Lukisan Asmara 2 - 2
BAB 1

Amboi, amboi, amboi, bukan main lagi pasangan sejoli ni. Mak Chom tengok, kedua-duanya berseri lain macam saja pagi ni. Nampak macam seri pengantin baru. Beginilah caranya orang hidup berumahtangga. Berdamping-dampingan, berpimpin-pimpinan, berkasih sayang dan bergurau senda. Seronok sangat Mak Chom tengok kamu berdua dah berbaik-baik. Kalau tak tu, seorang ke kutub utara, seorang lagi ke kutub selatan. Macam perang Korea pula, komen Mak Chom dengan perasaan yang senang sekali bila melihat Tuan Fahreen dan Alyssa turun ke ruang makan dalam keadaan berpimpinan tangan.

Memang benar bagai telahan Mak Chom itu. Semenjak tinggal bersama di rumah besar itu, dia tidak pernah melihat Alyssa begitu mesra sekali dengan suaminya, Tuan Fahreen. Alyssa seringkali mengelak dari terserempak dengan Tuan Fahreen walaupun mereka tinggal sebumbung. Bukan Mak Chom seorang sahaja yang berasa pelik, malahan kesemua orang gaji yang mendiami kediaman mewah itu, juga cuak. Terdapat perbezaan yang ketara sekali dalam hubungan Tuan Fahreen dan isterinya, jika hendak dibandingkan dengan pasangan lain yang di luar sana.

Mak Chom nak dengar satu cerita tak Mulai hari ini, Alyssa bukan saja jadi teman serumah saya, malahan sudah jadi teman sebilik saya.

Abang! Alyssa terjerit manja sambil tangannya mencubit mesra paha Tuan Fahreen.

Tuan Fahreen juga mengaduh manja. Namun, tangannya segera menarik tangan isterinya itu untuk digenggamnya sekali lagi. Dia sedikitpun tidak mempedulikan kehadiran Mak Chom di situ. Biarpun satu dunia melihatnya, tetapi, dia juga tidak peduli kerana di matanya sekarang hanya ada Alyssa, di mana-mana sahaja.

Hai, nampak gayanya, lepas ini, bolehlah Mak Chom timang cucu pula.

Tuan Fahreen tersenyum manja memandang Alyssa. Dia begitu mengharapkan agar harapan Mak Chom itu menjadi kenyataan. Sudah tentunya, Tuan Fahreen mahukan anak dari perkahwinannya itu. Anak yang bakal dilahirkan oleh isterinya, Alyssa, sebagai lambang kasih mereka yang sudah bersatu. Anak yang akan mewarisi segala kekayaan dan keagungan yang dimilikinya, yang lahir dari benihnya sendiri.

Malahan semalam, ketika bersama, mereka turut berbual mengenai soal anak. Tuan Fahreen berterus-terang tentang harapannya untuk memiliki anak dari rahim Alyssa. Dia berharap agar anak itu

nanti akan membawakan cahaya yang lebih menyinari hidup mereka. Alyssa sedikitpun tidak membantah. Nampaknya, dia seperti sudah bersedia untuk menjadi seorang ibu. Dalam usianya yang hampir mencecah dua puluh tiga tahun, memiliki seorang anak sudah cukup wajar bagi membuatkannya meneroka satu lagi dunia kehidupan yang baru.

Menjadi seorang ibu merupakan harapan dan impian hampir setiap wanita dalam dunia ni, Mak Chom. Terus terang Lyssa katakan yang Lyssa juga sudah bersedia untuk menjadi seorang ibu. Lyssa kepingin punya baby, yang bakal menjadi pewaris kami berdua, Tajul Holdings dan juga Wadi Afzan, ujar Alyssa melakar impiannya.

Eloklah tu. Mak Chom bersyukur sangat sebab akhirnya, termakbul jua doa Mak Chom. Dah lama Mak Chom kerja di sini. Dari bujang sampai kahwin dan sampailah ke tua-tua begini, tiada apa yang lebih membahagiakan Mak Chom selain dari melihat Tuan Fahreen bahagia dengan cinta sejatinya.

Mak Chom merenung Tuan Fahreen dengan penuh rasa kasih sayang. Semenjak pemergian ibunya, arwah Puan Suhaila, Mak Chomlah orang yang bertanggungjawab mencurahkan segala keperluan kasih sayang untuk Tuan Fahreen. Tuan Fahreen ditatang mengalahkan anak kandung sendiri, membuatkan Tuan Fahreen begitu selesa dan dekat dengannya.

Dari seorang anak kecil yang meniti zaman kenakalan dan persekolahannya, Tuan Fahreen membesar menjadi lelaki yang berkarisma dan penuh dengan tanggungjawab. Semua itu berlaku di hadapan mata Mak Chom sendiri. Sehinggakan arwah ayah Tuan Fahreen sendiri iaitu Tuan Tajul, menyatakan bahawa kasih Mak Chom setanding kasih seorang ibu sejati. Amanat terakhir Tuan Tajul, meminta Mak Chom terus berkhidmat untuk Tuan Fahreen dan permintaan terakhir Tuan Tajul, supaya Tuan Fahreen menjaga Mak Chom dengan baik, walaupun orang tua itu sudah tidak berdaya lagi nanti. Tuan Fahreen dan Mak Chom ibarat tanah dan akar. Tanpa akar, tanah tidak akan menjadi kuat. Tunjang itulah yang menyuburkan keperibadian dan kelelakian Tuan Fahreen.

Tuan Fahreen ni memang baik sangat orangnya. Dari kecil, Mak Chom yang jaga dia, sampailah sekarang. Dia tak pernah mencetuskan masalah, malahan, dialah penyelesai masalah. Mak Chom harap, puan dapat memberikan kasih sayang yang jauh lebih bererti kepadanya. Kalau dapat anak pula, itu namanya bonus, giat Mak Chom.

Alyssa mengaku, Tuan Fahreen adalah dari kalangan lelaki Melayu budiman terakhir. Dia tidak pernah angkuh dengan kekayaannya. Sifatnya yang merendah diri dalam keagungannya membuatkan Alyssa berasa sungguh selesa dengan suaminya itu. Jelas lagi terbukti yang Tuan Fahreen telah berjaya mengotakan segala janjinya dan memindahkan semua amanah yang dipertanggungjawabkan padanya, ke atas Alyssa. Alyssa berjanji pada diri sendiri untuk mencintai Tuan Fahreen dengan hati yang tulus ikhlas.

Cinta tidak boleh dipupuk sehari dua. Tambahan pula, kamu berdua tidak pernah bercinta sebelum ini. Tetapi, cinta antara dua orang asing itu, lebih menarik sebabnya telah disaksikan oleh Allah, sambung Mak Chom yang begitu petah melontarkan pengalaman hidupnya.

Sesungguhnya, bukannya semata-mata anak yang dicari dari perhubungan yang baru tercipta antara Tuan Fahreen dan Alyssa, tetapi jauh lebih bererti ialah nilai kesefahaman dan kejujuran untuk membina kebahagiaan berumahtangga. Sebagai orang tua, Mak Chom dapat menilai mereka berdua sebagai pasangan yang serasi dan menyempurnakan kekurangan antara satu sama lain. Mereka boleh jauh bahagia, andainya mereka terus jujur dalam perhubungan ini.

Mak Chom dah macam ibu kami. Tuan Fahreen sudah tidak beribu lagi, begitu juga dengan Lyssa. Kami sentiasa mengharapkan nasihat dan bimbingan dari seorang ibu seperti Mak Chom. Andai kata adanya rezeki dari Allah untuk memiliki cahaya mata, Lyssa mahu kelahirannya nanti, mendapat bantuan dan nasihat dari Mak Chom. Lyssa nak, Mak Chom yang jaga Lyssa. Lyssa janji, baby kami nanti akan jadi cucu pada Mak Chom.

Tersentuh hati Mak Chom mendengar ucapan ikhlas dari Alyssa itu. Orang tua itu dapat merasakan bahawa dirinya begitu dihargai di dalam rumah itu, walaupun dia hanyalah pembantu rumah. Jika dahulu, Tuan Fahreen, Tuan Tajul dan Puan Suhaila telah menganggapnya sebagai ahli keluarga, kini begitu juga dengan Alyssa yang baru sahaja datang ke rumah itu.

Tanggapan mereka terhadapnya tidak akan berubah sampai bila-bila pun. Mak Chom bersyukur kerana walaupun hidup sebatang kara tanpa waris di dunia ini, namun, dia sedikit pun tidak merasakan kesunyian di dalam hidupnya.

Mak Chom adalah pembantu yang paling setia sekali di rumah itu. Kesetiaannya setanding dengan Abang Mat. Abang amat menyenangi kehadiran mereka berdua dalam hidup abang. Sejak kecil lagi, abang menumpang kasih ibu dari Mak Chom. Tangannyalah yang telah menyuapkan makanan ke mulut abang, memakaikan kasut abang untuk ke sekolah dan membelai abang untuk tidur ketika di zaman kanak-kanak dahulu, cerita Tuan Fahreen kepada Alyssa, ketika mereka berada di dalam kereta dan dalam perjalanan ke pejabat.

Alyssa sedar, begitu besar maknanya kehadiran Mak Chom dalam hidup Tuan Fahreen. Banyak perkara yang perlu Alyssa pelajari dari orang tua itu, terutamanya soal makanan kegemaran Tuan Fahreen. Tuan Fahreen mengakui, makanan dari air tangan Mak Chom adalah makanan yang paling enak baginya di dunia ini. Kerana itulah, setiap hari Tuan Fahreen akan cuba untuk balik dan menjamah makanan yang dimasak oleh Mak Chom di rumah. Dan, jika Tuan Fahreen terpaksa bekerja di luar daerah atau luar negara, dia pastinya akan merindui masakan orang tua tersebut.

Abang, tadi Mak Chom ada sebut yang dia pernah berkahwin. Tetapi, di mana keluarganya sekarang tanya Alyssa yang sedikit gusar.

Ternyata sekali, Alyssa begitu ingin mengetahui dengan lebih lanjut lagi tentang Mak Chom dan kisah hidupnya. Pastinya ada banyak panduan berguna yang dia boleh pelajari dari Mak Chom. Bagi Alyssa, tentunya orang tua itu amat istimewa orangnya, sehingga dia menjadi kesayangan keluarga Tuan Fahreen sejak bertahun-tahun lamanya. Alyssa mahu menggunakan segala kesempatan dan peluang yang ada untuk mengenali wanita tua itu lebih dekat lagi. Alyssa cuba mencungkil rahsia demi rahsia Mak Chom dari suaminya.

Memang benar, sayang. Mak Chom pernah bersuami dan punyai seorang anak perempuan berusia hampir sebaya dengan abang. Tetapi, mereka semua sudah meninggal, pada hari yang sama dengan arwah ibu abang.

Maksud abang Lyssa tak faham.

Sayang, arwah suami Mak Chom dulu adalah driver kepada keluarga kami. Namanya, Pak Cik Rahim. Mereka sama-sama berkhidmat dengan keluarga abang sejak bujang lagi. Di situlah mereka jatuh cinta dan berkahwin. Malahan, arwah ayah adalah salah seorang saksi dalam perkahwinan mereka. Yang lucunya, arwah ayahlah juga yang menjadi pengantara dalam hubungan mereka ketika itu sebab arwah Pak Cik Rahim terlalu malu untuk meluahkan perasaannya pada Mak Chom, cerita Tuan Fahreen sambil tersenyum mengenangkan cerita lama yang dikisahkan oleh arwah ayahnya dulu.

Alyssa turut tersenyum. Sifat malu-malu itulah yang telah mempertemukan jodoh Mak Chom dengan arwah suaminya. Alyssa percaya, banyak keistimewaan yang dimiliki oleh wanita berusia lima puluhan itu, sehingga arwah suaminya jatuh hati kepadanya dahulu. Namun, apa yang penting adalah keikhlasan Mak Chom yang berjaya memikat bukan hanya suaminya, malahan insan-insan di sekeliling untuk menyukainya.

Apa yang menariknya, Mak Chom melahirkan anaknya lima minit lebih awal dari arwah ibu melahirkan abang. Pertembungan masa itu, telah lebih merapatkan hubungan Mak Chom dan arwah ibu. Mereka sering berkongsi cerita dan bertukar-tukar pendapat, terutama sekali dalam hal anak-anak. Anak Mak Chom yang bernama Maryam itu pula, merupakan teman sepermainan abang semasa kecil dahulu.

Tiba-tiba, air muka di wajah Tuan Fahreen berubah. Dia kelihatan agak tegang dan sugul. Mungkin kerana cuba mengingati kisah yang sudah lama menjadi sejarah di dalam hidupnya. Namun, demi Alyssa, dia harus meneruskan ceritanya itu. Alyssa berhak tahu apa yang telah berlaku di dalam keluarganya dan letak duduk Mak Chom dalam hidup mereka.

Namun, malapetaka itu terjadi ketika abang dan Maryam baru menginjak usia tujuh tahun. Mak Chom mendapat perkhabaran duka yang ibunya telah meninggal dunia di kampung halamannya di Johor. Mereka harus segera pulang ke Johor malam itu juga kerana ibunya akan dikebumikan pada awal pagi esoknya. Ibu yang tidak sampai hati melihat kesedihan Mak Chom, mengambil keputusan untuk menemankan Mak Chom bersama keluarganya pulang ke kampung, ujar Tuan Fahreen dengan matanya mulai digenangi butiran berkaca.

Namun, dia masih tetap meneruskan ceritanya. Pada ketika itu, abang merengek-rengek kerana mahu mengikut ibu. Tetapi, ibu menghalang sekeras-kerasnya. Katanya, abang perlu ke sekolah pada keesokan harinya. Dan prinsip ibu dalam soal pelajaran anaknya, cukup jelas dan tegas. Dia tidak akan sekali-kali benarkan abang ponteng sekolah selagi tiada sebab-sebab yang kukuh. Ibu memang seorang yang lembut, tetapi kami tak berani melawan kehendaknya. Dan, malam itu jugalah kesemua mereka meninggal dunia kerana ditimpa kemalangan semasa dalam perjalanan ke Johor. Kemalangan itu amat dahsyat sekali sehingga menggegarkan negara apabila beritanya disiarkan keesokan harinya. Yalah, yang terkorban itu pula merupakan isteri kepada taikun korporat yang begitu terkenal di Malaysia.

Lalu, Alyssa teringat. Arwah papanya, Sulaiman Bakhtiar, pernah menunjukkan kepadanya satu keratan akhbar mengenai kemalangan ngeri itu, suatu masa dahulu. Ketika itu, arwah Sulaiman menceritakan kejadian tersebut dengan perasaan yang sebak di hatinya. Apalagi bila membaca tentang luahan sedih sang suami kepada isterinya yang turut terkorban.

Tuan Tajul begitu berduka sekali dengan kehilangan isteri tercintanya itu. Pada saat itu, Alyssa berasa hairan, mengapakah papanya perlu bersedih atas kesedihan orang yang tidak dikenalinya Sekarang, barulah dia tahu akan sebab musababnya.

Rupa-rupanya, arwah papanya punya pertalian saudara dengan keluarga tersebut. Kini Alyssa percaya, andainya kedua-dua beradik angkat itu masih hidup, mereka pasti akan berpelukan erat dan meluah rasa antara satu sama lain. Dan pastinya, mereka akan gembira melihat kebahagiaan itu.

Kalau mereka semua terkorban, bagaimana Mak Chom boleh selamat Bukankah mereka semua berada dalam kereta yang sama Abang, macam mana kemalangan itu boleh terjadi soal Alyssa yang begitu banyak kemusykilannya.

Kereta yang dipandu Pak Cik Rahim, telah dirempuh dari di sisi oleh sebuah treler yang membawa kayu balak dan mahu keluar dari simpang. Kami difahamkan bahawa pemandu treler tersebut telah memandu kenderaannya dalam keadaan mabuk. Dia hilang kawalannya, sebelum mengheret kereta itu ke tepi pembahagi jalan. Ibu dan Maryam yang duduk di bahagian belakang cedera parah di kepala dan seluruh badan. Mereka meninggal dunia di tempat kejadian. Pada mulanya Mak Chom dan suaminya yang duduk di bahagian depan terselamat dan hanya mengalami cedera ringan sahaja. Tetapi, Pak Cik Rahim diserang sakit jantung secara tiba-tiba. Mungkin kerana impak dari kemalangan itu. Dia meninggal ketika dalam perjalanan ke hospital.

Alyssa tersentak. Masya-Allah, berat betul dugaan Mak Chom dalam hidupnya. Sudahlah anaknya meninggal kerana cedera parah, suaminya juga pergi pada hari yang sama. Kebetulan pula, rakan baiknya, Puan Suhaila juga meninggal pada hari dan tempat yang sama. Alyssa sedar, peristiwa itu juga telah menyebabkan suaminya kehilangan orang yang amat dia sayangi, iaitu ibunya sendiri.

Perlahan-lahan, Alyssa menggenggam tangan suaminya untuk menunjukkan rasa simpatinya pada suatu tragedi silam. Tuan Fahreen sudah tidak berdaya untuk menangis lagi. Berbulan-bulan lamanya, arwah ayah dan datuknya, memujuk. Akhirnya, barulah dia tenang semula dan dapat menerima suratan yang mendatangi hidupnya itu.

Tuan Tajul pula, langsung tidak terlintas untuk beristeri lagi kerana terlalu sayangkan arwah isterinya. Hiduplah Tuan Fahreen menumpang kasih ibu dari Mak Chom yang turut kehilangan orang-orang kesayangannya. Mereka ibarat kaki kanan dan kiri, yang perlu ada untuk bergerak seiring tanpa cacat celanya.

Tapi, Mak Chom terlalu tabah orangnya, kan Sedikitpun dia tidak pernah mengeluh atau merintih atas permergian anak dan suaminya itu, puji Alyssa.

Muka sahaja nampak tenang, tetapi hatinya selalu menangis. Mak Chom sudah tidak punya sesiapa lagi di dunia ini. Semua ahli keluarganya telah meninggal dunia. Gambar arwah suami dan anaknya pula, ada diletakkannya bersebelahan dengan katilnya. Namun, sekali pun dia tidak pernah merenung pada gambar itu kerana dia takut akan menangis dan terus menangis, cerita Tuan Fahreen lagi.

Alyssa berasa begitu simpati dengan nasib malang yang pernah menimpa Mak Chom itu. Begitu juga dengan Tuan Fahreen yang meratapi kehilangan ibunya dalam tragedi kemalangan tersebut. Alyssa sendiri mengerti bagaimana perasaannya bila berhadapan dengan situasi tersebut. Barulah Alyssa sedar bahawa bukan dia seorang sahaja yang pernah dirundung malang, malahan Tuan Fahreen dan Mak Chom sendiri sudah melewati kesedihan itu terlebih awal darinya.

Akibat terlalu leka berbicara tentang kisah lama, mereka tidak sedar bahawa mereka sudah hampir sampai ke tempat kerja Alyssa. Terlalu singkat perjalanan itu dirasakan. Semakin lama, Alyssa merasakan yang dia semakin dekat dengan Tuan Fahreen. Segala cerita yang pernah mereka lalui seakan menjadi kesinambungan dari kisah dirinya sendiri. Mereka semua punya satu persamaan yang nyata. Sebatang kara dan sudah tidak punya ahli keluarga di dunia ini. Merekalah ahli keluarga yang ada, dan mereka perlu bersatu hati demi sebuah kehidupan yang lebih sempurna kelak.

Kereta mewah berwarna hitam milik Tuan Fahreen mulai menjalar masuk ke perkarangan pejabat Alyssa. Inilah kali pertama Tuan Fahreen menghantar isterinya ke tempat kerja. Alyssa sudah tidak kisah lagi untuk dilihat bersama dengan Tuan Fahreen di khalayak ramai ataupun ditemani oleh pemandu dan pengawal-pengawal peribadi Tuan Fahreen. Kalau boleh, dia mahu memberitahu satu dunia bahawa dia kini adalah milik Tuan Fahreen.

Ketika keluar dari kereta, Tuan Fahreen turut mengiringi isterinya itu. Dia mahu memastikan bahawa Alyssa benar-benar telah sampai ke pejabat, walhal pemandu memberhentikan kereta betul-betul di hadapan pintu pejabat. Tampak sekali garis-garis keresahan di wajah Tuan Fahreen bila mana dia terpaksa berpisah pandang untuk seketika dengan wanita yang dicintainya itu.

Lyssa masuk kerja dulu, abang. Assalamualaikum, ujar Alyssa meminta izin setelah mencium tangan suaminya.

Tunggu dulu, sayang

Langkah Alyssa terhenti. Dia berpaling semula kepada Tuan Fahreen. Kalau diturutkan hati, tidak sanggup rasanya untuk berpisah walaupun hanya sementara waktu dengan lelaki yang sedang bertakhta di hatinya itu. Apalagi, bila mendengar panggilan yang penuh mesra itu. Pasti ada sesuatu yang ingin diperkatakan oleh Tuan Fahreen.

Sayang, sudikah sayang ikut abang berbulan madu ke luar negara

Kita nak ke mana tanya Alyssa teruja sekali.

Ke Holland atau Belanda, negara bunga tulip yang terkenal di dunia.

Alyssa sungguh tidak menyangka yang dia dapat juga sampai ke negara idamannya itu. Alyssa memang sudah lama menyimpan hasrat untuk menikmati sendiri pemandangan indah dengan dikelilingi bunga-bunga tulip kegemarannya. Dan hari ini, Tuan Fahreen pula yang mengajaknya untuk berkunjung ke sana.

Sayang, sudi atau tidak soal Tuan Fahreen setelah lama melihat Alyssa terkedu.

Kalau abang yang mengajak, ke hujung dunia sekalipun, Lyssa akan ikut.

Ada garis-garis kegembiraan di wajah Alyssa. Kebahagiaan demi kebahagiaan terpancar di dalam kehidupannya kini. Satu demi satu peluang dibuka oleh suaminya. Sesuatu yang tidak pernah dirasakan dalam hidupnya sebelum ini.

Abang tahu tak, Lyssa memang nak sangat pergi ke sana. Bila kita nak pergi, bang

Secepat mungkin. Sayang jangan bimbang, nanti abang akan uruskan segala-galanya. Abang akan beritahu sayang, bila masanya tiba nanti. Suka tak

Suka sangat. Terima kasih abang, sebab sudi bawa Lyssa pergi ke Belanda.

Tuan Fahreen amat gembira melihat keterujaan isterinya itu. Benarlah kata Kamal, sahabatnya, Alyssa pasti akan suka andainya diajak bercuti ke suatu tempat yang menjadi idamannya. Tiada apa yang lebih membahagiakan Tuan Fahreen dari melihat keceriaan di wajah Alyssa.

Lagi satu, sayang. Petang ni, boleh tak sayang pulang awal Abang nak bawa sayang ke suatu tempat malam ni. Nanti, driver akan datang ambil sayang di pejabat petang ni. Kita jumpa di rumah saja, ya.

Kita nak ke mana malam ni

Rahsia! Tuan Fahreen tersenyum manis.

Senyuman itu amat menggoda naluri kewanitaan Alyssa. Tidak hairanlah, mengapa wajah kacak itu sentiasa menjadi igauan para wanita di luar sana. Kadangkala, Alyssa merasakan yang dirinya seperti manusia yang terkena santau bila acapkali terpaku dengan kurniaan indah Allah di hadapan matanya. Sebahagian dari hidup lelaki yang memukau itu, sudah menjadi miliknya sekarang.

Hari itu, kegembiraan Alyssa terpancar jelas sekali di wajahnya, sehingga turut dirasai oleh teman-teman sekerjanya. Banyak sekali perkara indah yang terjadi padanya dalam masa sehari semalam. Semuanya berlanjutan setelah dia dengan ikhlas menerima cinta Tuan Fahreen. Syukur Alhamdulillah, bisik hatinya.

Mujurlah Abang Bob tidak ada ketika Alyssa tiba di pejabat. Kalau tidak, mesti kecoh orang tua itu. Jika dia terlihat aksi mesra Alyssa dan suaminya tadi, sudah pastinya banyak sekali soalan cepumas yang bakal muncul dari mulutnya. Sedangkan, Abang Bob sendiri sedia maklum, bagaimana hubungan Alyssa dan Tuan Fahreen sebelum ini. Jadi, sebelum pelbagai soalan muncul dari teman-teman yang lain, rasanya, lebih baik Alyssa langsung ke biliknya sahaja.

Sebaik sahaja memasuki ruangannya, Alyssa mendapati ada lagi kiriman bunga tulip yang terbaru di atas mejanya. Pastinya kiriman itu baru tiba pagi ini. Alyssa dapat merasakan yang suaminya telah membuat tempahan secara pukal dari tauke kedai bunga. Sebab itulah setiap hari, Alyssa pasti akan menerima kiriman bunga berkenaan, kecuali pada hujung minggu atau hari tidak bekerja.

Alyssa memegang dan mengamati bunga tulip yang baru diterimanya itu. Kali ini, bunga-bunga tulip itu lebih berwarna-warni, seolah-olah menggambarkan perasaan Tuan Fahreen yang amat gembira sekali dengan kehidupan mereka sekarang. Nyata sekali, apabila dua hati telah berpadu, segala keindahan tercipta dalam sekelip mata. Sekali lagi, keindahan bunga tulip dan kehidupan mereka diabadikan di dalam lukisan yang Alyssa lakarkan pagi itu. Semangat yang datang dengan tiba-tiba itu telah memberikan sumber inspirasi yang tidak terperi nilainya.

Sayang, kau bukan sahaja menjadi sinar hidupku, malahan engkaulah pelukis kehidupanku yang penuh berwarna-warni kini. Kecintaan dan ketaatanku hanyalah padamu dan Tuhan Yang Maha Esa. Akan kulakukan yang terbaik untuk menjadi hamba Allah yang baik dan isteri yang sempurna buatmu, ucap hati Alyssa sambil mengukir senyuman manis menandakan kebahagiaan hatinya.

Ketika sedang asyik menghayun berus lukisannya, telefon bimbitnya berbunyi. Alyssa sedikit tersentak. Pada mulanya, dia menyangka

bahawa panggilan itu datang dari Tuan Fahreen, kerana hanya lelaki itulah yang begitu setia sekali menghubunginya pada waktu-waktu sedemikian. Tetapi, apabila diamati nombor yang tertera pada skrinnya, Alyssa mendapati bahawa ianya bukanlah nombor telefon tempatan, tetapi tercatat nombor talian antarabangsa. Tanpa membuang masa, Alyssa terus menjawab panggilan tersebut.

Assalamualaikum, beb. Ini akulah, Elly.

Waalaikumsalam! Masya-Allah, beb. Aku tak sangka yang engkau akan call aku hari ni. Kami di sini sentiasa menunggu panggilan dari engkau. Kau sedar tak, semenjak engkau berangkat ke Jerman, engkau langsung tak telefon Kami rindu sangat, ujar Alyssa yang ceria mendengarkan suara sahabat baiknya itu.

Elly terdiam seketika. Bukan sengaja, tetapi dia punya sebabnya yang tersendiri. Kesibukan mengurusi ibunya, Mak Cik Markonah, yang sedang mendapatkan rawatan intensif penyakit barah hati di Jerman, membataskan perutusan khabar darinya.

Aku minta maaflah beb, sebab lambat hubungi engkau. Sejak sampai ke Jerman ni, aku sibuk sangat. Engkau faham-faham sajalah, bermacam-macam pemeriksaan yang mak aku kena jalani untuk kenal pasti kaedah rawatan yang sesuai bagi penyakitnya itu. Kadang-kadang, aku tak dapat tidur malam. Sekarang ni, aku rasa seperti doktor pula sebab kena buat analisis tentang penyakit mak aku. Tapi, pengalaman yang cukup bermakna untuk aku.

Doktor sememangnya menggalakkan penyertaan aku dalam memastikan kestabilan penyakit mak aku, cerita Elly dengan tenang walaupun sedang menghadapi saat kritikal ibunya.

Its okay beb, aku mengerti. Cuma, kami di sini cuma risaukan engkau di sana saja. Tempat itu kan asing sangat untuk engkau, beb, pujuk Alyssa.

Memang benar tu, beb. Masa aku mula-mula sampai di sini, rasa lost juga. Tempat asing dengan orang asing buatkan aku benar-benar rasa nak balik saja. Nasib baik ada Doktor Imran, kawan Doktor Haris yang bekerja di Jerman ni. Dia banyak membantu melicinkan urusan aku di sini. Syukur Alhamdulillah.

Sesungguhnya, Doktor Haris telah menitipkan tanggungjawab kepada Doktor Imran, untuk membantu Elly semasa keberadaannya di Jerman. Doktor Imranlah yang telah membantu mencarikan rumah sewa sementara buat Elly yang berdekatan dengan kawasan hospital, bagi memudahkannya berulang-alik. Sudah menjadi prosedur hospital di Jerman, tiada satu pun ahli keluarga pesakit yang dibenarkan menunggu di situ. Masa lawatan hanyalah dari pagi membawa ke malam. Selepas itu, Elly perlu pulang. Dari malam membawa ke pagi pula, segala keperluan Mak Cik Markonah akan diuruskan sendiri oleh kakitangan hospital. Jadi, Elly tidak punya pilihan selain dari tinggal menyewa di luar. Syukurlah, dia tidak kesunyian. Doktor Imran dan isterinya, sering menemani Elly dan membekalkannya makanan. Terubat jugalah perasaan rindu Elly pada Malaysia. Dia sedar, dia harus menggalas tanggungjawab yang besar bagi menjaga ibunya di situ.

Baguslah kalau macam tu, beb. Engkau jagalah mak engkau baik-baik. Kami di sini, sentiasa mendoakan mak engkau agar cepat sembuh dan kau berdua selamat di negara orang, ucap Alyssa.

Elly senang dengan kata-kata sahabatnya itu. Hakikatnya, dia sememangnya begitu merindui Alyssa. Kenangan mereka bersama, mula menjengah fikirannya, satu per satu. Entah bilalah agaknya dia dapat kembali ke Malaysia untuk menemui sahabatnya itu.

Oh ya, bagaimana dengan kosnya Cukup atau tidak tanya Alyssa, tiba-tiba.

Buat masa sekarang, rasanya tak ada apa-apa masalah. Cukup semuanya. Insha-Allah, beritahu Elly.

Selagi boleh, Elly tidak mahu menyusah atau merunsingkan sahabatnya itu. Dia akan cuba memenuhi ruang keperluan dengan batasan peruntukan yang ada. Selagi belum terdesak, dia tidak akan meminta. Apa yang penting, semua perbelanjaan rawatan ibunya mencukupi. Tentang makan pakainya, pandai-pandailah dia mengaturnya. Tambahan pula, Elly masih punya simpanan sendiri untuk menampung kepentingannya di situ.

Baguslah kalau macam tu. Ingat beb, engkau jangan runsingkan sangat soal perbelanjaan rawatan itu. Apa yang penting, engkau jaga saja emak engkau sampai dia benar-benar sembuh. Jika ada apa-apa masalah berkenaan kos, engkau adukan segera pada aku. Insha-Allah, akan aku cuba ikhtiarkan. Aku mungkin tidak dapat bersama-sama menguruskan ibumu di sana, tetapi doaku sentiasa mengiringi kalian berdua. Hanya doa dan bantuan kewangan saja yang dapat aku hulurkan.

Segala apa yang telah engkau berikan itu, sudah lebih dari cukup, beb. Amat besar ertinya bagi aku dan mak. Kalau tak ada engkau, aku tak tahulah apa nasib mak aku sekarang, rintih Elly.

Alyssa tidak senang bila Elly terus-terusan mengungkit tentang kebaikannya, lantas bersuara, Jangan diungkit soal itu, beb. Kita kan sahabat dunia dan akhirat Kita berdua ibarat sehati dan sejiwa. Perasaan yang bersatu itu, melengkapkan hubungan persahabatan kita. Aku nak, kita kekalkan itu semua buat selama-lamanya.

Elly terharu dengan pengakuan ikhlas Alyssa. Terlalu banyak juga cabaran yang melatari hubungan persahabatan mereka selama ini. Namun, kesabaran yang diperuntukkan adalah jaminan ianya berkekalan. Elly pernah dibenci dan dimarahi Alyssa kerana begitu jauh masuk campur dalam urusan peribadinya. Beberapa kali juga, hati mereka berlaga antara satu sama lain. Tetapi, semua itu bukanlah syarat untuk persahabatan itu terputus, malahan ianya menjadi lebih kukuh dengan hubungan silaturrahim yang menyempurnakan jiwa dua sahabat.

Perbualan telefon itu tidak boleh dilayan terlalu lama, kerana ianya panggilan antarabangsa. Sudah pasti kosnya adalah terlalu tinggi. Elly terpaksa meminta diri untuk menamatkan panggilan tersebut dan Alyssa amat mengerti situasi itu. Apa yang penting, dia sudah mengetahui bagaimana keadaan Elly dan ibunya di sana.

Walaupun sudah menamatkan panggilannya dengan Alyssa sebentar tadi, namun hati Elly berasa amat terharu sekali dengan kata-kata yang diungkap sahabatnya itu. Tanpa disedari, matanya berair melampias rindunya kepada sahabat yang amat disayanginya itu. Elly memanjatkan syukur kepada Yang Maha Kuasa kerana telah mempertemukannya dengan seorang sahabat yang tiada tolok bandingnya di dunia ini. Seringnya, manusia tewas dengan keangkuhan sendiri bila dilimpahi kesenangan, namun berbeza dengan Alyssa. Sifat kesederhanaan Alyssa tetap terserlah dalam hidupnya yang kini bergelumang dengan kekayaan dan kemewahan.

Adik berbual dengan siapa tadi tanya Mak Cik Markonah kepada Elly yang kembali masuk ke bilik wad untuk menemaninya.

Elly merengus halus sambil tersenyum, seolah-olah sengaja menyembunyikan kesebakannya dan perasaan rindunya pada Alyssa. Dia tidak mahu ibunya melihat tangisannya walaupun sekelumit. Tidak sanggup rasanya, menambah derita ibunya lagi.

Mak Cik Markonah kelihatan agak keletihan kerana terpaksa melalui pelbagai proses pemeriksaan dan analisis untuk mendiagnos penyakitnya. Namun, fizikalnya sudah kelihatan agak bermaya dan bertenaga, berbanding dengan keadaannya ketika berada di Malaysia. Mungkin kerana dia sudah diberikan beberapa vitamin dan ubat yang lebih baik dan terkini. Semuanya mencukupi untuk Mak Cik Markonah supaya kestabilan kesihatannya dapat dipantau dan bersedia untuk menjalani pelbagai jenis pemeriksaan dan rawatan.

Adik baru telefon Alyssa, mak. Baru berkesempatan untuk menghubungi dia, walaupun dah beberapa hari kita di sini. Kesian pula pada dia dan yang lain-lain yang berada di Malaysia kerana tertunggu-tunggu khabar berita kita di sini, jawab Elly.

Mak teringin sekali nak bercakap dengan Alyssa. Mak nak ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada dia sebab membiayai kos rawatan mak ini. Semasa berangkat tempoh hari, mak tak berpeluang pun nak berjumpa dengan dia. Mak rasa kesal sangat.

Tak perlulah bimbang sangat, mak. Adik yakin yang Alyssa tahu bahawa kita amat bersyukur dengan pemberiannya itu. Sebaik-baiknya sekarang, mak tumpukan perhatian kepada proses rawatan mak, supaya mak boleh kembali pulih seperti sediakala. Adik janji yang adik akan pertemukan Alyssa dengan mak sebaik saja kita pulang ke Malaysia nanti. Ha, pada ketika itu, mak nak ucapkan sejuta kali terima kasih pada dia pun tak apa, janji Elly, bagi meredakan kegelisahan ibunya itu.

Mak Cik Markonah mengukir senyuman untuk anaknya yang satu itu. Terlalu besar sekali pengorbanan Elly, demi melihat dia pulih semula. Mak Cik Markonah sedar bahawa kehidupannya sekarang, banyak bersandarkan kekuatan yang ada pada anak gadisnya itu. Kekuatan itulah yang mendorongnya supaya bersemangat untuk pulih semula.

Adik, mak minta maaf sebab telah banyak menyusahkan adik. Kerana mak, adik terpaksa berhenti kerja. Apa yang adik nak buat selepas ini Dalam zaman-zaman sekarang ni, bukannya senang nak dapat kerja.

Mak tak perlulah fikirlah semua tu. Insha- Allah, rezeki ada di mana-mana saja dan kalau dah rezeki kita, tak ke mana. Cuma mak lihat situasi sekarang ni. Siapa sangka yang kita akan sampai ke sini untuk merawati penyakit mak ni Semuanya itu kerana Allah telah melorongkan rezekinya untuk kita, melalui Alyssa, pujuk Elly.

Elly mengaku bahawa kerisauan ibunya itu tetap menjadi kebimbangannya jua. Dia akan menghadapai satu frasa kehidupan yang agak sukar juga selepas ini. Manakan dia perlu mencari kerja baru. Manakan dia perlu menjaga ibunya yang uzur itu. Pelbagai masalah sarat di fikirannya. Berat lagi bahunya yang harus memikul. Namun, belum masanya untuk dia menterjemahkannya sekarang. Elly tidak mahu melihat ibunya bimbang akan keadaan masa depan mereka nanti. Jadi, jalan yang terbaik hanyalah berdiam diri dan berpura-pura bahawa segala-galanya akan berjalan dengan baik. Apa-apapun, dia harus sentiasa berfikiran positif.

Baik sungguh budak Alyssa tu. Adik, bagaimana dia boleh jadi sebegitu kaya dalam sekelip mata tanya Mak Cik Markonah.

Itulah namanya rezeki, mak. Rezeki datang dari Allah. Alyssa sendiri pun tidak percaya yang dia boleh punya harta sebanyak itu. Tetapi, Allah Maha Kaya, mak. Setelah puas Dia menduga Alyssa dengan pelbagai kenyataan pahit, akhirnya Dia melimpahkan kebahagiaan buat Alyssa. Takdir Allah jugalah, yang telah menyatukan Alyssa dengan suaminya, Tuan Fahreen. Mak, kita sama-sama berdoa agar rumahtangga mereka sentiasa diselaputi keberkatan dan kebahagiaan. Cara itulah yang terbaik untuk membalas segala jasanya pada kita, ujar Elly, tulus.

Mak Cik Markonah mengeluh halus. Terukir rasa kesal di wajahnya. Sejak akhir-akhir ini, dia tidak berkesempatan untuk mengambil tahu soal anak angkatnya itu. Dia terlalu lemah kerana terpaksa berjuang melawan penyakitnya sehingga dia tertinggal beberapa babak kehidupan, insan-insan yang dekat dengannya. Mak Cik Markonah mengakui yang dia juga menyayangi Alyssa persis anak kandungnya sendiri. Dia senang sekali melihat keakraban Alyssa dan Elly. Malahan, bahu dan dadanya sering menjadi tempat untuk Alyssa melepaskan tangisnya setiap kali dia diduga dengan masalah. Kini, wanita muda yang pernah menyelam pelbagai jenis penderitaan sebelum ini, sudah bergelar jutawan muda.

Tiba-tiba, kedengaran telefon bimbit Elly berdering. Wajah Elly berubah dengan serta-merta. Tanpa dirancang, Elly bangkit dengan segera dari kerusi duduknya dan melarikan dirinya ke sudut wad tersebut. Dia sengaja menjarakkan dirinya sedikit dari katil ibunya. Tidak mahu ibunya mendengar butir bicaranya nanti.

Sebenarnya, dia tidak perasan bahawa ibunya itu sempat menjeling nama yang tertera di skrin telefon Elly itu. Di skrin tersebut tertera nama Doktor Haris sebagai pemanggilnya. Semenjak Elly dan ibunya tiba di Jerman, boleh dikatakan hampir setiap hari Doktor Haris menghubunginya. Mungkin, antara sebabnya ialah kerana Doktor Haris kepingin tahu bagaimana progres Mak Cik Markonah terhadap ubat-ubatan dan teknik-teknik perawatan penyakit kanser hatinya. Tetapi, wanita tua itu tahu bahawa doktor muda tersebut punya agenda lain yang tersendiri.

Saya tahu tapi saya minta maaf banyak-banyak. Saya tak boleh bercakap lama-lama sangat. Saya bimbang kalau-kalau mak saya perasan pula. Saya tak mahu dia fikir yang bukan-bukan pasal kita, ujar Elly di atas taliannya, dengan nada berbisik agak halus.

Mak Cik Markonah hanya merenung perlakuan Elly dari atas katilnya. Walaupun dia tidak jelas dengan biji butir yang dibincangkan oleh Elly bersama sipemanggilnya, namun, Mak Cik Markonah dapat melihat kegembiraan yang jelas terpancar di wajah anak gadisnya itu. Semenjak Mak Cik Markonah diletakkan di bawah pengawasan Doktor Haris, hubungan Elly dengan doktor muda tersebut agak akrab. Sejak di Malaysia lagi, Elly begitu banyak sekali mendapat bantuan dan sokongan moral dari doktor muda itu. Secara tidak langsung, penyakit Mak Cik Markonah telah membibitkan perkenalan antara dua insan itu.

Lamanya berbual. Siapa pula yang telefon soal Mak Cik Markonah sebaik sahaja Elly menamatkan perbualannya sebentar tadi.

Mmm... kawan, jawab Elly, teragak-agak.

Kawan mana yang tahu adik ada di sini Bukankah Alyssa seorang saja yang tahu kita dekat sini Dan, baru sekejap tadi adik beritahu yang adik baru saja telefon dia. Mak Cik Markonah sedang cuba menduga hati anak gadisnya.

Elly terdiam seketika. Dia serba-salah. Dia tahu, ibunya cukup bijak membaca fikiran orang. Mungkin itu adalah kelebihan yang Allah anugerahkan kepadanya. Tambahan lagi, Elly adalah anak kandungnya. Sejak kecil lagi, Elly tidak mampu untuk menyembunyikan apa-apa rahsia pun dari pengetahuan ibunya.

Tak usahlah nak berahsia sangat dengan mak ni. Mak ni, kan orang tua Lebih dahulu makan garam dari adik. Mak tahu, apa yang ada dalam fikiran adik sekarang. Adik sukakan

Elly segera memotong cakap ibunya, Janganlah fikir yang bukan-bukan, mak. Doktor Haris adalah doktor yang merawat mak. Mestilah dia akan selalu hubungi adik, untuk bertanyakan keadaan mak. Lagi pun, dia juga yang akan membuat rawatan susulan sekembalinya kita ke Malaysia kelak.

Adakah mak sebut fasal Doktor Haris tadi soal Mak Cik Markonah kembali sambil senyum menduga pada Elly.

Sekali lagi, Elly terperangkap. Dia terdiam lagi. Sungguhpun berada dalam keadaan yang kurang menyenangkan akibat dari penyakitnya, namun Mak Cik Markonah tidak pernah alpa tentang perkembangan anak gadisnya itu. Sebagai ibu, dia perlu tahu sejauh manakah hubungan yang telah terjalin antara Elly dengan doktor muda itu. Malahan, dia juga tahu yang Elly dan Doktor Haris sentiasa berhubung di luar waktu kelaziman. Panggilan Doktor Harislah yang sentiasa menemani kesunyian Elly di situ.

Pada mulanya, Mak Cik Markonah hanya mengesyaki sahaja. Dia cuba menutup perasaan syak wasangka tersebut kerana tidak mahu Elly malu dan berasa kurang selesa. Namun, bila Doktor Imran menceritakan tentang panggilan kerap dari Doktor Haris itu kepadanya, Mak Cik Markonah mula membuat andaiannya sendiri.

Mak Cik tak perlulah bimbang. Elly selamat di luar sana dan dia tidak mungkin akan kesunyian. Ada seseorang yang menemaninya dengan hanya satu panggilan, beritahu Doktor Imran.

Sebenarnya, Doktor Imran hanya mahu menutup kegelisahan Mak Cik Markonah tentang Elly yang terpaksa menempuh kehidupan malamnya di luar, malahan di tempat asing itu. Perasaan sedemikian dikhuatiri akan memberikan kesan yang negatif terhadap penyakit wanita itu.

Apa maksud doktor soal Mak Cik Markonah, musykil.

Kalau mak cik nak tahu, Doktor Haris sentiasa call dia all the way from Malaysia, semata-mata untuk bersembang dengan dia. Boleh dikatakan, setiap malam mereka bergayut. Pada mulanya, saya pun tak tahu. Tetapi, isteri sayalah yang menceritakan kepada saya, ketika dia menemani Elly tidur di rumahnya. Isteri saya itu adalah pakar psikologi. Dialah yang menceritakan tentang teorinya kepada saya.

Mak Cik Markonah terdiam. Doktor Haris hanya tersenyum merenung kepadanya.

Kalau benar segala apa yang diterjemahkan oleh isteri saya, lagilah mak cik tak perlu risau. Setahu saya, Doktor Haris adalah manusia yang paling baik pernah saya temui. Dia tidak akan sekali-kali mengambil kesempatan. Biarkan sahaja perhubungan itu. Mungkin juga, mereka bersahabat baik.

Segala kata-kata Doktor Haris masih terngiang-ngiang jelas di ingatan Mak Cik Markonah. Dan hari ini, kebisuan Elly yang seketika itu, menguatkan lagi firasat tuanya.

Melihatkan Mak Cik Markonah yang sudah mulai meragui, Elly merasakan yang dia harus lebih berhati-hati dalam menjawab persoalan ibunya mengenai hubungan baiknya dengan Doktor Haris. Dia tidak mahu ibunya dan orang lain di sekelilingnya, tersalah anggap dengan hubungan tersebut. Hubungan yang terjalin diantara mereka adalah professional iaitu hubungan seorang doktor dengan anak pesakitnya.

Mak jangan syak yang bukan-bukan pula tentang hubungan kami ni. Adik tahu, apa yang ada dalam fikiran mak tu. Mak kena sedar apa perbezaan antara kami ni.

Mak Cik Markonah tersenyum dan terus tersenyum mendengar penjelasan anak gadisnya itu. Dia mengerti, dalam hati Elly sedang ada taman yang sedang mekar berbunga. Walaupun hanya berkawan melalui corong telefon, tetapi Mak Cik Markonah tahu yang anaknya itu senang dengan perhubungan tersebut.

Lagi pun, siapalah adik ni, kalau nak dibandingkan dengan Doktor Haris tu. Adik ni, cuma kerani cabuk sahaja dan sampai bila-bila pun adik akan tetap jadi kerani cabuk. Adik tak akan ke mana-mana, mak. Sedangkan Doktor Haris tu golongan profesional. Tarafnya tinggi. Takkanlah dia sudi dengan orang macam adik ni.

Jangan terlalu merendah diri. Adik sendiri yang kata, rezeki itu datang dari Allah Taala. Tak mustahil yang Doktor Haris itu akan jatuh cinta pada orang seperti adik. Bukankah jodoh dan pertemuan itu, semuanya di tangan-Nya ulas Mak Cik Markonah

Mak, kata orang tua-tua, mengukur baju biarlah pada badan sendiri. Kalau hidung tak mancung, pipi janganlah tersorong-sorong. Pipit, manakan bisa terbang bersama enggang, kerana langit yang luas itu bukannya milik kita. Adik tak rela kalau orang kata adik ni syok sendiri. Jatuh maruah adik ni. Bagi adik, lebih baik kita berputih mata, daripada hidup menjadi bahan umpat keji orang. Buat malu saja, ujar Elly yang masih lagi mempertahankan pendapatnya.

Mak Cik Markonah menarik tangan Elly yang berada tidak berapa jauh darinya dan memintanya untuk duduk di sisinya di atas katil pesakit itu. Mak Cik Markonah mengusap rambut Elly dan memperbetulkan sisirannya. Kadang kala, Elly kelihatan agak tidak terurus kerana terlalu sibuk menguruskan ibunya. Mak Cik Markonah mahu Elly tahu, walau apa pun yang terjadi, dan kalau dia sudah diusung ke ambang maut sekali pun, perhatiannya pada Elly tetap tidak akan berubah sama sekali. Jika Elly merasakan dirinya begitu rendah sekali, perasaan yang sama jualah yang terbit dari jiwa Mak Cik Markonah sebagai ibu.

Buat apa kita nak ambil kisah pasal orang lain, dik. Selama kita dalam kesusahan, adakah mereka tolong Kalau kita tak makan sekali pun, mereka tak akan suapkan nasi ke mulut kita. Tepuk dada, tanyalah selera sendiri. Jangan menidakkan cinta yang sebenarnya milik kita. Mak tak mahu adik jadi seperti Alyssa. Alyssa masih bernasib baik kerana menyedari cinta hatinya sebelum terlambat. Tetapi, andainya terjadi untuk kali keduanya kepada adik, mungkin nasib adik tidak sebaik dia.

Hati tuanya tetap berkeras mengatakan yang Doktor Haris dan Elly amat sepadan untuk berpacaran, walaupun Elly menafikan sekeras-kerasnya. Mak Cik Markonah dapat merasakan bahawa kedua-dua mereka punyai minat terhadap satu sama lain, tetapi dipendamkan demi sebuah professionaliti.

Sudahlah tu, mak. Kita tak perlu berbahas lagi soal Doktor Haris. Adik bimbang, adik akan jadi tidak selesa pula untuk berurusan dengannya selepas ini. Apa yang penting, adik nak mak sembuh dulu, sebelum kita bincangkan tentang hal-hal yang lain tu, ujar Elly sebelum melangkah keluar dari wad itu untuk urusan lain, atau dalam erti kata lain, bagi mengelak soalan cepumas yang selanjutnya dari ibunya, soal Doktor Haris.