pondok yang sudah dipindahkan ke bulan.
Budak itu, sedang meneliti apa yang boleh diperhatinya dengan binokular ringkasnya itu. Dia menyimpulkan bulan itu mudah dan kosong. Dia harap dia dapat lihat bintang ataupun Kejora, ataupun Marikh ataupun butir-butir meteor. Namun begitu, buat masa ini dia hanya dapat lihat bulan yang kosong. Dengan pelbagai Rima dan jurang yang kabur-kabur dia teliti tetapi dia hanya hadir pada kesimpulan bahawasanya bulan itu mati.
Saya kecewa dengan kesimpulannya tetapi harus difahami, dia adalah seorang budak yang baru belajar menggunakan binokularnya.
Saya berharap dia akan melihat melalui balai pencerapan bulan. Namun begitu dia berada di Malaysia, dan saya tak pasti sekiranya dia menyedari akan kewujudan balai cerapan tersebut. Terdapat balai cerapan di Planetarium Negara dan juga Universiti Malaya. Biarpun begitu, budak itu tidak punya akses untuk ke tempat-tempat tersebut. Maka, dengan binokularnya dia memerhati dan mengeluarkan telahan separa masak dari apa yang dilihat. Dan apakah yang dimonitor oleh ahli-ahli astronomi yang melihat bulan Tiada siapa menjangka terdapatnya kehidupan di bulan itu, dan ia tidak wajar dibincangkan. Saya pula melihatnya selaku satu kecuaian manusia. Mereka telah meletakkan bulan selaku tempat tidak berpenghuni hanya kerana penilaian mereka terhadap konsep kehidupan itu jauh benar bezanya dengan apa yang saya nilaikan.
Apa kata saya huraikan keadaan bumi yang mati di mata saya
Bumi dari pandangan saya pula berbeza benar dari apa yang anda lihat. Mungkin anda lihat bumi itu, selaku sesuatu yang indah dengan lautan birunya, tanah-tanah berwarna perang dan hijau, timbunan salji di kutub utara dan selatannya. Saya telah melayang dekat, dan apa yang saya nampak adalah ketidakwujudan kehidupan.
Saya kesan pergerakan tetapi ia tidak mencakupi konteks kehidupan yang saya fahami. Anda bernafas, tetapi tidak mencakupi konteks kehidupan yang saya mengerti. Anda mencipta, anda menemukan sesuatu dari apa yang sudah ada. Anda membina sesuatu dari apa yang sudah anda adunkan dan menggunakannya.
Namun anda tak dapat meletakkan diri anda selaku sesuatu yang saya gelarkan, hidup. Ia mustahil, sahabat. Mustahil teramat sangat. Jangan berkecil hati. Biar saya terangkan bagaimana pula konsep kehidupan di mata kami yang tak begitu bersifat mata di kalangan anda.